Wednesday, August 12, 2026

JAJARAN POLITIK BARU INI ADALAH IMPIAN RAKYAT MALAYSIA

 HARAKAH Bil: 3016

Kerajaan Negeri Sembilan lengkap dibentuk dan mengambil kuasa setelah PRN selesai 1 Ogos lalu, apabila Menteri Besar dan 10 ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) sempurna mengangkat sumpah di hadapan DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan baru-baru ini.

Pihak tertentu cuba untuk “downplay” atau memperkecilkan pencapaian besar serta bersejarah Barisan Nasional – Perikatan Nasional (BNPN) di Negeri Sembilan ini dengan harapan ianya tidak melarat dan menular hingga ke negeri-negeri lain dan akhirnya ke Putrajaya.

Nampak gaya gelombang biru ini atau ada yang nisbahkan sebagai gelombang kebangkitan politik umat Melayu, terlalu besar sehingga tidak mampu disorok-sorok atau ditahan oleh sesiapa pun. Penganalisis kanan sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris, Joceline Tan dalam mengulas berkenaan masalah kepimpinan DAP di Pulau Pinang menulis : “Don’t they know that the Malay tsunami is approaching” maksudnya “Tidakkah mereka sedar yang tsunami umat Melayu bakal melanda?”

Formula permuafakatan yang berjaya dicetuskan oleh pimpinan BN yang diterajui UMNO dan PN yang diterajui PAS di Negeri Sembilan berjaya mendorong ahli dan penyokong kedua parti saling bantu membantu, berkerjasama untuk mengalahkan PH dalam PRN berkenaan. Kesepakatan padu dua jentera parti terbesar ini didukung pula oleh para pengundi khasnya dikalangan masyarakat Melayu dan beberapa segmen pengundi bukan Melayu telah membawa kepada kemenangan luarbiasa pada 25 calon-calon PNBN, manakala calon-calon PH pula masing-masing sekadar mengekalkan kemenangan dengan majoriti yang berkurangan.

UMNO dan PAS pernah berkerjasama dahulu melalui Muafakat Nasional dan mampu memenangi beberapa kerusi kritikal dalam siri-siri PRK bermula di parlimen Cameron Highlands dan kemudiannya DUN Semenyih serta parlimen Tanjung Piai megalahkan calon-calon PH. Ketika itu berlaku juga peralihan undi iaitu undi cantum bilamana pengundi-pengundi tradisional PAS dan UMNO sama-sama keluar mengundi satu calon sehingga berupaya mengalahkan calon PH.

Kali ini di NS bukan hanya undi cantum itu membawa kemenangan, tetapi lebih luarbiasa berpusu-pusu pengundi Melayu amnya turut turun mengundi kerana mahu menunjukkan sokongan pada jajaran politik baru kerjasama BNPN ini.

Satu contoh adalah di DUN Palong. Pada PRN 15 calon BN peroleh 7,940 undi berbanding calon PN 7,376 dan BN menang ketika itu dengan majoriti 564 undi. PRN ke 16 baru-baru ini calon yang sama dari BN peroleh 15,197 undi manakala calon PH-PKR cuma 1,495 undi, Bersatu 590 undi. BN menang dengan majoriti rekod 13,702 undi.

Bermakna jajaran baru kerjasama BNPN ini telah berjaya memberikan keputusan yang meyakinkan di NS dan pasti turut akan mampu membawa kemenangan sama di negeri-negeri lain termasuk Melaka sehingga ke Putrajaya.

Syaratnya pimpinan yang mencetuskan kerjsama ini perlu terus saling bermuafakat dan menatang permuafakatan itu bagai menatang minyak yang penuh, tumpah akan mengakibatkan perpecahan dan berpecah akan memberi impak sehingga PH yang dimusuhi mampu bangkit kembali.

Walaupun BN menang gemilang di Johor dalam PRN ke 16 lalu, di PRN itu ada satu kerusi yang sewajarnya memberi amaran dan peringatan pada kita semua khasnya UMNO dan PAS, iaitu kerusi tunggal yang dimenangi calon PH-PAN, iaitu DUN Simpang Jeram. DUN ini menyaksikan pertandingan pelbagai penjuru antara PH, BN, PN dan Muda. Kesan pertandingan sebegitu mengakibatkan berpecah undi Melayu, BN tidak menang, PN juga tidak, sebaliknya PH yang menang.

Ambillah keputusan ini sebagai peringatan bahawa permuafakatan ini perlu diperteguhkan, elak sebarang pergeseran yang hanya akan merugikan semua pihak. Umat Melayu dan rakyat Malaysia menantikan jajaran politik baru ini bangkit menyelamatkan mereka. Bermuafakatlah kita demi memenuhi impian mereka. ROSLAN SMS



AKTIF KEMBALI DI BLOG

 Assalamualaikum dan salam sejahtera

Saya tidak tahu berapa ramai yang masih sudi membaca dan mengikuti blog saya ini. Oleh kerana ia medan pertama tulisan saya di media sosial, hari ini 12 Ogos 2026 saya memutuskan untuk kembali aktif di sini. Posting bersama saya dalam blog ini bertarikh 20 Mei 2004 iaitu kira-kira 22 tahun lalu.

Saya akan luahkan apa yang terbuku di hati seperti sebelum ini dan mohon sudilah apa kira mengikutinya dan memberi komen.

Salam hormat buat semua

ROSLAN SMS