Monday, September 21, 2026

BIAR RAKYAT NEGERI SEMBILAN URUS HAL EHWAL MEREKA


Isu di Negeri Sembilan bukan berpunca dari isu politik, tetapi orang politik suka tak suka tertunggang sama. NS adalah negeri berdaulat bawah Persekutuan Malaysia, lantaran itu apa sahaja krisis dalaman, biarlah pihak berkuasa negeri dan Istana putuskan, yang dari luar tidak perlu campurtangan. 

Negeri Sembilan bukan sebagaimana lapan buah negeri beraja yang lain yang mengamalkan Adat Temenggong, di NS ianya Adat Perpatih.

Banyak yang membeza antara kedua adat kerana itu mereka yang dari luar jika tiada membaca atau terdedah kepada ilmu sistem ini tidak akan faham dan dapat melihat kemelut yang sedang berlaku pada sisi yang sebenarnya.

Tidak seperti di negeri yang lapan, di NS takhtanya tidak diwarisi secara langsung sebaliknya ia dipilih dan ditentukan oleh Undang yang Empat:

Buapak melantik Lembaga

Lembaga melantik Undang

dan Undang yang Empat pula melantik Raja

Keempat-empat Undang bersama Yang Dipertuan Besar, membentuk teras pemerintahan beradat di Negeri Sembilan dan ini tidak berlaku di negeri-negeri yang lain. Kuasa utama keempat Undang adalah memilih dan menabalkan Yang Dipertuan Negeri melalui muafakat.

Undang juga berkuasa menurunkan Yang Dipertuan.

Apa yang berlaku di NS hari ini adalah pertikaian antara Undang yang Empat dan Yang Dipertuan Besar. Ada pun kerajaan negeri khasnya MB dan EXCO terbabit sama kerana merekalah bertanggungjawab dalam mengurus dan mentadbir negeri melalui mandat rakyat, mereka suara rakyat.

Yang Di Pertuan Besar serta Undang yang Empat masing-masing punya kuasa mengikut Perlembagaan Negeri, selesaikanlah sebaik mungkin apa pun kemelut menurut adat dan syariat.

Apa pun jangan disentuh MB dan kerajaan negeri kerana mereka diangkat oleh suara rakyat. 

Sebagaimana rakyat menghormati dan memberi taat setia pada Institusi Raja yang merek sayangi. suara rakyat juga perlu dihormati.

Biarlah MB dan EXCO nya menjalankan tugas mengikut Perlembagaan Negeri setelah diberi mandat oleh rakyat, Istana bermuafakatlah sebaik mungkin. Rakyat akan terima apa yang diterima oleh MB dan kerajaan negeri.

Kembalilah segera bersatu Istana dan rakyat sebagaimana sebelumnya.

No comments: