Tiba-tiba kebelakangan ini media arus perdana memainkan kembali sejarah hitam Peristiwa Memali 1985. Peristiwa 19 November 1985 yang mengorbankan 18 nyawa di Kampung Memali, Baling, Kedah tiba-tiba menarik minat orang-orang politik. Lalu berlakulah tuduh-menuduh sekaligus mengingatkan kita kembali kepada peristiwa yang berlaku lebih 26 tahun lalu itu.
Ada yang mungkin belum lahir ketika itu, ada yang masih kecil atau di sekolah rendah. Saya yakin sebagaimana ramai yang masih mengingati peristiwa pahit itu ramai juga yang teraba-raba tak ketahuan hujung pangkal.
Saya tidak berminat mengambil bahagian atau terjebak dalam sepak-terajang politik yang membangkitkan isu itu kembali hari ini sebagaimana dimainkan media arus perdana. Saya lebih berminat mengulas dari sebuah buku terbaru berkenaan peristiwa ini.
“Memali: A policeman remembers” karangan Tunku Muszaffar Tunku Ibrahim bekas Ketua Polis Daerah (OCPD) Baling, bagi saya adalah satu rekod sejarah yang sangat berharga dan penting. Ia datang dari luahan hati dan perasaan seorang pegawai kanan polis yang terlibat secara langsung dalam persitiwa ini.
Penulis bukannya penyokong pembangkang atau parti kerajaan. Penulis akan kita kenali (bagi yang membaca buku ini) sebagai seorang pegawai kanan polis yang professional, yang menjalankan tugas sebagaimana beliau dilatih oleh profesyion kepolisian. Sebagaimana beliau nukilkan dalam buku ini:
I am a police officer and not a young second lieutenant in the Army. I am sworn to protect life and property, and not destroy them.
(Saya seorang anggota polis dan bukannya seorang leftenan dalam tentera. Saya telah memegang sumpah mempertahankan nyawa dan harta bukannya menjahanamkannya)
Penulis bukan bermain politik melalui penulisannya. Bukan mahu mempertahankan parti pemerintah BN mahupun PAS yang ketika itu pembangkang di Kedah. Penulis bukan mahu mengagungkan Almarhum Ibrahim Libya mahupun mengkritik dan menuduhnya.
Beliau sekadar mahu meluahkan pengalamannya betapa dalam saat-saat genting profesionalismanya sebagai seorang pegawai polis yang terlatih dicabar dan tercabar. Beliau berhujah akan apa yang sepatutnya dilakukan oleh pihak polis dan apa yang telah silap dilakukan tanpa menyebelahi mana-mana pihak politik.
Dan dicelah luahan hati itu beliau turut nukilkan betapa seorang insan bernama Yusuf Husin kini YB Senator Yusuf Husin, telah muncul menyelamatkan bukan hanya suasana tegang tetapi nyawanya yang terancam kira-kira sebulan sebelum peristiwa hitam itu iaitu pada 20 Oktober 1985.
Penulis merasai dan melihat sendiri apa yang berlaku sehingga terkorbannya 4 anggota polis dan 14 penyokong PAS termasuk Ibrahim Libya pada hari yang memilukan itu yang pada pengakuannya dimulai dengan renjisan hujan panas dan kemuncaknya hujan lebat (seolah langit turut menangis menyaksikan persitiwa berkenaan).
Saya akan berkongsi lagi kandungan buku yang sungguh menyentuh jiwa saya ini. Syabas, tahniah dan yterima kasih kepada penulis kerana kekal berani untuk terbit dengan buku ini buat tatapan semua.
Agaknya dalam sibuk-sibuk kita berpolitik hari ini siapa yang sokong siapa yang tentang, lebih baik kita berpijak pada fakta lihat dan teliti versi sahih mereka yang terlibat.
Semoga Allah swt merahmati roh mereka yang terkorban dan menyeret mereka yang bertanggungjawab dalam kamar pengadilan Nya di hari kemudian nanti.