Wednesday, November 30, 2005

Isyarat Ku Li kepada rakyat Kelantan

Saya tidak perasan sehinggalah dimaklumkan oleh seorang rakan, dan akhirnya apabila memerikasa maklumat ini, ianya disahkan benar.


Ku Li tersenyum tapi Tok Nuar masam

Tahu atau perasankah anda semua semasa perhimpunan sempena proses Penamaan Calon pilihanraya kecil DUN Pengkalan Pasir tempoh hari seorang tokoh Umno Kelantan yang begitu banyak jasanya kepada negeri dan negara serta Umno sendiri tidak kelihatan dikalangan puluhan para pimpinan Umno yang hadir.

Tokoh yang dimaksudkan adalah Ketua Umno bahagian Gua Musang, bekas Menteri Kewangan, YBM Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah.

Ku Li tidak hadir mengiringi calon BN pada hari penamaan calon berkenaan, dan ketidak hadiran beliau sudah pasti menimbulkan pelbagai tanda-tanya.

Apakah Ku Li tidak diundang atau Ku Li tidak selesa berada di sisi Annuar Musa (yang pernah menabalkan Sultan baru untuk menggantikan yang sedia ada, iaitu dari darah keturunan kerabat Ku Lu sendiri) atau Ku Li cuba memberikan isyarat kepada Umno, kepada para pengundi atau mengapa?

Kalau kita perhatikan beberapa komen dan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ku Li sejak akhir-akhir ini barangkali kita boleh membaca niat dan pendirian beliau itu.

Memang Ku Li ini seorang pejuang bangsa yang tidak mudah ditundukkan oleh mana-mana pihak. Ku Li pernah menentang Tun Dr M bagi jawatan Presiden Umno apabila beliau sejak awal-awal lagi mengesan kecurangan dan ketidak-telusan kepimpinan Tun Dr M. Beliau pernah keluar Umno dan menubuhkan Parti Semangat 46 untuk cuba membetulkan keadaan politik negara yang beliau kira kusut dan berserabut itu.

Pada pemilihan Umno baru-baru ini beliau cuba pula untuk mencabar Pak Lah, kerana mahu menguji sistem demokrasi dalam Umno yang rupanya memang tidak wujud. Pencalonan beliau hanya dibuat oleh bahagian beliau sendiri sedangkan bahagian-bahagian lain yang pada awalnya memberikan kesediaan akhirnya menjadi bacul menukar pendirian.

Ku Li tidak hadir pada hari penamaan calon itu kerana saya kira Ku Li ada agenda.

Sebelum ini Ku Li dilaporkan berkata bahawa calon bebas Datuk Paduka Ibrahim Ali pasti tidak akan bertanding menentang dan mencabar Umno kiranya isu pemecatan beliau dahulu ditangani dengan sebaik-baiknya. Beliau mengakui menentang keputusan MT Umno ketika itu, namun suara beliau ditenggelamkan oleh majoriti yang ghairah dan berkeras mahu memecat Ibrahim. Kini Umno menerima padah, kerana kehadiran Ibrahim pasti akan menggugat peluang Umno di Pengkalan Pasir nanti.

Semasa Ketua Umno Kelantan, Annuar Musa menggila-gila mendesak Dewan Undangan Negeri Kelantan dibubarkan beberapa hari lalu, Ku Li berbeza pandangan. Ku Li lebih cenderung menghormati proses demokrasi yang mengiktiraf pembentukan satu-satu kerajaan ini melalui majoriti yang ditetapkan oleh sistem demokrasi walaupun kelebihannya satu kerusi.

Dan ketika ditanya oleh para pemberita berkenaan harapan calon Umno di Kelantan, beliau berkata syaratnya Umno mestilah membuktikan ianya benar-benar bersatu. Mungkinkah ini mendandakan perpaduan Umno Kelantan pada hari ini masih retak. Saya pernah mencatatkan di dalam BLOG ini betapa seorang pengulas politik pernah melaporkan bahawa Naib Ketua Umno Pasir Mas kelihatan tidak begitu riang pada hari pengisytiharan calon Umno bagi DUN Pengkalan Pasir. Beliau yang disenarai pendekkan telah digugurkan pada saat-saat akhir.

Dalam Umno Kelantan rupanya dendam-mendendam antara masing-masing WARLORDS rupanya tetap berterusan.

Dan dalam akhbar The STAR semalam Ku Li turut secara tak langsung memberikan pengiktirafan terhadap kesungguhan dan komitmen jentera PAS berbanding dengan Umno apabila beliau dilaporkan berkata sekiranya cuaca hujan pada hari mengundi Umno akan menghadapi masalah, kerana apa? Kerana menurut beliau pihak PAS yang berpegang teguh pada ideologi perjuangan mereka tidak mudah dipatahkan semangatnya apa lagi oleh turunnya hujan, akan tetapi peyokong Umno dibimbangkan tidak akan keluar kecuali disediakan kereta untuk mengangkut mereka.

Ku Li saya kira cuba memberikan isyarat, mudah-mudahan rakyat Kelantan dapat membaca isyarat itu. Yang pastinya Annuar Musa telah dapat mengesannya, sehinggakan ada pengulas yang melaporkan bahawa Annuar kelihatan berwajah masam dan tidak ceria sepanjang hari penamaan calon tempoh hari (sila lihat gambar sebagai bukti), mungkinkah Annuar marahkan Ku Li? Wallahualam.
Masjid di Kelantan Masjid di Selangor

Terpampang dalam akhbar UTUSAN MALAYSIA hari ini wajah Timbalan Presiden Umno duduk bersila berbincang dengan AJK Masjid Pauh, Banggol Chica, Pasir Mas.
Najib digambarkan begitu prihatin terhadap kebajikan masjid tersebut.


Najib dalam sebuah Masjid di Kelantan

Dan seperti biasa berkebetulan lawatannya bersempena kempen pilihanraya kecil Pengakalan Pasir, maka Najib turut berjanji akan membantu membangunkan lagi masjid tersebut.

Seperti biasa rakyat Kelantan yang terkenal dengan peramahnya dan menghormati tetamu itu, kelihatan begitu mesra meraikan Najib.

Sekadar memperingati saudara-saudara kita di Kelantan khususnya di Pengkalan Pasir yang akan keluar mengundi pada 6 haribulan Disember ini, awas dan berwaspadalah. Berbanggalah di negeri SERAMBI MEKAH ini tuan-tuan semua bebas mengimarahkan masjid, menjadikan institusi masjid sebagai pengkalan ilmu, madrasah ilmu tanpa sekatan dan batasan. Hal-ehwal dan pentadbiran masjid tuan-tuan diserahkan kepada anak-anak kariah.

Namun di luar SERAMBI MEKAH termasuklah di negeri SELANGOR MAJU 2005 dalam bab hal-ehwal masjid ini berbeza sama-sekali situasinya.

Di Selangor pentadbiran dan pengurusan masjid berada dalam cengkaman Jabatan Agama yang menerima arahan EXCO Agama yang melapor diri terus ke MB Selangor yang menerima isyarat dari Umno Negeri.

Di Selangor yang walaupun negerinya kononnya MAJU namun masjid-masjidnya tidaklah semaju mana pengurusannya. Masjid di Selangor dibelenggu sehingga tokoh-tokoh ulamak yang berkelayakan dan berwibawa disekat dan dilarang dari menyampaikan ilmu mereka di rumah-rumah Allah. Akibatnya rumah-rumah Allah di Selangor yang satu ketika menjadi pusat ilmu kini menjadi lesu dan bisu.


Para ulamak ini diharamkan di Selangor!

Siapa tidak kenal contohnya DATO ISHAK BAHAROM. Dato Ishak bukan sekadar seorang ulamak anak Selangor yang terkenal malah beliau pernah menjawat jawatan MUFTI NEGERI SELANGOR. Percayakah tuan-tuan Dato Ishak ini diharamkan dari memberikan sebarang ceramah ataupun kuliah dimana-mana masjid ataupun surau di seluruh Selangor!

Demikian juga USTAZ DATO ISMAIL KAMUS. Siapa tidak kenal beliau, anak Selangor yang pernah menjadi PAKAR RUJUK di PUSAT ISLAM. Mengajar dan menyampaikan ilmunya bukan sekadar ke seluruh ceruk-rantau negara malah sehingga di hadapan ke bawah DYMM Al Sultan Brunei di istana Baginda pun pernah beliau diundang. Beliau dibenarkan berdakwah melalui Radio Singapura akan tetapi di negeri beliau sendiri, di Selangor, Ustaz Ismail diharamkan berceramah.

Siapa juga tidak kenal USTAZ DATO DR HARUN DIN. Bekas Profesor Syariah di UKM yang terkenal dan diiktiraf oleh dunia Islam. Pernah muncul berdakwah dalam siri-siri TV, pernah diundang oleh para menteri, ketua-ketua jabatan, pihak istana dan lain-lain. Seperti juga Dato Ishak dan Ustaz Ismail, Dr Harun Din juga diharamkan berceramah di negeri Selangor.

Kesimpulannya itulah nasib para ulamak di luar Kelantan pada hari ini, ilmunya tingi, namun tidak dihargai dan disenangi oleh pihak kerajaan di luar Kelantan. Oleh itu fikirlah semasak-masaknya dan jangan perjudikan nasib dan masadepan Islam pada 6 haribulan Disember ini, terus Membangun Bersama Islam, insyallah.

Tuesday, November 29, 2005

Calon BN amal rasuah pilihanraya?

Perjalanan kempen pilihanraya termasuklah yang sedang berjalan di Pengkalan Pasir pada saat dan ketika ini adalah tertakluk kepada peraturan-peraturan yang sedia ada. Antaranya adalah Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.



Kerana itu kempen yang bersih perlulah sentisa mematuhi dan menuruti segala syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh akta ini dan mana-mana undang-undang yang berkaitan.

Memang kadangkala untuk membuktikan satu-satu kesalahan itu dilakukan bukanlah suatu perkara yang mudah. Ianya memerlukan saksi, bukti dan apa sahaja yang berkaitan dengannya.

Dalam akhbar BERITA HARIAN hari ini di bawah tajuk MULA KEMPEN DARI MASJID, dimuatkan laporan berkenaan aktiviti calon BN Hanafi Mamat. Sebagaimana calon-calon lain, Hanafi juga tidak mahu ketinggalan dalam merebut peluang untuk bertemu dengan seramai mungkin para pengundi.

Dan dalam keghairahan akhbar tersebut mahu mempromosi kerja-kerja kempen Hanafi ini dilaporkan:

Kemurahan hati Hanafi jelas dilihat ketika mengunjungi sebuah kedai kopi, apabila beliau membayar harga makanan dan minuman pengunjung kedai berkenaan ketika itu.

Calon yang sedang berkempen, dilaporkan membayar harga makanan dan minuman para pengunjung yang sudah pasti adalah para pengundi di kawasan pilihanraya berkenaan. Bagaimana? Apakah amalan ini dibenarkan oleh undang-undang?

Adakah tindakan Hanafi ini suatu perbuatan rasuah sebagaimana yang terkandung dalam Akta Kesalahan Pilihanraya?

Di dalam bahagian III akta tersebut berkenaan Perbuatan-perbuatan Rasuah di bawah tajuk PENJAMUAN seksyen 8 disebut:

Tiap-tiap orang yang, secara rasuah, dengan sendirinya atau melalui mana-mana orang lain, sama ada sebelum, semasa atau selepas sesuatu pilihan raya, secara langsung atau tidak langsung memberi atau mengadakan atau menyebabkan diberi atau diadakan, atau yang menyertai hal memberi atau mengadakan itu, atau yang membayar atau mengaku janji akan membayar kesemuanya atau sebahagiannya, belanja bagi memberi atau mengadakan apa-apa makanan, minuman, makanan atau minuman ringan atau bekalan, atau apa-apa wang atau tiket atau apa-apa cara atau tipu daya lain untuk membolehkan apa-apa makanan, minuman, makanan atau minuman ringan atau bekalan didapatkan, bagi atau untuk mana-mana orang bagi maksud untuk memperngaruhi secara rasuah orang itu atau mana-mana orang lain supaya memberi atau tidak memberi undinya dalam pilihan raya itu atau oleh sebab mana-mana orang itu atau mana-mana orang lain telah mengundi atau tidak mengundi atau akan mengundi atau tidak akan mengundi dalam pilihan raya itu, dan tiap-tiap pemilih atau pengundi yang, secara rasuah menerima atau mengambil apa-apa makanan, minuman, atau penyegar atau bekalan itu atau mana-mana wang atau tiket itu atau yang menggunakan apa-apa cara atau tipu daya lain itu untuk membolehkan makanan, minuman, penyegar atau bekalan itu didapatkan adalah bersalah atas kesalahan menjamu.

Adakah laporan BERITA HARIAN ini mensabitkan calon BN dengan kesalahan di atas? Jika ada asasnya maka pihak pemantau SPR perlulah mengambil tindakan. Memang benar pertandingan di Pengkalan Pasir semakin hari semakin sengit, namun semua pihak perlulah mematuhi dan menghormati peraturan yang sedia ada.
PAS di mata masyarakat Cina Pengkalan Pasir

Daripada 18,411 pengundi berdaftar di DUN Pengkalan Pasir 863 ataupun hampir 5 peratus adalah pengundi Cina. Sudah pastilah apabila mengambil kira majoriti calon PAS pada pilihnaraya 2004 yang lalu yang menang dengan kelebihan 56 undi maka jumlah kecil pengundi Cina ini adalah penting untuk kejayaan mana-mana pihak yang bertanding pada 6 haribulan Disember ini.

Kerana itu kedua-dua pihak PAS dan BN sedang giat memancing undi dikalangan masyarakat ini. PAS memperolehi bantuan dari rakan-rakan masyarakat Cina serta pertolongan dari PKR untuk meyakinkan masyarakat Cina, manakala BN seperti biasa memperolehi bantuan dari rakan-rakan kerabat mereka dari MCA dan Gerakan.

Menurut akhbar The STAR hari ini jentera PAS yang memberikan tumpuan kepada masyarakat Cina diketuai oleh Datuk Anuar Tan, anggota EXCO kerajaan negeri Kelantan.


YB Datuk Anuar Tan

Menurut The STAR:

Anuar who is well respected in the state aims to deliver 30 to 40 percent of the Chinese votes to the Islamist party.

We are confident of delivering at least 30 percent of the Chinese votes based on our record over the past two terms, he said. The service we have provided will speak for itself. Based on our feedback the Chinese are happy with us.

Anuar, seorang tokoh yang disegani di negeri ini sedang berusaha untuk mendapatakan antara 30 ke 40 peratus undi masyarakat Cina untuk PAS.

Menurut beliau, kami yakin mendapatkan sekurang-kurangnya 30 peratus sokongan berdasarkan bukti rekod perkhidmatan kami sejak dua penggal kebelakangan ini. Menurut laporan yang diterima masyarakat Cina berpuas hati dengan perkhidmatan kami.

Penglibatan Datuk Annuar Tan, seorang Cina, sebagai pemimpin PAS telah dengan sendirinya membuktikan kepada masyarakat bukan Melayu yang PAS adalah sebuah parti yang tidak dibatasi dengan sempadan bangsa malah sebenranya toleran dan tidak pernah mengenepikan kepentingan mana-mana pihak.

Sehubungan dengan itu apa yang menarik adalah wawancara dalam akhbar yang sama dengan seorang peniaga Cina di Pengkalan Pasir, KS Ng:

The people here are different in the way they think when it comes to politics. Their main criterion is to have an assemblyman who respects them.

This is where PAS has an advantage. Its leaders are seen as humble and down to earth. Its easy to see them. No need for appointments. If there is a death in the kampong, a PAS leader will go pay his last respects, even if the road leading to the house is only a mud path. This is what endears them to the people.

Apabila menyentuh isu politik, rakyat di sini mempunyai cara mereka sendiri. Apa yang mereka perlukan adalah wakil rakyat yang menghormati mereka.

Di sinlah PAS memiliki kelebihan. Para pemimpin mereka dilihat begitu sederhana dan merendah diri. Kita sungguh mudah bertemu dengan mereka. Tidak ada apa-apa temu janji diperlukan. Dan jika ada kematian di kampong, pemimpin PAS akan datang menziarahi, walaupun jalan menuju ke rumah itu berselut sekalipun. Inilah yang menarik perhatian rakyat kepada mereka.

Dengan bukti ini saya yakin usaha Datuk Annuar Tan akan berhasil dan barangkali tidak mustahil sasaran 30 peratus itu bukan hanya akan dapat dicapai malah insyallah mungkin boleh melebihi dari yang disasarkan.

MCA dan Gerakan baru satu dua hari ini turun dari KL dengan kumpulan tarian singa mereka untuk memikat dan mencuri hati para pengundi Cina, PAS rupa-rupanya melalui Datuk Anuar Tan dan jentera kerajaan negeri telah pun lama bekerja dan berkubu di sini. Mudah-mudahan benarlah sebagaimana yang dikatakan Encik Ng di atas, bahawa yang penting adalah wakil rakyat yang menghormati mereka, dan PAS terbukti memiliki kelebihan itu.

Monday, November 28, 2005

PERUBAHAN BESAR: Sesal dahulu pendapatan

Semalam telah sempurnalah sudah proses penamaan calon bagi PR Kecil DUN Pengkalan Pasir. Sebagimana yang kita telah ketahui, pilihnaraya kecil itu nanti akan menyaksikan pertandingan 3 penjuru antara calon-calon PAS, BN dan Bebas.

Maka bermulalah tempoh berkempen bagi semua calon dan wakil masing-masing sehinggalah tengah malam tanggal 5 Disember nanti.

Berhimpunlah para pimpinan BN dan PAS (dan BA) di Pasir Mas semalam semasa proses penamaan calon yang dimaskdukan. Masing-masing yakin memiliki peluang untuk menang. Yang menarik adalah kenyataan Timbalan Presiden Umno yang menghiasi dada-dada akhbar saluran perdana hari ini.


NAJIB : Jom buat PERUBAHAN BESAR!!!

BERITA HARIAN melaporkan di bawah tajuk MULAKAN DETIK PERUBAHAN:

Terserah kepada pengundi di sini, kalau pengundi Pengkalan Pasir nak mulakan detik PERUBAHAN BESAR di Kelantan, inilah masa dan ketika untuk mereka berbuat demikian dengan memilih calon BN, katanya pada sidang media selepas proses penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ibrahim 1 di sini, semalam

Apakah PERUBAHAN BESAR yang dimasudkan oleh Najib itu? Rakyat di Pengkalan Pasir perlu merenung dan memikirkannya semasak-masak mungkin, jangan nanti kemarukkan nasi sedangkan nasi dah berubah menjadi bubur.

PERTAMA sudah pastilah perubahan yang terbesar adalah menjatuhkan kerajaan PAS serta menjatuhkan sekali Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar Kelantan.

Bermakna memilih calon BN samalah dengan menjatuhkan kerajaan negeri dengan dasar Membangun Bersama Islam dan menggulingkan bersekali seorang ulamak yang diiktiraf dan dihormati di rantau sebelah sini.

KEDUA dengan tiada lagi dasar Membangun Bersama Islam, ekoran PERUBAHAN BESAR tadi, maka Kelantan akan membuka negerinya kepada apa sahaja limpahan budaya dan cara hidup yang diamalkan oleh negeri-negeri lain yang di bawah kuasa Umno dan BN kini.

Bersedialah untuk menerima kembali premis judi, kelab-kelab malam, rumah-rumah urut dan berbaai bentuk maksiat berlesen lain. Pasti akan menjalarlah ke Kelantan konsert-konsert rock, hiburan yang melalaikan yang di negeri-negeri lain telah menyumbang kepada keruntuhan akhlak dan moral yang serius khususnya dikalangan anak-anak muda di sana.

KETIGA institusi agama yang makmur pesat dan kaya di Kelantan sudah pasti akan dikenakan kawalan dan perubahan menurut selera BN. Di negeri-negeri BN institusi masjid umpamanya dikawal terus oleh jabatan-jabatan agama, tiada lagi hak diberikan kepada anak-anak kariah untuk menetap dan menentukan hal-hal pembangunan serta program masjid.

Sekolah-sekolah Agama di negeri-negeri BN menerima layanan yang buruk malah kalau mahu dibandingkan dengan SJK Cina dan Tamil ketara sekolah-sekolah ini lebih menerima perhatian dan jauh lebih maju dan terbela.

KEEMPAT PERUBAHAN BESAR ini sudah pasti akan menaik dan menobatkan kembali pemimpin-pemimpin yang satu ketika dahulu pernah ditolak oleh rakyat Kelantan atas pelbagai sebab yang rakyat Kelantan sendiri tahu. Tiadalah lagi pemimpin-pemimpin yang mementingkan moral, adab dan akhlak sebagaiamana yang ada pada hari ini. Sebaliknya akan kembalilah bertapak para pemimpin yang korap, yang menjaga kepentingan para kroni, yang meletakkan kepentingan peribadi dan periuk nasi masing-masing sentiasa sebagai agenda utama mereka.

Pasti tiadalah lagi solat-solat hajat berjemaah di Stadium Sultan Muhammad yang dipimpin oleh pemimpin-pemimpin negeri yang selama ini dikagumi dan dihormati oleh rakyat luar Kelantan. Tiadalah lagi solat tarawikh secara terbuka, tiadalah lagi Kuliah di Dataran Ilmu secara terbuka yang dipimpin oleh pemimpin negeri, tiadalah lagi bulan solat, Hari Hudud dan lain-lain.

KELIMA akan terkikis dan terhakislah jolokkan SERAMBI MEKAH yang keramat itu ekoran PERUBAHAN BESAR ini kerana melaluinya sudah dinyahkan para pemimpin yang menghargai dan bekerja untuk menjunjung jolokkan ini. Siapa lagi yang akan menjuarai jolokkan ini kalau tiada lagi Tok-tok Guru, para ulamak dan mereka yang ikhlas berjuang dikalangan pemimpin kerajaan negeri!

Demikianlah sekadar lima PERUBAHAN BESAR yang mampu saya congak-congak pasti akan berlaku di Kelantan jika benarlah Umno memiliki kuasa untuk merebahkan kerajaan PAS Kelantan ini.

Memang implikasinya menakutkan, membimbangkan malah satu pengalaman ngeri, mana tidaknya kita akan menyumbang saham kearah menggulingkan satu-satunya kepimpinan Islam dalam dunia yang naik melalui proses demokrasi. Berat rasanya tindakan dan implikasinya.

Lantaran itu fikir-fikirlah rakan-rakan di Pengkalan Pasir sekalian, berselera dan tergamakkah tuan-tuan untuk menikmati dan menundang PERUBAHAN BESAR Umno ini jika ianya bermakna mengkuburkan sesuatu yang sangat kita sanjungi dan hargai dalam hidup kita ini.

Saturday, November 26, 2005

Annuar zahirkan perlakuan rasuah

Akhirnya Annuar Musa, Ketua Umno Kelantan memuntahkan kepada umum perancangan pintu belakangnya untuk menawan kerajaan negeri Kelantan kiranya calon Umno menang di Pengkalan Pasir pada 6 Disember ini.

Tanpa segan-silu Annuar menyatakan sebagaimana dilaporkan oleh BERITA HARIAN:

Umno Kelantan bersedia menawarkan jawatan Timbalan Menteri Besar kepada mana-mana wakil rakyat Pas yang pertama MENYEBERANG dan menyertai Barisan Nasional (BN), jika BN menang pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir.

Wakil rakyat kedua yang MENYEBERANG dan menyertai BN pula ditawarkan jawatan Timbalan Speaker, manakala wakil rakyat ketiga hingga ketujuh yang mengambil tindakan sama ditawarkan jawatan Exco.


Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa, berkata BN berbuat demikian untuk faedah rakyat Kelantan, demi mengubah kehidupan mereka yang kini serba ketinggalan.

Kenyataan Annuar ini jelas membuktikan betapa begitu DESPERATE dan mabuk kuasa sungguh beliau sehingga dengan selamba dan bermuka tebal sanggup sahaja mempelawa ADUN-ADUN PAS melompat ke Umno dan ganjarannya diberikan pula kedudukan dan kuasa sedangkan dengan majoriti 1 kerusi sekalipun kerajaan negeri masih boleh berfungi dan mentadbir.

Saya pasti rakayat Kelantan umumnya akan merasa mual dan jijik dengan taktik kotor yang beliau zahirkan ini. Jangankan orang PAS saya kira orang Umno pun pasti terperanjat dan malu dengan idea membentuk kerajaan mengikut pintu belakang ini. Annuar memang masyhor dengan main ikut pintu belakang ini, bukankah satu ketika dahulu dalam keadaan Al Sultan Kelantan masih hidup memerintah negeri, beliau sanggup melantik Sultan baru mengikut pintu belakang juga.

Apa pun kali ini saya merasakan Annuar telah melampaui had dan batasan moral dan etika yang dibenarkan. Malah saya mengira kenyataan beliau ini sudah sampai keperingkat boleh disabitkan dengan kesalahan RASUAH.

Kalau kita melihat Akta Pencegahan Rasuah 1997, SUAPAN turut didefinasikan sebagai:

Apa-apa jawatan, kebesaran, pekerjaan, kontrak pekerjaan atau perkhidmatan, dan apa-apa perjanjian untuk memberikan pekerjaan atau memberikan perkhidmatan atas apa-apa sifat;

Saya kira Annuar telah menjerumuskan dirinya dalam aktiviti menyogok dan bercadang menyuap oleh itu pihak PAS perlu meneliti perkara ini dengan serius dan segeralah membuat laporan ke pihak BPR agar kerja kotor beliau ini akan diambil tindakan.

Kerajaan naik dan kerajaan jatuh sepatutunya mengikut suara dan kehendak rakyat. Bukannya melalui kerja jijik membeli dan menyuap.

Saya teringat dalam satu majlis memperingati Al marhum YTM Tunku satu ketika dahulu anjuran Parti Melayu Semangat 46 (yang telah pun dibubarkan kini) di KL , seorang bekas Setiausaha Sulit (atau mungkin Setiausaha Politik, saya tak berapa ingat) ada menyatakan darihal insiden membeli ADUN Sarawak ketika Sarawak menyertai Malaysia.

Kata beliau ketika itu parti pembangkang telah menang dan membentuk kerajaan di Sarawak. YTM Tunku menurut beliau sungguh keciwa dengan kekalahan itu, lalu tanpa pengetahuan Tunku beliau dan beberapa orang rakan telah pergi ke Sarawak dan berjaya membeli beberapa ADUN yang bersedia melompat menyokong PERIKATAN.

Berita ini dikhabarkan kepada Tunku ketika mereka pulang ke KL. Namun tidak seperti Annuar, rupanya Tunku bukannya gembira dengan perkembangan itu, sebaliknya telah memarahi Setiausaha beliau itu, katanya rakyat Sarawak telah membuat keputusan dan dalam sebuah Negara yang menjunjung demokrasi, kita perlu menghormati keputusan itu.

Maka terbengkalailah usaha membeli anak-anak ayam itu tadi.

Kesimpulannya saya yakin ADUN-ADUN PAS Kelantan tidak macam ayam daging seperti Annuar sangkakan. Sejarah telah membuktikan sejak PAS membentuk kerajaan negeri di Kelantan pada tahun 1990 sehinggalah ke hari ini, tidak ada seorang pun ADUN PAS yang melompat menyertai BN walaupun saya yakin jika mereka berbuat demikian, pasti ganjaran lumayan menunggu mereka (ADUN 46 yang melompat menyertai PAS adalah). Mereka teguh bertahan atas dasar prinsip dan perjuangan.

Jadi segerelah jentera PAS mengkaji kenyataan Annuar ini dan bebaskan Kelantan dari pelaku rasuah yang jijik dan tidak berakhlak ini.
Hanifa lawan Hanafi jangan lupa Ibrahim Ali

Kesemua parti dan calon-calon yang berhasrat untuk bertanding pada pilihanraya kecil DUN Pengakalan Pasir yang dijadualkan pada hari Selasa 6 Disember nanti telah pun mengisytiharkan diri masing-masing.

Cuma secara rasminya mereka yang layak bertanding akan hanya diisytiharkan oleh pihak SPR selepas tamat tempoh bantahan pada hari penamaan calon tengahari esok.


gambar HARAKAHDAILY

Umno BN telah mengisytiharkan calonnya pada hari Khamis lalu, iaitu Timbalan Ketua Umno bahagian Pasir Mas, Hanafi Mamat.

Semalam PAS telah mengisytiharkan calonnya iaitu Hanifa Ahmad, bekas CEO PKINK, AJK PAS Kawasan Pasir Mas. Semalam juga di Kampung Dangar bekas Ketua Umno bahagian Pasir Mas yang dipecat, Ibrahim Ali telah mengisytiharkan dirinya untuk bertanding sebagai calon Bebas.

Bermakna perlawanan tiga penjuru antara PAS, Umno dan Ibrahim Ali sudah hamper pasti akan berlaku di Pengkalan Pasir.

Semalam di BLOG ini saya telah memungut laporan akhbar berkenaan majlis pengisytiharan calon Umno yang diadakan di salah Sekolah Menengah Perempuan di Pasir Mas. Highlight tulisan saya itu adalah berkenaan angka kehadiran yang dimain-mainkan oleh pihak media untuk mensensasikan kehebatan jentera Umno.

Angka kehadiran yang dicatatkan oleh pihak media adalah antara 500 ke 5,000 orang, perbezaan yang besar antara satu akhbar dengan satu yang lain.

Hari ini saya cuba memungut pula angka mereka yang hadir dalam majlis pengisytiharan calon PAS di Stadium Mini Pasir Mas semalam.

Kenapa? Sekadar nak membuktikan betapa beretika dan bermoral atau lebih tepat lagi adil dan seimbangnya laporan media perdana terhadap proses demokrasi dalam negara kita yang mewah dan maju ini.

The STAR yang melaporkan cuma 500 hadir di majlis pengisytiharan calon Umno sebelum ini, telah melaporkan seramai 2,000 hadir di majlis PAS. Manakala Utusan, Berita Harian dan NST tidak meletakkan angka langsung.

Cuma menurut laporan kawan-kawan, yang berada di Pasir Mas semalam, Stadium Tertutup itu (padang di Stadium Mini tidak dapat digunakan kerana becak) penuh sesak dan ramai yang berkerumun di luar bangunan, tidak termasuk mereka yang tidak dapat menghadiri perkarangan stadium kerana kesesakan lalu-lintas.

Berdasarkan laporan mereka yang hadir kalau 2,000 kata The STAR tak mengapalah, tetapi yang pasti ianya lebih dari 5,000 yang kononnya hadir di majlis Umno sebagaimana dilaporkan Berita Harian semalam.

Mudah-mudahan jumlah yang besar ini adalah petanda yang positif bagi PAS dan boleh diterjemahkan kepada undi pada 6 Disember nanti.

Sementara itu menurut The STAR juga sekitar 100 orang hadir di majlis Ibrahim Ali semalam.

Sekadar renungan, Tengku Razaleigh Hmazah, Ketua Umno Gua Musang, dilaporkan oleh salah sebuah laman web telah menasihatkan jentera Umno agar tidak memandang kecil sokongan terhadap Ibrahim. Beliau dilaporkan berkata bahawa Umno sekarang memikul padah akibat tindakan mereka memecat Ibrahim dahulu. Kata beliau semasa Mesyuarat MT Umno ketika itu beliau telah pun menyatakan bantahan beliau namun MT tetap mengambil keputusan memecat Ibrahim juga.

Ramai penganalisa yang menjangkakan Ibrahim sudah pasti akan memperolehi undi dari penyokong dan ahli-ahli Umno yang tidak berpuas hati dengan apa juga isu termasuklah yang bersimpati dengannya. Ibrahim dijangka tidak mampu menarik undi dari penyokong dan ahli PAS.

Mungkinkah antara yang tidak berpuas hati itu adalah Naib Ketua Umno Pasir Mas, Che Johan Che Pah serta para penyokongnya? Che Johan walaupun disenarai pendek namun akhirnya tidak terpilih sebagai calon Umno. Saya mengatakan demikian kerana JOCELINE TAN dalam ruangannya di akhbar The STAR hari ini menulis:



When Annuar announced Hanafis candidature, Che Johan was also asked to go on stage to hold the candidates hand high in the air. Che Johan obliged but looked rather glum.

Apabila Annuar mengumumkan pencalonan Hanafi, Che Johan diminta agar turut berada di atas pentas dan mengangkat tangan calon berkenaan. Che Johan melakukannya namun dengan wajah yang murung.

Kepada semua jentera yang terlibat, selamat menjalankan tugas!

Friday, November 25, 2005

Kezaliman pihak berkuasa terhadap OKT

Di Malaysia resamnya apabila sahaja seseorang itu ditahan Polis (atau mana-mana pihak yang berkuasa menahan termasuklah Kastam, Imigresen, Jabatan Agama dan lain-lain) maka dia seolah-olah telah dicap sebagai orang bersalah walaupun belum diadili oleh mana-mana mahkamah.

Orang yang ditahan tersebut akan diperlakukanlah bagai penjenayah oleh mereka-mereka yang menahannya. Hilang hak, hilang harga diri, seseorang itu laksana binatang boleh diperlakukan apa-apa sahaja oleh pihak yang menahan.

Sebelum ini kita pernah dengar kes OKT yang mati dalam tahanan, yang mengadu didera dan dipukul samada oleh pihak yang menahan ataupun sesama yang ditahan. Malah pernah berlaku hubungan seksual antara yang menahan dan ditahan walaupun mahkamah kemudiannya memutuskan hubungan tersebut dilakukan dengan kerelaan kedua-dua pihak.


Dari akhbar THE SUN

Hari ini sebagaimana yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar tempatan para Menteri dan orang-orang politik seolah-olah terperanjat apabila mendapat tahu yang seorang yang kononnya tahanan warga Cina telah dipaksa berbogel dan ketuk ketampi oleh seorang anggota polis wanita semasa dalam tahanan. Aksi tersebut telah dirakam dan gambar-gambarnya hari ini menghiasi dada-dada akhbar tempatan.

Aibnya kes ini terhadap kerajaan sehingga PM telah mengarahkan Menteri Dalam Negeri Azmi Khalid untuk segera terbang ke China bagi menjelaskan sebarang kekeliruan yang mungkin timbul akibat dari kejadian tersebut.

Memang kejadian ini sangat memalu dan mengecewakan, kerana ianya bukan sekadar menjejas dan mencalarkan imej pihak polis tetapi juga negara kita secara amnya.

Walaubagaimanapun untuk berlaku adil pak-pak menteri dan ahli-ahli politik berkenaan janganlah pura-pura terkejut kerana ini bukanlah insiden pertama. Sebagaimana saya sebutkan di atas banyak insiden-insiden seumpama ini telah berlaku sebelumnya, malahan pada saya yang paling besar dan bersejarah adalah kes memukul Dato Seri Anwar Ibrahim, mantan TPM oleh KPN semasa beliau dalam tahanan polis.

Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah menyemak semula semua prosedur yang melibatkan layanan terhadap OKT oleh pihak polis dan yang lain-lain termasuklah mereka yang ditahan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (yang penderaan terhadap mereka ini 100 kali lebih zalim kalau nak dibandingkan dengan kes terbaru ini sedangkan mereka yang ditahan di bawah ISA itu sebenarnya adalah tahanan politik bukannya penjenayah).

Kikis terus sikap seseorang itu seolah-olah telah bersalah sebelum pun ia dibicarakan. Walaupun seseorang itu seorang yang tertuduh peliharalah maruah dan kehormatannya. Kalau pun soal-siasat itu penting untuk memperolehi bukti dan perakuan bai menyelesaikan satu-satu kes namun janganlah sampai memperlakukan seseorang itu sampai hilang pertimbangan peri kemanusiaan.

Sheikh Muhammad Saleh Al-Munajjid, seorang ulamak besar Saudi telah mengeluarkan fatwa yang berbunyi:

Islam memberikan perhatian yang berat terhadap masalah yang berkaitan mereka yang ditahan serta tempat tahanannya. Penekanan seumpama ini jarang ditemui dimana-mana tempat lain. Para ulamak dalam kitab-kitab mereka banyak menyentuh darihal orang yang kena tahan dan layanan yang sepatutnya diberikan terhadap mereka. Keprihatinan ini wujud kerana Islam sangat memelihara dan mempertahankan maruah dan kehormatan manusia.

Rasulullah saw sendiri sebagaimana terkandung di dalam sirah melayani dengan baik musyrikin Mekah yang ditawan semasa Peperangan Badar. 1400 tahun lebih dahulu umat Islam sudah dididik agar beradab dan menitik beratkan hal-hal kemanusiaan, malangnya kita yang maju dan mewah hari ini sudah hilang pertimbangan kemanusiaan dan kembali menjadi jahiliyah, menjadi manusia bertopengkan haiwan.
Kempen Umno bermula dengan angka yang dipertikaikan

Dari ramai-ramai calon yang disenarai pendek oleh Umno Pasir Mas, akhirnya Hanafi Mamat dipilih sebagai calon Umno untuk pilihanraya kecil DUN Pengkalan Pasir yang penamaan calonnya dijadualkan pada hari Ahad ini.



Hanafi ini pernah kalah dalam dua cubaan sebagai calon Umno, pertama semasa menentang Ibrahim Ali calon Semangat 46 untuk Parlimen Pasir Mas semasa pilihnaraya 1990 dan kedua semasa melawan calon PAS Allahyarham Wan Abdul Aziz dikerusi yang sama pada tahun 2004 lalu.

Menurut Annuar Musa, Ketua Perhubungan Umno Kelantan sebagaimana dilapor dalam The STAR hari ini:

Hanafi fulfills the criteria of a Barisan candidate – someone who is healthy, humble, young and high spirited. (Hanafi memenuhi kriteria seorang calon Barisan iaitu sihat, merendah diri dan bersemangat waja)

Dalam erti kata lain tidak ada seorang pun dari 8 calon lain yang turut disenari pendekkan sebelum ini memenuhi semua kriteria yang disebutkkan Annuar itu termasuklah Ketua Umno Bahagian Pasir Mas sendiri, Datuk Rahim Abd Rahman.

Apa pun, mudah-mudahan calon BN ini akan memastikan yang kempen dalam pilihanraya ini tidak seperti kempen-kempen sebelumnya akan berjalan dengan adil, telus dan bersih tanpa ada rasuah dan sogokkan.

Yang menarik perhatian saya sebenarnya dalam majlis pengisytiharan calon BN ini di SM Perempuan Pasir Mas (BN boleh pulak peralatkan sekolah untuk kempennya?) adalah bilangan ahli-ahli Umno dan penyokong BN yang hadir.

Menurut The STAR 500 orang yang hadir.

Menurut Berita Harian lebih 5,000 orang penyokong.

Menurut Berita Harian (online) lebih 2,000 penyokong.

Mana satu yang betul ni?

Yang kelakarnya pihak Berita Harian boleh berbeza angka bagi edisi internet dan edisi cetaknya. Takkanlah STAR bilang 500 tetapi BH boleh kira sampai 5,000 manakala edisi internetnya 2,000.

Demikianlah permulaan kempen Umno, dan angka-angka yang berubah-ubah ini dijangka terus menjadi trend sehinggalah ke hari mengundi, Cuma jangan pula yang kalah diisytihar menang dan yang menang pula diisytihar kalah nanti sudahlah.

Thursday, November 24, 2005

Sejenak kes janji buka universiti di Kelantan

BERNAMA melaporkan bahawa Timbalan Presiden Umno yang juga TPM, Najib Tun Razak bertegas bahawa BN akan tetap membina sebuah universiti di Kelantan jika berjaya menawan negeri tersebut dari tangan PAS.

Semasa berkempen di Pasir Mas baru-baru ini Najib telah berjanji membina sebuah universiti di Kelantan dengan syarat para pengundi di Pengkalan Pasir memberikan isyarat menolak PAS pada pilihanraya kecil 6 Disember ini. Kata beliau keupayaan menolak PAS adalah tanda awal kejatuhan kerajaan PAS Kelantan dan kembalinya kuasa ke tangan Umno.



Beberapa hari kemudian Menteri Pengajian Tinggi, Dr Shafie Mohd Salleh telah membuat kenyataan bahawa kerajaan Pusat tidak akan membina lagi univerisiti awam baru di mana-mana negeri. Kenyataan ini seolah-olah meletakkan janji Najib itu laksana sebuah janji kosong. Lalu dalam mesyuarat kabinet semalam isu ini terpaksa dibangkitkan dan BERNAMA melaporkan:

The Barisan Nasional (BN) government will honour its promise to set up a public university in Kelantan if the party succeeds in wresting the state from Pas, Datuk Seri Najib Tun Razak said Wednesday.The Deputy Prime Minister said the Cabinet, in its weekly meeting Wednesday, decided to endorse a promise made by the BN in the last general election that if the coalition succeeds in forming the government in Kelantan, a public university would be built in the state, the only state under opposition control.

Kerajaan BN akan menunaikan janjinya untuk membina sebuah universiti awam di Kelantan jika parti tersebut berjaya menawan negeri itu dari PAS kata Najib hari Rabu lalu.TPM berkata kabinet dalam mesyuarat mingguannya Rabu ini telah memutuskan untuk mengiktiraf janji BN dalam pilihanraya umum lalu bahawa jika parti tersebut berjaya membentuk kerajaan di Kelantan, sebuah universiti akan didirikan di negeri tersebut, satu-satunya negeri di bawah kuasa pembangkang.

Demikianlah hebat dan berpengaruhnya kuasa Najib dalam kerajaan BN hari ini. Segala janji dan gula-gula yang beliau taburkan tak kiralah samada beretika ataupun tidak, menyalahi undang-undang ataupun tidak, jika ada yang dipertikaikan maka ianya akan segera di bawa ke kabinet untuk di endorse. Najib selamat imej BN pun terpelihara.

Soalnya seorang rakan bertanya saya, dah penuhkah universiti-universiti awam ini dibuka di negeri-negeri lain khususnya yang di bawah kuasa BN? Sebelum Najib berjanji dan menggula-gulakan rakyat dan para pengundi di Kelantan sepatutnya beliau pastikan kesemua negeri-negeri BN masing-masing dah ada universiti sendiri yan beroperasi sepenuhnya, barulah patut.

Kasihan rakan-rakan kita yang kuat menyokokng Umno di Pahang, Perlis dan Negeri Sembilan. Tak tergiurkah air lior mereka apabila melihat janji Najib untuk orang Kelantan tu? Berpuluh tahun sejak Umno berkuasa, sampai sekarang tak berbunyi pun akan dibina universiti di negeri-negeri ini.

Aduhai Najib, Pahang Darul Makmur, negeri mu sendiri pun tak ada universiti awam sendiri, yang sibuk nak janji pada orang Kelantan tu apahal? (Kalau sekadar nak ambil kira cawangan UITM di Jengka itu, di Machang, Kelantan pun ada cawangan) (Dan jangan ambil kiralah KUKTEM, KUKUM - itu bukan universiti penuh)

Begitulah kisah janji Mat Jenin, Pak Kadok dan apa sahaja nama yang boleh kita berikan kepada pemimpin yang seumpama ini. Jentera Umno dari Perlis, Pahang dan Negeri Sembilan yang menyesakkan Pekan Pasir Mas tu sepatutnya bertanya Timbalan Presiden mereka, takkan Kelantan je kot, kami ni habuk pun tarak!

Wednesday, November 23, 2005

Annuar Musa: PAS kotor Umno bersih

Annuar Musa dilaporkan berkata bahawa PAS yang terdesak mahu menang dalam PR Kecil DUN Pengakalan Pasir telah mula menggunakan pelbagai taktik kotor. Antara taktik kotor tersebut kononnya adalah:

Menelefon penduduk dengan menyamar sebagai ahli Puteri Umno

Menyibarkan maklumat palsu kononnya ahli Umno beramai-ramai meninggalkan Umno menyertai PAS

Menyebarkan risalah dan khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi menyerang peribadi pemimpin UMNO

Mengugut pengundi Cina di Pengkalan Pasir dengan mendakwa jika parti itu kalah, kerajaan negeri akan bertindak menaikkan cukai dan memperketatkan pengeluaran lesen perniagaan.

Jahat sungguh PAS Kelantan nampaknya kalau kita percayalah bulat-bulat tuduhan Annuar itu. Rupanya belum pun selesai isu siapa yang bertanggungjawab mencetuskan isu letak jawatan ADUN Umno Kelantan, Annuar cepat-capat cari modal baru untuk mengalihkan pandangan orang-ramai. Licik sungguh Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan ini.

Sekadar untuk rekod, saya ada mencatitkan dalam BLOG ini beberapa taktik yang digunakan oleh pimpinan Umno tertinggi di Kelantan, sebelum tuduh orang lain Annuar sepatutnya menyuluh ke dalam bajunya sendiri.

Bukankah Najib Tun Razak, Timbalan Presiden Umno yang baru-baru ini menaburkan berbagai janji manis berbau rasuah politik kepada pengundi Pengkalan Pasir, antaranya Universiti baru, kemewahan, kemajuan, kesenangan dan berbagai lagi.

Bukankah Hishamuddin Tun Hussien, Ketua Pemuda Umno yang baru-baru ini mengugut guru-guru di Pengkalan Pasir agar berhenti sahaja dari profesion masing-masing jika tidak mengundi dan menyokongBN

Tiba-tiba PAS yang dikatakan lemah dan serba kekurangan itu pula dikatakan jahat.

Tanyalah Tengku Razaleigh Hamzah, Ketua Umno Gua Musang, siapakah yang telah menggunakan kempen gambar Ku Li mengenakan tenggolok SALIB semasa PRU 1990, taktik kempen terkotor abad tersebut, jika tidak Umno!

Relaxlah Annuar, kita lawan sama-sama kita ikut lunas demokrasi. Jangan guna pengundi hantu, jangan eksploitasi media saluran perdana (TV, akhbar dan radio), jangan tabur wang ringgit untuk memancing pengundi yang tidak berdosa, jangan gula-gulakan rakyat dengan janji pembangunan. Jangan lakukan semua kemungkaran ini barulah boleh nak katakan Umno tu bersih dan PAS kotor. Tetapi selagi amalan-amalan yang disebutkan tadi terus digunakan, terus menjadi agenda utama kempen Umno, janga tepi kain sendiri sahajalah!

Tuesday, November 22, 2005

Annuar jangan sibuk bina reban sedang telur belum tentu menetas

Semuanya bermula dengan congak-congak cetek dan separuh masak Annuar Musa, Ketua Perhubungan Umno Kelantan. Kata beliau jika PAS kalah dalam PR Kecil DUN Pengkalan Pasir 6 Disember ini maka wajarlah PAS mengambil inisiatif membubarkan Dewan Undangan Negeri Kelantan kerana ketika itu PAS akan hanya berdiri berkuasa dengan majoriti 1 kerusi.

Tambah beliau sewajarnyalah rakyat diberikan mandat untuk memilih semula sebuah kerajaan baru.


BILALAH AKU
BOLEH JADI MB?

Sergah pukul curi Annuar ini yang disangkakannya paling bijak dan pintar itu dibeli pula oleh Timbalan Presiden Umno, Najib Tun Razak. Kata Najib walaupun tidak ada peruntukkan dalam perlembagaan yang memaksa kerajaan negeri untuk membubarkan dewan namun dari segi moral PAS septutnya memohon mandat baru dari rakyat.

Sondolan buta Najib ini malangnya disambut pula dalam keadaan separuh sedar oleh Pak Lah selaku Presiden Umno. Pak Lah pun bersetuju mengatakan dewan patut dibubarkan.

Melihatkan pimpinan kanannya masing-masing termakan mentah-mentah silat terajang beliau, Annuar maju selangkah lagi dengan mencabar pula ahli-ahli DUN PAS seramai 23 orang itu agar meletakkan jawatan beramai-ramai yang akan diikuti oleh ADUN Umno seramai 21 orang bagi mengukur sokongan rakyat.

Kata Annuar kesemua 21 ADUN Umno telah pun bersetuju menghantar surat perletakkan jawatan masing-masing berkuatkuasa 1 Disember dengan syarat kesemua 23 ADUN PAS berbuat yang sama.

Tak ke pening kepala kita dibuatnya dengan aksi politik caca-marba Annuar ini? Berpusing-pusing macam gasing gelagatnya.

Tiba-tiba akhbar-akhbar tempatan melaporkan hari ini yang pihak SPR memberi amaran melalui Timbalan Pengerusinya Wan Ahmad Wan Omar.

Menurut beliau
, Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan menyebut, seseorang yang meletakkan keahliannya dalam Dewan Rakyat hendaklah, bagi tempoh lima tahun bermula dari tarikh peletakan keahliannya berkuat kuasa, hilang kelayakan untuk menjadi ahli Dewan Rakyat. Kata beliau peruntukkan ini dipakai sama bagi negeri Kelantan.

Oleh itu kalau Annuar dan rakan-rakannya dalam Umno meletakkan jawatan, bermakna mereka merelakan diri masing-masing untuk tidak lagi bertanding semula dan bersetuju memberi laluan kepada calon-calon lain jika tidak kertas-kertas pencalonan mereka semuanya akan ditolak kerana melanggar perlembagaan!

Sejurus itu Pak Lah selaku Presiden Umno pun terpaksalah terkial-kial membuat kenyataan mencuci kotoran yang telah ditabur dan diselerakkan oleh Annuar lantaran keghairahan dan keangkuhannya mahu berlagak pandai itu. Kata Pak Lah sebagaimana dilaporkan BENRAMA:

Abdullah menasihatkan supaya tindakan cabar-mencabar itu dihentikan oleh Adun kedua-dua parti. Tak payahlah nak letak-letak jawatan, katanya selepas melancarkan majlis sambutan Hari Kualiti Kementerian Keselamatan Dalam Negeri di sini hari ini.

Siapa letak jawatan tidak payah bertanding lagi dah. Takkanlah dah letak jawatan, esok nak bertanding (semula), katanya kepada pemberita di sini semasa ditanya mengenai tindakan cabar-mencabar antara PAS dan Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Pengkalan Pasir 6 Dis ini.

Rakyat Kelantan dan kita di seluruh negara tahu bahawa segala-galanya bermula dari kegatalan mulut Annuar. Kalau beginilah singkatnya perkiraan dan pertimbangan Annuar, layakkah beliau mahu menuntut takhta MB Kelantan? Saya kira memang tepat sungguh apabila Tok Guru MB Kelantan ketika mengulas isu ini beberapa hari lalu mengatakan:

Jadi, tak payahlah cakap banyak, kami ni bukannya bodoh nak ikut saja apa yang dia cakap

Oleh itu kepada Annuar dan rakan-rakan hadapilah PR Kecil Pengkalan Pasir ini terlebih dahulu dengan penuh gentleman. Keluar keputusan nanti baru kita buat kira-kira. Kalau awal-awal dah buat nanti orang kata telur belum menetas, kita dah sibuk beli kayu dan atap untuk bina reban ayam. Kalau telur tak menetas, jadi tembelang macam mana? Kering-kering sahaja orang perbodohkan kita.

Monday, November 21, 2005

Hishamuddin ancam guru yang sokong PAS

Saya pada mulanya tidak percaya akan tetapi setelah ditunjukkan oleh rakan saya akhbar BERITA HARIAN hari ini, saya tergamam, keciwa dan terus hilang hormat kepada Menteri Pendidikan Malaysia Hishamuddin Tun Hussien.



Salah satu tajuk akhbar tersebut dimuka 3 berbunyi:

Guru tak sokong BN disyor cari kerja lain

Astaghafirullah, beginikah mentaliti seorang menteri pusat, anak seorang bekas PM dan cucu kepada seorang pejuang kemerdekaan?

Kata beliau:

Kalau masih wujud guru yang tak bersama, saya rasa begitu kecewa kerana selama ini saya tak nampak Kerajaan PAS dan pembangkang mempertahankan profesion perguruan dan membela nasib guru saya.

Bagi yang masih tak mahu berama kita, terserahlah kepada mereka. Pilihlah kerjaya lain kerana tugas mereka memastikan anak kita terbela adalah suatu tanggungjawab berat yang terpaksa kita pikul demi masa depan.

Sejak bilakah kakitangan kerajaan diwajibkan menyokong satu-satu parti politik? Sejak bilakah hak menyokong, memilih dan menganggotai mana-mana parti politik telah dirampas dan digugurkan dari kalangan kakitangan kerajaan khasnya para guru?

Mengapa begitu bengis dan kuku besi sekali sikap Menteri berkenaan? Tidakkah ini kelak akan mencerminkan betapa sempit dan ekstrimnya fikiran seorang menteri kabinet di Malaysia yang telah menggunakan kuasanya untuk menafikan hak asasi anak-anak buah di bawah kawalannya?

Hak seseorang warganegara untuk memilih dan menyokong mana-mana parti politik yang sah dan berdaftar dalam negara adalah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Tidak ada mana-mana pihak apalagi seorang yang bertaraf menteri berkuasa untuk mencabut dan menafikan hak tersebut

Mengaibkan sungguh perangai dan sikap si Hishamuddin ini.

Ancaman dan ugutan beliau ini sekadar membuktikan betapa sesunguhnya tertekannya Umno dalam menghadapi pilihanraya kecil di Pengkalan Pasir.

Saya pasti bukan hanya saya malah seluruh anggota profesion perguruan akan memandang rendah kepada Hishamuddin lantaran kenyataan cetek dan tidak professional beliau ini. Dulu kita dengar undi para pengundi pos dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu, kini giliran para guru pula.

Insyallah undi anda adalah rahsia, keluarlah mengundi ramai-ramai para guru yang terlibat, tak kira Umno ataupun PAS, dan buktikan bahawa anda berhak memilih siapa sahaja yang anda berkenan dan tidak ada siapa yang boleh menghalang citarasa politik anda itu!
Berjuang dalam Umno memang kerana ada tanda harga

Tanyalah orang kebanyakkan yang kita temui yang menyokong atau menjadi ahli Umno, kenapa sokong Umno? Tidak keterlaluan kalau saya katakan pasti kebanyakkan jawapannya adalah: Cari makan.

Mungkin adalah sekerat dua yang akan menjawab kerana mahu berjuang untuk agama, bangsa dan negara.



Inilah realitinya hari ini.

Cari peluang perniagaan, masuk Umno. Cari duit dan kekayaan, masuk Umno. Cari kontrak dan mahu tender, masuk Umno. Hatta nak pastikan anak dapat biasiswa, nak mudah pinjam pinggan-mangkuk KEMAS untuk kenduri-kendara, hendak bantuan PPRT, hendak baja subsidi, hendak peluang dapat rumah kos murah, hendak peluang melancong percuma, semuanya maka kena masuk Umno!

Kerana itulah jumlah yang masuk Umno untuk memperjuangkan dengan ikhlas dan jujur nasib agama, bangsa dan negara semakin hari semakin kecil. Ataupun barangkali sudah sampai keperingkat hampir pupus, macam badak sumbu Sumatera dan harimau Malaya.

Oleh itu saya tidak hairan apabila MB Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri terpaksa merayu supaya ahli Umno tidak meletakkan tanda harga (price tag)dalam perjuangan mereka. UTUSAN melaporkan:

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan meminta ahli UMNO supaya tidak meletakkan tanda harga bagi setiap perjuangan dalam parti.

Kata Mohammad lagi:

Kalau kita letak tanda harga pada perjuangan maknanya kita berada dalam landasan yang salah. Tugas UMNO ialah memastikan orang Melayu bersedia menghadapi situasi untuk menjadi negara maju kelak

Masalahnya ahli Umno telah diajar oleh pimpinannya sedemikian rupa sejak zaman berzaman. Buat kerja minta upah, hadir mesyuarat minta upah (jika tidak mesyuarat tak cukup korum), jadi perwakilan minta upah dan akhirnya mengundi pemimpin si anu dan si anu juga minta upah.

Kerana itu kita tidak hairan dalam kes pilihanraya kecil Pengkalan Pasir, Kelantan contohnya, ahli-ahli Umno akan berderu-deru turun ke sana dari segenap pelusuk negara untuk membantu jentera BN Kelantan kerana masing-masing telah digula-gulakan dengan upah dan habuan.

Kerana itu ada seorang sahabat membuat jenaka, katanya kiranya ditakdirkan Allah swt lebatlah hujan semasa hari mengundi nanti pada 6 Disember, kemungkinan besar PAS akan menang. Saya tanya, kenapa?

Kata beliau kerana jentera PAS bertugas ikhlas, mereka terlatih dan diikat dengan disiplin agama, jangankan hujan air, hujan batu pun mereka pasti akan meredahnya tanpa banyak soal bicara. Manakala jentera Umno, kata sahabat tadi, samada yang tua, puteri, pemuda, putera ataupun wanita, turun sahaja hujan, soalan pertama yang akan dimuntahkan dari mulut masing-masing adalah: Berapa upah untuk meredah hujan ini?

Oleh itu pesanan kepada jentera Umno, eloklah sediakan tanda harga untuk bertugas dalam hujan, kerana ramalan keadaan cuaca menjangkakan 6 Disember kawasan Pasir Mas akan hujan lebat.

Sunday, November 20, 2005

Isu transeksual mula mencabar martabat Islam

Saya mula membaca berkenaan insiden yang melibatkan si transeksual (manusia yang dilahirkan lelaki tetapi mempunyai keinginan wanita, dalam kes ini telah pun menjalani pembedahan tukar jantina) ini semalam dalam laman Malaysiakini dan hari ini ianya turut dilaporkan oleh SUNDAY STAR, dan wakil rakyat DAP Theresa Kok kelihatan memberikan sokongan politik.

Menurut kisahnya si transeksual ini telah ditahan oleh pihak polis di sebuah hotel di Ipoh atas tuduhan melacur. Beliau kemudiannya dibebaskan dan telah membuat laporan polis kerana menuduh pihak polis yang menahannya itu telah mencabul kehormatannya dengan memaksa beliau berbogel di hadapan anggota lelaki ketika ditahan.

Sudah tentulah tindakan pihak polis itu jika benar, adalah keterlaluan dan perlu diambil tindakan. Walaubagaimanapun tujuan saya mengemukakan isu ini bukannya mahu membahaskan isu dari perspektif tersebut. Masalahnya di sini adalah apabila kita perhatikan identiti si transeksual tadi dan lain-lain berhubung dengan diri beliau.

Namanya pada kad pengenalan adalah Abdul Malik Theen Mohamad walaupun beliau menggelar dirinya Mumtaz. Mumtaz yang berumur 24 tahun ini yang telah menjalani pembedahan tukar jantina di Thailand mendakwa telah berkahwin dengan suaminya A. Ravichandran, 28 menurut adat tradisi di India.

Saya bersimpati dengan masalah beliau berhubung pengalamannya ketika dalam tahanan tapi soalnya, berdasarkan nama yang diberikan sah Mumtaz ini adalah seorang Muslim. Si Muslim ini telah menukar jantina dan berkhawin dengan A. Ravichandran yang saya pasti adalah seorang Hindu. Cuba kita lihat wajah Mumtaz ini, saya kira berdasarkan tanda di wajah beliau, Mumtaz juga sudah barangkali mengikut agama suaminya itu.


gambar dari Malaysiakini

Apakah status Mumtaz ini? Pihak berkuasa agama Islam tidak boleh bisu mendiamkan diri dalam hal ini dan sebaliknya bertanggungjawab untuk menyiasat dan mengambil apa-apa langkah dan tindakan perlu.

Ini isu melibatkan seorang Muslim yang telah bukan sahaja menukar jantina malah turut menukar agamanya, murtad, nauzubillah.

Memang tindakan perlu diambil terhadap pihak polis jika benar telah mencabul kehormatannya, namun pihak berkuasa agama Islam juga perlu bertindak dan tidak berdiam diri demi memelihara nama baik agama. Ini bukan kes melibatkan Mumtaz seorang sahaja, saya yakin jika ianya didiamkan dan tidak segera ditangani pasti akan lahir dan muncul berpuluh-puluh Mumtaz lagi, lalu dimanakah nanti letaknya maruah dan kesucian Islam yang selama ini kita pertahankan?
Tabik hormat kepada Chif Inspektor Sazalee Adam

Akhbar NST hari ini di muka 9 (sepatutnya letak di muka depan) membawa tajuk:

Policeman says no to RM50,000
Anggota polis mengatakan tidak kepada RM50,000

Menurut laporannya pada hari Ahad lepas pihak polis Bukit Mertajam telah memberkas seorang ketua gangster tempatan yang di beri nama AH THOK.


SAYA ANTI RASUAH

Ah Thok ini yang juga dikenali dengan nama jolokkan MR HIGH TECH adalah taukeh mesin-mesin judi haram tempatan. Beliau dikenelai ramai dengan sering mengenakan jam berjenama mahal dan beliau telah selama hampir dua tahun berjaya melepaskan dirinya dari jaringan pihak polis. Yang bahayanya si Ah Thok ini sering mendabik dada bahawa pihak polis semuanya berada dalam kocek beliau!

Lalu pihak polis akhirnya diketuai Cif Inspektor Sazalee telah berjaya memberkas beliau. Semasa dalam tangan Sazalee si gangster ini dengan berani menawarkan RM20,000 kepada Sazalee agar membebaskan beliau. Angka tersebut kemudiannya dinaikkan sehingga RM50,000 namun Sazalee menolaknya sehingga Ah Thok dikhabarkan menangis terisak-isak.

Sudah pastilah bagi seorang berjawatan Cif Inspektor jumlah RM50,000 itu adalah satu angka yang besar. Barangkali bersamaan dengan dua tahun gaji beliau, namun Alhmadulillah Sazalee lebih mementingkan maruah dan harga diri serta tugas dan tanggungjawabnya kepada negara, berbanding dengan wang haram yang akan mengakibatkan beliau dilaknat dunia dan akhirat.

Syabas Cif Inspektor Sazalee dan mudah-mudahan akan lahir lebih ramai lagi anggota polis yang seumpama beliau.

Walaubagaimanapun satu perkara yang perlu diberi perhatian serius lanjutan dari kes ini adalah adanya usaha ahli-ahli politik tertentu yang telah mebuat panggilan kepada pegawai polis tertentu yang memohan agar si samseng besar Ah Thok ini dibebaskan sebagaimana dilaporkan oleh NST!

Ahli politik berkenaan perlu didedahkan, disiasat dan didakwa. Kalau Sazalee yang memberkas beliau pun cuba disogok dengan RM50,000 saya yakin ahli politik berkenaan turut menerima sogokkan dan perlu dihumban ke dalam penjara sahaja bersebelahan Ah Thok.

Diharapkan pihak polis dan mana-mana sahaja pihak yang terlibat akan segera mengambil tindakan terhadap ahli politik pengkhianat ini. Jangan sembunyikan dari pengetahuan awam. Mereka yang seumpama inilah yang selalu memberi nama buruk kepada pihak polis.

Saturday, November 19, 2005

Najib menyogok:
Dimanakah duduk Akta Kesalahan Pilihanraya?

Semalam, Timbalan Presiden Umno yang juga TPM dalam satu majlis penyampaian sumbangan sara hidup hari raya kepada bekas tentera anjuran Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) di Sekolah Kebangsaan Mekasar di Kasa, Pasir Mas, telah mengeluarkan beberapa kenyataan yang saya kira perlu diberi perhatian.



Sebagaimana kita maklum pihak SPR telah pun mengisytiharkan tarikh penamaan calon untuk DUN N12 Pengakalan Pasir adalah pada 27 November ini dan sekiranya terdapat pertandingan 6 Disember telah diputuskan sebagai hari mengundi untuk DUN tersebut. Bermakna DUN Pengkalan Pasir, di Pasir Mas, Kelantan kini dalam suasana pilihanraya.

Adakah kenyataan yang dibuat Najib itu termasuk dalam kesalahn pilihnaraya?

Dalam majlis itu Najib antara lain telah berjanji (sebagaimana dilaporkan oleh The STAR hari ini):

Besides a university the coalition (BN) plans to eradicate poverty, set up successful agriculture ventures and address the plight of smallholders. (Selain universiti BN merancang untuk membasmi kemiskinan, mewujudkan peluang-peluang di sector pertanian dan menangani masalah para pekebun kecil)

There would also be moves to lure small and medium sized industries to spark more growth in the sector. (Langkah-langkah merangsang industri kecil dans ederhana juga akan dilakukan untuk mencetuskan pertumbuhan disektor tersebut).

Segala janji yang dimaksdukan walaubagaimanapun sebagaimana yang dinyatakan Najib sendiri adalah bersyarat iaitu:

Voters have a choice to either opt for a status quo or to signal a change by voting for the Barisan. (para pengundi mempunyai pilihan samada mahu mengekalkan staus quo yang ada (iaitu mengundi PAS) ataupun memberikan isyarat dengan mengundi BN).

Tidakkah gula-gula dan pelawaan ini merupakan suatu dorongan yang jelas merupakan suatu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihnaraya 1954? Lebih jelas lagi sila perhatikan pula laporan BERNAMA mengenai majlis yang sama:

Beliau berkata kerajaan BN begitu komited untuk membangunkan Kelantan yang kini jauh ketinggalan dan BERJANJI nasib penduduk negeri ini akan terus terbela jika BN memerintah.

Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 itu menyebut:

Penyogokan:

10. Orang-orang yang berikut hendaklah disifatkan sebagai bersalah atas kesalahan menyogok:

(a) tiap-tiap orang yang, sebelum, semasa atau selepas sesuatu pilihan raya, secara langsung atau tidak langsung, dengan sendiri atau melalui mana-mana orang lain bagi pihaknya, memberi meminjamkan atau bersetuju untuk memberi atau meminjamkan, atau menawarkan, menjanjikan, atau berjanji akan mendapatkan atau akan berusaha untuk mendapatkan, apa- apa wang atau balasan bernilai kepada atau untuk mana-mana pemilih atau pengundi, atau kepada atau untuk mana-mana orang bagi pihak mana-mana pemilih atau pengundi atau kepada atau untuk manamana orang lain, bagi mendorong mana-mana pemilih atau pengundi, atau yang secara rasuah melakukan apa-apa perbuatan yang disebut terdahulu oleh sebab pemilih atau pengundi itu telah mengundi atau tidak mengundi dalam mana-mana pilihan raya;

Pihak SPR yang sepatutnya bertugas dan bertanggungjawab memastikan yang sebarang pilihanraya di Malaysia diurus dan dijalankan dengan seadil dan setelus-telusnya perlulah memastikan yang ianya suatu badan yang berwibawa dan berkemampuan menjalankan tugasnya dengan memandang serius perkembangan ini.

Belum pun penamaan calon bermula pimpinan Umno sudah mula menaburkan gula-gula dan janji-janji manis. Rakyat diancam dengan momokkan dan tohmahan agar tidak mengundi PAS.

Tidakkah aneh nanti dilihat Malaysia sebagai sebuah negara yang kononnya ghairah mengejar status kemajuan, namun pemimpinnya yang cemerlang,gemilang dan terbilang itu boleh sahaja melanggar dan menyondol sehingga terlentang dan terlingkup ke bumi prinsip demokrasi dan keadilan yang sepatutnya merupakan asas tunjang sebuah negara maju!

Inilah hakikatnya, inilah realitinya, siapakah lagi yang berkuasa memperbetulkan keadaan celaru dan kucar-kacir ini jika tidak rakyat sendiri dengan bantuan dan pertolongan Allah swt. Mengundilah dengan penuh bijaksana, insyallah.

Friday, November 18, 2005

Khairy mahu ajar orang Kelantan memilih pemimpin

Berikut adalah petikan akhbar UTUSAN hari ini di bawah tajuk, Khairy minta pemuda kerja keras:

Pergerakan Pemuda UMNO diminta bekerja keras untuk menawan kerusi Dewan Undangan Negeri Kecil (DUN) Pengkalan Pasir bagi dijadikan pemangkin untuk menguasai semula pemerintahan Kelantan.

Naib Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, perubahan perlu dilakukan demi kepentingan masa depan rakyat.

Beliau berkata, menjadi tugas pihaknya untuk membantu rakyat negeri berkenaan mengubah nasib mereka yang sekian lama dinafikan kepimpinan berwibawa di bawah pemerintahan pembangkang.

Ia merupakan langkah pertama kita untuk menawan kembali negeri ini yang sudah lama rakyat dan umat Islam di Kelantan dinafikan kepemimpinan berwibawa di bawah pemerintahan PAS.

Bagi saya selain melihatkan keangkuhannya Khairy turut mahu merendah-rendahkan daya berfikir dan membuat keputusan rakyat Kelantan. Kenyataan ini merupakan satu penghinaan kepada hak rakyat Kelantan dalam memilih dan menobatkan kepimpinan mereka sendiri diperingkat negeri.

Pada tahun 1990 rakyat Kelantan telah memberi mandat menerusi proses demokrasi menaikkan kerajaan negeri baru menggantikan kerajaan Umno dan BN yang mereka kira sudah tidak berwibawa lagi. Mandat ini diperbaharui pada tahun 1995, 1999 dan terbaru pada tahun 2004 lalu.

Benarkah statement Khairy mengatakan rakyat Kelantan kini dinafikan kepimpinan yang berwibawa?

Kelantan kini dipimpin oleh seorang tokoh ulamak yang disegani ramai, ilmunya diiktiraf dan diperakui oleh kawan dan lawan iaitu Tok Guru Nik Aziz. Tidak rasuah, tidak mengamalkan kronisma dan nepotisma, tak tipu duit rakyat, tak seleweng wang rakyat termiskin, bersih, ikhlas, disenangi rakyat ringkasnya tak keterlaluanlah kalau dikatakan beliau satu-satunya MB Kelantan yang terbaik dalam sejarah!

Tiba-tiba dari Seremban Khairy melalak mengatakan yang rakyat Kelantan perlu mengubah nasib dan perlu menaikkan pimpinan yang berwibawa. Siapakah pimpinan yang dimaksudkan Khairy itu?

Annuar Musa, Mustapa?

Sedangkan kedua-dua tokoh ini diketahui umum tidak boleh duduk bersama sebumbung. Nama Annuar dan Mustapa kedua-duanya naik dalam kes skandal PPRT yang telah melihatkan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar Bandar yang didapati bersalah dan dipenjarakan 5 tahun.
Dimanakah letak baiknya mereka kalau nak dibandingkan dengan Tok Guru?

Kini selaku Ketua Perhubungan Umno Kelantan da Ketua Pembangkang, siapa tidak kenal karekter Annuar Musa?

Bila marah dengan tindak-tanduk Al Sultan Kelantan dahulu kerana cenderung kepada Ku Li ketika Ku Li bersama dalam kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah, Annuar sanggup dan tergamak menabalkan Sultan baru!


dari Laman Marhaen

Bila kalah dalam PRU terdahulu beliau sanggup menyalahkan Presiden parti (ketika itu Dr M) sebagai salah satu faktor yang mengakibatkan rakyat menolak Umno. Rakyat tidak senang dengan Mahathir katanya, bukan beliau.

Bila terpacul kes PPRT Annuar pantas menuding jari kepada si anu dan si anu (ketika pendedahan awal dibuat oleh Dato Azmi dan kemudiannya Dollah Kok Lanas). Orang keliling-kelalangnya semua bersalah tetapi beliau tidak. Akhirnya Dr Aziz yang ramai kenali sebagai bersih dan jujur itu memikul hukuman penjara ankara karenah Annuar.

Bila disahkan tewas dalam PRU 2004 lalu, Annuar sungguh tidak puas hati. Terlepaslah peluang beliau untuk jadi MB. Lalu tanpa segan dan malu (sebagaimana didedahkan oleh Mohd Sayuti Osman) beliau telah meminang Tok Guru untuk menubuhkan kerajaan campuran. Sekurang-kurangnya tak boleh jadi MB melalui kerajaan campuran ini beliau bolehlah dinobatkan sebagai TMB. Annuar keciwa dan malu bila pinangan beliau itu ditolak mentah-mentah oleh Tok Guru!

Jadi dimanakah letaknya kewibawaan pimpinan Umno Kelantan kalau nak dibandingkan dengan Tok Guru dan rakan-rakan dalam kerajaan negeri?

Khairy tak perlulah menabur fitnah,mereka-reka cerita, kerana rakyat tahu,Khairy ada agenda tersendiri. Bagi Khairy pilihanraya kecil ini adalah SPRINGBOARD bagi beliau untuk melonjakkan dirinya ke atas singgahsana Umno.

Saya memetik nukilan Jeff Ooi di dalam BLOG nya Screenshots bersekali dengan gambar petikannya (anda boleh bersetuju atau tidak bersetuju):

Under the glaring lenses of the cameras, the PMs son in law Khairuddin Jamaluddin, a.k.a. Khairy, is portrayed as a media savvy person who will not shy away from any photo opportunity not even during such occasions as a solemn funeral or a live event after a death.

During the funeral for his mother in law, live TV telecast shows Khairy taking the stunning plunge into Endons grave to help in laying out the body and covering it with eart. While it wins the admiration of the makciks who approved of his filial affiliation, some senior editors and journalists, I was told, burst into laughters watching the live images beaming into their newsroom TV sets.

Another death took place in Kelantan recently, the demise of state assemblyman Wan Abdul Aziz Wan Jaafar (PAS: Pengkalan Pasir), and a by-election will be called on December 6.
Last week, we saw Khairy parachuted into Kelantan for his campaigning work. This is the pictute which appeared in The Star (Nov 9, Pg 10).


Perhatikan, masyallah betapa intimnya Khairy dengan masyarakat warga emas, tak cukup dengan itu, perhatikanlah biji-biji tasbih di pergelenan tangan kanannya (cukup untuk dirakamkam oleh kamera), aduhai baik dan waraknya anak muda ini.


dari BLOG Screenshots

Kesimpulannya, meminjam kata-kata Pak Ali dalam filem Madu Tiga (arahan P. Ramlee):

Baik, baik ada makna tu!

Thursday, November 17, 2005


RTM: Rugi terus merudum

Untuk kesekian kalinya sebagaimana diduga Radio Televisyen Malaysia (RTM) menghadapi kerugian lagi. Demikian menurut Timbalan Menteri Penerangan Zainuddin Maidin di Dewan Rakyat siang tadi

Walaupun pendapatan iklan di radionya naik 18.5 peratus namun pendapatan di TV1 dan 2 merosot sebanyak 9 peratus iaitu dari RM75.9 juta bagi tempoh 10 bulan pertama tahun 2004 ke hanya RM60 juta bagi tempoh yang sama than ini.

Nampaknya walaupun Zainuddin dan rakan-rakan bersungguh memeperkenalkan penjanamaan semula bagi RTM namun sambutan terhadapnya tetap dingin.

Apalah lagi sebenarnya mahu diharap dari siaran TV1 dan 2? Siaran-siarannya dari hari ke hari lebih merupakan suara resmi Umno BN semata-mata. Segala isu yang diketengahkan atau yang dipaparkan hanya sadurkan dengan pandangan dan pendirian Umno BN sahaja. Suara dan pandangan pihak yang selain itu semuanya digugur dan disekat.

Kerana itu rakyat lebih cenderung kepada TV3, NTV7 dan 8TV bagi bagi mendapatkan berita dan maklumat berkenaan isu-isu tempatan. Walaupun siaran-siaran ini juga tidaklah sebebas mana namun ada juga diselitkan sini-sana pandangan dan luahan hati pihak ketiga.

Contohnya kalau keluarlah wajah Tok Guru Nik Aziz ataupun Lim Kit Siang ataupun Dr Wan Azizah, sekurang-kurangnya walaupun sekejap keluarlah juga wajah dengan suara-suaranya sekali. Ini sudah pasti sukar malah hamper mustahil diperolehi di RTM!

Demikianlah juga siaran rencana, hiburan, siri agama dan lain-lain. Di RTM khasnya di TV1 dan 2, semua yang disebutkan itu hambar dan boring-boring belaka.

Kerana itulah kadangkala ada orang dengan sinis mengaitkan RTM itu dengan Radio TV Mengampu, Rancangan tiada manfaat, Riuh tak menentu dan macam-macam lagi. Sekali-sekala kita fikir-fikir memang ada juga betul rasanya telahan itu.
Skandal PPRT: Yang sangkut satu yang lepas tiga

Maka akan merengkoklah di penjara bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar Dr Abdul Aziz Muhammad selama 5 tahun. Ini berikutan hukuman yang dijatuhkan oleh hakim mahkamah sesyen Mohd Zaki Abd Wahab, setelah mendapati Dr Aziz bersalah di atas tuduhan bersubahat pecah amanah dan penipuan melibatkan RM9 juta dana milik Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) semalam.

Dr. Aziz dilaporkan kini diikat jamin sementara menungu rayuan di mahkamah yang lebih tinggi.


Cuma yang belum didapati bersalah adalah:

1) Dato Alwi Mohd Said, yang ketika itu Pengurus Besar KETENGAH Semasa membacakan keputusannya hakim Mohd Zaki sebagaimana dilaporkan oleh BERNAMA ada mengatakan:

Jikapun wang ini menjadi pinjaman kepada TPIF (Tasik Puteri Integrated Farm Sdn Bhd), saya dapati Alwi mahupun Abdul Aziz tidak mempunyai kuasa untuk memberi pinjaman tersebut dan jika wang itu diberikan oleh Alwi kepada TPIF sebagai pinjaman, Alwi juga telah melakukan pecah amanah jenayah dan adalah jelas pecah amanah jenayah ini hanya boleh dilakukan oleh Alwi dengan persubahatan tertuduh dan Ooi Kee Siang.

Pertuduhan dalam kes ini berbunyi bahawa Dr Aziz didakwa bersama-sama seorang jutawan Ooi Kee Siang (masih bebas) bersubahat Datuk Alwi Said, 57, melakukan pecah amanah dana Ketengah RM2 juta antara 27 April dan 31 Julai 1999 di Kompleks Kewangan, Jalan Raja Chulan, di sini.

Namun Alwi lepas, bebas.

2) YB Dato Annuar Musa, yang ketika itu Menteri Pembangunan Luar.

Mustahil seorang menteri yang sehandal Annuar boleh tidak tahu-menahu darihal perjalanan dalam kementeriannya terutama yang membabitkan KSU nya sendiri. Bekas AP Kok Lanas, Dato Abdullah Ahmad pernah menulis membabitkan Annuar dalam kes PPRT ini.

Annuar juga berkebetulan rapat dengan seorang lagi tertuduh iaitu Ooi Kee Siang yang sehingga ini ghaib tak dapat dikesan oleh pihak polis. Intimnya Annuar dengan Ooi sehingga boleh membeli kereta Mercedes milik Ooi WCE 1.

Namun Annuar lepas, bebas.

3) YB Dato Mustapa Mohamed yang ketika itu Menteri Kewangan II

Dr Aziz dituduh menipu Mustapa supaya mempercayai bahawa cadangan pelaburan Ketengah dalam projek tanaman orkid, ternakan ikan dan kemudahan rekreasi di Tasik Puteri, Bukit Besi, Dungun, Terengganu berdaya maju.

Penipuan itu didakwa dilakukannya melalui surat-surat permohonan persetujuan pelaburan Ketengah sebanyak RM9 juta dalam syarikat Tasik Puteri Integrated Farm Sdn Bhd, dengan menyembunyikan beberapa fakta.Mengikut kertas pertuduhan, Abdul Aziz telah dengan curangnya mendorong Mustapa memberikan persetujuan kepada permohonan tersebut di Kementerian Kewangan, Kompleks Pejabat-Pejabat Kerajaan, Jalan Duta di sini antara 24 Jun dan 9 Ogos 1999.

Mustahil seorang pakar ekonomi dan kewangan sehebat Mustapa boleh mudah tertipu begitu sahaja. Lemahlah kerajaan kalau menteri-menteri kabinet begitu mudah dikoyok. Ini bukan menteri dari negara mundur yang tidak berpelajaran, ini menteri Malaysia Boleh yang kelayakannya cemerlang, gemilang dan terbilang. (walaupun ada pihak mengatakan Mustapa melakukan ini semua sebenarnya untuk memerangkap Annuar, biasalah perbalahan dan cantas mencantas Umno Kelantan)

Bila agaknya giliran mereka bertiga?

Alwi kini Bendahari Umno Dungun serta juga orang kuat MB Terengganu yang dilantik Pengarah Eksekutif TDM Berhad, sebuah anak syarikat kerajaan Terengganu.

Annuar pula kini MB menungu di Kelantan (menunggu entah sampai bila), Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan dan Ketua Pembangkang DUN Kelantan, yang dikatakan cekap dan bijaksana.

Mustapa kini Menteri di JPM dan ahli MTEN, orang kuat Pak Lah, dan pakar ekonomi dalam Umno.

Patutlah ketiga-tiganya lepas begitu sahaja! Sementara itu pengundi di Pengakalan Pasir kalau mahu ke tempat mengundi nanti bolehlah tumpang naik kereta mewah WCE 1 milik Annuar tu.

Wednesday, November 16, 2005


Mengekalkan Kepimpinan Ulamak:
Antara realiti dan kekeliruan Umno

Salah satu slogan yang PAS Kelantan gunakan untuk menghadapi pilihanraya kecil N12 Pengkalan Pasir yang sedang rancak kini adalah Mengekalkan Kepimpinan Ulamak.

Penggunaan slogan bagi parti-parti politik adalah sesuatu yang lumrah terutama semasa menghadapi pilihanraya seumpama ini. Umno sendiri dijangka akan menjulang dan menjaja slogan Islam Hadharinya serta Cemerlang, Gemilang dan Terbilang yang pernah membawa kejayaan kepadanya pada pilihanraya umum 2004 yang lalu.

Mengapa PAS menggunakan slogan ini?

Mengapa tidak, kerana Kelantanlah satu-satunya kerjaan negeri dalam Persekutuan Malaysia yang dipimpin oleh regu ulamak, iaitu Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz Nik Mat selaku MB dan Ustaz Hj Ahmad Hj Yaakob selaku Timbalan MB. Memenangkan calon PAS di N12 sudah tentulah bermakna mengekalkan kepimpinan ulamak di negeri Serambi Mekah itu.

Tambahan pula PAS Kelantan juga menggunakan slogan ini kerana PAS itu sendiri adalah dipimpin oleh Ulamak. Selain Presiden dan Timbalannya yang merupakan ulamak belaka, parti itu sendiri mendaulatkan Majlis Syuranya yang terdiri dari para ulamak semuanya sebagai badan rujukan yang tertinggi dalam parti malah berkebetulan ketua majlis syura ini yang bergelar Mursyidul Am PAS adalah MB Kelantan sendiri.

Oleh itu salahkah PAS Kelantan menggunakan slogan tersebut?

Tiba-tiba Ketua Penerangan Umno Kelantan Md Alwi Che Ahmad sesedap mulut mendakwa bahawa slogan PAS itu mengelirukan para pengundi di Pengakalan Pasir. Beliau tanpa usul-periksa berhujah bahawa ianya mengelirukan kerana pada muktamar PAS yang lalu para perwakilan PAS telah mengenepikan calon-calon ulamak dan sebaliknya menaikkan golongan teknokrat dan profesional. Contohnya Nasharuddin Mat Isa telah dinaikkan dengan menjatuhkan Ustaz Hassan Shukri seorang tokoh ulamak veteran.

Malu rasanya seorang Ketua Penerangan negeri sebuah parti Melayu yang kononnya terbesar di dunia, boleh tanpa segan-silu mengutarakan sesuatu yang salah faktanya dan menerima pula publisiti besar-besaran oleh akhbar saluran perdana. (Akhbar The STAR memberi tajuk besar dimuka 16 Clarify slogan Umno tells PAS dengan gambar warna Ketua Penerangan Kelantan yang salah fakta itu)

Untuk makluman Alwi dan mereka yang buta maklumat seperti beliau, Nasharuddin Mat Isa adalah seorang ulamak lulusan Universiti Jordan dengan Ijazah Sarjana Muda Syariah dan UIA dengan Ijazah Sarjana Undang-undang.

Ketua penerangan yang buta maklumat umpama Alwi inilah yang sebenarnya mengeliru dan menserabutkan fikiran dan pemahaman rakyat Kelantan terutama di Pengkalan Pasir.

PAS sememangnya layak dan padan menggunakan slogan ini kerana itulah realitinya dalam parti tersebut dan itulah realitinya di Kelantan.

Biarlah Ketua Penerangan Kelantan itu terjun dengan labu-labunya, bagi rakyat para pengundi di Pengkalan Pasir, samada PAS ataupun Umno, BA ataupun BN, berparti atau tidak berparti, keluarlah berama-ramai mempertahankan kepimpinan ulamak di negeri anda. Seluruh dunia Islam dewasa ini tahu dan mengiktiraf kepimpinan Tok Guru MB anda dan kerajaan Islamnya, jangan menghampakan mereka dan kami semua.

Tuesday, November 15, 2005

Tudungkan sahaja kepala Sisters in Islam

Dalam artikel saya di BLOG ini pada hari Ahad lalu yang bertajuk: Isu tudung, Perkara hukum turut dibahaskan orang bukan Islam, saya mempertikaikan mengapa pihak berkuasa agama dari sekanan-kanan Menteri di JPM, Pengerusi Majlis Fatwa, JAKIM, para Mufti atau Jabatan-jabatan Agama tidak bersuara bagi menghentikan kekaburan masyarakat yang jahil yang memperbahaskan isu hukum yang jelas dan terang dalam Islam.



Hukum yang dimaksudkan adalah hukum menutup aurat (bertudung) bagi wanita Islam yang baligh. Perkara ini menjadi polemik panjang-lebar apabila tidak ada pihak yang memiliki wibawa di sebelah kerajaan yang berani bersuara dan menyatakan kebenaran yang sebenar.

Lalu bersuaralah mereka-mereka yang jahil bukan sekadar masyarakat bukan Islam yang tidak mengerti, malahan termasuklah masyarakat Islam sendiri yang kononnya merasakan diri mereka layak berhujah bab hukum, setaraf dengan para ulamak yang selama ini kita hormati.

Dalam tulisan saya itu saya ambil contoh apa yang ditulis oleh Shamsul Akmar dalam The STAR yang mempertikaikan pengunaan tudung kepala yang menurut beliau dipaksa-paksa oleh pihak tertentu dari sekolah sehinggalah ke jabatan-jabatan kerajaan.

Dan hari ini sebagaimana dijangka Shamsul sememangnya bukan keseorangan dalam hal ini. Hari ini dalam ruangan surat dari pembaca akhbar The STAR pihak SISTERS IN ISLAM pun tidak mahu ketinggalan berkokok. Mereka beranggapan tudung ataupun headscarf ini adalah A PERSONAL CHOICE, suatu pilihan peribadi. Dalam erti kata lain, kalau mahu pakai tak mengapa kalau tak mahu pun tak mengapa.

Bermakna yang pakai pun sekadar suka-suka pakai dan yang tidak pun sekadar suka-suka tidak pakai, ianya tidak ada kena mengena dengan perintah Allah swt! Saya berani beranggapan demikian kerana mereka menulis:

In fact the act of covering ones hair is certainly an act of religious observation for MANY Muslim women. (Sebenarnya tindakan menutup rambut seperti ini adalah tindakan mematuhi peraturan agama, iaitu untuk KEBANYAKAN wanita Muslim).

Kata mereka lagi:

The point here is that to cover or not to cover ones head remains the sovereign choice of an individual, not any external human authority under any pretext. (Apa yang mahu ditekankan di sini adalah bahawa samada seseorang itu menutup ataupun tidak kepalanya, tindakan itu merupakan hak dan pilihan seseorang itu , dan bukannya mana-mana kuasa manusia apa sekalipun).

Dan seperti biasa pihak SIS berselindung disebalik nas al Quran surah al Baqarah: 256:

Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam).

Sedangkan ayat tersebut sepenuhnya berbunyi:

Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Dan sedangkan hukum bertudung ini jelas di dalam Al Quran surah an Nur: 31 dan surah al Ahzab:59.

Diperingkat ini sekali lagi kita hairan mengapa pihak berkuasa agama diam membisu. Pihak SIS ini sewenang-wenangnya membuat penafsiran dan hukum dengan menggunakan nama ataupun label Islam dan lazimnya mereka bebas dan senang berbuat apa sahaja.

Saya percaya masyarakat Islam yang bertudung bukan sekadar Muslimat PAS, tetapi termasuklah Wanita dan Puteri Umno, isteri-isteri menteri, menteri besar, kerabat-kerabat di Raja, mereka yang tidak memihak ke mana-mana, anak-anak remaja, para siswi, anak-anak sekolah yang semuanya berpakaian sedemikian kerana faham, akur dan mematuhi perintah Allah swt, bukan kerana pilihan atau paksaan.

Malah saya yakin sebahagian mereka yang memilih untuk tidak berpakaian sedemikian pun jauh dilubuk hati masing-masing reti dan tahu bahawa ini merupakan perintah Allah, dan tidak berani menokok-tambah apa yang telah pasti (cumanya belum diberi hidayah untuk melaksanakan perintah tersebut).

Mengapa kita izinkan agama kita dipermain dan diseleweng-selewengkan di depan mata-kepala kita sedangkan kita masih hidup dan bernyawa di muka bumi Allah swt ini? Namun kerana negara kita mempunyai undang-undang dan peraturan sepatutnya mereka yang diberi amanah, mereka inilah yang perlu bersuara dan memperbetulkan keadaan, atau barangkali mereka sendiri pun kini sudah ragu dan tidak lagi takut pada Allah swt tetapi lebih gerun dan bimbang kepada manusia yang berkuasa?!

Ingatlah Allah swt berfirman dalam surah al Jathiyah: 18 ke 20 yang bermaksud:

Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum ugama; maka turutlah Syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).

Sesungguhnya mereka tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkanmu sedikitpun dari (azab) Allah (kalau engkau menurut mereka); dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu setengahnya menjadi penolong dan penyokong bagi setengahnya yang lain (dalam perkara yang salah); dan (sebaliknya) Allah menjadi penolong dan pelindung bagi orang-orang yang bertaqwa (yang engkaulah pemimpinnya).

Al-Quran ini menjadi panduan-panduan yang membuka matahati manusia, dan menjadi hidayah petunjuk serta membawa rahmat bagi kaum yang meyakini (kebenarannya).


Wallahualam.
MAS rugi angkara siapa?

Penerbangan Malaysia MAS sedang berada dalam keadaan tenat.

Dalam sessi soal jawab di Dewan Rakyat semalam Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan Hilmi Yahya berkata MAS menanggung kerugian sebelum cukai sebanyak RM274.9 juta ataupun RM280.7 juta selepas cukai bagi suku tahun pertama 2005, walaupun sebelum ini bagi 3 tahun berturut-turut sejak 2002 ia telah mencatatkan keuntungan.

Sehari sebelum itu akhbar-akhbar tempatan melaporkan bahawa pihak pengurusan MAS sedang berura-ura untuk memotong sekitar 15 ke 30 peratus gaji para pengurus dan pengurus kanan syarikat tersebut mulai 1 Disember ini sebagai langkah segera mengawal kos (walaupun ada penganalisa yang berpendapat langkah tersebut tidaklah dapat memberi kesan besar, sedangkan gaji para juruterbang baru sahaja dinaikkan sehingga 25 peratus baru-baru ini).

Menurut Hilmi kerugian tersebut antara lain dikaitkan dengan kenaikkan harga minyak dunia iaitu sehingga 57.7 peratus lebih tinggi dari tahun sebelumnya. Dan sudah pastilah selain faktor tersebut faktor-faktor lain termasuklah yang melibatkan pihak pengurusan dan lembaga pengarah juga perlu diambil kira. (Sedangkan Air Asia yang juga diisi minyak yang sama (bukan minyak sawit) boleh pula mencatat keuntungan)

(Menurut BLOG Jeff Ooi sebuah lukisan bernilai RM1juta, boleh dijumpai terpampang di dinding pejabat pengerusi syarikat yang sedang tenat itu!)

Apa yang menarik perhatian saya adalah respon Hilmi terhadap pandangan Mohamed Aziz dari Sri Gading. MP Sri Gading itu dilaporkan sebagai berkata:

It was an open secret that MAS suppliers were over charging the airline. (Ianya bukan lagi rahsia bahawa para pembekal MAS sebenarnya telah mengenakan caj berlebihan terhadap syarikat penerbangan tersebut).

Hilmi mengulas sebagimana dilaporkan oleh The STAR:

It was public knowledge that FOOD was being supplied to MAS at a high cost. They should look into this. I have asked MAS to take a re look at the contract to ensure they are being reasonably charged.

Ianya sudah menjadi pengetahuan umum bahawa MAKANAN yang dibekalkan kepada MAS diletakkan pada kos yang tinggi. Mereka sepatutnya mengkaji ini. Saya telah pun mengarahkan MAS untuk menyemak semula kontrak berkenaan bagi memastikan yang mereka dikenakan caj yang berpatutan.

Untuk rekod pada hari Pak Lah dilantik menjadi PM menggantikan Tun Dr M, pada hari itulah juga Brahim LSG Sky Chef Holdings Sendirian Berhad telah menandatangani kontrak sebagai pembekal katering penerbangan (in flight catering) untuk semua penerbangan keluar dari KLIA, termasuklah MAS.

Syarikat ini merupakan syarikat JV ataupun usahasama diantara kepentingan Lufthansa (penerbangan Jerman) dan Dewina Holdings Sendirian Berhad. 51 peratus dari saham syarikat ini dimiliki oleh DATUK IBRAHIM HJ AHMAD BADAWI, Sri Gading atau Hilmi kenal tak siapa Ibrahim ini?

Kalau benar sebagaiman dakwaan Hilmi bahawa FOOD was being supplied to MAS at a high cost, sehingga mengakibatkan syarikat penerbangan utama negara kita itu kini kerugian, maka langkah segera perlulah diambil bagi mengatasinya, tak kiralah syarikat pembekal itu milik ADIK PM atau siapa sahaja! Cemerlang, gemilang, terbilang.

Monday, November 14, 2005

Mari berhujah atas isu moral

Akhbar The STAR hari ini melaporkan yang Timbalan Presiden Umno Najib Tun Razak menggesa agar kerajaan PAS Kelantan membubarkan Dewan Undangan Negeri Kelantan kiranya tewas di pilihanraya kecil DUN Pengakalan Pasir 6 Disember ini. Kata beliau mustahil PAS dapat mentadbir negeri tersebut dengan selesa dengan kelebihan cuma 1 kerusi.

Kata beliau:

There was no provision in the constitution to force the Kelantan State Assembly to be dissolved but added that MORALLY, PAS should give the rakyat fresh mandate to choose a government of their choice.

Tidak ada peruntukkan di dalam perlembagaan yang memaksa pembubaran Dewan Undangan Negeri Kelantan, walaubagaimanapun dari segi MORAL, PAS sepatutnya memberikan mandate baru kepada rakyat bagi memilih kerajaan yang mereka mahu.

Bermakna kalau kerajaan PAS terus juga memerintah dengan majoriti 1 kerusi pada pandangan Najib PAS Kelantan tidak bermoral.

Menarik juga bila pemimpin Umno mula bersyarah dan mendendangkan lagu MORAL. Kerana pada persepsi masyarakat ramai biasanya yang tidak ber MORAL itu adalah Umno sendiri. Sekadar renungan berikut saya titipkan beberapa insiden TIDAK BERMORAL Umno untuk tatapan semua pihak. Mungkin senarainya boleh diperpanjangkan lagi.

Pertama:

Mengapa Rafidah Aziz masih Menteri MITI sehingga hari ini? Setelah , ditelanjangkan oleh bekas PM Tun Dr M, dibelasah dalam Perhimpunan Umno, dikerjakan dalam Dewan Rakyat kerajaan Umno BN masih mengekalkan Rafidah sehingga hari ini. Tidakkah tindakan Pak Lah dan Najib ini tidak ber MORAL?

Kedua:

Lembaga Disiplin Umno telah mendapati beberapa pemimpinnya terlibat dalam politik wang termasuklah seorang menteri, beberapa anggota EXCO termasuklah wakil rakyat. Ada yang digantung keahlian, diberi amaran dan seumpamanya. Kesalahan mereka adalah terlibat dalam politik wang iaitu menyogok orang lain untuk mendapatkan kuasa, ringkasnya mengamalkan rasuah. Umno sepatutnya dari segi MORAL melaporkan semua pesalah ini ke BPR untuk diadili pula menurut undang-undang negara. Mengapa tidak?

Ketiga:

Mereka-mereka di atas walaupun ada yang disuruh meletakkan jawatan Menteri dan seumpamanya, namun tidak melepaskan kerusi-kerusi mereka. Contohnya Isa Samad masih lagi seorang ahli parlimen. Dari segi MORAL sepatutnya Isa yang didapati bersalah bergelumang dengan rasuah politik turut dinasihat mengosongkan kerusinya. Mengapa tidak?

Keempat:

Kaum kerabat pemimpin Umno BN terang-terangan terlibat dalam perniagaan yang ada diantaranya terbabit dengan kontrak ataupun kepentingan kerajaan. Dulu orang menuduh Tun Dr M mengamalkan kronisma dan nepotisma, kini ianya sudah menjadi amalan biasa. Sepatutnya dari segi MORAL ahli keluarga Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden dan seluruh pimpinan kanan Umno dan BN tidak terlibat dalam amalan seumpama ini. Bolehkah dari segi MORAL umpamanya syarikat yang menantu PM menjadi salah seorang pengarahnya dibenarkan menganjurkan lawatan misi perniagaan ke negara luar yang turut disertai oleh PM dan menteri-menteri kanannya?

Kelima:

Pengerusi Briged Putera Umno secara terang-terangan dalam satu wawancara mendakwa bahawa beliau berkelulusan MBA dari sebuah universiti di AS. Apabila disiasat didapati bahawa beliau tidak pernah malah tidak layak pun memasuki IPT dengan latar belakang akademiknya yang rendah. Beliau didakwa telah membeli ijazah tersebut. Dari segi MORAL bagaimana Umno boleh membenarkan seorang yang sedemikian rupa memimpin pula anak-anak muda remaja di dalam parti tersebut?

Keenam:

Amalan menyogok dan menggula-gulakan para pengundi semasa PRU atau PR Kecil memang merupakan keistimewaan Umno zaman-berzaman! Malah ianya sedang pun berlaku di Pengkalan Pasir. Jelas tindakan ini tidak ber MORAL mengikut apa standard sekalipun. Termasuklah usaha untuk membeli adun-adun PAS dan semasa PRU lalu membeli calon-calon PAS sebegaimana yang ditangkap terang-terang di Johor.

Banyak lagi isu-isu moral yang lebih besar melibatkan Umno dan BN tidak ditangani dengan sewajar-wajarnya, tiba-tiba Najib dan para pemimpin Umno mahukan kerajaan PAS Kelantan bertindak mengikut moral.

Saya yakin sekiranya kempen PR Kecil di Pengkalan Pasir dapat dijamin dijalankan dengan seadil dan setelus-telusnya insyallah PAS akan dapat bertahan di sana, dan kestabilan kerjaaan PAS Kelantan terjamin.

Kalau ditakdirkan kalah sekalipun isu MORAL tidak berbangkit kerana Najib sendiri akui tiada peruntukkan dalam perlembagaan yang boleh memaksa sesebuah dewan dibubarkan dalam siatuasi sedemikian. Yang jelas terbabit dan terpalit dengan isu MORAL adalah Umno, maka selesaikanlah perkara-perkara moral dalam rumah tangga sendiri sebelum mahu menjenguk dan konon-kononnya membersih rumah tangga orang lain.