Thursday, November 17, 2005

Skandal PPRT: Yang sangkut satu yang lepas tiga

Maka akan merengkoklah di penjara bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar Dr Abdul Aziz Muhammad selama 5 tahun. Ini berikutan hukuman yang dijatuhkan oleh hakim mahkamah sesyen Mohd Zaki Abd Wahab, setelah mendapati Dr Aziz bersalah di atas tuduhan bersubahat pecah amanah dan penipuan melibatkan RM9 juta dana milik Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) semalam.

Dr. Aziz dilaporkan kini diikat jamin sementara menungu rayuan di mahkamah yang lebih tinggi.


Cuma yang belum didapati bersalah adalah:

1) Dato Alwi Mohd Said, yang ketika itu Pengurus Besar KETENGAH Semasa membacakan keputusannya hakim Mohd Zaki sebagaimana dilaporkan oleh BERNAMA ada mengatakan:

Jikapun wang ini menjadi pinjaman kepada TPIF (Tasik Puteri Integrated Farm Sdn Bhd), saya dapati Alwi mahupun Abdul Aziz tidak mempunyai kuasa untuk memberi pinjaman tersebut dan jika wang itu diberikan oleh Alwi kepada TPIF sebagai pinjaman, Alwi juga telah melakukan pecah amanah jenayah dan adalah jelas pecah amanah jenayah ini hanya boleh dilakukan oleh Alwi dengan persubahatan tertuduh dan Ooi Kee Siang.

Pertuduhan dalam kes ini berbunyi bahawa Dr Aziz didakwa bersama-sama seorang jutawan Ooi Kee Siang (masih bebas) bersubahat Datuk Alwi Said, 57, melakukan pecah amanah dana Ketengah RM2 juta antara 27 April dan 31 Julai 1999 di Kompleks Kewangan, Jalan Raja Chulan, di sini.

Namun Alwi lepas, bebas.

2) YB Dato Annuar Musa, yang ketika itu Menteri Pembangunan Luar.

Mustahil seorang menteri yang sehandal Annuar boleh tidak tahu-menahu darihal perjalanan dalam kementeriannya terutama yang membabitkan KSU nya sendiri. Bekas AP Kok Lanas, Dato Abdullah Ahmad pernah menulis membabitkan Annuar dalam kes PPRT ini.

Annuar juga berkebetulan rapat dengan seorang lagi tertuduh iaitu Ooi Kee Siang yang sehingga ini ghaib tak dapat dikesan oleh pihak polis. Intimnya Annuar dengan Ooi sehingga boleh membeli kereta Mercedes milik Ooi WCE 1.

Namun Annuar lepas, bebas.

3) YB Dato Mustapa Mohamed yang ketika itu Menteri Kewangan II

Dr Aziz dituduh menipu Mustapa supaya mempercayai bahawa cadangan pelaburan Ketengah dalam projek tanaman orkid, ternakan ikan dan kemudahan rekreasi di Tasik Puteri, Bukit Besi, Dungun, Terengganu berdaya maju.

Penipuan itu didakwa dilakukannya melalui surat-surat permohonan persetujuan pelaburan Ketengah sebanyak RM9 juta dalam syarikat Tasik Puteri Integrated Farm Sdn Bhd, dengan menyembunyikan beberapa fakta.Mengikut kertas pertuduhan, Abdul Aziz telah dengan curangnya mendorong Mustapa memberikan persetujuan kepada permohonan tersebut di Kementerian Kewangan, Kompleks Pejabat-Pejabat Kerajaan, Jalan Duta di sini antara 24 Jun dan 9 Ogos 1999.

Mustahil seorang pakar ekonomi dan kewangan sehebat Mustapa boleh mudah tertipu begitu sahaja. Lemahlah kerajaan kalau menteri-menteri kabinet begitu mudah dikoyok. Ini bukan menteri dari negara mundur yang tidak berpelajaran, ini menteri Malaysia Boleh yang kelayakannya cemerlang, gemilang dan terbilang. (walaupun ada pihak mengatakan Mustapa melakukan ini semua sebenarnya untuk memerangkap Annuar, biasalah perbalahan dan cantas mencantas Umno Kelantan)

Bila agaknya giliran mereka bertiga?

Alwi kini Bendahari Umno Dungun serta juga orang kuat MB Terengganu yang dilantik Pengarah Eksekutif TDM Berhad, sebuah anak syarikat kerajaan Terengganu.

Annuar pula kini MB menungu di Kelantan (menunggu entah sampai bila), Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan dan Ketua Pembangkang DUN Kelantan, yang dikatakan cekap dan bijaksana.

Mustapa kini Menteri di JPM dan ahli MTEN, orang kuat Pak Lah, dan pakar ekonomi dalam Umno.

Patutlah ketiga-tiganya lepas begitu sahaja! Sementara itu pengundi di Pengakalan Pasir kalau mahu ke tempat mengundi nanti bolehlah tumpang naik kereta mewah WCE 1 milik Annuar tu.

No comments: