Tuesday, November 15, 2005

Tudungkan sahaja kepala Sisters in Islam

Dalam artikel saya di BLOG ini pada hari Ahad lalu yang bertajuk: Isu tudung, Perkara hukum turut dibahaskan orang bukan Islam, saya mempertikaikan mengapa pihak berkuasa agama dari sekanan-kanan Menteri di JPM, Pengerusi Majlis Fatwa, JAKIM, para Mufti atau Jabatan-jabatan Agama tidak bersuara bagi menghentikan kekaburan masyarakat yang jahil yang memperbahaskan isu hukum yang jelas dan terang dalam Islam.



Hukum yang dimaksudkan adalah hukum menutup aurat (bertudung) bagi wanita Islam yang baligh. Perkara ini menjadi polemik panjang-lebar apabila tidak ada pihak yang memiliki wibawa di sebelah kerajaan yang berani bersuara dan menyatakan kebenaran yang sebenar.

Lalu bersuaralah mereka-mereka yang jahil bukan sekadar masyarakat bukan Islam yang tidak mengerti, malahan termasuklah masyarakat Islam sendiri yang kononnya merasakan diri mereka layak berhujah bab hukum, setaraf dengan para ulamak yang selama ini kita hormati.

Dalam tulisan saya itu saya ambil contoh apa yang ditulis oleh Shamsul Akmar dalam The STAR yang mempertikaikan pengunaan tudung kepala yang menurut beliau dipaksa-paksa oleh pihak tertentu dari sekolah sehinggalah ke jabatan-jabatan kerajaan.

Dan hari ini sebagaimana dijangka Shamsul sememangnya bukan keseorangan dalam hal ini. Hari ini dalam ruangan surat dari pembaca akhbar The STAR pihak SISTERS IN ISLAM pun tidak mahu ketinggalan berkokok. Mereka beranggapan tudung ataupun headscarf ini adalah A PERSONAL CHOICE, suatu pilihan peribadi. Dalam erti kata lain, kalau mahu pakai tak mengapa kalau tak mahu pun tak mengapa.

Bermakna yang pakai pun sekadar suka-suka pakai dan yang tidak pun sekadar suka-suka tidak pakai, ianya tidak ada kena mengena dengan perintah Allah swt! Saya berani beranggapan demikian kerana mereka menulis:

In fact the act of covering ones hair is certainly an act of religious observation for MANY Muslim women. (Sebenarnya tindakan menutup rambut seperti ini adalah tindakan mematuhi peraturan agama, iaitu untuk KEBANYAKAN wanita Muslim).

Kata mereka lagi:

The point here is that to cover or not to cover ones head remains the sovereign choice of an individual, not any external human authority under any pretext. (Apa yang mahu ditekankan di sini adalah bahawa samada seseorang itu menutup ataupun tidak kepalanya, tindakan itu merupakan hak dan pilihan seseorang itu , dan bukannya mana-mana kuasa manusia apa sekalipun).

Dan seperti biasa pihak SIS berselindung disebalik nas al Quran surah al Baqarah: 256:

Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam).

Sedangkan ayat tersebut sepenuhnya berbunyi:

Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Dan sedangkan hukum bertudung ini jelas di dalam Al Quran surah an Nur: 31 dan surah al Ahzab:59.

Diperingkat ini sekali lagi kita hairan mengapa pihak berkuasa agama diam membisu. Pihak SIS ini sewenang-wenangnya membuat penafsiran dan hukum dengan menggunakan nama ataupun label Islam dan lazimnya mereka bebas dan senang berbuat apa sahaja.

Saya percaya masyarakat Islam yang bertudung bukan sekadar Muslimat PAS, tetapi termasuklah Wanita dan Puteri Umno, isteri-isteri menteri, menteri besar, kerabat-kerabat di Raja, mereka yang tidak memihak ke mana-mana, anak-anak remaja, para siswi, anak-anak sekolah yang semuanya berpakaian sedemikian kerana faham, akur dan mematuhi perintah Allah swt, bukan kerana pilihan atau paksaan.

Malah saya yakin sebahagian mereka yang memilih untuk tidak berpakaian sedemikian pun jauh dilubuk hati masing-masing reti dan tahu bahawa ini merupakan perintah Allah, dan tidak berani menokok-tambah apa yang telah pasti (cumanya belum diberi hidayah untuk melaksanakan perintah tersebut).

Mengapa kita izinkan agama kita dipermain dan diseleweng-selewengkan di depan mata-kepala kita sedangkan kita masih hidup dan bernyawa di muka bumi Allah swt ini? Namun kerana negara kita mempunyai undang-undang dan peraturan sepatutnya mereka yang diberi amanah, mereka inilah yang perlu bersuara dan memperbetulkan keadaan, atau barangkali mereka sendiri pun kini sudah ragu dan tidak lagi takut pada Allah swt tetapi lebih gerun dan bimbang kepada manusia yang berkuasa?!

Ingatlah Allah swt berfirman dalam surah al Jathiyah: 18 ke 20 yang bermaksud:

Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum ugama; maka turutlah Syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).

Sesungguhnya mereka tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkanmu sedikitpun dari (azab) Allah (kalau engkau menurut mereka); dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu setengahnya menjadi penolong dan penyokong bagi setengahnya yang lain (dalam perkara yang salah); dan (sebaliknya) Allah menjadi penolong dan pelindung bagi orang-orang yang bertaqwa (yang engkaulah pemimpinnya).

Al-Quran ini menjadi panduan-panduan yang membuka matahati manusia, dan menjadi hidayah petunjuk serta membawa rahmat bagi kaum yang meyakini (kebenarannya).


Wallahualam.

No comments: