(posting ini adalah pandangan saya ebagai kempen jawatan Timbalan Presiden PAS, saya mengharap ianya tidak bertentangan dengan garsi panduan yang telah ditetapkan oleh PAS)
Jawatan Timbalan Presiden PAS bakal menjadi rebutan dalam
muktamar PAS tahun ini setelah jawatan Presiden dimenangi tanpa bertanding oleh
penyandangnya Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang.
Jawatan Timbalan Presiden adalah jawatan kedua terpenting
dalam PAS. Sebagaimana parti dan gerakan lain, peranan Timbalan adalah
menyokong dan membantu orang nombor satu dan kiranya sesuatu berlaku ke atas
batang tubuh orang nombor satu maka beliaulah yang akan naik memangku jawatan
Presiden.
Bagi parti dan gerakan lain berkemungkinan posisi ini tidak
penting atau tiada “significant” siapa nombor satu dan siapa nombor dua. Namun
demikian bagi sebuah gerakan Islam sebagaimana PAS sudah pastilah ianya penting
dan perlu diberi perhatian.
Mengikut sejarah sebelum Pilihanraya Umum yang pertama pada
tahun 1959, PAS berhadapan dengan kemelut kepimpinan. Kalangan pimpinan PAS
memerah otak berbincang dan bermuzakarah bagi memilih pemimpin nombor satu
setelah Presiden (atau Yang Dipertua Agung) ketika itu Dr Abbas Alias terpaksa
melepaskan jawatannya.
PAS bakal berhadapan dengan pilihanraya besar setelah menang
satu kerusi dalam Pilihnaraya Persekutuan tahun 1955. Oleh itu ia memerlukan seorang
yang memiliki ciri-ciri kepimpinan Islam bagi mengetuainya dalam “jihad” besar
PRU pertama.
Kalau diteliti bahan-bahan tulisan sejarah PAS, ternyata
siapa bakal mengetuai PAS dibincangkan dalam mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa
PAS Pusat, sehinggalah mereka memutuskan untuk memujuk seorang aktivis dan
ulamak yang disegani ketika itu iaitu Almarhum Dr Burhanuddin al Helmy untuk
menyertai PAS dan akhirnya pada tahun 1956 dipilih dalam muktamar PAS sebagai
Presiden PAS.
Ini bukti betapa ahli dan kepimpinan di awal-awal penubuhan
PAS sangat menitik-beratkan akan individu dan peribadi yang bakal mengisi
jawatan tertinggi parti. Kerana PAS sebagaimana yang saya sebutkan tidak
seperti parti dan gerakan lain adalah sebuah parti dan gerakan Islam.
Kerana itu tidak hairan apabila Multaqa Ulamak Se Malaysia
di Kota Sarang Semut Kedah menerbitkan resolusi yang antaranya berbunyi:
Multaqa Ulamak Se-Malaysia menerima saranan daripada
wakil-wakil perbahasan untuk menegaskan bahawa jawatan Presiden dan Timbalan
Presiden PAS sewajarnya daripada kalangan ulama yang memahami dan faqih tentang
islam dan realiti semasa. Jawatan-jawatan lain termasuk naib-naib presiden juga
turut perlu dipertimbangkan daripada kalangan ulama dengan gandingan bersama
golongan profesional dan aktivis
Istilah “sewajarnya” di atas digunakan pada pemahaman saya
bagi memberi faham bahawa PAS dengan identiti dan jiwa Islamnya sudah pasti
memerlukan pemimpin yang sedemikian untuk memimpin dan memacunya.
Lalu kemana mahu
ditempatkan mereka yang tidak ulamak atau tiada latarbelakang akademik dan
pendidikan Islam? Sesungguhnya semua mempunyai dan memiliki tugas dan
tanggungjawab. Lengkap melengkapi, tetapi asasnya teraju wajarlah dikalangan
mereka yang faham dan terdidik dalam Islam secukup dan semasak-masaknya.
Bermkana kita bersama menyokong, memupuk dan memperteguhkan gerakan dan
perjuangan ini berpayungkan kepimpinan ulamak, iaitu mereka yang
dipertanggungjawabkan oleh Allah lantaran faqihnya mereka dalam ilmu dan bidang
Islam.
Jika tidak kerana itu masakan Rasulullah saw bersabda:
Dari Abdullah ibn ‘Amru ibn Al-‘As ra katanya : Saya dengar
Rasulullah saw bersabda : Bahawasanya Allah tidak menarik ilmu dengan
mencabutnya dari manusia tetapi Allah menarik ilmu dengan mematikan ulama
hingga apabila tidak ada lagi orang alim, manusia akan mengambil orang-orang
jahil sebagai ketua, maka mereka ditanya, merekapun memberi fatwa tanpa ilmu,
maka sesatlah mereka dan menyesatkan pula.
Berbalik kepada isu pemilihan Dr Burhanuddin al Helmy pada
tahun 1956 itu, beliau dibantu oleh Almarhum Prof Zulkifli Muhammad (seorang
lagi ulamak besar, yang sekembalinya dari Timur Tengah mahu diangkat oleh
Kerajaan Peraka sebagai Muftinya tetapi ditolak beliau) dengan gandingan
kedua-duanya telah membawa PAS kepada kejayaan yang besar ketika itu, apabila
menang kedua-dua kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu.
Kedua-dua Presiden dan Timbalan melangkah masuk ke Parlimen
menggemparkan Dewan Rakyat dengan suara dan nafas Islam.
Dizaman kepimpinan mereka juga bekas Ketua Wanita Umno
Malaya (ketika itu Ketua Kaum Ibu) Khatijah Sidek berjaya diyakinkan menyertai
PAS dan menang kerusi Parlimen di Terengganu atas tiket PAS.
Oleh itu kini tahun 2013, saya secara peribadi berpandangan
sesuai sangatlah PAS kembali kepada zaman kegemilangan itu dengan menempatkan,
sebagaimana maksud resolusi Multaqa Ulamak itu, orang nombor satu dan dua
dikalangan para ulamak.
Semoga kita memperoleh barakah dan petunjuk sepanjang jalan
perjuangan yang sangat mencabar dan penuh dugaan ini.
Bagi jawatan nombor dua parti, iaitu Timbalan Presiden,
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato' Haji Mohd Amar bin Haji Abdullah
atau Ustaz Nik Amar menawarkan diri.
Tidakkah terganggu tugas beliau sebagai TMB jika dipilih
menjadi Timbalan Presiden nanti?
Itu bagi saya satu anggapan yang sangat tidak berasas. Tuan
Guru Presiden sekarang pernah menjadi Menteri Besar dan kemudiannya Ketua
Pembangkang ketika beliau Timbalan Presiden dan memangku jawatan Presiden
apabila Almarhum Ustaz Fadzil Nor pulang ke rahmatullah. Begitu juga Setiausaha
Agung DAP, adalah juga Ketua Menteri Pulau Pinang.
Saya yakin apabila beliau menawarkan diri bermakna beliau
telah bersedia menggalas dan memikul tanggungjawab itu, adalah tidak adil kita
menghukum begitu sedangkan indidividu ini memiliki kemampuan dan kebolehan.
Dari segi latarbelakangnya, Ustaz Nik Amar datangnya dari
keluarga pejuang yang terbukti. Almarhum Ayahnya bekas ahli Parlimen PAS, Pak
Nik Lah yang telah banyak menabur jasa pada parti. Keluarga beliau adalah
campuran dari keluarga ulamak dan keturunan keluarga di Raja Kelantan -
Ustaz merupakan cucu kepada Sultan Muhammad IV melalui nendanya)
Yang pentingnya beliau memiliki latarbelakang akademik Islam
yang sangat mantap dan baik. Beliau mendapat pendidikan awal di Pondok Tok Ayah
Kedah, Panchor, Kelantan yang diasaskan
oleh datuknya. Dalam masa yang sama beliau bersekolah di Sekolah Melayu Majlis
(1965 - 1971) , SMU (A) Tarbiah Mardhiah (1972-77), Maahad Muhammadi Lelaki
(1978-79), Sarjana Muda Pengajian Islam (BA)(UKM) (1979-83), Ijazah Sarjana
atau MA dalam Theological Studies atau Kajian Agama University of Birmingham UK
(1985-88).
Beliau pernah menjadi Pensyarah Jabatan Ilmu Wahyu,
Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) selama 10 tahun (1985-95). Pernah menang
dan menjadi ahli Parlimen Pengkalan Chepa (kerusi ayahnya dahulu) dan kini ADUN
Panchor serta Timbalan Menteri Besar Kelantan.
Beliau fasih berbahasa Arab dan Inggeris.
Berdasarkan latarbelakang pendidikan dan pengajian serta
pengalaman dan pendedahan politik, saya yakin Ustaz Nik Amar mampu dan
mempunyai kelayakan serta keupayaan untuk membantu Tuan Guru Presiden melalui
jawatan Timbalan Presiden sekiranya dimanahklan oleh para perwakilan.
Sekiranya diberikan mandat saya penuh yakin Ustaz Nik Amar
nanti dapat menjalankan amanahnya dengan baik, selain memberi ceramah politik, dapat
memimpin majlis-majlis ilmu anjuran PAS atau masyarakat luar, membentang kertas
kerja berkenaan PAS dan perjuangan Islam diperingkat dalam Negara ataupun
antarabangsa,begitu juga menjadi wakil
parti berunding dan bertukar-tukar pandangan secara efektif diperingkat
kebangsaan dan antarabangsa.
Kenalan saya seorang wartawan kanan sebuah akhbar harian berbahasa
Inggeris tempatan pernah menyatakan beliau begitu kagum dengan kemahiran Ustaz
Nik Amar, penguasaan bahasa Inggerisnya selain ketajaman fikirannya,
PAS jika mahu mendukung resolusi Multaqa Ulamak di atas,
tidak akan silap sekiranya mengangkat Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dan Ustaz
Dato Hj Mohd Amar sebagai Presiden dan Timbalan Presiden parti. Semoga Allah
swt memberikan taufik dan hidayah kepada para perwakilan parti agar nanti mampu
memilih yang terbaik dari yang baik-baik.
Selamat bermuktamar.