Tuesday, April 21, 2015

Maaf Khalid saya berbeda pandangan (21/4/15)

Hala tuju bahtera besar perjuangan PAS ini diyakini tidak akan berubah.

Ke mana hala tuju atau tujuan bahtera besar ini?

Mengikut Fasal 7 Perlembagaan PAS, tujuan PAS adalah:
(1) Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.

(2) Mempertahankan Kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.


Ke situlah tujuan bahtera ini iaitu belayar bagi mendakapi dan memperolehi redha Allah swt. Menutut sesuatu melangkaui tuntutan politik mana-mana parti lain kerana matlamatnya merentasi sempadan dunia iaitu sehinggalah ke destinasi muktamad iaitu di akhirat kelak.
Nakhoda yang ada hari ini sebagaimana nakhoda-nakhoda yang sebelumnya, ribut atau petir, tenang atau suram, ke sanalah dipandunya bahtera ini, cepat atau lambat namun ke sanalah tujuannya dengan penuh sabar dan istiqamah.

Bahtera ini tidak akan lari atau terpesong dari hala tuju yang telah ditetapkan kerana itulah PAS ditubuhkan. Namun kiranya bertukar tanganlah nakhoda ini dari yang ada ke seseorang yang punya agenda peribadi atau seseorang yang sanggup menggadaikan cara demi mengejar matlamat yang ada, sudah tentu tatkala itu bahtera ini akan berubah haluan.
Berbelok ke kiri atau ke kanan ia, mengambil jalan pintas dan mudah, membelakangkan kaedah dan panduan yang diterima pakai, diketika itulah bahtera ini akan tersasar dari tujuan asalnya. Segala khazanah ilmu dan tunjuk ajar akan dikesampingkan.

Bahtera ini biar belayar ikut naluri dan nafsu nakhoda baru, kalau perlu di tarik ke darat di tariklah ke darat, kalau perlu dijunamkan ke dasar lautan, dijunamkanlah kerana segala disiplin dan panduan yang diguna selama ini kononnya merupakan batu penghalang kejayaan.
Saya mengambil mukadimmah sedemikian dalam posting kali ini kerana seorang pemimpin PAS Pusat telah mengeluarkan kenyataan berikut dalam sebuah portal berita:

“Sikap yang ditunjukkan Pemuda PAS Pulau Pinang dan kawasan Permatang Pauh dalam menghadapi pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh adalah wajah baharu parti Islam itu sekiranya kumpulan tertentu dipilih dalam muktamar Jun nanti .”
Beliau menambah:

“Sikap mereka keras dan tidak berhemah. Tiada unsur ingin berkawan dan tiada kebijaksanaan berpolitik. PAS akan kembali bersendirian, terpinggir dari politik arus perdana. Ia tanpa sifat keterbukaan dan menggunakan pendekatan paksa dan ugut,"
Dan katanya lagi:

"Hala tuju PAS, masa depan PAS. Permatang Pauh sebagai saksinya,"
Rintihan berbunyi serangan Khalid Samad ini bagi saya serampang yang banyak mata.

Satu dibayangkan bahawa sikap Pemuda PAS Pulau Pinang dan PAS Permatang Pauh adalah keterlaluan dan ektrim khasnya dalam hubungan bersama PR 
Dua dibayangkan bahawa sikap sebegini iaitu keras dan tidak berhemah, mengguna pendekatan paksa ugut, adalah sikap yang dianuti oleh mereka yang berlainan dengan kumpulan beliau dalam PAS yang kononnya lebih terbuka dan moderat

Tiga dibayangkan jika kumpulan ini yang berlainan dari kumpulan beliau berupaya menang dalam muktamar Jun ini maka akan kembali bersendirian, terpinggir dari politik arus perdana.
Saya tidak tahu samada kenyataan Khalid itu melanggar Peraturan-peratutan pemilihan PAS namun demikian ianya sesuatu yang serius yang perlu diperjelaskan agar tidak meroskakkan fikiran orang ramai terhadap PAS.

Yang pertama apa yang dilakukan oleh Pemuda PAS Pulau Pinang dan PAS Permatang Pauh, iaitu kenyataan berhubung sokongan mereka kepada calon PKR dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh memanglah kelihatan keterlaluan dan ekstrim, tetapi adakah ianya salah dan melampaui kebebasan bersuara kerana ia kelihatan mengancam dan tidak menghargai nilai persahabatan dalam PR?
Jika begitu pada perkiraan Khalid, kenapa Khalid tidak tegur DAP apabila mengeluarkan kenyataan memutuskan hubungan dengan ketua parti sendiri, dengan Presiden PAS tempuh hari? Tidakkah itu juga keterlaluan dan ekstrim?

Tidakkah kenyataan mereka itu mungkin bermaksud memulangkan paku buah keras kepada DAP kawan kita yang tidak “respect” pemimpin nombor satu kita.
Juga sikap DAP dan PKR yang keras menolak perlaksanaan Hudud di Kelantan juga satu sikap yang ekstrim dan keterlaluan yang tidak pula menganggu fikiran Khalid.

Bagi saya mereka punya hak bersuara kerana merekalah akar umbi kekuatan kita. Masalah bila parti tidak mahu dengar suara akar umbi.
Penyelesaiannya, biarlah pemimpin tertinggi turun dan berjumpa mereka. Bukankah itu sikap yang “civil” berbanding kenyataan ancaman Khalid ini? Saya pasti jika Presiden PAS bertemu secara tertutup dengan mereka, mereka akan berjaya diyakinkan, begitulah sepatutunya pendekatan pemimpin, bukannya menyerang dan mencantas sebagaimana Khalid.

Seterusnya untuk Khalid melonggokkan sikap dalam hal spesifik ini dan dikaitkan dengan kumpulan yang berlainan darinya dalam pemilihan Muktamar nanti adalah bagi saya satu kempen memburuk-burukkan yang dilakukan secara terang-terangan.
Seolah-olah mereka yang tidak sehaluan dengan beliau, jika menang, akan menjadikan PAS nanti punya sikap yang ekstrim, terkebelakang dan lalu terpinggir dari arus perdana politik.

Kerana itulah saya memberikan mukadimmah di atas.
Kita berjuang dalam PAS ini dengan satu tujuan yang jelas. Untuk itu kita perlukan satu saf kepimpinan yang juga jelas dalam memahami tujuan itu dan memacu bahtera perjuangan ini teguh sehingga sampai destinasinya.

Kenyataan Khalid itu mengancam bahawa wajah PAS akan berubah selepas muktamar jika kumpulan yang selain kumpulan beliau dan nama-nama yang disebutnya iaitu Dr Dzulkefly Ahmad, Hanipa Maidin, Mujahid Yusof Rawa kalah dan ditewaskan.
Itu pandangan Khalid.

Bagi saya yang lebih penting PAS perlukan pemimpin yang sekali-kali tidak akan bertolak-ansur dalam bab prinsip dan akidah perjuangan. Bahtera perjuangan ini perlu dinakhodai oleh mereka yang sedemikian. Berpegang teguh pada prinsip dan asas sebenar “tahalu siyasi” dan tidak goyang atau meminda-minda hukum dan adab perjuangan demi kepetnigan perinadi atau agenda tertentu.
Maaf Khalid tetapi mungkinkah wajah PAS akan berubah cerah sekiranya bebas dari anda dan kumpulan anda itu, atau bagaimana?

 

Friday, April 17, 2015

Hudud: Kita tidak perluakn Tun Dr M (17/4/15)

Kalau musang keluar makan ayam itu sesuatu yang semulajadi dan sudah pasti tiada nilai pemberitaan. Akan tetapi jika ayam yang keluar makan musang, itu luar biasa dan pasti mendapat liputan kerana ianya ada nilai pemberitaan.

Begitulah halnya jika insan bernama Tun Dr Mahathir Mohamad tiba-tiba keluar kenyataan menyokong perlaksanaan undang-undang Islam atau Hudud, ianya luar biasa kerana Tun Dr M ini sejak semulajadi lagi antara penentang kuat perlaksaan sistem perundangan Islam terutama Hudud.
Hari ini dilaporkan dalam akhbar harian berbahasa Inggeris The Star bahawa Tun menganggap Undang-undang Hudud PAS tidak menepati ajaran Islam kerana ianya sekadar mainan politik PAS.

Di zaman Almarhum Tuan Guru Nik Abd Aziz dahulu, ketika Kelantan meluluskan Enakmen Jenayah Syariah Islam yang memperkenalkan perlaksaan hukum jenayah Islam ke atas para pesalah di negeri itu, Tun lah yang ketika itu PM antara penentang terkuat dan malah telah mengirim sepucuk surat kepada MB Kelantan, mengancam yang kerajaan Persekutuan tidak teraga-agak mengambil tindakan kiranya Kelantan berkeras mahu melaksanakan hukum berkenaan.

Hari ini Enakmen yang sama belum terlaksana lagi, akan tetapi terdapat usaha untuk memperkenalkan Rang Undang-undang persendirian atau Private Bill di Parlimen, bagi membuka laluan perlaksanaan hukum berkenaan di Kelantan setelah sekian lama ia diluluskan oleh DUN Kelantan. Kiranya semua berjalan lancar rang undang-undang berkenaan bakal dibentangkan oleh Presiden PAS dalam sidang Dewan Rakyat pada bulan Mei nanti.
Sudah pastilah orang yang paling cemas, marah dan tidak berpuas-hati dengan perkembangan ini adalah Tun Dr M. Kalau zaman beliau PM dahulu, beliau secara terbuka menyerang dan memperlekeh usaha PAS itu, hari ini setelah hampir 12 tahun tidak lagi menjadi PM tentangan beliau tetap kekal sama sebagaimana mendiang Karpal Singh yang pernah mengungkapkan “Langkah mayat” beliau terlebih dahulu sebelum Hudud dapat dilaksana. Karpal kekal dengan sikap sedemikian sehinggalah beliau terkorban dalam kemalangan jalanraya setahun lepas.

Tun Dr M ternyata telah jauh melampaui masanya.
Zaman orang-orang Melayu Islam menolak sistem perundingan Islam sudah berlalu. Hari ini rata-rata tanpa mengira fahaman politik, masyarakat sudah tahu akan keperluan dan tuntutan perlaksanaan hukum Allah ini sebagai seorang Muslim. Dengan maklumat yang boleh diperolehi dengan mudah hari ini pendedahan dan pengetahuan masyarakat semakin terbuka Orang yang tidak sokong PAS pun hari ini sudah semakin akur bahawa ini kewajiban ini jatuah ke atas setiap Muslim.

Wilayah Aceh di Indonesia sudah memperkenalkan undang-undang ini begitu juga Negara Brunei Darus Salam yang satu ketika dahulu disebut sebagai Negara anak didik British yang paling kuat dirantau ini.
Kerana kita semua tahu pendirian Tun Dr M itu khasnya bekenaan perlaksanana hukum Islam termasuklah Hudud, maka biarlah Tun dengan pendiriannya yang sudah semakin lapuk dan usang itu.

Sepatutnya Tun ini dibiarkan bersara duduk senyap sebagai seorang “statesman” atau Negarawan ulung tanpa mencampuri urusan politik. Tetapi walaupun sudah 12 tahun bersara beliau tetap mahu menonjolkan diri, degil sebagaimana dahulu juga.
Bagi masyarakat bukan Islam yang menolak Hudud, proses penerangan pada mereka berterusan, dan malah hakikat bahawa ianya tidak terkena ke atas mereka sepatutnya memberi kesadaran bahawa perkara ini adalah perkara dikalangan sesama umat Islam sahaja.

Akan tetapi bagi orang-orang Islam yang menolak, mengkritik dan memperlekehkan hukum Allah ini seumapama Tun Dr M, sepatutnya diajak bertaubat dan dipanggil oleh pihak berkuasa agama untuk diberikan counselling.
Oleh itu dah kita tahu begitulah sikap Tun Dr M ini, penentangannya jelas dan tegas, tak perlulah kita ada apa-apa “engagement” atau hubungan dengan beliau.

Janganlah dijadikan beliau idola atau juara buat kita yang berjuang Islam ini.
Sesungguhnya tuntutan untuk menjulang dan melaksanakan hukum Allah ini jauh lebih penting dan mulia dari berkawan dengan individu seperti Tun Dr M semata-mata untuk publisiti dan kepentingan politik murahan.

 

 

Tuesday, April 14, 2015

Zairil yang terjerat atau siapa? (14/4/15)


Berkali-kali dan dengan penuh teliti saya membaca kenyataan Zairil Khir Johari, pemimpin muda Melayu Islam DAP yang juga ahli Parlimen Bukit Bendera dalam laman blognya.
Di bawah tajuk:

“Kejasama PAS-Umno umpama pelanduk melupakan jerat, tetapi jerat tidak melupakan pelanduk”
http://www.zairil.com/kerjasama-pas-umno-umpama-pelanduk-melupakan-jerat-tetapi-jerat-tidak-melupakan-pelanduk/

Mesej yang cuba dibawanya bagi saya lebih merupakan usaha memanjangkan lidah kedua-dua bosnya Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng. Beliau menyerang dengan cuba memperkukuhkan hujah  bahawa Presiden PAS Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang kononnya memang pengkhianat, tidak bermaruah dan tidak jujur.
Isunya adalah kerjasama PAS dengan Umno dalam memastikan Kanun Jenayah Syariah Kelantan dapat dilaksanakan di negeri berkenaan.

Beliau mendakwa bahawa Tuan Guru Presiden PAS seakan tidak pernah mahu belajar dari sejarah.
PAS telah berkali-kali ditipu menurutnya apabila menjalin hubungan dengan Umno. Satu contoh adalah apabila PAS menyertai BN setelah Peristiwa Hitam 13 Mei, 1969.

Bagi memperteguhkan lagi hujahnya Zairil turut membakar sentimen orang-orang PAS. Beliau cungkil kembali Peristiwa Memali 1985, seolah kerajasama ini bakal memadamkan perngorbanan dan perjuangan para syuhada Memali. Bayangkan Tuan Guru dengan sengaja mahu melupakan pengorbanan mereka yang telah terkorban ini.
Tak cukup dengan itu beliau cuba menabur lagi benih kemarahan dengan mencampakkan pula nama-nama tokoh yang disanjungi dalam PAS iaitu Almarhum Ustaz Dato Fadzil Nor dan Almarhum Tuan Guru Dato Nik Abs Aziz. Dakwa beliau kedua-dua Almarhum ini tidak sekali-kali akan bekerjasama dengan Umno hatta atas isu perlaksanaan Hudud sekalipun.

Rata-rata bagi saya kenyataan ini cuba memberi mesej kepada ahli-ahli PAS, bahawa berdasarkan kenyataan sebelum ini oleh kedua pemimpin agung beliau Kit Siang dan Guan Eng, maka orang-orang PAS perlu menolak Tuan Guru sebagai Presiden dalam Muktamar PAS nanti kerana Tuan Guru mahu membawa PAS bersekongkol dengan Umno! Tuan Guru pengkhianat, tidak bermaruah dan tidak jujur.
Sedih apabila kenyataan ini terbit dari seorang pemimpin yang beragama Islam.

Isu di sini sebenarnya adalah isu Tuan Guru Presiden PAS mahu membawa Rang Undang-undang Persendirian ke Parlimen bagi membuka laluan perlaksanaan syariat Islam yang menepati al Quran di negeri Kelantan.

Itulah punca kemarahan DAP.
Pengkhianat, tidak bermaruah dan tidak jujur, merupakan kata-kata kesat dan keras yang terbit dari lidah pemimpin tertinggi DAP terhadap Tuan Guru Presiden PAS, hanya semata-mata kerana mahu mempelopori usaha melaksanakan Islam di negeri yang PAS kuasai.

Dari kaedah demokrasi berparlimen sebarang usaha seumpama ini nanti memerlukan sokongan majoriti ahli-ahli Dewan, maka PAS terpaksa “melobi” bagi mendapatkan sokongan demi memastikan Rang Undang-undang ini nanti disokong dengan suara ramai.
Melobi tidak bermaksud menjalin kerjasama politik, tetapi sekadar persetujuan bersama atas satu isu yang spesifik.

DAP awal-awal lagi menyatakan tidak akan sokong walaupun undang-undang ini pada hakikatnya adalah merupakan undang-undang syariah yang hanya terkena pakai ke atas orang-orang Islamsahaja itu pun setakat ni hanya di Kelantan. Pelik sungguh, DAP langsung tidak memberi peluang kepada dua ahli Parlimen Islam nya termasuk Zairil untuk memilih mengikut sentiment agama masing-masing. Dan malah Zairil pula menjadi alat menolak perlaksanaan hukum Islam ini sedangkan beliau seorang Muslim dari lahir.
Sepatutnya semua ahli Dewan yang Muslim, PAS, Umno, PKR, PBB, DAP yang termasuk Zairil sama-sama menyokong isu yang spesifik ini yang merupakan tuntutan yang terkena ke atas setiap individu Muslim.

Isu kerjasama politik bersama Umno tidak berbangkit kerana PAS punya pakatan politik bersama PKR dan DAP.
Mengapa perlu Zairil yang cerdik lagi bijaksana. Merelakan dirinya menjadi alat untuk memburukkan Tuan Guru Presiden PAS dan dalam waktu yang sama memutar belit isu seolah Presiden PAS itu mahu menjalin kerjasama politik bersama Umno sedangkan beliau tahu semua itu tiada kebenarnnya.

Kenapa Zairil sebagai seorang Muslim tidak mengambil peluang menjelaskan kepada pemimpin-pemimpin besarnya yang bukan Islam. Bahawa ini kepercayaan orang-orang Islam. Ia perlu dihormati sebagaimana penganut lain dijamin oleh Perlembagaan bebas mengamalkan agama dan kepercayaan mereka, maka orang-orang Islam juga berhak mengamalkan undang-undang syariah mereka.
Mustahil Zairil tidak tahu bahawa PAS berjuang dengan matalamat mahu menegakkan Islam. Inilah perjuangan PAS ketika awal-awal lagi dahulu. Ketika Khir Johai Menteri, ketika beliau bertanggungjawab menghapuskan pembelajaran tulisan jawi di sekolah-sekolah kebangsaan, begitulah PAS dan hari ini PAS istiqamah begitu, insyallah sampai bila-bila.

Awas kenyataan Zairil bukannya membantu tetapi sebenarnya bakal membakar api kemarahan khasnya dikalangan orang-orang PAS terhadap beliau sendiri. Gunakanlah zaman muda dengan ilmu yang tinggi itu untuk kepentingan Islam dan umat Islam, jangan jadi alat adu domba dan memburukkan mereka yang telah berjuang sebelum pun anda lahir lagi.
Kalau DAP tolak Hudud, rata-rata umat Islam dan malah orang-orang PAS tidak marah, kerana DAP yang sekular dan dikuasai oleh majoriti pemimpin dan ahli-ahli bukan Islam itu memang hakikatnya sedemikian. Bangkitlah Kit Siang atau Guan Eng atau sebelumnya mendiang Karpal untuk menyerang dan memperlekeh usaha PAS untuk menegakkan Islam, orang tidak marah.

Tetapi apabila ada pemimpin dalam DAP yang beragama Islam yang memilih untuk berpendirian demikian, maka ianya sangat dikesali dan saya yakin sikap dan pendirian saudara itu akan turut dikesali dan diratapi oleh seluruh umat Islam. Saudara akan turun dalam sejarah Negara sebagai pemimpin Melayu Islam yang bukan sahaja menolak perlaksanaan Islam malah terlibat dalam mengkritik dan menyerang usaha mereka yang ikhlas yang mahu memartabatkan Islam dalam Negara.
Malulah kita kalau masih ada sifat malu itu dalam hati sanubari saudara. Kita kata orang terjerat tetapi sebenarnya kita yang terjerat.....

 

 

 

 

Monday, April 13, 2015

Apabila akar umbi PAS bersuara (13/4/15)

Seluruh Negara sedang beri perhatian terhadap PAS hari ini. Tidak pernah tumpuan sebegini diberikan terhadap Parti Islam ini sebagaimana hari ini.

Kenapa?

Kerana PAS sedang melalui proses pemilihan pimpinan bermula dari peringkat cawangan-cawangan seterusnya Kawasan-kawasan dan kemuncaknya nanti Muktamar PAS Pusat pertengahan tahun ini.
Bukan pertama kali PAS melalui proses pemilihan parti, kenapa kali ini perhatiannya terlebih istimewa?

Kerana kali ini pimpinan PAS peringkat tertinggi mahu dicabar.
Sebelum ini pun PAS pernah melihat pertandingan diperingkat tertinggi, Almarhum Dr Burhanuddin pernah melawan Prof Zulkifli Mohamad untuk jawatan nombor satu, Almarhum Ustaz Hasan Shukri pernah bertanding melawan Dato Mustapha Ali untuk jawatan nombor dua dan banyak lagi, lalu kenapa kali ini terlebih istimewa?

Bagi saya kali ini ia istimewa kerana beberapa kalangan pimpinan Pusat kelihatan vokal dan terbuka mahu menuntut perubahan pucuk pimpinan khasnya bagi jawatan Presiden. Mereka ini bilangan yang kecil tetapi nyaring bersuara sehingga memkasa semua mendengar.
Desakkan yang luar biasa ini tercetus barangkali kerana ada pihak yang duduk di keliling Presiden Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang berasa tidak selesa, mereka menganggap Tuan Guru seakan “stumbling block” atau batu penghalang terhadap perlaksanaan apa sahaja agenda mereka.

Beberapa keputusan Presiden yang direstui oleh Majlis Syura Ulamak bagi mereka dirasakan ganjil, tidak menepati selera dan kemahuan mereka. Lalu apa lagi, datang musim pemilihan ini bangkitlah mereka berkempen menuntut agar Tuan Guru dan mereka yang sealiran dengan pemikiran Tuan Guru sewajarnya disingkir.

Sejauh manakah keputusan Presiden dan Majlis Syura kebelakangan ini yang tidak boleh diterima ahli-ahli akar umbi PAS?
Beberapa kerat pimpinan ini berkeras merasakan ia tidak sesuai buat PAS namun adakah ahli-ahli PAS peringkat akar umbi sebenar dan sesungguhnya berkongi pendirian mereka?

Mereka mahu bangkit membuat perubahan membongkah Tuan Guru dengan harapan satu PAS yang “baru” dapat dibentuk dan dilahirkan selepas Muktamar nanti.
Lalu inilah suasana yang paling baik untuk menjual agenda dan gagasan mereka, mana tahu kiranya diterima oleh ahli-ahli PAS, muktamar nanti Tuan Guru Presiden dan mereka yang sealiran dengan Tuan Guru dapat dinyah terus dari kepimpinan PAS. Biar mereka sahaja yang menerajui dan menguasai kepimpinan PAS. Ketika itu Majlis Syura pun dapat dirubah, wajah PAS yang kononnya konservatif boleh berubah menjadi moderat lagi liberal.

Berkempenlah mereka sebagaimana kumpulan yang mahu mempertahankan Tuan Guru dan kepimpinan ulamak juga turut berkempen. Perlembagaan PAS tidak melarang ahli-ahlinya berkempen asalkan mematuhi segala adab yang telah ditetapkan khasnya yang terkandung dalam Peraturan-peraturan Pemilihan PAS (2013) (Pindaan 2014).
Namun demikian ahli-ahli PAS khasnya kekuatan akar umbi di lebih 175 kawasan seluruh negara jangan di pandang sebelah mata. Mereka mungkin terkadang kelihatan lekeh, “simple” , rendah diri dan tidak se vokal beberapa kerat pimpinan tertinggi yang ada, namun bacaan politik mereka tinggi. Mereka menyertai PAS kerana cintakan perjuangan Islam, dasar dan matlamat perjuangan PAS mereka peluk dan pertahankan sebagai sebahagian dari darah daging kehidupan mereka. Mereka inilah kekuatan PAS yang sejati yang tidak boleh digoyang, digoncang apalagi dikikis buang sesuka hati.

Mereka menghormati dan taat pada pimpinan. Lantaran keikhlasan perjuangan yang dibentuk dalam jiwa mereka, mereka akan terus berada bersama pimpinan selagi mana pimpinan itu tidak (meminjam kata-kata Tuan Guru Presiden dalam Mukatamar yang lalu) membawa mereka terjerumus ke Neraka!
Kerana itu ada kalangan pemerhati hairan, mengapa dalam keadaan Tuan Guru Presiden contohnya diserang, difitnah, direndah-rendahkan kepimpinannya, namun beliau terus mendahului pencalonan untuk jawatan Presiden setakat ini .

Mungkin terlalu awal untuk membuat andaian kerana baru sekitar 20 peratus dari kawasan-kawasan PAS telah selesai mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan masing-masing.
Akan tetapi beberapa keputusan seakan memberi petunjuk ke satu arah yang mula mempengaruhi beberapa pemerhati dan penganalisa.

Terbaru, yang terpampang di dada akhbar sebahagian besar akhbar-akhbar media perdana adalah kekalahan bekas MB Perak yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak dan AJK PAS Pusat, Nizar Jamaluddin di Kawasan Kampar Perak. Beliau tewas mempertahankan jawatan Yang Dipertua PAS Kawasan yang beliau pegang selama 14 tahun.
Bagaimana Nizar boleh tewas?

Nizar lah antara tokoh vokal yang menuntut perubahan dalam pucuk pimpinan PAS. Ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Kuala Kedah bulan lalu beliau menggesa para perwakilan memain peranan untuk merobah pimpinan dalam Muktamar depan. Beliau antara lain berkata:
“Pemimpin yang ada wajib dan wajar diubah”

Dalam ucapan berkenaan yang boleh diikuti di youtube, beliau menyerang secara terbuka “style” kepimpinan Tuan Guru Presiden. (Saya tidak pasti pula adakah apa yang disebut Nizar dalam ucapannya itu menyalahi atau tidak Peraturan-peraturan Pemilihan PAS yang disebut di atas)

(Ditakdirkan para perwakilan Kuala Kedah kemudiannya membuat keputusan mengekalkan Tuan Guu Hj Abd Hadi Awang sebagai calon Presiden)
Sesungguhnya banyak lagi tindak-tanduk dan kenyataan Nizar sebelum itu yang telah mengusik hati, jiwa dan perasaan orang-orang PAS khasnya apabila beliau menolak rasional Tuan Guru Presiden tentang Pilihanraya PBT dan usaha perlaksanaan Hudud di Kelantan.

Di sinilah kita perlu sedar jangan sekali-kali “under estimate” atau merendah-rendahkan keupayaan orang-orang PAS.

Adakah apa yang berlaku ke atas Nizar itu akan menular dan menjangkiti rakan-rakannya yang lain yang turut berkongsi agenda dengan beliau?
Yang pastinya satu lagi contoh, nasib yang menimpa Timbalan Presiden Muhammad Sabu pula sebagaimana dilaporkan Malaysiakini:

“Lebih mengejutkan PAS Batu Kawan tidak mencalonkan Mohamad selaku pesuruhjaya Pulau Pinang bertanding dalam jawatan tertinggi itu”
Adakah trend ini akan berterusan?

Ada 80 peratus kawasan-kawasan PAS yang belum selesai mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan masing-masing dan masih terlalu awal mengandaikan bahawa trend ini akan kekal dan senjata yang Nizar gunakan bakal memakan diri akhirnya.
Akan tetapi kesimpulannya kita melihat ahli-ahli PAS diperingkat akar umbi sesungguhnya hari ini lebih memberi tumpuan dan keutamaan kepada usaha PAS untuk melaksanakan Hudud di Kelantan. Tuntutan perjuangan zaman-berzaman itu kini jika tiada aral melintang bakal melihat terlaksana diketika hidup mereka masing-masing.

Tuan Guru Presiden yang bakal membentangkan Rang Undang-undang persendirian di Dewan Rakyat sesi yang akan datang dilihat sebagai ikon yang sedang memegang dan membawa obor Islam itu. Mustahil orang PAS mahu menganggu tugas beliau, mustahil orang PAS mahu merebahkan seorang pejuang yang istiqamah meneruskan tuntutan perlaksanaan Islam walau dihalang dan diganggu sepanjang jalan perjuangan.
Saya secara peribadi yakin, kekuatan PAS diakar umbi sedikit pun tidak akan terganggu malah akan bersatu bersama Tuan Guru Presiden kerana tiada yang lebih penting selain melihat cita-cita perjuangan Islam terlaksana. Tuan Guru kental, tegas dan berani ke hadapan dan ahli-ahli PAS malah sebahagian besar umat Islam yang merindui perlaksanaan Islam pasti akan teguh bersama-samanya.

 

Sunday, April 12, 2015

Alahai Ronnie Liu (12/4/15)

Ronnie Liu Thian Khiew adalah seorang kawan lama.

Saya terutama rapat dengan beliau ketika PAS, PKR dan DAP masing-masing memiliki cukup kerusi untuk membentuk kerajaan di Negeri Selangor pada tahun 2008. Ketika itu juga Ronnie menang kerusi DUN Pandamaran, kemenangan pertama baginya setelah berkali-kali cuba untuk menang atas tiket DAP. (Rupa-rupanya itu juga menjadi kali terakhir beliau menang kerana selepas itu beliau hanyut di pukul tsunami dalam partinya sendiri).
Banyak juga kisah Ronnie ini berada dalam benak ingatan saya, terutama ketika berunding membentuk kerajaan pertama PR di Selangor, juga ketika mesyuarat-mesyuarat PR Negeri Selangor yang mana kami berdua adalah ahlinya  selain beberapa pengalaman bersama beliau ketika beliau EXCO PBT di Selangor.

Ronnie juga sebenarnya merupakan satu-satu figura kanan DAP yang naik cepat di Selangor, sehingga menjadi EXCO setelah PR menang 2008 dan juga yang paling cepat jatuh apabila tidak lagi dicalonkan bertanding pada PRU 2013 walaupun baru berkhidmat sepenggal. Bekas SETPOL dan orang kuat Lim Kit Siang ini memiliki “musuh’ nya sendiri dalam DAP Selangor khasnya, dan memang mempunyai krisis peribadi dengan Teng Chang Khim, bekas Speaker Selangor yang kini EXCO Negeri dan Naib Pengerusi DAP Selangor.                            
Sesungguhnya begitulah orang-orang PAS banyak menjalin persahabatan terutama dengan rakan-rakan dalam DAP dan PKR setelah masing-masing kepimpinan bersetuju bekerjasama di bawah satu pakatan politik diberi nama Pakatan Rakyat.

Akan tetapi kebelakangan ini persahabatan yang dijalin kelihatan tercalar dan bermasalah. Adat berkawan memang tak sunyi dari kekeruhan dan terusik hati, kata orang sedangkan lidah lagi tergigit. Walaubagaimanapun sahabat yang sejati pasti dapat membalut luka dan mengobat duka kerana menghargai apa yang telah sedia terjalin.
Namun terakhir ini persahabatan yang terjalin kelihatan seakan semakin longgar renggang dan direnggangkan oleh kalangan anasir yang sengaja mahu membikin onar.

Ronnie sendiri tahu perkara ini kerana “ukhuwah” beliau sendiri dalam DAP sentiasa bergelombang dan bergelora. Bila DAP berjaya bersama PAS dan PKR di Selangor dahulu, beliau antara yang risau dan tak senang duduk. Beliau mahu memperkukuhkan genggamannya dalam DAP di Selangor. Kerana itu beliau bersungguh tidak mahu Teng Chang Khim duduk dalam EXCO, apabila sahaja dirundingkan pembentukan kerajaan dahlu, Ronnie lah yang vocal menolak Teng menjadi Speaker, dengan harapan Teng tiada tempat dalam kerajaan negeri.
Rupanya Teng gunakan jawatan itu membelasah Ronnie pula. Ronnie antara tokoh terawal dipanggil mengadap SELCAT bagi mempertahankan perbelanjaan di kawasan DUN nya.

Bila sahaja mesyuarat Pakatan Negeri, kalau ada pun yang tegang, bukannya antara parti-parti, tetapi yang sering bertengkar adalah antara Ronnie dan Teng.
Saya menyatakan ini semua kerana saya kesal dengan tindak tanduk Ronnie kebelakangan ini. Walaupun kita yakni PAS dan DAP berkawan, tetapi Ronnie antara tokoh DAP yang lantang menyerang Presiden dan kepimpinan ulamak PAS. Kalau serangan datang dari Gerakan atau MCA atau MIC, kita boleh terima, tetapi hari ini yang serang berlebih-lebihan adalah tokoh-tokoh DAP sendiri yang sepatutnya bernama kawan.

Semalam himpunan HINDAR atau Himpunan Derita Rakyat telah dianjurkan oleh Dewan Ulamak PAS Pusat yang turut dihadiri Presiden PAS Tuan Gur Hj Abd Hadi Awang. Ianya sempena 10 hari perlaksanaan GST ke atas rakyat Malaysia.
Mengikut akhbar Sinar Harian hari ini:

Perhimpunan HINDAR di Padang Merbok semalam berjalan dengan aman dihadiri lebih 3,000 orang dengan orang-ramai mula membanjiri kawasan itu seawall jam 3 petang.
Sinar turut melaporkan:

Antara yang kelihatan hadir di perhimpunan itu ialah Timbalan Presiden PAS Mohammad Sabu, Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Ahmad Yaakob, Pemangku Ketua Dewan Ulamak PAS Dato Dr Mahfodz…..”

Rata-rata akhbar media perdana yang membuat laporan menyatakan perhimpunan berkenaan berjaya tetapi apa kata Ronnie (dalam facebook nya), kawan orang PAS?

Himpunan yang tidak bermakna.
Digunakan hentam Mat Sabu dan pejuang Pas yang liberal.
Orang Pas dan
Penyokong pun kurang. ...
Padan muka Hj Hadi
Padan muka UG
Padan muka Hj Hadi.
Padan muka UG.


Apa maksud Ronnie ni? Apa masalah beliau? Hentam Mat Sabu? Pejuang PAS yang liberal?

Kalau beginilah bahasa pemimpin DAP, kenallah sangat kita akan hati  budi mereka. PAS tidak pernah pohon mahu keluar PR tetapi PAS berterusan sebagaimana dinyatakan Tuan Guru Presiden mahu kekal bersama PR.
Tetapi DAP sebagai rakan, melalui pemimpin-pemimpin mereka bebas mengeluarkan kenyataan mengadu-domba, menyerang dan menyelar kepimpinan PAS.

Ronnie seakan mahu jadi juara dalam DAP. Beliaulah yang paling kuat menghentam dan menyerang Presiden PAS dan kepimpinan ulamak dari kalangan pemimpin-pemimpin DAP yang lain. Barangkali beliau mahu mengejar habuan besar dari bos nya, mengidamkan jawatan dan kerusi yang sudah tiada dalam tangan.
Semoga ahli-ahli PAS kekal istiqamah atas landasan perjuangan di bawah kepimpinan Tuan Guru Presiden. Disaat kita diserang dan diperlekeh kerana mahu melaksanakan Islam, jelaslah kita berada di atas landasan yang benar.

Ronnie dan rakan-rakannya bolehlah terus dengan perangai kotor mereka.
PAS akan terus mengayun langkah bersama kepimpinan ulamak untuk mengejar cita-cita perjuangannya.

 


Tuesday, April 07, 2015

Hari bersejarah di Dewan Rakyat buat umat Islam (7/4/15)

Hari ini Selasa 7 April 2015 bersamaan 17 Jamadil Akhir 1436 adalah hari bersejarah buat Islam dan umat Islam di Malaysia.

Mengikut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia hari ini, perkara 24, Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, ahli Parlimen Marang, yang juga Presiden PAS dijangka mengemukakan satu Rang Undang-undang Ahli Persedirian atau Private Bill yang jika diluluskan akan membuka laluan bagi perlaksanaan Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kelantan, iaitu undang-undang berkaitan Hudud di Negeri Kelantan.
Perkara yang dimaksudkan berbunyi:

24. Dato’ Seri Abdul Hadi bin Awang [ Marang ] akan mencadangkan:-  
“Bahawa Dewan ini memberikan kebenaran menurut Peraturan Mesyuarat 49 (1) kepada Yang Berhormat Ahli bagi kawasan Marang untuk mencadangkan suatu Rang Undang-undang Ahli Persendirian bernama Rang Undangundang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2015 seperti berikut: 

i- menggantikan Seksyen 2 dengan seksyen berikut: 

“2. Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas seseorang penganut agama Islam dan di dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara-perkara yang disenaraikan di dalam Senarai 1 Senarai Negeri di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.”;dan 
ii- memasukkan selepas seksyen 2 dengan seksyen berikut: 

“2A. Dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2 Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan diatas, sesuai dengan kehendak syariah Islam.”  
Bagi PAS inilah kemuncak tuntutan perjuangannya walaupun ia sekadar bermula di Kelantan. Semoga permulaan ini suatu permulaan yang akan membuka kesedaran seluruh umat Islam akan keadilan dan kesaksamaan hukum Allah swt, dan akhirnya ia akan menjadi suatu tuntutan untuk dilaksanakan ke atas umat Islam seluruh Malaysia.

Samada perkara 24 dalam Aturan Urusan Mesyuarat ini sempat dibincangkan atau tidak kita serah pada Allah swt.
Kiranya ia dibenarkan dibentang kita berharap agar ahli-ahli Dewan terutama yang beragama Islam tanpa mengira warna politik masing-masing akan mengundi menyokong Rang Undang-undang ini kerana sesungguhnya ia inisiatif bagi memungkinkan perlaksanaan hukum Allah swt yang merupakan kewajiban dan tanggungjawab setiap umat Islam yang beriman.

Ini bukan isu politik tetapi ia tuntutan aqidah. Kita berdoa semoga semua ahli-ahli Dewan terutama dari PAS, Umno, PKR, DAP, PBB, Bebas semua yang beragama Islam akan bangkit menyokong Rang Undang-undang ini.
Ya Allah permudahkanlah usaha hamba-hamba Mu yang ikhlas ini.

Thursday, April 02, 2015

Isyarat Hanipa kepada para perwakilan (2/4/15)

PAS ini asalanya dianggotai oleh saf kepimpinan yang teratur, masing-masing dengan kelayakan dan latarbelakang tersendiri, namun bangun, berdiri dan bergerak laksana satu pasukan yang ampuh dan kukuh memartabatkan perjuangan Islam.

Lantaran ciri-ciri kepimpinan Islam inilah maka ramai tertarik, terpesona dan akhirnya menyertai PAS dan menyokong PAS dalam berbelas-belas pilihanraya sebelum ini.
Namun demikian apabila ia semakin besar dan kini dengan keahlian mencecah 1 juta ahli, samada disukai ataupun turut bertaut dan bernaung di bawah PAS berbagai ragam dan perangai ahli termasuklah pimpinan. Terkadang kualiti kepimpinan Islam itu digerhanai lantaran gelagat yang tersimpang sehingga boleh membangkitkan aib pada parti yang berpegang pada Islam ini.

Saya pernah membuat posting contohnya berkenaan YB Hanipa Maidin, ahli parlimen Sepang yang keterampilannya banyak menimbulkan kegusaran sehingga malah PAS Sepang yang sepatutnya merupakan tapak beliau melangkah ke Parlimen turut menyuarakan kebimbangan dan ketidakpuasan hati mereka terhadap beliau.
Hari ini umpamanya Hanipa mengulas komen Timbalan Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato Nik Amar yang menegaskan kesediaan PAS untuk berseorangan, maksudnya bersendirian tanpa PR.

Hanipa tidak langsung dapat menerima idea ini, malah untuk menambah rencah kepada kritikkan beliau terhadap kononnya idea Dato Nik Amar itu beliau menyindir bahawa kiranya PAS bersendirian maka yang pasti gembira adalah Umno dan BN.
Saya hairan kenapa Hanipa sanggup menyimpang dari isu sebenarnya yang mengakibatkan Dato Nik Amar memberikan reaksi demikian.

PAS tidak minta keluar dari PR. Terakhir Presiden PAS sendiri terus menegaskan bahawa PAS mahu kekal bersama PR. Siapa yang mahu keluar?
Masalahnya isu di hadapan kita adalah kemarahan DAP pada usaha PAS mahu membuka laluan bagi perlaksanaan Hukum Hudud di Kelantan. Apabila Presiden PAS merancang mahu membentangkan usul persendirian atau private Bill di Parlimen bagi meminda Akta Mahkamah Syariah, DAP terus bertindak meyingkir Presiden PAS.

Setiausaha Agung DAP mengisytiharkan DAP memutuskan segala hubungan dan kerjasama dengan Presiden PAS tetapi tetap bersama PR. Di Sarawak DAP Sarawak memutuskan hubungan dengan PAS negeri dan di Sabah PKR dan DAP memutuskan hubungan dengan PAS Sabah.
Siapa yang mahu siapa keluar?

PAS tidak minta keluar. DAP yang seakan memaksa sesuatu ke atas PAS. Biar orang PAS marahkan Presiden PAS dengan harapan Presiden PAS nanti tidak lagi Presiden selepas muktamar PAS kerana DAP hanya akan bekerjasama dengan Presiden PAS selain Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang.
Semua orang PAS rata-rata boleh nampak dan perasan pada tekanan DAP itu sehingga Setiausaha Agung PAS sendiri menganggap sikap DAP itu sebagai “childish”.

Dimana Hanipa ketika itu?
Kenapa Hanipa tidak tegur DAP?

PAS mahu kekal bersama PR kenapa DAP mencetuskan provokasi sebegitu.
Sepatutnya Hanipa bingkas bangkit dan tegur DAP, bagi tau DAP kiranya bersikap sebegini nanti Umno dan BN gembira.

Kerana itu Dato Nik Amar memberikan rekasi bahawa PAS bersedia bersendiri. Maksudnya kalau DAP mahu memaksa PAS keluar sebagaimana yang bewrlaku di Sarawak dan Sabah, PAS sanggup berjuang bersendirian kerana sebelum ini pun PAS memang begitu.
PAS ada harga diri, PAS punya maruah. Kalau rakan-rakan menghina dan memperlakukan PAS sebegaiamana DAP, sepatutnya PAS keluarkan amaran sebagaimana penegasan Dato Nik Amar, bahawa PAS memang sedia bersendiri.

Kenapa Hanipa kalut?

Kenapa Hanipa perlu campakkan pula kisah Umno dan BN dalam situasi ini?
Tegurlah DAP, minta DAP tarik balik kenyataan menghina Presiden PAS. Kalau mahu berkawan sepatutnya kita saling lengkap melengkapkan bukannya menghina sesama pimpinan begitu.

Tetapi Hanipa pilih untuk kritik Dato Nik Amar dan membisu bila Presidennya dihina.
Itullah kelainan Hanipa, beliau memilih untuk menganggotai pasukannya sendiri. Mungkin itu isyarat buat para perwakilan  pada muktamar PAS nanti.