Dalam akhbar The Star hari ini Joceline Tan di dalam ruangan
“Comment” nya mengulas pankang lebar darihal ramalannya terhadap keputusan PRU
ke 13 nanti.
Mungkin bagi kita yang sedang rancak dan bertenaga mahu
melangkah ke Putrajaya, pandangan negatif ini dikira sebagai sebahagian dari “perang
saraf” BN. Walaubagaimanapun bagi saya elok juga ditinjau-tinjau dan dikaji
demi memperbaiki kelemahan dan memastikan ianya tidak tepat dan meleset.
Joceline membayangkan lonjakkan besar sokongan terhadap PR
akan datang khasnya dari pengundi Cina di bandar. Beliau anggarkan sekitar 80%
pengundi dalam segmen ini sudah pasti mengundi PR. Namun bagi beliau gegaran
politik yang dijangkakan bagi PRU ke 13 ini akan hanya terhad pada kawasan
bandar dan sekitar yang melibatkan kehadiran pengundi Cina.
PR menang 82 dari 222 kerusi parlimen dalam PRU ke 12 lalu.
Untuk menguasai Putrajaya dengan kelebihan 1 kerusi PR perlu menang semua 82
kerusi berkenaan ditambah dengan 30 kerusi lain.
Di sinilah menurut Joceline masalahnya. Menurut beliau DAP contohnya
yang akan memperoleh keuntungan terbesar dari mencanaknya undi Cina terhadap PR
sesungguhnya telah hampir mencapai pencapaian maksima mereka. Ada tidak pun
mungkin DAP boleh mempertingkatkan pencapaian dengan beberapa kerusi khasnya di
Johor, Sabah dan Sarawak. Johor satu-satunya negeri dimana MCA masih punya
beberapa kerusi.
Saya sendiri sebelum ini menjangkakan pencapaian besar DAP
kali ini dimana dalam posting sebelum
ini saya menjangkakan DAP bakal menang 15-0 di Selangor (iaitu menang kesemua
kerusi DUN di Selangor yang ia tandingi, sebelum ini DAP menang 13 kalah 2)
Cabaran sekarang adalah undi Melayu. Sekali lagi kita
terhimpit dengan delima samada pengundi Melayu akan atau tidak memihak ke PR
kali ini. Joceline menjangkakan:
“The thing about this Chinese wave is that it has sent a
counter Malay wave surging towards Barisan.”(Lonjakan sokongan masyarakat Cina ini (terhadap PR) telah mencetuskan lonjakan lawan masyarakat Melayu terhadap Barisan)
Benarkah pengundi kita hari ini sudah terbelah menurut kaum
sehingga begitu kritikal sekali?!
Secara keseluruhannya mungkin tidak. Penduduk di Perlis,
Kedah, Kelantan dan Terengganu mungkin tidak termasuk dalam pengaruh ini kerana
kecenderungan mereka diketahui berbeza.
Joceline mendakwa PR hanya menjangkakan pertambahan tetapi
tidak mengambil kira apakah ia mampu bertahan pada 82 kerusi yang ia menang,
sebahagian dengan majoriti tipis dan kecil. Joceline menjangkakan ini sukar
kerana Kedah hampir tumbang (menurut beliau), di Kelantan BN dijangka menang di
6 kerusi Parlimen lagi.
Apa pun itu pandangan dan pemerhatian beliau. Buat kita,
sewajarnya kita kaji dan perbaiki jentera kita di hari-hari terakhir ini supaya
Joceline dan yang lain-lain nanti terbukti salah. Jentera PR di peringkat akar
umbi mesti gagah bekerja, jangan emosional dan jangan bersahaja.
Jika kita yakin angin kemenangan semakin kuat bertiup ke arah
kita, maka pertingkatkanlah lagi usaha kita. Jangan terbuai dengan lagu yang
enak-enak tetapi bergeraklah menurut realiti dan perkembangan semasa. Ternyata
undi Melayu kritikal, maka usahakanlah agar ia dicapai semaksima mungkin.
Semoga Allah bersama-sama kita.