Thursday, November 30, 2006

Khir Toyo roboh surau!

Saya menerima berita yang Surau Ar Rahmaniah, Kg Berembang Batu 31/2 Jalan Ampang yang merupakan satu-satunya bangunan terakhir yang dipertahankan oleh penduduk Kg Berembang telah pun dirobohkan dengan ganas dan zalimnya pagi tadi.

Di surau inilah para penduduk yang rumahnya telah dirobohkan tempoh hari berlindung dan menempatkan barangan mereka yang dapat diselamatkan disamping tumpang berteduh dan tidur disamping menunaikan ibadat.


Gambar dari Umno-Reform.com

Saya difahamkan setelah berhimpun diperkarangan Dewan Undangan Negeri Selangor dua hari lalu dan menyerahkan memorandum mereka, sekurang-kurangnya kerajaan negeri Selangor pimpinan Khir Toyo akan menimbang dan meneliti rayuan para penduduk yang rata-rata terdiri dari orang Melayu ini.


Papan tanda surau sebelum diroboh

Rupanya tidak, apa jenis pemimpin yang tidak berhati perut yang tergamak bertindak sedemikian rupa?! Saya tidak pernah mengunakan bahasa seumpama ini di sini tetapi saya kira memang inilah jenis pemimpin yang angkuh, bongkak dan sombong. Zakaria Md Deros yang membina ISTAN bernilai jutaan ringgit itu selamat berselindung di bawah kainnya, tetapi rakyat yang melarat dan merempat tanpa belas kasihan diperlakukannya bagaikan haiwan.


Disinilah para penduduk berlindung sebelum surain in diroboh!

Pemimpin Melayu apakah ini? Pemimpin Islam apakah ini?

Saya menyeru rakyat di negeri Selangor khasnya orang-orang Melayu agar insaf dan mengambil iktibar dari kejadian yang menimpa saudara-saudara kita di Kampung Berembang ini. Mereka ini taat menyokong dan membela parti pemerintah sejak pilihanraya tahun 1969 lagi, malah cawangan Umno pun telah ditubuhkan di sana sejak Allahyarham Dato Harun adalah MB Selangor.



Malah ketika pihak MPAJ merobohkan perkampungan mereka kita boleh lihat saki baki poster dan bendera dacing masih menghiasi tiang dan pondok di kampung ini.

Sekarang apa sudah jadi. Kalau beginilah nasib mereka apa bezanya Tuan-tuan yang lain yang taat dan patuh kepada pemimpin jenis ini.

Pelihara dan pertahankanlah maruah agama dan bangsa kita. Kiranya Umno sudah tidak lagi ambil pusing akan kebajikan dan nasib kita maka sudah tiba masanya kita bangun dan membuat perubahan. Katakan TIDAK pada mereka selepas ini, insyallah.
KEKWA yang songsang

Kementerian Keseniaan, Kebudayaan dan Warisan sepatutnya memiliki agenda memelihara dan mempertahankan seni, budaya dan warisan negara. Tetapi aneh, bunyinya begitu namun menterinya lebih terpesona meruntuhkan warisan dan membina tugu yang diatas tapak sejarah turun-temurun.

Pada 10 Oktober lalu menteri berkenaan Rais Yatim telah melancarkan upacara pecah tanah pembinaan Menara Berputar (Revolving Tower) bernilai RM21 juta setinggi 110 meter di tapak berhampiran Jalan Merdeka iaitu sekitar tapak dan bangunan bersejarah di Bandaraya Bersejarah Melaka termasuklah bangunan Stadhyus tinggalan penjajah Belanda.



Walaupun penduduk tempatan membantah pembinaan menara tersebut yang dikatakan tidak sesuai di kawasan bersejarah itu namun pihak kerajaan meneruskan juga usaha tersebut.

Dalam akhbar THE STAR hari ini di muka depan dilaporkan perintah berhenti kerja telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa apabila kerja-kerja tanah ditapak berkenaan telah menemui binaan tinggalan sejarah berupa tembok dan seumpamanya di situ.

Kenapa rakus sangat sehingga membelakang pandangan dan pendapat rakyat. Kalau pun perlu sangat bina Menara umpama sebilah keris itu, binalah di tapak yang jauh sedikit dari situ. Apakah kita tidak menghargai tinggalan sejarah dan warisan kita, tak kiralah dari penjajahan Inggeris, Belanda, Portugis lebih-lebih lagi dari Kesultanan Melayu Melaka. Kalau orang asing pun menghargai warisan sejarah kita, takkanlah kita ank bangsa tidak!

Benarlah kata Tengku Razaleigh semasa merasmikan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke 7 baru-baru ini:

Dalam sistem kita berpolitik kerajaan sepatutnya takut dan akur kepada rakyatnya.Rakyat yang lemah melahirkan pemimpin yang leka.

Wednesday, November 29, 2006

Melayu terpinggir di Singapura

Singapura pada hari ini adalah sebuan negara maju yang taraf hidupnya standing dengan negara-negara maju lain. Ekonominya teguh dan matawangnya antara yang paling stabil di rantau sebelah sini.

Segalanya bergerak pantas dan cepat di negara pulau itu. Lantaran kepantasan hidup itu siapa sahaja yang lemah dan tidak berupaya akan terpelanting ke tepi tanpa belas kasihan. Yang menjadi paspot untuk kehidupan sejahtera adalah wang, pelajaran dan kedudukan. Siapa sahaja yang tandus dari memiliki kekuatan ini akan kecundang dan akhirnya menjadi sampah masyarakat.



Orang Melayu yang satu ketika dahulu besar bilangannya di Singapura hari ini semakin kecil. Dahlah kecil mereka pula sebahagian besar berada diparas yang tidak teguh, seteguh kaum Cina dan India. Flat-flat kos murah yang mencakar langit kini menggantikan rumah kampung yang merupakan kawasan penempatan tradisional orang Melayu.

Tidak seperti di Malaysia, tiada pembelaan khas untuk bangsa Melayu walaupun perlembagaan Singapura ada memberi ruang kepada Malay special rights sebagaimana kesitimewaan Melayu di sini.

Dalam akhbar BERITA HARIAN Singapura hari ini dipaparkan tentang kisah Pak Rapen Maneh, 57 tahun yang hidup merempat di tepi pantai dalam sebuah khemah dekat Masjid Petempatan Melayu Sembawang. Di situlah beliau dan isterinya tinggal sejak dua bulan dahulu, memetik sayur-syaur liar di hutan berdekatan dan menjala ikan untuk mengisi perut apabila lapar.

Pak Rapen merempat di situ selepas gagal melunas tunggakan flat sewa mereka di Marsiling.

Saya sungguh sedih melihat nasib beliau yang dilaporkan menanggung penderitaan fizikal pula dengan kakinya diserang pekung yang dihurungi lalat.

Tidakkah ini bukti Melayu Singapura terpinggir? Dahlah itu, menurut akhbar itu lagi baru-baru ini pihak Penguasa Tanah Singapura (Singapore Land Authority) telah mengeluarkan notis agar Pak Rapen segera meninggalkan tapak diterokanya secara haram itu!

Ke manakah Pak Rapen selepas ini agaknya?

Sementara itu penduduk di Kg Berembang di Ampang yang rata-rata orang Melayu juga hidup dalam khemah plastik bagaikan khemah Pak Rapen juga, tetapi Melayu di sini tidak terpinggir. Mereka memegang kuasa, Perdana Menteri, Menteri Besar semuanya Melayu belaka, tetapi kenapa ada yang senasib dengan Pak Rapen, entahlah?
Skandal pimpinan Selangor dibawa ke Dewan

Saya menerima banyak cadangan agar menulis berkenaan isu sensasi ini yang telah ditempatkan oleh Ketua Pembangkang DUN Selangor YB Teng Chang Khim di blognya. Isu yang dimaksudkan adalah gambar negatif sepasang lelaki dan wanita yang dikatakan diambil di dalam bilik air sebuah hotel.

Menurut Teng gambar tersebut dikatakan adalah gambar seorang ahli Parlimen dan seorang Senator kedua-duanya dari Umno dan kedua-duanya dari negeri Selangor. Selain itu kedua-duanya juga sudah berumah-tangga masalahnya bukan sesame mereka!



Hari ini barulah saya mengagahkan diri untuk menulis kerana semalam isu ini telah dibawa oleh seorang lagi ADUN Pembangkang Selangor iaitu YB Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) ke Dewan Undangan Negeri Selangor semalam.

Semalam dalam akhbar THE STAR kedua-dua ahli Parlimen Gombak Dr Rahman Ismail dan Senator Norhayati Onn yang juga Ketua Wanita Umno bahagian Kapar, menafikan yang gambar tersebut adalag gambar mereka. Kata Rahman:

It’s a fake one (Ianya palsu)

Dan kata Norhayati (yang bapanya adalah Pengerusi Tetap Umno Malaysia dan juga Speaker Dewan Undangan):

I do not know anything about it. I have nothing going on with him and I do not know how the picture could have surfaced.
(Saya tidak tahu menahu. Saya tidak ada apa-apa dengan beliau dan saya tak tahu bagaimana gambar itu boleh muncul)

Namun di dalam Dewan Undangan Negeri semalam apabila YB Ng membangkitkan isu ini terkeluar dari mulut Speaker Dewan Tan Sri Onn Ismail bahawa kes ini tidak lagi boleh dibincangkan kerana Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam telah mengeluarkan perintah pada 16 November lalu menahan mana-mana pihak membincangkan isu ini di luar mahkamah.

Soalnya kes apakah yang dibicarakan di mahkamah syariah itu?

Sementara itu dalam akhbar THE STAR pada hari ini dilaporkan:

In a separate development, Norhayatis husband Mohd Suffian Abdul Aziz confirmed that his wife had filed for divorce recently. (Dalam satu perkembangan lain, suami Norhayati iaitu Mohd Suffian Abdul Aziz mengesahkan bahawa isterinya telah memhon perceraian baru-baru ini)

Saya kira isu ini jika melibatkan pemimpin negeri maka rakyat berhak untuk tahu. Mengapa segala laporan berkenaan isu ini digelapkan dari pengetahuan rakyat selama ini, dimanakah keterbukaan dan ketelusan kerajaan khasnya kerajaan negeri? Adakah keterbukaan dan ketelusan itu hanya diamalkan dalam hal-hal yang menguntungkan kerajaan manakala apa sahaja yang merugikannya akan disorok di bawah tikar?

Tuesday, November 28, 2006

Tol naik lagi!

Kerajaan sudah tidak mampu lagi menanggung pembayaran pampasan kepada pemilik-pemilik konsesi bagi lebuhraya-lebuhraya Guthrie Corridor, Karak, Grand Saga, LDP dan Kesas yang dikatakan mencecah RM2billion. Lalu kerajaan tidak ada pilihan lain melainkan membenarkan pemilik-pemilik konsesi ini untuk menaikkan kadar tol masing-masing. (Rujuk laporan THE STAR hari ini: Toll to go up)

Bagi pemilik konsesi Lebuhraya Damansara Puchong sahaja kerajaan dikatakan membayar pampas an RM68 juta tahun lepas dan RM76 juta tahun ini. Oleh itu jika kerajaan tidak membenarkan kenaikkan kadar tol kemungkinan bayaran pampas an ini akan terus meningkat.

Tolak sini tolak sana akhirnya mangsa yang terbaik sebagaimana biasa adalah rakyat juga.

Presiden MTUC Syed Shahir Syed Mohamad dalam rancangan Ulasan Akhbar Hari Ini di WTV8 http://wtv8.tv/ menyebut bahawa rakyat sebenarnya tidak tahu menahu akan apakah yang sebenarnya terkandung dalam perjanjian konsesi antara kerajaan dan pemilik-pemilik konsesi ini. Kerajaan septutnya bertindak telus agar rakyat dapat meyemaknya dan kiranya ia merugikan rakyat dan negara sepatutunya ia disemak semula. Jika tidak inilah padahnya, rakyat juga yang menjadi mangsa.

Bayangkan dengan kadar inflasi berligar sekitar 4.8 ke 5 peratus dan kini bayaran tol pula naik lagi, apakah akan terjadi kepada rakyat jelata selepas ini?

Pasti akan ada pihak yang berlagak pandai yang akan mencadangkan agar kita elakkan dari menggunakan lebuhraya, guna sahaja jalan persekutuan. Mengapakah begitu? Rakyat akan terus disuruh berjimat-cermat, tetapi sampai bila? Kalau dahulu kita makan tiga kali sehari (sebagaimana disebut Syed Shahir) apakah selepas ini kita perlu makan dua kali sehari sahaja?

Bagi saya sudah tiba masanya rakyat menyemak semula kecekapan kerajaan ini dan kemampuannya untuk membela dan mempertahankan nasib rakyat. Kita bukan maksudkan dua tiga juta rakyat di Bandar-bandar besar, tetapi yang kita maksudkan adalah keseluruhan rakyat di negara ini.

Sekiranya tahap kemampuannya sudah lemah dan sudah tidak bertenaga lagi, maka sudah tiba masnya untuk kita menimbang-nimbang alternative lain. Mengeluh-mengeluh juga tetapi sesungguhnya kita masih ada pilihan untuk membuat perubahan, fikirkanlah.

Monday, November 27, 2006

Kg Berembang: Orang Melayu diperlakukan bagai warga asing



Kita setuju bahawa pihak yang meneroka tanah secara haram terutama yang mendirikan rumah setinggan dan seumpamanya perlu memberi laluan apabila ada tuntutan untuk membangunkan tanah yang mereka duduki. Tidak ada siapa mahu menjadi penghalang pembangunan.

Namun dalam menangani isu ini, diplomasi dan tolak-ansur perlu diutamakan tambahan yang mahu diusir itu adalah anak bangsa sendiri, bukannya warga asing, bukannya pendatang tanpa izin.

Kg Berembang di Ampang baru-baru ini telah melihat betapa anak-anak bangsa yang telah meneroka tanah tersebut sejak selepas peristiwa hitam 13 Mei 1969, diusir dengan penuh zalim tanpa pertimbangan perikemanusiaan seolah-olah proses pembangunan atas tanah itu mahu dilakukan serta-merta!

Memang ini bukan kali pertama penduduk setinggan ataupun peneroka Bandar menerima layanan seumpama ini tambahan di Selangor MB nya begitu ghairah mahu membawa pembangunan ke atas negeri yang telah beliau isytiharkan maju itu.

Tetapi peristiwa di Kg Berembang ini ada uniknya kerana kali ini yang menanggung nasib malang ini adalah anak-anak bangsa yang setia dan taat pada parti pemerintah sekian lama. Nampaknya dalam mengejar pembangunan ini tak kira kawan atau lawan, habis disodoknya.

Lihatlah di WTV8 http://wtv8.tv/ bagaimana reaksi para penduduk di kawasan malang itu termasuk kenyataan keciwa dan putus asa seorang makcik yang merupakan pengasas wanita Umno di situ.
Nak siar atau tak siar?

Isu siaran langsung perhimpunan agung umno yang baru lepas terus mendapat perhatian ramai.

Timbalan Presiden Umno minggu lepas menyatakan bahawa siaran lansgung seumpama itu akan dikaji semula. Manakal dalam akhbar THE SUN hari ini 86% para pembacanya bersetuju agar siaran langsung seumpama itu diteruskan.



Tengku Razaleigh Hamzah, bekas Naib Presiden Umno dalam ketika ditanya Malaysiakini menyatakan bahawa siaran seumpama itu patut diteruskan malah ianya perlu dilihat sebagai satu usaha kea rah era ketelusan dan keterbukaan.

Apabila mengulas tentang kebimbangan pimpinan Umno beliau mengatakan mengapa setelah ditayangkan baru mahu memikirkan kesesuaiannya? Mengapa tidak dikaji dan difikir sebelum ianya dilaksanakan?

Benarlah pelbagai isu sensitif dan berbau perkauman ada dibangkitkan dalam perhimpunan tersebut. Akan tetapi bagi saya ianya memang patut diteruskan sekurang-kurangnya untuk memberi peluang kepada seluruh rakyat Malaysia melihat dan menilai gaya dan kematangan pimpinan parti terbesar dalam negara yang merupakan tulang belakang kerajaan itu.

Malahan usaha membuka ruang dan peluang seumpama ini tidak harus dihadkan kepada persidangan Umno sahaja lebih penting lagi Persidangan Parlimen yang melibatkan badan legislatif tertinggi negara iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara itu lebih penting lagi harus disiarkan secara langsung.

Kelantan sekurang-kurangnya menyiarkan secara penuh persidangan dewan undangan negerinya melalui internet. Ada juga kita berpeluang melihat bagaimana gelagat pembangkang (di Kelantan pembangkang itu Umno, ini perlu di HIGHLIGHT kan kerana sebahagian rakyat Malaysia menganggap yang pembangkang itu PAS, DAP dan lain-lain) di sana. Bagaimana Annuar Musa menyerang dan memukul kerajaan negeri. Kalau Kelantan boleh mengapa Parlimen tidak boleh?

Bagi saya rakyat telah melihat dengan percuma sikap dan pendirian pimpinan Umno semasa siaran langsung itu. Terpulanglah kepada mereka untuk menilai. Kalau ada yang melanggar akta hasutan atau apa sahaja peraturan, biarkan mereka dihadapkan kepengadilan. Itu kita baru berpeluang menjengguk persidangan Umno, sesungguhnya persidangan MIC, MCA dan Gerakan pun tidak kurang hebatnya.

Tapi tak ada orang membuat laporan polis kerana tak disiarkan secara langsung?!

Kalaulah pimpinan Umno dan negara berani meneruskan siaran langsung ini dan membuka juga siaran langsung persidangan Parlimen saya percaya ketika itu indeks demokrasi negara yang teruk ditangga ke 81 itu akan beransur pulih dan bertambah baik. Segala-galanya terletak ditangan Dollah selaku PM dan Presiden Umno.

Friday, November 24, 2006

Berbanggalah dengan pencapaian kita

Banyak syarikat-syarikat korporat mula mengisytiharkan laporan kewangan syarikat masing-masing untuk suku tahun ketiga 2006 ini. Dalam keadaan kos hidup rakyat yang semakin mencekek, syarikat-syarikat gergasi ini terus-menerus meraih keuntungan lipat kali ganda.

Kita mengeluh dan merintih keperitan apabila harga minyak naik baru-baru ini, rupa-rupanya syarikat pengeluar minyak negara Petrolian Nasional Berhad atau PETRONAS dibanjiri dengan limpahan keuntungan.

Menurut laporan untuk tempoh separuh tahun pertama 2006, keuntungan bersih PETRONAS sebelum mengambil kira kepentingan minoriti, meningkat sebanyak 26% ke USD6.74 billion atau RM24.66 billion, berbanding dengan USD5.3 billion bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Dan demikian juga jumlah pegangan tunai PETRONAS meningkat sebanyak 13% kepada USD13.7 billion setakat 30 September manakala tanggungan hutangnya menurun USD677 juta kepada USD11.23 billion.

Begitulah pengagihan kekayaan dalam negara kita. Syarikat gergasi yang memunggah hasil-mahsul negara saban tahun mencatatkan keuntungan berbillion ringgit, manakala rakyat jelata bergelut dan bertarung untuk menyambung hidup atas tanahair tercinta ini. Benralah rakyat sewajarnya berbangga kerana syarikat GLC ini berjaya termasuklah dipersada antarabangsa, namun takkanlah rakyat sekadar mahu diajak berbangga sedangkan hakikatnya hidup mereka susah dan terhimpit.




Dalam pada itu sebuah lagi syarikat gergasi tetapi dari industri yang berlainan turut berterusan menoreh keuntungan atas ikhsan kerajaan Islam Hadhari Malaysia. Genting Berhad telah melaporkan lonjakkan sebanyak 10.9% atas keuntungan bersihnya untuk tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2006. Sebanyak RM998.2 juta telah berjaya dipungut untuk tempoh tersebut dengan hasil dipungutnya menokok 15.6% kepada RM4.6 billion!

Resort World Berhad yang mengawal kepentingan kasino dan perjudian Genting mencatatkan keuntungan bersih RM797.9 juta juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2006. Ini bermakna purata syarikat tersebut mencatakan keuntungan bersih sebanyak RM88.65 juta sebulan ataupun hamper RM3 juta sehari!

Bayangkan berapa juta yang dipungut sehari dari mangsa-mangsa yang berjudi di Genting Highlands dan punca-punca judinya yang lain itu.

Kalau kita buat perbandingan, belanja mengurus Kerajaan Negeri Kelantan untuk tahun 2007 adalah sebanyak RM448.22 juta setahun ataupun RM37.35 juta sebulan iaitu termasuklah belanja pembangunan, gaji kakitangan, penyelengaraan dan lain-lain untuk sebuah negeri bersamaan RM1.24 juta sehari, sedangkan Resort World dalam sehari boleh memungut keuntungan RM3juta bermakna ia boleh mengurus tanpa rugi dua buah kerajaan negeri sebesar Kelantan!

Kalau untuk PETRONAS kita dikatakan wajar berbangga walaupun kocek kita kosong, dalam hal Genting bagaimana? Tidakkah ini juga merupakan satu pencapaian kerajaan BN juga? Kalau tidak kerana BN yang memberi lesen, memberi tanah dan keizinan, mustahil Genting boleh beroperasi dan menadah untung sedemikian besar.

Ini baru Genting saya menunggu-nunggu pula keputusan bagi Magnum 4D(yang pengarah Melayu/Islamnya selema alebih 20 tahun baru meninggal), Berjaya Toto, Tanjong dan lain-lain. Agaknya kesemua syarikat judi ini jika bergabung mampu mengeluarkan perbelanjaan mengurus seluruh Malaysia!

Inilah agaknya yang dikatakan Dollah : Membina Tamadun Menjulang Martabat Bangsa (Tema RMK9)

Thursday, November 23, 2006

Satu lagi pekong terdedah di Selangor

Semalam majlis angkat sumpah ahli-ahli Majlis Perbandaran Kelang telah ditangguhkan sekali lagi. Ini kerana pihak MPK menerima arahan dari kerajaan negeri bahawa majlis itu tidak boleh diadakan sehingga diselesaikan apa sahaja masalah berhubung ahli-ahli majlis berkenaan yang masih tertangguh(terutama yang hamper sama dan berkait dengan kes Zakaria Md Deros).

Sementara itu semasa artikel ini ditulis pihak penguatkuasa MPK sedang merobohkan (bukan ISTANA) tetapi DZ Satay House milik Zakaria Md Deros yang dibina secara haram atas tanah kerajaan.

Belum pun reda kes-kes kemungkaran politik yang melibatkan orang-orang kanan Umno dan BN ini, kini timbul pula cerita baru. Kali ini melibatkan anggota EXCO dari MIC pula. ADUN Ijok (ADUN 4 penggal) K.Sivalingam dikatakan telah membina sebuah restoran yang telah beroperasi selama hampir 3 tahun tanpa memperolehi kelulusan bagi bangunan yang dibinanya itu dari pihak Majlis Bandaraya Shah Alam.



Restoran DAUN PISANG yang diuruskan oleh isterinya itu dibina di atas tanah milik beliau bersebelahan dengan PUSPAKOM di Padang Jawa, Kelang.

Menurut rekod wakalupun tanah tersebut dikatakan dibeli oleh Sivalingam pada tahun 1979 namun kelulusan pindah milik hanya diperolehi bulan lepas. Dan tanpa kelulusan ini pihak pemilik septutunya tidak boleh membina apa-apa bangunan kerana ia jelas bertentangan dengan peraturan dan undang-undang yang melibatkan kawasan PBT.

Sehubungan dengan isu Zakaria, pasti jika dalam kes Sivalingam ini jika yang terbabit adalah orang kebanyakkan sudah tentu restoran itu akan dirbohkan tanpa lengah lagi oleh pihak PBT, tetapi Sivalingam sebagaimana Zakaria bukanlah orang kebanyakkan. Beliau adalah seorang ADUN dan EXCO pula (orang kuat dan harapan Samy Vellu di Selangor). Kerana itu segala tindakan terbantut lantaran yang terlibat adalah seorang anggota EXCO, maka dari mencari pasal, maka pihak PBT memilih untuk menutup sebelah mata (suku-sakat MP Jasin) dan berkokoklah Sivalingam mengaut keuntungan selama 3 tahun atas premisnya yang tidak memperolehi kelulusan itu.

Apa dah jadi Selangor? Barangkali sudah tiba masanya untuk MB nya mengundur diri, kerana pengurusannya sungguh lemah dan selalu dipertikaikan.
Isu Perhimpunan Umno LIVE:
Pak Pandir pun tersengeh

Saya tak pasti darihal orang lain tetapi bagi saya apabila ASTRO menaja siaran langsung sepanjang Perhimpunan Agung Umno ke 57 baru-baru ini saya menganggap ianya sebagai suatu usaha untuk melangsungkan agenda pihak tertentu dala parti tersebut.

Sebelum ini kita ada juga melihat siaran langsung perhimpunan parti Melayu yang terbesar dalam negara itu, tetapi ianya sekadar melibatkan upacara perasmian dan ucapan dasar presidennya serta ucapan penggulungan di penghujung persidangan. Tiba-tiba di bawah tangan Presidennya yang keenam ini, diberikan laluan kepada stesyen TV untuk membuat siaran langsung keseluruhan persidangan.

Pasti ada yang tersirat yang begitu besar sehingga memungkinkan pemberian laluan sedemikian hebat.

Pasti juga pihak ASTRO telah berbelanja jutaan ringgit untuk membuat liputan tersebut, mungkinkah akan menggelungsur lagi Indeks Rasuah tahun hadapan akibat liputan percuma ASTRO ini?



Apa pun bagi saya hasrat sebenar membuka pintu pagar gelanggang Umno itu adalah untuk memberikan peluang satu dunia mendengar para perwakilan Umno seluruh negara menghentam dan mengkritik Tun yang dikira telah bertindak biadap terhadap Dollah Badawi, Presiden parti kini.

Biar semua pihak dengar, biar satu dunia tahu bahawa seluruh kekuatan Umno tidak dapat menerima pandangan Tun dan mahu Tun duduk berdiam diri dan jangan lagi mencampuri urusan kerajaan dan Umno. Presiden dan keliling-kelalangnya akan hanya memerhati, mereka tak perlu bersusah payah, yang akan berkokok, terpekik-terlolong hanyalah para perwakilan.

Demikianlah anggapan saya.

Lalu apabila dilabuhkan tirai, diberi mikrofon, ditalakan kamera, rupa-rupanya anak buah Dollah bukan sekadar menyindir dan menyiku Tun (disamping agenda memuji dan memuja Dollah sendiri) tetapi habis apa sahaja yang lalu di depan mata dikerjakannya. Bila dah tahu yang wajah dan ucapan mereka akan ditontoni seluruh negara maka masing-masing pun mulalah menyingsing lengan dan menghunus keris.

Tak pedulilah, keharmonian negara, perpaduan negara, kebebasan berusara habis semua diterajahnya.

Akhirnya apa yang sepatutnya merupakan gelanggang terbuka untuk menyula dan menyalib Tun (disamping melambung dan membuai Dollah) menjadi medan bagi pendekar-pendekar perkauman ini untuk melepaskan geram masing-masing tanpa menyedari bahawa kuasa sebenarnya terletak pada pucuk pimpinan mereka, buruk dan cela negara sebenarnya angkara pucuk pimpinan yang diatas yang mereka sendiri pilih dan nobatkan.

Dan kini apabila persidangan sudah berlalu tiba-tiba mereka menyesal kerana menyiarkannya secara lansgung. Agenda memomokkan Tun tidak berapa menjadi, akhirnya yang kelihatan adalah betapa ekstrim dan ultranya suara-suara para perwakilan Umno yang sesungguhnya mencerminkan suara Umno itu sendiri.

Dan untuk mengawal nasi yang sudah menjadi bubur caca itu, maka Timbalan Presdien Umno berkata:

Kabinet berpendapat lebih banyak kesan negatif daripada positif membuka perhimpunan Umno secara langsung

(Hairan kenapa pula Samy Velu, Ong Ka Ting dan Lim Kheng Yaik yang diminta pendapat dalam urusan rumah tangga Umno?!)

Dan menurut laporan para perwakilan yang telah TERLAJAK dalam berbahas tersebut difahamkan akan dirujuk kepada pihak berkenaan untuk diambil tindakan. Adakah ini bermakna mereka itu akan didakwa atas tuduhan menghasut sebagaiaman laporan polis yang dibuat oleh pihak DAP baru-baru ini?

Haru-biru nampaknya nasib orang-orang Umno, dijemput jadi perwakilan disangkakan bebas bercakap, rupanya bila panas dibakar, kini yang membakar pula akan dibakar. Dalam hal ini agaknya Pak Pandir pun tersengeh rupanya ada yang lebih Pandir dari aku ….
Lagi rekod buruk untuk Malaysia

Sebelum ini kita dimaklumkan darihal Indeks Persepsi Rasuah atau CPI yang diterbitkan oleh Transparency International bagi tahun 2006. Di mana indeks Malaysia dari tangga ke 39 telah menggelungsur ke 44, membuktikan bahawa walaupun perang telah diisytiharkan terhadap rasuah di Malaysia, namun barah ini terus melarat dan menyerang batang tubuh negara tanpa kasihan.

Kini terbaru majalah antarabangsa The Economist (melalui The World in 2007, sebuah terbitan tahunan) menerbitkan Indeks Demokrasi 2006.

Indeks ini mengukur tahap demokrasi 167 buah negara di dunia. Pengukuran tahap ini melibatkan lima indikator atau petunjuk iaitu yang melibatkan proses pilihanraya, hak asasi dan kebebasan, proses pengurusan kerajaan, penglibatan politik dan budaya politik.



Dari ukuran yang dibuat kajian ini telah mengkelaskan 167 buah negara itu kepada 4 kategori iaitu: pertama negara demokrasi penuh iaitu melibatkan 28 buah negara, kedua negara yang demokrasinya tercemar iaitu melibatkan 54 buah negara, ketiga negara yang bercampur-campur amalan demokrasinya iaitu melibatkan 30 buah negara dan akhirnya negara otokratik atau kuku besi iaitu melibatkan 55 buah negara.

Negara yang berada di tangga teratas adalah Sweden manakala negara di tangga tercorot adalah Korea Selatan.

Malaysia bagaimana?

Malaysia berada ditangga ke 81. Iaitu lebih teruk dari India (35), Mongolia (56), Sri Lanka (57), Filipina (63, Indonesia (65) dan Bangladesh (75).

Betul ke ni?

Untuk berlaku adil kita sedia akur akan amalan yang melibatkan lima indicator di atas dalam negara kita sendiri. Bagi proses pilihanraya, ianya memang terus dipertikaikan dengan pengundi hantunya, persempadanan semula yang berat sebelah, pengundi pos dan berbagai amalan yang diragui. Kemudian dalam bab hak asasi dan kebebasan, kita maklum betapa sukarnya suara DISSENT ataupun yang berbeza dari arus perdana untuk diketengahkan dalam negara hari ini, ISA masih menunggu mangsanya, akhbar dan media elektronik dikawal.

Begitu juga indicator-indikator yang lain, rakyat Malaysia sendiri boleh memperakui kelemahan dan keburukannya.

Lalu tidak menghairankanlah apabila dari 167 buah negara, kita yang kononnya maju dengan minda kelas pertama ini sebenarnya duduk terperosok diangka ke 81 dalam indeks demokrasi. Bayangkan negara Timor Leste yang kita kirim pasukan pengaman ke sana pun berada 16 anak tangga di atas kita iaitu pada kedudukan ke 65. Palestin yang bergelora itu pun pada tangga ke 79 iaitu lebih demokratik dari kita!

Itulah hakikatnya. Dalam rasuah kita yang paling parah, dalam hal demokrasi kita juga kecundang dan sebelum ini Foreign Direct Investment (FDI) ataupun pelbauran asing, juga semakin kurang ke sini. Rakyat Malaysia perlu bertindak merobah kekurangan dan kemerosotan ini dan bagi saya setakat ini tiadalah cara yang lebih baik melainkan kita menukar selera dengan memberi peluang kepada kumpulan lain untuk menggantikan kumpulan yang kini ternyata gagal ini.

Bersiap-sedialah untuk berani membuat perubahan ini apabila tiba masanya kerana dari apa yang dapat kita lihat, ternyata barah politik, sosial dan ekonomi yang ditimpa ke atas kita berpunca dari Umno dan BN. Sebagaimana pepatah Cina menyebut, A FISH ROTS FROM THE HEAD, ikan itu busuk bermula dari kepalanya.

Berubahlah ke arah kebaikan demi negara, agama dan bangsa.

Wednesday, November 22, 2006

Abang Zeck masih diperlukan

Walaupun aku disekat dari menjadi ahli Majlis, walaupun aku dipaparkan sebagai seorang ADUN yang mungkar kerana gagal memperolehi kelulusan sebelum membina ISTANA ku, walaupun aku gagal membayar denda MPK, walaupun aku gagal membayar cukai pintu harta-harta ku, aku OK.

Walaupun Sultan murka pada ku, walaupun aku cuba mendapatkan diriku, anak dan menantu dilantik sebagai ahli MPK (aku dan anak gagal), walaupun aku dikatakan membina ISTANA menelan belanja RM8juta dengan wang entah dari mana, walaupun ada skandal melibatkan diriku selaku Presiden Persatuan Badminton Selangor, walaupun aku disiasat BPR, lihatlah dunia, aku masih diperlukan!



Demikianlah agaknya apa yang menari-nari dalam benak kepala Zakaria Md Deros apabila menurut laporan lebih 1,000 hadir dalam rumah terbuka Hari Raya nya di Dewan Masyarakat Kg. Idaman, Pandamaran baru-baru ini.

Kata Zakaria mereka yang ramai hadir ke rumah terbukanya adalah bukti betapa beliau masih diperlukan oleh rakyat dan rakyat masih selesa dengan beliau.

Turut hadir dalam majlis Zakaria itu adalah Khairy Jamaluddin, Naib Ketua Pemuda Umno yang juga menantu kepada PM Dollah Badawi. Dengan kehadiran orang kuat tingkat 4 ini sudah pasti melonjakkan lagi semangat dan keghairahan Zakaria akan betapa hebat dan pentingnya beliau, walaupun telah melakukan kerja-kerja mungkar, namun anak PM mengambil masa untuk meraikan majlis beliau!

Menurut akhbar THE STAR yang ketara tidak kelihatan dalam majlis Zakaria itu adalah Yang Dipertua MPK dan kebnayakkan ketua-ketua jabatan PBT itu.
Akibat akrab Aziz terguling
Akibat Mat Taib kita terpelanting

Spekulasi bahawa Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad bin Mohd Taib yang baru sahaja dilantik menjadi Senator akan dilantik pula menjadi Menteri Pusat semakin bertiup kencang.

Apabila pemberita bertanya kepada PM Dollah Badawi semalam beliau secara berjenaka berkata:

Bila tarikhnya?

Namun beliau menegaskan bahawa Mat Taib memang layak dilantik sebagai seorang Senator. Dan khabarnya beliau akan dilantik sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar, iaitu menggantikan Aziz Shamsuddin (yang sebelum ini adalah Setiausaha Politik kepada bekas PM Tun Dr M)



Saya melihat ada dua akibat yang tercetus dan bakal mencetus hasil dari perkembangan ini kiranya ia benar berlaku.

Pertama Aziz Shamsuddin ditimpa nasib malang akibat dari akrabnya hubungan beliau dengan Tun. Pada perayaan Rumah Terbuka Tun sempena Hari Raya Aidil Fitri baru-baru ini umpamanya Aziz (disamping Rais) adalah antara Menteri yang berani hadir ke rumah bekas bosnya sedangkan yang lain terus membuang sepah!

Kedua rakyat Malaysia bakal menanggung akibat kerana perlantikkan insan bernama Mat Taib ini. Benar Mat Taib dilepaskan oleh Mahkamah Brisbane kerana gagal mengisytiharkan wang tunai yang di bawa bersamanya berjumlah AUS$1.6 juta (RM3.7 juta ketika itu). Beliau juga dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana dakwaan gagal mengisytiharkan asetnya. Tetapi orang-ramai masih tertanya-tanya dari mana Mat Taib memperolehi wang sebanyak itu? Mengapa beliau yang berjawatan MB berjalan-jalan dengan wang tunai sebanyak itu?

Kita bakal meletakkan insan ini dikedudukan anggota kabinet (jika benar berlaku), duduk bersama menteri kabinet dan PM melakar dan memutuskan nasib dan masa depan negara. Diberi kuasa besar sebagai ketua satu kementerian, bayangkan betapa besarnya kuasa beliau ketika itu dan peluang-peluang besar yang terkangkang di depan matanya!

Perlantikkan ini jika benar akan meletakkan Mat Taib sebagai Menteri Kabinet dari Selangor dan pasti bersilatlah Khir Toyo dengan beliau selepas ini diperingkat Perhubungan Negeri. Akan gembira dan tersenyumla kroni-kroni lama Mat Taib nanti termasuklah Zainal Sakom dan Zainal Dahlan. Yang berpatah arang dengan Mat Taib semasa beliau jatuh dahulu: siaplah!

(Namun dalam Umno bukan Mat Taib seorang sahaja yang berjaya mensucikan kembali dirinya, sahabat baik beliau Rahim Thamby Chik (RTC) juga begitu, sekarang duduk tersenyum lebar atas kerusi empok ahli MT Umno.)

Begitulah akibat akrab dengan musuh PM maka Aziz menerima padah dan akibat PM melantik Mat Taib maka kitalah bakal menerima padah pula. Tahnaiah Mat Taib, jasamu tetap Dollah kenang.

Tuesday, November 21, 2006

PIRATE Melaka buat hal lagi

Beliau masyhur dengan ungkapan TUTUP SEBELAH MATANYA. Ungkapan itu dikaitkan dengan beliau apabila dalam satu kejadian di Melaka, beliau telah meminta agar pihak kastam berbuat demikian apabila menahan CONSIGNMENT pelanggannya.



Hari ini akhbar tempatan melaporkan yang beliau mencetuskan huru-hara lagi.

Kali ini dengan pegawai Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM). Menurut laporan Mohd Said Yusof, ahli Parlimen Jasin itu dikatakan telah cuba menghalang pihak agensi penguatkuasa tersebut dari menjalankan tugas merek apabila mereka merampas balak yang dibawa masuk oleh pelanggan Mohd Said di jeti Kuala Linggi.

Mohd Said dikatakan telah mencetuskan kekecohan di pejabat APMM apabila rampasan itu berlaku. Adalah difahamkan para pegawai APMM telah pun membuat laporan polis berkenaan kejadian itu.

Apabila ditanya para pemberita Mohd Said berkata:

Salahkah saya sekadar bertanya mengapa kayu berkenaan dirampas kerana ia menyusahkan pengimpot dan merugikan industri tersebut. Bukan saya ada marah-marah atau menganggu tugas mereka.

Menurut laporan pada kejadian 3 Oktober itu Mohd Said turut meminta para pegawai APMM agar MENUTUP SEBELAH MATA juga serupa sebagaimana kesnya yang terdahulu.

Beginilah akhlak para pemimpin Umno dan BN sejak kebelakangan ini. Ini kes kedua Mohd Said, sebelum ini kita telah didedahkan berkenaan kes yang melibatkan ADUN Selangor iaitu Zakaria Md Deros.

Adakah Mohd Said ini wakil rakyat atau wakil kepada pengimpot dan penyeludup kayu (mungkin orang Jasin ada jawapannya)? Nampaknya beliau lebih berminat menjadi pelindung kepada para pengimpot dan penyeludup ini, barangakali upahnya lebih lumayan. Oleh itu eloklah dari memalukan partinya dan kerajaan BN lebih baik Mohd Said lepaskan sahaja jawatan ahli Parlimennya dan tumpu sepenuh masa pada aktiviti ini.

Tetapi mungkin beliau tidak akan berbuat demikian, kerana jika tanpa status MP beliau mungkin diseret sahaja ke lokap apabila menghalang mana-mana agensi kerajaan dalam menjalankan tugas mereka, sebagaimana yang biasa dikenakan terhadap rakyat kebanyakkan.

Beruntunglah rakyat Jasin kerana ada wakil rakyat yang disamping mewakili mereka juga mewakili para pengimpot dan penyeludup balak, syabas!
Dato Selangor mula dikawal

Ada orang mengatakan yang jika kita melontar sebiji batu ke tengah khalayak ramai, pasti batu itu akan terkena kepala atau tubuh seorang yang bergelar DATO, nak menunjukkan betapa ramainya yang memiliki gelaran DATO di Malaysia pada hari ini.

Ada pula yang mengatakan pada asalnya gelaran Dato oleh Raja-raja Melayu ini eksklusif untuk pembesar Melayu dan mereka yang berjasa kepada tanahair dikalangan anak-anak bangsa. Tak pernah Raja-raja Melayu mengurniakan gelaran istana ini kepada yang bukan Melayu, kalau kita ingat kerana itulah diwujudkan gelaran Kapitan Cina dan Kapitan Keling (maaf tanpa maksud menghina). Tetapi kini saya kira amalan ini sudah ditiadakan.



Berbalik kepada isu asal, saya bangkitkan perkara ini kerana dalam akhbar THE STAR hari ini dilaporkan bahawa Sultan Selangor telah mengeluarkan arahan untuk mengawal penganugerahan darjat ini di negeri Baginda.

Antaranya bahawa berkuatkuasa serta merta cuma mereka yang berumur 45 tahun ke atas sahaja yang akan dipertimbangkan untuk gelaran ini (maknanya tiada lagi Dato Selangor untuk Ketua-ketua Pemuda Umno!) Manakala utnuk ahli-ahli politik cuma ahli Parlimen, ADUN dan anggota EXCO sahaja yang akan dipertimbangkan (Ketua-ketua bahagian atau AJK bahagian tiada lagi akan masuk senarai melainkan mereka ahli yang berhormat).

Demikian juga bagi pegawai tentera dan polis, cuma para pegawai kanan yang berada pada pangkat tertentu sahaja yang akan dipertimbangkan.

Dan Tuanku juga telah memutuskan bahawa di masa hadapan Selangor cuma akan mengurniakan 40 gelaran seumpama ini sahaja setahun. Menurut rekod bilangan anugerah Dato di Selangor semakin berkurangan setiap tahun sejak Sultan Sharafuddin Idris Shah menjadi Sultan Selangor. Pada tahun 2003 cuma 185 yang dikurniakan dan pada tahun 2004 hanya 127 dan ia menurun lagi ke 110 sahaja tahun lepas. Dengan kuota baru ini bermakna anugerah itu akan tersu turun lagi.

Sepatutnya begitulah, barulah pemegang anugerah itu dihormati dan disegani manakala yang menerimanya pula akan lebih cermat memeliharanya. Sebelum ini kita pernah mendengar orang-orang tertentu telah mencemarkan gelaran ini apabila terlibat dengan penyalahgunaan kuasa, rasuah, penipuan dan jenayah-jenayah lain.

Syabas diucapkan kepada Istana Selangor dan mudah-mudahan langkah baik ini akan dituruti oleh negeri-negeri lain, tambahan negeri yang tidak bersultan, sepatutnya bilangan anugerah ini di negeri-negeri tersebut lebih kecil lagi.

Monday, November 20, 2006

Perhimpunan Umno: Masuk angin keluar asap?

Apa yang anda perhatikan sepanjang Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini?

Samada kita suka ataupun tidak perhatian kita tertumpu juga ke arah persidangan parti Melayu terbesar di Malaysia itu kerana semua media arus perdana, akhba tempatan termasuklah Astro membuat liputan termasuklah siaran langsung persidangan itu.

Bagi saya setelah 22 tahun kita melihat parti itu diterajui oleh Tun Dr Mahathir, apabila ia bertukar tangan ke Dollah Badawi sudah pastilah ada kelainannya, cuma banyak atau sedikit terpulanglah kepada pemerhatian kita masing-masing.



Masuk tahun ketiga ini saya lihat memang banyak berbeza antara stail Tun dan Dollah. Umno bawah Dollah kelihatan sejuk dan hambar sedikit, saya tak mahu huraikan mengapa, pasti para pembaca lebih maklum, kerana itulah saya mengira maka suasana di Dewan Merdeka itu dirasakan perlu dihangatkan.

Kalau tutup sahaja sistem penghawa dinginnya, pasti yang tinggal cuma ahli MT sahaja dalam dewan itu, maka diolah dan diulilah agar para perwakilan yang hadir yang akan menghangatkan persidangan. Biar dilihat panas dan tegang, biar orang semua beri perhatian. Apabila ini berlaku sudah pastilah orang akan kata zaman Dollah hebat, persidangannya hangat sampai boleh keluar kata-kata menghasut dan mengadu-domba sesama kaum.

Demikianlah yang terjadi cuma apabila tiba gilirannya untuk menggulung, maka Dollah lah has the final say. Sabar, bawa bertenang, panas jangan sampai membakar, dan hari ini setelah dimaki hamun dan diancam-ancam maka pemimpim komponan BN dari pelbagai bangsa memuji dan memuja pula Dollah kerana berfikiran jauh dan terbuka. Mengapa? Kerana semasa menggulung perbahasan Dollah sekadar mengakui kehangatan sandiwara persidangan itu tetapi mententeramkan keadaan dengan berkata itu sekadar mesyuarat sahaja, tetap di luar kita macam biasa, demikianlah orang Melayu Umno!

Demikianlah strategi para penasihat Dollah untuk menyokong imej Dollah agar dilihat setanding dan sehebat Tun.

Satu lagi yang mampu menarik perhatian saya adalah ucapan dua orang wakil Umno dari Pantai Timur. Seorang dari negeri dimana Umno adalah Pembangkang iaitu Md Alwi Che Ahmad dari Kelantan yang hebat menyerang dan menyelar PAS. Sehingga beliau berkata kejayaan Umno dalam Pilihanraya Pengkalan Pasir yang lalu adalah kejayaan terhadap dua musuh Umno iaitu PAS dan Ibrahim Ali.

Berlainan pula dengan Rosli Mat Hassan dari negeri dimana PAS adalah pembangkang iaitu Terengganu. Kata Rosli:

Adalah menjadi tanggungjawab pemimpin Umno untuk merapatkan hubungan dengan pemimpin PAS dan mendekati mereka. Gahasan BN adalah untuk kepentingan kaum kita. Kita tidak boleh berpecah dan perlu ada pemantapan.

Satu nak pukul dan satu nak dekat. Yang nak pukul tu orang yang berada di kerusi pembangkang manakala yang nak dekat itu di kerusi kerajaan, menarik sungguh. Mengapa sampai boleh jadi begitu?

Friday, November 17, 2006

Siapa dibelakang Sisters in Islam?

Siang tadi semasa sesi perbahasan Perhimpnan Agung Umno, seorang perwakilan dari Pulau Pinang, Shahbudin Yahya telah mendedahkan darihal komplot beberapa NGO yang bergerak sehingga mengancam kedudukan Islam dalam negara.

Antara NGO yang didedahkan oleh wakil Umno Pulalu Pinang itu adalah:

Pusat KOMAS, Sisters in Islam dan Penang Global Ethics Project

Menurut wakil Umno itu lagi NGO-NGO ini mendapat sokongan dari sebuah badan antarabangsa iaitu Konrad Adenauer Foundation yang mempunyai pejabat cawangan di sini.

Shahbudin telah menunjukkan kepada para perwakilan beberapa produk badan ini termasuklah buku dan VCD yang katanya mempromosi konsep liberalisma dan pluralisma dalam beragama. Kata beliau ini bermakna Malaysia sekarang menerima ancaman terhadap kestabilan Islam bukan hanya dari dalam (iaitu kalangan orang-orang Melayu Islam sendiri) tetapi juga melalui kerjasama sistematik dari badan-badan luar.

Kata beliau lagi Sisters in Islam contohnya selama ini menumpukan kegiatannya kepada melemahkan system kehakiman mahkamah syariah bagi menimbulkan keraguan dikalangan masyrakat Islam agar menolak system kehakima syariah.



Sesungguhnya protes terhadap tindak-tanduk Sisters in Islam ini telah lama disurakan oleh badan-badan dan gerakan Islam, tetapi tidak diberi perhatian oleh mana-mana pihak. Malahan penubuhan apa yang dikatakan IFC itu pun menerima sokongan dan galakkan kuat dari SIS.

Cumanya apa yang wakil Pulau Pinang itu tidak sedar adalah apabila beliau mendedahkan darihal kegiatan SIS ini beliau menyinggung dua orang besar dalam Dewan Merdeka PWTC itu iaitu Presiden partinya serta Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia.

Kenapa?

Kerana anak dan isteri mereka iaitu Nori Abdullah adalah seorang aktivis SIS. Beliau sering mengikuti program, anjuran SIS. Kalau benar SIS mengancam kestabilan Islam maka Menteri Keselamatan Dalam Negeri perlu menyiasat, barangkali SIS lebih merbahaya dari KMM dan Nori pula lebih merbahaya dari Nik Adli?!!

Sebagai bukti kuatnya hubungan antara Nori dan SIS terutama terajunya Zainah Anwar berikut saya perturunkan sedutan dari sebuah artikel yang terbit dalam THE NEW YORK TIMES pada 19 Febuari 2006 lalu:

A model progressive Muslim country, Ms. Zainah observed, cannot show the world that it makes laws that discriminate against women and that allows its religious authorities to snatch away the body of a dead man from his grieving Hindu family.

As Ms. Zainah, a graduate of the Fletcher School of Law and Diplomacy at Tufts University, goes into battle, she holds some formidable cards. Chief among them are candor, not caring what others think and a refusal to be intimidated. She has not married, and said, I dont want to be a slave to a man.

Another advantage: Ms. Zainah is close to two progressive women with powerful connections, Marina Mahathir, the daughter of the former prime minister, and Nori Abdullah, the daughter of the current prime minister. He gets an earful from her, Ms. Zainah said, referring to Mr. Abdullah and his daughter.

Zainah dilaporkan menyebut bahawa Abdullah (Perdana Menteri) akan mendengar cakap Nori dan Zainah mempunyai hubungan rapat dengan Nori!

Saya tidak pasti tetapi semasa ucapan penggulungan Dollah lewat petang tadi saya tidak pula mendengar Abdullah menyentuh atau mengulas isu ini, bermakna luahan hati wakil Pulau Pinang itu yang lebih dari 10 minit tidak mendapat perhatian Presiden dan pimpinan parti.

Sementara itu memandangkan nama Konrad-Adenauer Foundation ini telah pun disebut saya fikir eloklah pihak Kementerian Keselamatan dalam Negeri dan mungkin JAKIM juga tinjau-tinjau sedikit aktivitinya. Untuk rekod, Timbalan Perdana Menteri pun pernah sebelum ini memberi ucap utama dalam sebuah forum anjuran badan yang berpusat di Jerman ini.

Kalau kita lihat badan ini turut menerbitkan beberapa buku berkenaan Islam dalam bahasa Melayu yang saya tidak pasti adakah JAKIM dan pihak yang berwajib maklum ataupun tidak, antaranya berjudul:

Makalah Penentu Tentang Hubungan Antara Syariah Dengan Falsafah,

Demokrasi dalam Al-Quran, Hadis, & Tradisi,

Islam Tunduk Menyerah

Saya mengambil inisiatif untuk menulis berkenaan SIS dan KAF ini kerana ianya dibangkitkan oleh wakil Umno dalam Perhimpunan Agung Umno. Kiranya dibangkit oleh wakil NGO Islam atau PAS sudah pasti ianya tidak perlu diberi perhatian, tetapi ini dibongkar oleh forum tertinggi dalam Umno, takkanlah pihak berkuasa TUTUP SEBELAH MATA juga?!

Kalau benar Umno serius dalam memelihara Islam, segerelah bertindak dengan menyaisat badan-badan ini tanpa prejudis.
Mukhriz masuk kandang orang salah

Bukan Razak Baginda sahaja yang masuk kandang orang salah di Mahkamah Majistret semalam, rupanya hari ini turut masuk di kandang orang salah adalah ahli EXCO Pemuda Umno Malaysia Mukhriz Tun Mahathir

Akhbar-akhbar saluran perdana tempatan hari ini dilimpahi dengan ulasan para pemimpin Umno yang menyatakan ketidakpuasan hati dan kekesalan serta kekeciwaan mereka masing-masing terhadap ulasan yang dibuat oleh Mukhriz terhadap ucapan dasar Presiden Umno baru-baru ini.



UTUSAN memaparkan tajuk di muka tiganya:

Mukhriz melampau

Manakala THE STAR di muka 8 membawa tajuk:

Leaders hit out at Mukhriz

Kesalahan Mukhriz adalah kerana dalam kenyatannya kepada akhbar THE STAR semalam beliau menyebut:

I think its an address he delivered last year. I was hoping for something new. Perhaps, he has other ideas. We were hoping that there would be some kind of attempt for reconciliation, some attempt to specifically answer the questions.

Saya rasa (ucapan dasar Presiden ini) ianya sama seperti yang dibentangnya tahun lepas. Saya mengaharpkan sesuatu yang baru. Mungkin dia ada idea lain.Kami mengharapkan akan ada usaha kearah penyatuan semula, ada usaha untuk menjawab persolana-persoalan yang dibangkitkan (oleh Tun Dr Mahathir).

Kerana mengeluarkan kata-kata itu maka Ketua Pemuda Umno Malaysia Hishamuddin Tun Hussien telah dilaporkan sebagai berkata:

Tindakan beliau dilihat SANGAT MELAMPAU dan bersifat individu. Ia bertentangan dengan cara Pemuda yang membuat keputusan secara kolektif.

Jika dia berterusan begini saya kena memikirkan semula kedudukannya dalam barisan Exco saya.

Bekas Ketua Puteri Azalina Othman Said pula menyifatkan kenyataan Mukhirz itu sebagai mempunyai banyak muslihat. Manakala Timbalan Menteri Penerangan Zahid Hamidi pula mendakwa Mukhirz memiliki prasangka yang tebal terhadap Dollahs sehingga ke tahap kebencian.

Ketua Penerangan Umno Kelantan Alwi Che Ahmad pula menyatakan:

Kalau hati dah tak betul, buat apa pun tak betul. Ini dah pergi keperingkat personal.

Nampaknya Umno sudah tidak ada lagi ruang untuk berbeza pandangan. Mukhriz ternyata sekadar memberikan komen peribadi beliau, bukan pun berucap dalam perhimpunan agung itu (yang saya yakin beliau tidak akan diberi peluang), tetapi pandangan beliau it terus diselar dan diserang oleh pelbagai pihak termasuklah oleh Ketuanya sendiri.

Hisahamuddin perlu sedar bahawa Mukhriz duduk sebagai ahli EXCO Pemuda bukannya kerana menang tanpa bertanding sebagaimana Khairy, tetapi Mukhriz telah memperolehi undi terbanyak dari para perwakilan Pemuda!

Demikianlah hebatnya Umno mendukung dan menjunjung hak kebebasan bersuara dan berbeza pandangan. Kalau terhadap ahli-ahlinya sendiri pun Umno sudah bengkeng dank eras bayangkan terhadap rakyat jelata di luar sana.

Saya yakin jika Mukhriz masih anak Presiden Umno, masih anak Perdana Menteri pasti tak seorang pun dari yang di atas atau sesiapa sahaja dalam Umno yang akan berani menyelarnya seperti ini.

Zahid contohnya semasa Ketua Pemuda dahulu telah menyelar Presiden Umno dengan membongkarkan isu kronisma dan nepotisma dalam Perhimpunan Pemuda, tetapi setelah Dato Seri Anwar Ibrahim dipecat dari Umno dan beliau merasai kesempitan hidup ditahan polis, beliau terus bertukar haluan dan menyokong serta menjulang kembali Tun Dr Mahathir dalam sekelip mata.

Jadi tak hairanlah kalau hari ini beliau menyerang pula Mukhriz anak Tun Dr Mahathir itu.

Kesimpulannya kalau mahu hidup lama dalam Umno sekarang ini, enggeh sahaja, jadi bagaikan burung tekukur, suruh hangguk hangguk, pasti selamat dan cerah masa depan.

Thursday, November 16, 2006

Kelantan terbukti cemerlang di bawah PAS

Dalam sibuk Umno menjalankan perhimpunannya di PWTC di Kelantan, Dewan Undangan Negeri nya sedang bersidang bagi sessi Belanjawan 2007.

Hari in adalah hari terakhir dan sebentar tadi saya sempat mengikuti sessi penggulungan pihak kerajaan negeri melalui Kelantan TV di http://www.kelantan.tv/ sehinggalah siarannya terganggu.

Apa yang ingin saya kongsi di sini adalah pencapaian kerajaan negeri Kelantan di bawah kerajaan PAS yang sangat membanggakan kita. Menurut Dato Hj Husam Musa EXCO Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, kerajaan Kelantan telah berjaya memperolehi pencapaian yang baik bagi tahun kewangan 2005.

Menurut laporan, kerajaan Kelantan menjangkakan ianya akan memperolehi defisit bagi tahun 2005 sebanyak RM35juta, akan tetapi hasil dari perbelanjaan dan kutipan hasil yang berhemah ia telah berjaya memperolehi lebihan ataupun surplus sebanyak RM170,000 (walaupun nampak kecil tapi jarang-jarang ada kerajaan negeri yang memperolehi surplus sebegini)



Manakala dalam belanjawannya untuk tahun 2005 ia menjangkakan akan berjaya mengutip hasil sebanyak RM276.82 juta akan tetapi hasil dari kesungguhan kerajaan negeri sebanyak RM318.06 juta telah berjaya dipungut. Ini merupakan satu pencapaian yang besar yang saya kira antara negeri yang terbaik di Malaysia dan sudah pasti kerajaan negeri ini juga adalah yang terbaik bagi Kelantan sejak Merdeka.

Kelantan selama ini dianak-tirikkan oleh semua pihak khasnya kerajaan Persekutuan yang dikuasai Umno/BN atas alasan ianya adalah kerajaan pembangkang. Semalam pun kita mendengar wakil Umno dari Kelantan berucap di PWTC bahawa PAS adalah musuh mereka nombor satu.

Tiba-tiba parti yang dikatakan tiada pengalaman, parti tok lebai, parti yang tak boleh bawa kemajuan dan pembangunan, parti pemecah-belah masyarakat rupa-rupanya begitu beramanah dan menguruskan wang rakyat dengan begitu berhemah dan cemerlang!

PAS Kelantan telah berjaya membuktikan bahawa dasar Membangun Bersama Islam mereka berjaya membawa kejayaan bagi negeri tersebut.

Saya kira sudah tiba masanya masyarakat Malaysia khasnya masyarakat Melayu/Islam melihat perkembangan ini dan membuat perbandingan ikhlas dengan kerajaan-kerajaan negeri yang dikuasai oleh Umno/BN. Kalau dalam keadaan terkekang dan tertekan, kerajaan negeri PAS Kelantan boleh memperolehi kejayaan cemerlang seperti ini bayangkanlah kalau mereka menguasai negeri-negeri lain dan menyumbang pula dalam kerajaan persekutuan yang baru!

Umno di PWTC sedang bergelut dengan masalah perpecahan, rasuah, dasar ekonomi dan pencapaian Bumiputera, berbuih mulut mengulangi perkara yang sama dari tahun ke tahun. Tetapi di Kelantan kita melihat sekelompok bangsa Melayu/Islam lain yang lebih kecil dari Umno, tetapi berjaya mengurus rakyat dan negeri yang diamanahkan kepada mereka dengan cermat, baik dan berjaya.

Mungkin sudah tiba masanya untuk kita berfikir dan memberi peluang kepada mereka yang lebih tulus dan ikhlas, yang lebih layak dan berwibawa. Mungkin sudah tiba masanya untuk kita merenung dan merealisasikan ayat Allah dalam surah al Maaidah ayat 54-56:

Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya, maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya.

Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah

Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasulnya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada agama) Allah, itulah yang tetap menang.
Dollah mahu pertahankan Islam

Di muka hadapan akhbar UTUSAN hari ini terpapar gambar Presiden Umno Dollah Badawi dengan tangan menjulang ke langit dengan tajuk besar:

Islam dilindungi


Menurut laporannya semasa menyampaikan ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung Umno semalam Dollah telah menyentuh berkenaan Islam. UTUSAN melaporkan:

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan Islam mahupun bukan Islam yang melampaui batas dengan mempersoalkan status agama suci itu.

Perdana Menteri berkata, beliau akan memastikan kesucian Islam dan fungsi Mahkamah Syariah terus terpelihara daripada sebarang cubaan untuk merendah-rendahkannya.
Pada masa yang sama, beliau juga akan memastikan tiada ikhtiar dilakukan oleh mana-mana pihak untuk merampas Islam bagi menyuburkan sikap kebencian dan tidak toleran.

Saya berharap agar Dollah diberikan kekuatan untuk melaksanakan apa yang beliau perkatakan itu. Islam memang wajib dipertahankan, jangan sampai ada pihak lebih-lebih lagi yang sesama Islam yang menimbulkan keraguan atau berusaha memperkenalkan sesuatu yang asing dan bercanggah dengan agama yang suci ini.

Islam tertegak dengan amar makruf dan nahi mungkar, menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar. Kalau yang makruf dan mungkar kedua-duanya kita amal dan pertahankan, Islam akan menjadi condong, longlai dan layu. Isu ini perlu ditekankan dan Dollah perlu beri perhatian padanya jika beliau benar-benar serius.

Kesucian Islam boleh dinodai apabila ada pihak menuntut kebebsan dalam sesuatu perkara yang melibatkan hukum-hakam Islam kononnya atas alasan menjuarai hak kebebasan individu. Islam mempertahankan hak kebebsan individu namun ianya mestilah dalam ruang lingkup Islam itu sendiri sebagaimana hak asasi manusia dalam Perlembagaan Persekutuan diamalkan tertaklu kepada batasan tertentu.

Umat Islam tidak boleh dibenarkan bebas melakukan maksiat apa lagi dikhalayak ramai atas alasan KEBEBASAN. Oleh itu penguatkasaan dalam bentuk pencegahan maksiat perlulah ditekankan khususnya yang melibatkan umat Islam sendiri. Jangan kita berhujah mahu Islam dipertahankan akan tetapi akhlak dan perilaku umat Islam kita tidak pedulikan kerana meraikan konon-kononnya hak kebebasan individu!

Cumanya dalam hal ini Dollah perlu juga meninjau-ninjau di bawah bumbungnya sendiri. Kerana sebelum ini telah ada usaha pihak yang seumpama ini menggunakan ahli keluarganya untuk memanjangkan agenda jahat mereka.

Kalau kita masih ingat di awal tahun 2005 lalu sebanyak 52 NGO dan 42 individu telah mengemukakan petisyen agar kerja-kerja pencegahan kemungkaran dikalangan umat Islam (samada oleh pihak berkuasa agama atau PBT) dihentikan atas alasan ianya bercanggah dan bertentangan dengan prinsip hak asasi individu

Kumpulan ini mendesak agar kerajaan menjamin yang akhlak dan moral individu itu adalah hak masing-masing dan tidak perlu dikawal atau dicegah mana-mana pihak termasuklah pejabat agama dan PBT.



Kalau kita dan Dollah masih ingat petisyen ini turut disokong dan ditandatangani oleh beberapa ahli parlimen apabila ianya dijajaj di lobi Parlimen. Dan penjajanya ketika itu adalah tidak lain dan tidak bukan puteri kesayangan Dollah sendiri iaitu Nori.

Oleh itu dalam pada kita kelihatan bersungguh mahu melidnungi Islam, pastikan juga perkara yang seumpama ini ditangani dan jangan dibiarkan berulang.
Wakil Umno Kedah mahu pertahankan Zeck

Kata perwakilan Umno Kedah Senator Tajul Urus semalam (yang kalau tak silap saya tidak dimuat dalam UTUSAN) bahawa isu ISTANA Zakaria Md Deros, ADUN Umno Pelabuhan Kelang sengaja ditonjolkan oleh pihak tertentu kononnya kerana ada agenda tersembunyi.

Katanya amalan membina rumah tanpa kelulusan adalah sesuatu yang biasa dikalangan rakyat Malaysia. Isu Zakaria ini menurut beliau sengaja dibesarkan untuk memburukkan imej Umno.



Kalau benarlah pandangan Timbalan Ketua Umno bahagian Merbok ini, bermakna beliau tidak secara langsung menyarankan agar amalan yang bertentangan dengan undang-undang ini terus diamalkan dan jangan diambil peduli sangat (tutup sebelah mata).

Hairan saranan dan ulasan sebegini boleh terbit dari mulut seorang ahli Parlimen, anggota Dewan Negara, seorang ahli penggubal undang-undang negara.

Zakaria adalah seorang ADUN, seorang ahli majlis perbandaran dan bekas Senator pula tu. Tindakannya membelakangkan undang-undang membina mahligai tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan adalah suatu tindakan biadap, sombong dan tidak boleh dimaafkan jika kita mengambil kira latarbelakangnya.

Tindakannya telah mencetuskan kemarahan bukan hanya rakyat biasa dan pemimpin masyarakat di Selanggor, hatta Tuanku Sultan Selangor juga turut murka.

Kebetulan Zakaria adalah seorang pemimpin Umno maka terpalitlah juga aib pada Umno. Oleh yang demikian Tajul tidak perlulah menerbitkan andaian yang karut-marut dan bukan-bukan. Kalau benar pendedahan isu Zakaria itu memburukkan Umno Tajul sepatutnya mencadangkan agar MT Umno pecat sahaja Zakaria dari parti tersebut bagi membutkikan betapa Umno tidak melindungi aman-mana pihak yang melanggar undang-undang dan menyalah-gunakan kuasanya.

Jangan nak cari-cari alasan untuk membela atau mempertahankan orang yang bersalah!

Terdapat satu prinsip undang-undang dalam bahasa Latin yang menyebut:

IGNORANTIA JURIS NON EXCUSAT

Ignorance of the law is not an excuse/ jahil tentang undang-undang itu bukanlah suatu alasan

Tambahan pula seseorang itu adalah penggubal undang-undang sebagimana Zakaria dan Tajul!

Wednesday, November 15, 2006

Terlalu banyak lada di mulut Rafidah

Perumpamaan Melayu: Siapa makan lada dialah yang merasa pedasnya, memang benar dan berasas.

Kita boleh bayangkan huru-haranya orang yang terasa pedas itu melalui aksi si monyet dalam satu rencana iklan di RTM satu ketika dahulu, di mana si monyet ghairah melihat kebun cili yang merah menyala, lalu menerpa dan menelan sepuasnya walaupun dinasihatkan sang kura-kura: Jangan monyet. Si monyet terus menerkam dan akhirnya terlonjak-lonjak dan tentu arah merintih kepedasan.

Begitulah saya melihat Perhimpunan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno yang berlangsung di PWTC semalam. Setelah menerima arahan supaya tidak membuat serangan peribadi kepada mana-mana pihak, arahan itu seakan dipatuhi oleh semua yang dari Ketua-ketua sayap sehinggalah para perwakilan

Ketua Pemuda Hishamuddin Tun Hussien malah menyatakan di dalam ucapannya:

Kepada Yang Amat Berbahgia Tun Dr Mahathir kami terhutang budi, kepada YAB Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi teruslah pimpin kami.

HARAKAHDAILY menyebut ketika Hishamuddin menyebut nama Tun para perwakilan memberikan tepukan yang gemuruh dan tak segemuruh apabila nama Abdullah disebut. Dan kenyataan ini diskong oleh laporan Joceline Tan di dalam THE STAR yang menyebut:

His approach met with approval from Youth delegates for they broke into loud applause at the mention of Dr Mahathirs name.

Walaubagaimanapun seorang pemimpin dari sayap-sayap Umno itu ternyata tidak dapat menahan emosinya malah melepaskan bisa-bisa yang bersarang dimulutnya tanpa memperdulikan larangan tadi. Kerana itulah saya bawakan perumpamaan Melayu di atas serta kisah sang monyet itu kerana rupa-rupanya dalam ramai-ramai ada juga seorang yang menggelupar kepedasan lantaran barangkali tertelan dan terkunyah terlalu banyak cili!



Beliau yang dimaksudkan adalah Ketua Pergerakan Wanita Umno, Rafidah Aziz. Manakan tidak, selain jambatan bengkok, Rafidahlah yang teruk dikiritik dan dilondehkan oleh Tun dalam kritikan-kritikan beliau sebelum ini.

Oleh itu tiada gelanggang yang lebih sesuai bagi tokoh Wanita yang lewat usianya ini melainkan menggunakan pentas dimana beliaulah ketuanya iaitu Perhimpunan Wanita, untuk melepaskan dendam kesumat dan kemarahannya yang tidak ada batas terhadap Tun yang pernah beliau julang dan junjung satu ketika dahulu.

Sikap Rafidah ini terbukti apabila Joceline melaporkan:

Delegates at the Wanita and Puteri wings appeared to side step the Tun issue although the Wanita chief made what many saw as a veiled attack on the former Premier.

Rafidah dilaporkan menggunakan kesempatan memukul curi dan menyerang Tun di dalam ucapannya dengan pendekatan penuh licik namun boleh dibaca banyak pihak. Antaranya beliau menyebut:

Bahkan, ada yang tidak betul samasekali, dan ada yang memudharatkan negara, terutama apabila Pemimpin dan Kerajaan dikecam, dan dihina. Tuduhan-tuduhan yang berunsur fitnah, nampaknya menjadi lumrah sekarang.

Perlu diingatkan bahawa, titisan air yang berterusan ke atas batu, akan, lama kelamaan, menghakis batu itu, dan akhirnya, dengan kesan sejuk dan panas, batu itu akan retak, dan pecah.

Memang isu berkenaan AP dan kaitannya secara langsung dengan Rafidah telah Tun bangkitkan banyak kali sehinggakan Rafidah sudah seolah tiada tempat lagi berlindung sehinggalah Presiden Umno, Abdullah Badawi mengambilnya dan dimasukkan ke dalam kem beliau. Rafidah pernah mengeluarkan enyataan meminta agar Tun duduk diam dan jangan dipedulikan lagi. Beliau menganggap teguran-teguran Tun itu sebagai batu penghalang kemajuan Umno dan kerajaan tanpa mengambil pusing adakaah ianya berasas ataupun tidak.
Rafidah menyebut:

Jika mana-mana individu atau pihak, mendesak supaya suara mereka sahaja yang diterimapakai, maka ini jelas bertentangan dengan proses dan konsep, demokrasi yang telah sekian lama menjadi amalan Parti dan negara. Dan, ini menafikan hak yang ramai, iaitu yang majoriti untuk bersuara, dan menentukan pilihan mereka.

Demikianlah gelagat orang yang kepanasan. Bagaikan sang monyet tadi, kasihan entah sungai atau air terjun mana yang diselamkan kepalanya untuk mematikan kepedasan tadi. Kasihan Rafidah.

Tuesday, November 14, 2006

Ayuh berpegang kepada aqidah yang betul: Najib

Semalam Dato Ser Najib Tun Razak telah merasmikan secara serentak Perhimpunan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno di PWTC.

Dalam ucapannya itu beliau telah menggariskan lima perkara yang perlu digerakkan oleh ketiga-tiga sayap Umno ini bagi memacu minda Melayu.

Perkara keempat adalah memacu minda Melayu dengan mempertahankan aqidah. Najib menyebut:

Hanya dengan pendidikan yang sempurna dan pemahaman Islam yang jelas akan melahirkan masyarakat yang berpaksikan akidah yang betul. Dengan berpegang kepada ajaran agama dan akidah kukuh yang dipertahankan maka umat Islam di negara ini dapat menuju al falah seterusnya menjadikan kita sebagai negara Islam contoh yang dihormati oleh kawan dan lawan.



Saya sungguh kagum dengan CONCERN dan gesaan Najib itu cuma saya tidak pasti akan sampai kemanakah ianya nanti? Gesaan Najib itu sungguh besar dan berat, apakah sanggup kita semua kembali dan berpegang kepada ajaran agama dan aqidah yang kukuh? Berupayakah kita menuju ke al falah itu?

Bagi saya berpegang kepada ajaran agama dan aqidah yang kukuh bermaksud menerima secara TOTAL segala tuntutan dan kehendak Islam sebagaimana digariskan oleh Allah swt melalui al Quran dan disampaikan oleh Rasul Nya saw. Berpegang kepada ajaran agama bermakna melepaskan tangan dari sebarang ajaran yang lain, berpegang kepada aqidah yang kukuh bermakna memelihara diri dari kerja-kerja syirik dan sebarang aktiviti yang menjurus kea rah itu.

Kita tidak boleh menjadi masyarakat yang berpaksikan aqidah apabila dalam waktu yang sama kita juga melakukan kerja-kerja yang mengundang kemurkaan Allah swt.

Maaf tetapi kita di Malaysia yang diterajui Umno masih belum berani untuk kembali ke perkara sekecil-kecil (kalau itu dilihat kecil) memlihara aurat, contohnya. Isu aurat ini dimaktubkan oleh Allah swt di dalam al Quran secara jelas dan diperkukuhkan pula oleh hadis-hadis Rasulullah saw, akan tetapi ianya cuma menjadi amalan bagi mereka yang prihatin sedangkan pihak yang berkuasa termasuklah parti yang memerintah seolah memandang ianya sebagai opsyen, ikut pun boleh tak ikut pun mengapa.

Tahun hadapan contohnya kita akan menyaksikan sekali lagi DYMM Permaisuri Agung kita akan mengenakan pakaian Islam yang berpaksikan aqidah (setelah Permaisuri Aishah dahulu), mengapa isteri-isteri Menteri (kecuali yang dah patuh), Timbalan Menteri, Menteri-menteri wanita, YB-YB tidak boleh ikut sama? Mengapa isteri TPM tidak berpakaian mengikut paksi aqidah yang betul, mengapa isteri KSN juga tidak ikut?

Dan banyak lagi perkara-perkara besar yang sebenarnya menunjukkan bahawa kita semakin lalai dan longgar dalam berpegang kepada paksi aqidah yang betul malahan kitalah yang menjadi pencetus kea rah wujudnya suasana ini.

Kita membuka luas pintu maksiat, tetapi kita mengadu apabila gejala sosial semakin meruncing dan menjadi masalah besar dikalangan bangsa dan penganut kita.Kita mengizinkan industri arak dan judi malahan kita seolah hilang kawalan apabila anak-anak kita bekerja dan mencari rezeki di tempat-tempat ini. Kita menyepi diri apabila ada yang menjadi pengarah dan pemegang saham syarikat-syarikat ini.

Tiba-tiba kita mahu berpegang kepada ajaran agama dan aqidah yang kukuh, berupayakah ianya menjadi?

Saya bukan bermaksud mahu merendahkan keinginan dan kesungguhan sahabat-sahabat kita dalam Umno itu (jika benar-benar mereka bersungguh), tapi bagi saya jika benar mereka serius, kuasa sebenarnya berada ditangan mereka, sekelip mata masyarakat dan negara boleh menjadi negara Islam contoh sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah swt jika mereka benar-benar inginkannya. Namun dari pengalaman kita, maaf tetapi saya kira gesaan Najib ini sekadar retorik politik, hangat, panas ketika disampaikan tetapi akan sejuk dan hilang begitu sahaja apabila selesai perhimpunan di PWTC itu nanti.
Khir cuba berdalih lagi

Dengan status MAJU yang ditempelkan pada negeri Selangor maka sudah barang pastilah setiap operasi dan pengurusan yang melibatkan negeri ini perlu setimpal dengan sstatus MAJU nya itu.

Umpamanya kemudahan infrastruktur yang ada di Selangor mestilah jauh lebih baik dari Kelantan atau Terengganu, jika tidak sia-sialah tempelen MAJU itu yang tidak memberi sebarang makna. Demikianlah juga kepimpinan negeri septaut-patutnya.

MB Selangor mestilah cekap, berkaliber dan jauh ke hadapan berbanding MB atau Ketua Menteri lain kerana negeri yang ditadbirnya adalah negeri MAJU jika tidak samalah bagaikan kita suakan bunga kepada kera, pasti tiada makna baginya.

Saya menyatakan ini kerana saya keciwa malah naik bosan dengan jawapan yang diberikan oleh Khir Toyo berhubung isu Komplek Banglo EXCO yang didedahkan oleh sisipan akhbar THE STAR semalam yang telah saya paparkan dalam BLOG ini semalam juga.

Kata Khir sejak ahli-ahli EXCO nya tinggal di Komplek ini mereka telah dapat datang awal ke mesyuarat mingguan EXCO kerana kediaman mereka kini lebih dekat iaitu di Shah Alam. Apakah sebelum ini mereka memang datang lambat ke mesyuarat EXCO? Saya kira tidak ada apa alasan pun boleh diberikan oleh mana-mana ahli EXCO untuk datang lewat ke mesyuarat EXCO yang sememangnya tidak masuk akal. Kalau ada anggota EXCO yang tinggal di Sabak Bernam sekalipun (tak ada pun tinggal di Sabak Bernam) kalau dah tahu mesyuarat mula jam 9.00 pagi contohnya, takkanlah mereka keluar rumah dari Sabak Bernam jam 8.45 pagi!

Mesyuarat mingguan EXCO adalah laksana mesyuarat Kabinet, ianya merupakan badan eksekutif tertinggi dalam negeri, takkanlah ada masalah disiplin datang lewat sebagaimana anak-anak sekolah!?!

Kemudian Khir mengatakan apabila tinggal di Komplek RM20 juta ini keselamatan anggota EXCO nya terjamin kerana khidmat keselamatan disediakan. Kata Khir sebelum ini anggota EXCO nya sering diancam keselamatan mereka oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Berapa orangkah yang menerima ancaman itu? Apakah pihak polis sudah dimaklumkan dan apakah tindakan pihak polis. Kenapa anggota EXCO negeri-negeri lain dan anggota Kabinet Malaysia tak pula menerima ancaman ke atas diri masing-masing? Sepatutnya semakin maju negeri semakin beradab rakyatnya, ini semakin maju semakin macam negeri COWBOY sahaja nampaknya!

Kemudian apabila menjawab soalan mengapa ada banglo-banglo ini yang dihuni oleh kaum keluarga anggota EXCO berkenaan dan bukannya EXCO itu, Khir menjelaskan kita tidak boleh menghalang, terpulanglah kepada EXCO berkenaan. Bolehkah rakyat Selangor menerima jawapan seumpama ini?

Dan akhirnya apabila ditanya mengapa kolam renang yang merupakan sebahagian dari komplek ini tidak digunakan, Khir mengatakan kolam itu sebenarnya adalah sebahagian dari lanskap pengindahan komplek itu dan ia bukannya sebuah kolam renang.

Memang berserabut kita dibuatnya, cuba kita perhatikan gambar yangs aya sertakan di bawah, ada dua kolam, yang besar dan satu lagi yang hulat itu lebih kecil. Siapa sahaja yang siuman akan kenal bahawa kedua-dua kola mini adalah kolam renang. Satu untuk orang dewasa dan yang bulat itu untuk kanak-kanak. Kebiruan airnya jelas menandakan ia diklorinkan. Kolam ikan orang tak letak klorin nanti mampous habis ikannya!

Bagi saya apa yang didedahkan oleh THE STAR ini jelas menunjukkan pertamanya kegagalan komplek ini digunakan sebagaimana ianya dirancangkan dan keduanya betapa kerajaan negeri telah berjaya membazirkan wang rakyat membina satu komplek yang tidak bermanfaat, bayangkan jika wang sejumlah itu dibelanjakan untuk projek pembinaan rumah rakyat pasti dapat menempatkan ribuan anak Selangor yang masih tidak berumah!

Monday, November 13, 2006

Gajah putih di Selangor

Sejak akhir-akhir ini Selangorr tidak sunyi-sunyi dari pelbagai skandal, gugur berderu-deru bagaikan durian dimusimnya.

MB Khir Toyo bagaikan PUNCHING BAG yang dilanyak tak henti-henti oleh akhbar-akhbar saluran perdana, seolah ada tangan hitam yang mengizinkan perkara-perkara ini didedahkan, tak tahulah.

Hari ini dalam sisipan akhbar THE STAR didedahkan pula berkenaan sebuah projek kerajaan negeri yang telah menelan belanja RM20 juta, yang semasa siapnya satu ketika dahulu pernah dipertikaikan oleh banyak pihak tetapi dipertahankan oleh MB.



Projek tersebut adalah komplek banglo anggota EXCO Selangor di Seksyen 7 Shah Alam. Komplek banglo ini lengkap dengan 10 biji banglo dua setengah tingkat lima bilik lengkap dengan perabot seluas 360 kaki persegi tiap-tiap satu, termasuk satu kolam renang dan sebuah rumah kelab yang dibina atas tanah seluas 2.6 hektar.

Tetapi kini komplek ini bagaikan projek GAJAH PUTIH, mengapa? Sebab cuma 4 buah rumah sahaja yang dihuni oleh anggota EXCO negeri, 3 lagi dihuni oleh kaum kerabat anggota EXCO berkenaan dan sebuah sekadar rumah persinggahan seorang EXCO.



Apa sudah jadi?

Sedangkan masa dibina dahulu MB menjelaskan dalam dewan bahawa tujuan komplek ini adalah untuk menghimpun kesmseua anggota EXCO Selangor di bawah satu bumbung bagi memudahkan mereka berjumpa, berbincang dan bermesyuarat apabila sahaja perlu.

Menurut maklumat idea membina komplek ini datangnya dari seorang anggota EXCO dari MIC iaitu K. Sivalingam yang mengambil idea dari apa yang diamalkan di negeri Tamil Nadu di India.

Akhbar tersebut melaporkan untuk mengisi kekosongan yang tidak dihuni sepenuhnya oleh anggota EXCO itu, para pegawai kanan kerajaan negeri dijemput untuk mengisinya. Kolam renang di komplek tersebut dimaklumkan tidak langsung digunakan manakala rumah kelabnya Cuma digunakan tiga kali sejak dua tahun ia disiapkan.

Rakyat dipaksa membayar purata RM2 juta bagi tiap-tiap satu banglo ini dan kini ianya tidak dimanfaatkan sepenuhnya, malah disalah-gunakan apabila kaum keluarga EXCO pula yang menjadi penghuninya. Menteri Besar perlu menjelaskan kepada rakyat mengapa perkara ini boleh berlaku sedangkan pada awalnya beliaulah yang beria-ia menyokong cadangan Sivalingam itu. Jelas Tamil Nadu bukannya Selangor dan kini berjuta-juta wang rakyat terbuang begitu sahaja.

Untuk rekod Selangorlah satu-satunya negeri yang menyediakan kemudahan semewah ini untuk ahli-ahli EXCO nya.
Jangan jadikan bangsa Melayu bahan gelak ketawa

Suka tak suka kita iktiraf bahawa Umno merupakan parti Melayu yang terbesar dalam negara. Hari ini parti tersebut akan memulakan Perhimpunan Agungnya dengan majlis taklimat Presiden pada jam 3 petang ini.

Sebagai parti Melayu yang terbesar dalam negara, dan memandangkan orang Melayu adalah kaum yang terbesar dalam negara maka sudah pasti apa sahaja yang berlaku dalam perhimpunan ini akan menjadi bualan dan pemerhatian ramai.



Dalam erti kata lain perhimpunan parti ini bagaikan satu kongres atau satu forum yang sepatutnya membicarakan nasib, haluan dan masa depan bangsa itu walaubagaimanapun kerap-kali ianya mengecewakan dan tidak menjadi sebagaimana yang diharapkan.

Lihat sahaja dalam UTUSAN hari ini, belum pun perhimpunan bermula sudah terbit satu cadangan yang bukannya mengharum dan membanggakan nama bangsa Melayu tetapi lebih meletakkan bangsa ini sebagai satu bangsa yang murahan dan menjadi bahan gelak ketawa orang lain.

Biro Ekonomi Umno bahagian Batu Pahat dilaporkan mendesak agar mereka yang dilantik mengepalai syarikat GLC atau syarikat berkaitan kerajaan disyaratkan menganggotai Umno kononnya untuk memastikan kemajuan bangsa Melayu dalam sektor korporat.

Apakah bernas atau berasas cadangan ini?

Tidak cukupkah dengan dasar dan program kerajaan yang menjadi agenda kepada GLC untuk diturut dan dipatuhi oleh kepimpinan badan-badan korporat itu? Mengapa perlu CEO syarikat-syarikat ini menyertai Umno? Tidakkah itu nanti akan mendedahkan mereka kepada tekanan dan tuntutan parti yang sememangnya ketelusannya berterusan dipertikaikan.

Lihatlah sahaja beberapa GLC di negeri-negeri yang dikuasai oleh BN. Lazimnya Pengerusi syarikat-syarikat ini disandang oleh samada MB ataupun anggota EXCO kerajaan negeri. Kadangkala CEO nya juga dipegang oleh pimpinan parti. Bagimanakah prestasinya?

Di Selangor umpamanya kebanyakkan syarikat-syarikat ini bermasalah dan terpalit dengan pelbagai skandal.

Biarlah para profesyional Melayu itu bekerja dan berkhidmat untuk kerajaan dengan bebas tanpa perlu membabitkan diri mereka dengan Umno. Jika cadangan ini diterima seolah Umno membayangkan betapa longgranya ia dalam menguasai jentera kerajaan dan GLC sehingga perlu memaksa orang-orang ini menyertai parti mereka.

Carilah idea dan cadangan lain bagaimana mahu memastikan kedudukan bangsa Melayu dalam sektor korporat boleh dimajukan, bukankah Umno itu kerajaan, bukankah kuasa ada dalam tangan Umno.

Takkanlah Idris Jala, dari suku Kelabit di Sarawak itu pun perlu masuk Umno, Umno rasanya tak ada lagi di Sarawak?! Cukuplah Umno sudah mencengkam dan menguasai semua jentera kerajaan, berilah kebebasan kepada kumpulan ini untuk menyumbang tenaga dan fikiran tanpa diganggu dengan Sang Saka Bangsa terlilit dileher dan tengkok masing-masing.
Pembangunan insan lebih baik zaman Dollah?

Minggu ini adalah minggu Umno. Mulai hari ini sehingga hari Jumaat nanti satu negara akan berbincang dan bercerita berkenaan Umno kerana minggu ini Umno akan melangsungkan Perhimpunan Agungnya yang ke 57.

Saya tertarik dengan laporan MINGGUAN MALAYSIA semalam yang membuat liputan berkenaan pandangan Naib Presiden Umno Muhyiddin Yassin.



Kata beliau cara kepimpinan Abdullah (Presiden Umno) berbeza dengan kepimpinan sebelumnya (Tun Dr M) yang pada masa itu lebih tertumpu kepada pembangunan fizikal.
Tambah beliau lagi kerajaan Abdullah memberi fokus kepada pembangunan insan dan rohaniah, bersikap telus, meningkatkan integriti dan lebih terbuka serta liberal kepada orang-ramai, termasuk media untuk menyuarakan pandangan mereka.

Dalam erti kata lain apa yang Muhyiddin cuba kemukakan bahawa zaman Tun tumpuan negara kepada pembangunan fizikal, projek pembangunan dan seumpamanya. Tetapi dizaman Abdullah tumpuannya lain. Tumpuannya pembangunan insan dan rohaniah.

Bermakna kalau dahulu akhlak dan sakhsiyah insan tidak baik sekarang ia baik, begitulah agakanya.

Saya tonjolkan pandangan Muhyiddin ini kerana saya gagal mengesan sebarang kejayaan Abdullah dibidang yang cuba Muhyiddin perbesarkan ini. Mungkin mata saya ini rabun atau barangkali juga buta tapi maaf saya memang tidak nampak.

Yang saya nampak dizaman Abdullah ini sesungguhnya yang ketara adalah sebaliknya. Akhlak dan sakhsiyah semakin buruk, indeks persepsi rasuah sahaja menurun dari 39 ke 44 bermakna keyakinan rakyat mula hilang dan merosot.

Yang saya nampak ada ahli Parlimen yang dipimpin Abdullah boleh minta pihak berkuasa TUTUP SEBELAH MATA dalam kes yang beliau ada kepentingan. Yang saya nampak ada ADUN dari parti Abdullah yang juga ahli majlis PBT membina mahligai luar biasa tanpa memperolehi kelulusan pihak majlis. ADUN ini Tuanku Sultan sendiri dapati akhlaknya tidak baik dan disuruh bertaubat.

Yang saya nampak ada Senator yang syrikatnya terlibat dengan skandal AP yang diklon.

Yang saya nampak politik wang dalam parti pimpinan Abdullah semakin menjadi-jadi sehingga seorang Naib Presiden yang berjaya dipilih akhirnya telah dilucutkan jawatannya kerana dikatakan menang melalui rasuah politik.

Yang saya nampak terdapat usaha menggagalkan bekas Presiden Umno menjadi perwakilan bahagiannya dan menurut dakwaan bekas Presiden itu wang digunakan dalam suaha jahat itu.

Yang saya nampak anak-menantu Abdullah semakin kaya lebih mewah dari masa Abdullah belum menjadi PM.

Itulah yang saya nampak, saya mungkin terlepas pandang terhadap yang lain yang baik-baik, tetapi saya yakin orang lain pun itulah juga yang dinampaknya melainkan Muhyuddin menggunakan kanta ajaib sehingga mampu melihat apa yang orang lain tak mampu.

Selamat bersidang kawan-kawan yang masih dalam Umno lagi.

Friday, November 10, 2006

PROTON bakal dijajah kuasa asing

Salah satu isu yang dibangkitkan oleh bekas PM Tun Dr Mahathir dalam siri kritikkan beliau terhadap PM sekarang adalah isu Perusahaan Otomobil Nasional atau PROTON. Menurut Tun PROTON sudah tidak mendapat perhatian kerajaan lagi sedangkan ianya merupakan industri kebangaan negara yang melahirkan ramai pakar dan profesyional kejuruteraan otomobil Melayu.

Tun menyatakan industri kereta motor negara disabotaj oleh pihak yang membenarkan kebanjiran AP sehingga kereta-kereta impot menjadi saingan terus terhadap Proton. Tun turut mengeluh bahawa kerajaan memecat CEO Proton Tengku Mahaleel dalam keadaan beliau telah mempertingkatkan prestasi Proton dalam semua segi termasuk memantapkan kedudukan kewangannya.



Hari ini ternyata Proton yang telah membawa kebangaan kepada rakyat dan negara itu, yang telah melontar nama Malaysia ke persada antarabangsa, kelihatan akan terlepas dari gengaman rakyat Malaysia apabila dilaporkan yang Volkswagon AG dari Jerman kemungkinan akan dibenarkan menguasai Proton dengan mengambil-alih penguasaan 51 peratus atas Proton.

PM Dollah Badawi semalam menyatakan yang kerajaan belum membuat keputusan tetapi sedang menimbangkan opsyen tersebut sedangkan FINANCIALDAILY melaporkan semalam bahawa kerajaan telah pun meluluskan permohonan tersebut! Menurut FD lagi keputusan untuk membawa masuk rakan kongsi asing itu telah pun dibuat pertengahan Oktober lalu apabila PM mempengerusikan mesyuarat industri otomotif negara.

Kalaulah benar maka sebuah lagi kepentingan nasional akan terlepas ketangan asing. Memang kemasukan rakan kongsi baru seumpama Volkswagon ini kemungkinan akan membawa perubahan positif kepada Proton memandangkan pengalaman besar syarikat Jerman itu dalam industri ini, tetapi mengapa beri sampai 51%?

Apakah jaminan bahawa VW akan membela kepentingan negara dengan tidak gulung tikar dan cabut lari jika berlaku krisis kerana mereka syarikat multinasional yang tidak ada masa untuk memikirkan kepentingan nasional tetapi kepentingan keuntungan mereka semata-mata.

Mungkin sekarang semakin jelas kepada kita apa yang cuba diutarakan oleh Tun itu, ianya menjadi realiti hari ini. Projek Jambatan Bengkok dibatalkan, AP King terus bermaharajalela dan kini Proton pula dijual kepada orang asing. Mungkinkah isu ini akan dibangkitkan oleh perwakilan Umno dalam Perhimpunan Umno minggu hadapan atas nama kepentingan nasional atau mungkinkah tidak kerana ketika itu para perwakilan akan lebih ghairah untuk memuji dan memuja Dollah?

Sementara itu kita ucapkan selamat sembuh kepada Tun dan mudah-mudahan beliau akan segera pulih dan terus mendedahkan isu rakyat demi kepentingan negara.

Thursday, November 09, 2006

Bahasa Melayu terus diabaikan

Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu kali ke 7 telah selesai dilangsungkan semalam iaitu setelah berkongres selama 3 hari berturut-turut di Dewan Bahasa dan Pustaka.



Tema kongres kali ini adalah:

Bahasa, Persuratan dan Kebudayaan Melayu/Kebangsaan: Pengalaman 50 tahun yang lampau dalam memperkasai setengah abad mendatang

Kongres ini telah berjaya menghimpunkan ilmuan, sasterawan dan penggiat bahasa Melayu seluruh negara. Ianya dipenuhi dengan pembentangan kertas-kertas kerja dan forum kea rah memperkasakan bahsa ibunda anak-anak bangsa itu.

Dipenghujung kongres semalam resolusi lima perkara telah diluluskan yang antara terpenting menyebut:

Menuntut supaya status bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam system pelajaran DIKEMBALIKAN kepada keadaannya sebelum 2002 termasuk proses pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik.

Tuntutan ini dirasakan berpadanan setelah banyak pihak (59 badan NGO Melayu hadir dalam kongres ini iaitu melibatkan 600 orang peserta) mengeluarkan pandangan berdasarkan pengalaman dan fakta di dalam kongres tersebut.

Ini perkara serius kerana melibatkan nasib dan masadepan bahasa ibunda orang-orang Melayu yangs eakan terancam kedudukannya dalam situasi semasa. Soalnya adakah pihak kerajaan mengambil serius perkara ini?

Menteri Pelajaran Malaysia Hishamuddin Tun Hussien yang merupakan Penaung kongres ini tidak langsung hadir menunjukkan batang hidungnya. Begitu juga Menteri Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan yang sepatutunya memberi perhatian kepada warisan bangsa ini.
Adakah ini sepatutunya sikap pemimpin Melayu yang sepatutnya membela nasib bahasa ibunda kita?

Dan malah akhbar UTUSAN yang sepatutunya menjadi lidah rasmi bahasa keramat ini tidak lansgung memberi ruang liputan terhadap majlis penutup kongres ini serta resolusi yang diluluskannya.

Demikianlah nasib bahasa Melayu, bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara kita yang tercinta. Bahasa-bahasa ibunda bangsa lain diperjuang dan dipertahankan oleh kaum mereka masing-masing dengan penuh komitmen kerana ia merupakan warisan turun-temurun bangsa masing-masing. Tetapi bahasa Melayu sayang tiada siapa ambil pusing dicicirkan kerana memberi keutamaan kepadas bahasa penjajah sehingga akhirnya anak-anak bangsa lemah pencapaian akademiknya, kalut dan kusut angkara kecaluran polisi kepimpinan negara.

Apa nak jadi?
Bush yang keras menjadi LAME DUCK, Abdullah bagaimana?

Kebanyakkan para penganalisa politik menganggap keputusan pilihnaraya Kongres Amerika Syarikat semalam sebagai suatu pungutan suara terhadap rekod Presiden Amerika Syarikat, George Bush (Reoublican).

Kekalahan besar parti Republican di Dewan Perwakilan (House of Representatives) dan Senate (setakat tulisan ini 50 Demokrat 49 Republican) merupakan isyarat dari rakayat AS bahawa mereka muak, bosan dan tidak berpuas hati dengan pentadbiran Busah terutama yang melibatkan isu pendudukan di Iraq, ekonomi, rasuah dan skandal seks dikalangan pimpinan Republican.

Kini Presiden AS itu yang tinggal lagi dua tahun untuk menamatkan tempoh dua penggalnya itu dianggap sebagai LAME DUCK President. Presiden yang lemah kerana tidak berdaya menguasai Kongres.

Sebagai langkah pertamanya Bush telah serta-merta menerima perletakkan jawatan tokoh controversial iaitu Setiausaha Pertahanannya Donald Rumsfield, yang selama ini dianggap sebagai suatu liabiliti terhadap Bush dan AS ekoran cara pengurusannya di Iraq dan Afghanistan.

Sementara itu peguam Keith Ellison menjadi Muslim pertama yang berjaya menjadi ahli Kongres AS setelah memenangi kerusi Dewan Perwakilan di Minnesota atas tiket Democrat. Sebelum memenangi pilihanraya ini Ellison pernah dipetik oleh VOICE OF AMERICA sebagai berkata:



But I do hope that if we win, inshallah [God Willing], in November, that it will signal to Muslims that we should engage in the American political system. It will signal to people who are not Muslims that Muslims have a lot to offer to the United States and the improvement of our country."

Saya sungguh berharape sekiranya kami menang, INSYALLAH, November nanti, ianya akan merupakan isyarat kepada umat Islam bahaw akita mesti melibatkan diri dalam system politik AS. Ianya akan memberi isyarat kepada rakyat yang bukan Islam bahawa umat Islam sesungguhnya mampu menyumbang kepada AS dan membawa perubahan kepada negara.

Bagi saya kekalah Repunlican di AS menunjukkan kepada kita betapa kuat dan bertenaganya suara rakyat sekiranya ia digembeling secara tersusun. Rakyat dimana sahaja tidak mungkin membiarkan kezaliman, penyelewengan, salah-guna kuasa dan rasuah berterusan dirodok ke dalam kerongkong mereka. Pasti mereka akan bertindak-balas dan apa yangtelah berlaku di AS adalah contoh kekuatan suara rakyat itu.

Di Malaysia kita juga terdedah dengan kemungkaran politik yang timpa-menimpa dari hari ke hari. Tidak cukup dengan pendedahan media, NGO dan parti-parti politik, malah bekas PM pun secara terbuka menyuarakan hakikat ini. Belum pun tiba pilihanraya ramai yang sudah menganggap yang PM kita adalah seorang PM yang LAME DUCK, dan kerajaan yang ada adalah kerajaan HALF PAST SIX.

Mungkinkah rakyat jelata di Malaysia juga nanti mampu membawa perubahan sebagaimana rakyat di AS(mungkin dengan lebih baik lagi) atau munkinkah kita semua sekadar akan berpuas hati dengan ungkapan para hulubalang Raja apabila melihat si Luncai terjun lari dengan labu-labunya ke dalam sungai:

Biarkan...biarkan?