Wednesday, April 30, 2008

Menteri Penerangan yang singkat dan cetek pemikiran

Dewan Rakyat hari ini memulakan persidangannya setelah dirasmikan oleh SPB Yang Dipertuan Agong semalam. Sebagaimana yang dijangkakan oleh seluruh rakyat Malaysia, siapa sahaja yang celik politik dan peka akan perkembangan semasa, bahawa sidang kali ini dijangka hangat memandangkan kehadiran wakil pembangkang yang besar sehingga menafikan BN majoriti 2/3.

Dengan 82 wakil pembangkang berbanding tidak sampai separuh bilangan tersebut pada penggal yang lalu sudah pastilah BN selaku kerajaan akan lebih teruji dan ini sudah pasti merupakan suatu perkembangan sihat dalam dunia demokrasi. Dengan syarat sebagaimana titah Tuanku semalam bahawa ahli-ahli dewan mestilah menunjukkan tingkah laku yang terpuji.

Sehubungan dengan itu tanpa sesiapa yang mendesak pihak RTM di bawah menterinya yang baru, tiba-tiba membuat keputusan bahawa persidangan dewan khasnya semasa sesi soal-jawab, bagi 30 minit yang pertama akan disiarkan secara lansgung melalui RTM. Sudah pastilah menteri yang bijaksana itu, bekas pensyarah universiti pula, sedar dan tahu akan komposisi baru dewan, dan kalau dia bijak juga menjangka akan implikasinya.

Rakyat rata-rata memuji langkah itu, dan si menteri sudah pasti memungut "political mileage" dari tindakannya itu, tetapi dia tidaklah boleh menjangkakan yang jika sesi itu dibuat "live" semua ahli-ahli dewan akan berlakun mengipas dan memuji kerajaan dan BN, jika begitulah andaiannya, saya mengira si menteri ini memang singkat akal dan lebih teruk lagi dari mantan menteri yang lalu yang kalah dalam PRU ke 12 itu.

Oleh itu apabila si menteri ini hari ini mengancam akan mengkaji semula keputusan siaran "live" (baru hari pertama ditayangkan) ini maka saya menganggapnya sangat kebudak-budakkan dan amat tidak layak untuk duduk dibangku menteri! Cetek dan singkat pemikirannya, tidak GLOKAL dan tidak mencerminkan menteri berfikiran kelas dunia pertama.
Malulah Shabery........

Tuesday, April 29, 2008

Babi oh babi

Tersohor betul kes babi ini setelah dibangkitkan oleh Umno Selangor dan Ketua Pembangkang Khir Toyo. Tadi dalam DUN Kelantan pun, Ketua Pembangkang di sana turut menyentuh isu babi ini.

Sebelum kita MEMBABI BUTA, eloklah kita siasat dan selidik faktanya terlebih dahulu. Kerana saya melihat pihak Umno Selangor bermati-matian mahu memainkan isu ini seolah tangan mereka suci bersih dari sebarang kekotoran.

Hari ini dalam akhbar THE SUN Ketua Unit Penternakan Babi dari Persatuan Penternak Selangor, Sim Ah Hock menyatakan, sepatutnya tidak perlu lagi diheboh-hebohkan isu ini kerana projek ladang ternakana moden yang mahu dilaksanakan ini pada asalnya dilulus dan dipersetujui olek kerajaan BN negeri dahulu.

Beliau berkata:

After the trip to Germany organaised by the former state government to visit the modern pig farms there last year, I was assured by former state exco member Datuk Chng Toh Eng that the project will be carried out and that the village head (Tarmudi) of Kampung Ladang Tumbuk, who also went on the trip with me, has agreed that the project was a good one and it should be done.

Selepas lawatan ke Jerman bagi mengunjungi ladang-ladang ternak babi moden yang dianjurkan oleh kerjaaan negeri lalu , saya diberi jaminan oleh bekas exco Datuk Chng Toh Eng bahawa projek tersebut akan dilaksanakan dan Ketua Kampung Ladang Tumbuk (Tarmudi) yang turut bersama saya pergi (ke Jerman) juuga bersetuju bahawa projek ini bagus dan perlu dilaksanakan.

Kerana itu kata Sim beliau tidak faham mengapa sekarang tiba-tiba pihak-pihak yang sama menentangnya pula. Dan yang paling menarik bagi saya mengenai kenyataan Sim ini apabila beliau menyatakan satu sebab yang mungkin mendorong pihak-pihak inis ekarang menentang projek ini adalah kerana sekarang mereka tidak akan dapat MENGAUT KEUNTUNGAN dari projek berkenaan!

Rupa-rupanya masing-masing nak kaut untung. Takkanlah Ketua Kampung, ADUN dan bekas MB nak untung dari projek babi? Makin dedah makin mengaibkan nampaknya, membabilah lagi!
Cadangan PM akhirnya ditolak

Pada 11 April lalu saya menulis:

Kata Dollah tujuan pemakluman tadi adalah untuk mengelakkan sebarang konflik dikemudian hari samada dalam hal penjagaan anak-anak mahupun bila berlaku kematian. Oleh itu jika atas asas itu maka pemakluman perlu, maka elok sangatlah ianya dilakukan hanya setelah sipolan memeluk Islam, dan berada di bawah pengawasan pihak berkuasa agama.Masyarakat akan selamat dan Islam juga terpelihara.

Ianya reaksi saya terhadap cadangan yang dibangkitkan oleh PM Dollah Badawi pada 10 April lalu selepas mempengerusikan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam apabila Dollah mencadangkan memperkenalkan peraturan baru dimana bagi sesiapa yang mahu memeluk Islam perlulah mempunyai bukti bahawa keluarganya yang bukan Islam telah dimaklumkan terlebih dahulu.

Cadangan Dollah itu ternyata tidak disenangi oleh ramai masyarakat Islam. Syukurlah semalam Persidangan Penyelarasan Undang-undang Syarak/Sivil ke 18 telah sebulat suara menyatakan melalui kenyataan Ketua Pengarah JAKIM bahawa TIDAK PERLU bagi seseorang yang ingin memeluk Islam memaklumkan hasratnya itu kepada keluarga terlebih dahulu.

Menurut Ketua Pengarah JAKIM persidangan tersebut memutuskan TIDAK ADA NAS mensyaratkan supaya pemakluman kepada keluarga dibuat sebelum seseorang memeluk Islam. Malah mereka turut memutuskan bahawa peruntukkan undang-undang sedia ada mengenai kemasukan Islam serta perkara berkaitannya sudah mencukupi dan perlu diteruskan.

Syabas pihak-pihak berkenaan kerana dapat membimbing PM agar tidak tersasar dan lari dari landasan Islam yang sebenar, mudah-mudahan ianya akan menginsafkan PM agar tidak memperkenalkan peraturan dan syarat yang nanti merugikan agama yang tercinta ini.

Monday, April 28, 2008

SPR terus tempang dan cacat

Tidak cukup dengan memperkenalkan peraturan yang tidak efektif dan masuk akal, iaitu dengan mensyaratkan waris mana-mana pengundi yang telah meninggal dunia agar menyerahkan salinan sijil mati kepada pihak mereka sebelum nama pengundi tadi dapat dikeluarkan dari daftar pengundi induk, SPR terus bernafsu kali ini mahu mengawasi pula kempen melalui internet!

Tajuk muka depan BERITA HARIAN hari ini:

SPR awasi kempen internet. Tindakan dikenakan jika clon parti politik salah guna lama web, blog, SMS

Menurut laporannya calon dan parti politik yang berkempen menggunakan laman web, blog atau SMS pada pilihan raya akan datang boleh dikenakan tindakan oleh SPR jika mereka didapati melanggar peraturan ditetapkan.

Saya hairan mengapa itu keutamaan SPR? Sedangkan apa yang mereka namakan kaedah konvensional pun tidak nampak keberkesanan pengawasan mereka. Pembolotan dan monopoli media saluran perdana, TV, radio dan akhbar oleh BN pada pilihanraya umum lalu terlepas pandangan begitu sahaja. SPR tidak pula nampak penting untuk pastikan yang liputan seimbang diberikan kepada semua pihak yang bertanding. Tidakkah liputan berat sebelah sebagaimana berlaku dalam PRU lalu dan semua yang sebelumnya mencerminkan ketempangan dan kecacatan demokrasi dalam negara kita yang sepatutnya diawasi SPR!

Kalau media kita seimbang, tidak ada siapa yang akan cenderung kepada media alternatif, masalahnya media arus perdana kita digunakan sepenuhnya oleh BN, dibolot, diratah, dimamah bawah dagu SPR, tetapi SPR tidak berbuat apa-apa, tiba-tiba hari ini mereka mahu mengawasi kempen diinternet.

Begitulah SPR kita.
Janganlah "over react"

Pengerusi DAP Karpal Singh semalam telah membuat laporan polis di Pulau Pinang. Laporannya tergadap laman web pasjohobahru.com yang dikendalikan oleh PAS Johor Bahru. Menurut Karpal di dalam laporannya laman web tersebut menyairkan melalui ruangan "shoutbox" nya komen yang berbunyi:

"Darah YB Karpal halal dibunuh"

Menurut Karpal komen tersebut menuduh bahawa beliau telah menghina Islam, dan komen itu merupakan satu ancaman bunuh.

Saya difahamkan Pesuruhjaya PAS Johor Prof Dato Dr Mahfodz Mohammad telah pun mengeluarkan kenyataan rasmimengenai isu tersebut antaranya:

Isu memohon maaf tidak timbul sama sekali kerana kenyataan tersebut bukanlah merupakan kenyataan atau pendirian rasmi PAS Negeri Johor.

Saya secara peribadi merasakan "alif" yang telah menurunkan komen itu sungguh keterlaluan, biadap dan tidak berakhlak, namun "shoutbox" ini adalah ruangan para pengunjung sesebuah laman web atau blog berinteraksi dengan pemiliknya. Siapa sahaja boleh menurunkan komennya, dan seringkali pemilik laman web atau blog tidak pun mengenali siapakah gerangan yang memberikan komen itu. (Roslan SMS Corner sendiri pernah mempunyai ruangan sedemikian tetapi kemudiannya dimansuhkan apabila para pengunjung yang separuh tiang gemar melakukan"pukul curi" melaluinya).

Kesimpulannya memang si "alif" itu keterlaluan, tetapi saya kira sebagai seorang ahli politik yang veteran, Karpal sendiri pun tak perlulah "over react" sehingga membuat laporan polis. Kalau beliau secara jujur kunjungi ruangan komen di kebanyakkan laman web dan blog termasuklah yang dikendalikan DAP sendiri, kadangkala kita akan dapati komen dari para pengunjung, ada yang keterlaluan samada bersifat perkauman, lucah dan seumpamanya. Menjadi tanggungjawab pemilik untuk memastikan hanya yang beradab sahaja terlepas, tetapi dalam kes "shoutbox" dan dari pengalaman saya memang sukar untuk memantau sepenuh masa.

Saya kira PAS Johor pun telah membuat penjelasan yang meyakinkan oleh itu tak perlulah dipanjang-panjangkan perakara ini. Malah semua pihak dalam hal ini perlulah berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan dan pandangan, jangan sampai menyinggung perasaan pihak lain dan akhirnya mencetuskan ketegangan
Arahan tidak masuk akal dari SPR

Setelah memanggil orang lain monyet kini pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) muncul sekali lagi. Kali ini SPR kononnya mahu membuktikan yang mereka bersungguh mahu membersihkan daftar undi induk dari para pengundi yang telah meninggal dunia, satu isu yang terus-menerus dibangkitkan khasnya oleh parti-parti pembangkang. Baguslah kiranya SPR mahu mengambil insiatif ini.

Cumanya dari pengumuman yang dibuat, saya merasakan kaedah yang mahu digunakan SPR itu longgar dan tidak efektif. SPR telah merayu kepada ahli-ahli keluarga pengundi berdaftar agar mengemukakan sijil kematian waris mereka bagi membantu SPR memberishkan daftar induk tadi.

Mengapakah beban ini diletakkan kepada waris simati? Bagaimana jika waris simati tidak tahu menahu yang simati itu seorang pengundi berdaftar?

Bagi saya kaedah ini adalah rumit dan menyusahkan dan kiranya diguna-pakai tidak akan mendatang kesan yang efektif ke arah memberishkan daftar induk dari menyenaraikan pengundi-pengundi yang telah meninggal dunia. Bukankah laporan kematian mesti dibuat di balai polis berdekatan? Pihak polis yang mengeluarkan sijil ini bagi mengesahkan kematian seseorang, oleh itu mengapakah pihak SPR tidak berurusan sahaja dengan pihak polis? Hubungan antara jabatan dengan jabatan (dalam hal ini suruhanjaya) dirasakan lebih kemas dan akan mengurangkan kerumitan kiranya cadangan SPR di atas digunakan.

Pihak polis pun saya difahamkan sudah ada jabatan IT nya, begitu juga SPR, mengapa ia tidak diselesaikan sesama mereka, dan kemudian SPR mengemukakan senarai mereka yang dikenal-pasti telah mati ini untuk disemak oleh rakyat setiap kali daftar undi dipamirkan.Tak perlulah menyusahkan rakyat dengan peraturan dan kaedah yang tidak masuk akal ini.

Sunday, April 27, 2008

Selamat bertugas ahli-ahli Parlimen Malaysia

Esok kesemua 222 ahli Dewan Rakyat Parlimen Malaysia akan menagngkat sumpah setelah masing-masing memenangi kerusi dalam PRU ke 12, 8 Mac, 2008 lalu. Parlimen kali ini akan melihat Barisan Nasional dinafikan majoriti 2/3 kerusi di Dewan Rakyat. BN memperolehi 140 kerusi manakala Pakatan Rakyat 82 (PKR 31, DAP 28 dan PAS 23).

Bagi PAS sendiri dari 23 wakilnya (terbaik 1999: 27 kerusi) 4 orang akan membuat "comeback" atau kembali semula kegelanggang. Mereka adalah Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang(Marang), Ustaz Nasharudin Mat Isa (Bachok), Hj Mahfuz Omar (Pokok Sena) dan Ustaz Taib Azamuddin (Baling).

PAS kali ini akan melihat pimpinan terkanannya iaitu Presiden (Marang), Timbalan Presiden (Bachok), Setiausaha Agung (Tumpat), Ketua Penerangan (Pokok Sena), Bendahari (Dr Hatta Ramli - Kuala Krai) dan Ketua Pemuda (Salahuddin Ayub - Kubang Kerian) berada di barisan hadapan mewakili parti. Juga buat pertama kali PAS akan diwakili dengan 3 wakil Muslimat iaitu Dr Lo'lo Dato Ghazali (Titiwangsa), Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja) dan Siti Zailah Yusoff (Rantau Panjang).

Mudah-mudahan ahli-ahli Parlimen PAS ini akan mewakili suara Islam di Parlimen, menjaga, mempertahan, memeilihara dan memperjuangkan agama suci ini, disamping mempertahankan kepentingan seluruh rakyat Malaysia. Ketika Presiden PAS dan Timbalan Presiden PAS (ketika itu Yang Dipertua Agung dan Naib) iaitu Almarhum Dr Burhanuddin al Helmy (Besut) dan Almarhum Prof Zulkifli Muhammad (Bachok) mewakili PAS dalam Parlimen pertama tahun 1959, suara PAS yang memperjuangkan Islam mendapat tempat dipersada nasional buat pertama kalinya. Kedua-dua bekas tokoh ini telah membuktikan kemampuan dan kehebatan pimpinan PAS.

Kita mengharapkan begitulah juga kali ini insyallah. Selamat menjalankan tugas kepada mereka, wakil-wakil Pakatan Rakyat yang lain termasuklah wakil-wakil BN.

Pertahankan demokrasi, daulatkan Islam, tegakkan keadilan!

Saturday, April 26, 2008

Azalina suci kata BPR

"Engkau bagai air yang jernih, di dalam bekas yang berdebu, zahirnya kotoran itu terlihat, kesucian terlindung jua", demikianlah lebih kurang bagi saya bunyinya lagu yang dinyanyikan oleh BPR (bukan Bumiputera Rockers) apabila mengumumkan semalam bahawa bekas Menteri Belia dan Sukan Azalina Othman tidak terlibat dalam kes penyalahgunaan dana Yayasan Sukan dan Kecergasan Wanita Malaysia (WSFFM). BPR mendapati bahwa Azalina cuma bertindak sebagai penaung yayasan berkenaan sahaja.

Apa yang BPR cungkil sebenarnya?

Kalau kita singkap laporan-laporan akhbar saluran perdana sebelum ini, BPR dikatakan sedang menyiasat hubungan antara menteri berkenaan dengan yayasan tersebut. Kalau tak tanya BPR dan tak siasat pun semua kita tahu yang Azalina adalah penaung yayasan itu, klik sahaja ke laman web WSFFM, satu dunia boleh tahu! Yang sebenanrnya menimbulkan syak wasangka, kalau BPR ini benar-benar Badan Pencegah Rasuah (dan sikit hari lagi mahu dinaik taraf ke suruhanjaya) dan bukannya Bumiputera Rockers adalah hubungan antara Azalina dengan mereka yang di dalam WSFFM itu.






Hubungan rapat antara beliau dan orang-orang tertentu dalam WSFFM itu yang diragui yang sepatutnya mendorong BPR untuk siasat, mungkinkah kerana Azalina rapat dengan orang-orang tertentu maka WSFFM yang tidak berapa terkenal itu tiba-tiba boleh diperuntukkan lebih RM11juta oleh Azalina ketika beliau menteri belia dan sukan! Badan-bdana sukan lain yang lebih terkenal dan membawa pulangan kepada negara pun tidak menerima layanan dan kesitimewaan sehebat WSFFM ini, apa yang lebih pada WSFFM ini?

Menurut maklumat yang saya terima Azalina rapat dengan Bendahari WSFFM Sharifah Sabrina. Apa BPR tidak tahukah? Mungkinkah hubungan rapat mereka mendorong Azalina membuat keputusan dan mengeluarkan arahan meluluskan sehingga RM11 juta kepada WSFFM? Apa BPR tidak selongkar sampai keperingkat itukah? Kalau sekadar menemui bukti bahawa Azalina sekadar Penaung WSFFM, maka beliau dicop suci oleh BPR, maka saya rasa tiada apalah yang boleh kita harapkan dari reformasi yang konon-konnya mahu dilakukan terhadap BPE sebagaimana yang diumumkan oleh PM Dollah Badawi baru-baru ini.
Segera buat laporan polis terhadap Datin Seri Zaharah Kechik

Dari niat untuk memalukan Tan Sri MB Selangor dan ahli-ahli EXCO serta kerajaan Pakatan Rakyat negeri, atas kononnya isu ladang babi baru-baru ini, hari ini yang sebaliknya menjadi mangsa dan menanggung padah adalah Ketua Pembangkang DUN Selangor, Khir Toyo sendiri.

Isu menculik (hijack) BALKIS dan melarikan jutaan wangnya, kini menjadi bualan rakyat, hinggakan orang-orang Melayu yang menurut Shabery Chik marah kepada kerajaan PR Selangor atas isu babi tempoh hari, saya yakin sudah tidak marahkan babi lagi tetapi lebih marah pada Khir dan isterinya.

Isteri Khir, Zaharah Kechik, mengatakan yang wang RM9.9 juta yang dilarikan itu adalah wang BALKIS dan beliau berhak mengalihkannya. Kononnya ahli-ahli BALKIS termasuk beliau sendiri berhempas-pulas bagi mengumpulkan dana sebanyak itu melalui pelbagai aktiviti. Apakah yang dihempas dan apakah yang dipulas sedangkan menurut laporan sebahagian besar wangnya datang dari syarikat-syarikat miliki kerajaan negeri yang ketika itu diterajui oleh suaminya Khir Toyo?!

Zaharah dan Khir lupa bahawa BALKIS itu adalah suatu persatuan yang berdaftar, persatuan kebajikan isteri-isteri wakil-wakil rakyat Selangor. Menurut perlembagaannya pengerusi BALKIS adalah isteri MB Selangor. Jadi bagaimana BALKIS boleh memanggil Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) sehingga memutuskan membubarkan persatuan dan mengalihkan dananya pada 11 Mac, 2008 sedangkan ketika itu Menteri Besarnya adalah Tan Sri Khalid Ibrahim dan bukannya Khir Toyo lagi!

Tak kiralah jika dana BALKIS RM1 atau RM100 juta, ianya bukan milik, Zaharah atau Khir, ia milik persatuan! Memandangkan pada tanggal berkenaan Zaharah bukan lagi isteri MB dan Khir bukan lagi MB, maka meneruskan juga urusan BALKIS adalah suatu jenayah dan kesalahan besar! Perkara ini serius dan saya harapkan pihak Pakatan Rakyat ataupun PAS, PKR atau DAP negeri segera membuat laporan polis kerana ternayata terdapat unsur rasuah dan pecah amanah yang telah dilakukan oleh Presiden dan EXCO BALKIS.

Saya mengharapkan selepas ini mereka yang menahan terik berdemonstrasi dengan sepanduk anti babi, hari ini akan melakukan perkara yang sama tetapi tukar sepanduknya dari anti babi ke anti pecah amanah, anti Zaharah dan anti Khir, berani?

Friday, April 25, 2008

Apa jadi setelah BPR siasat Azalina?

Apa jadi kes BPR yang sepatutnya mengumpul maklumat berkenaan kaitan bekas Menteri Sukan Azalina Othman dengan Womens Sports and Fitness Foundation Malaysia (Yayasan Sukan dan Kecerdasan Wanita Malaysia)? WSFFM dikatakan telah menerima lebih RM11 juta peruntukkan dari pihak kerajaan ketika Azalina Menteri Sukan, apa istimewanya WSFFM berbanding badan-badan sukan yang lain?

Menurut akhbar THE SUN Rabu lepas ketika ditanya berkenaan isu ini Azalina memberi respon yang tidak meyakinkan. Menurut akhbar berkenaan:

Former youth and sports minister Datuk Seri Azalina Othman Said has distanced herself from the million ringgit fiasco that is WSFFM’s National Womens Games by saying that she does not get involved with the foundations management and funding.

The present tourism minister was reported as saying on Wednesday that as the mere patron of the foundation, she “just cut ribbons”.

Bekas menteri belia dan sukan Datuk Seri Azalina Othman Said telah menjauhkan diri beliau dari kemelut jutaan ringgit yang melibatkan WSFFM ketika menganjurkan Sukan Wanita Kebangsaan dengan mengatakan bahawa beliau tidak terlibat dalam pengurusan dan hal kewangan yayasan berkenaan.

Menteri pelancongna itu dilaporkan sebagai berkata, sebagai penaung (Azalina adalah Penaung WSFFM) yayasan berkenaan beliau sekadar memotong riben sahaja.

Tetapi apa dan mengapa yang Azalina minat dan prihatin sangat pada WSFFM ini berbanding dengan badan sukan lain? Benar beliau mungkin tidak terlibat secara langsung dalam pengurusan yayasan itu, tetapi ketika yayasan itu yang diketuai kawan rapatnya memohon peruntukkan dari kementerian beliau, pasti beliau terlibat dalam memberikan kelulusan, bukankah itu kerja menteri, bukan sekadar potong riben?!

Menurut THE SUN semasa menganjurkan Sukan Wanita Kebangsaan itu WSFFM telah mengundang penari-penari (“aerial dancers”) dari Australia untuk majlis perasmiannya. Untuk mengundang penari-penari Australia itu sahaja mereka berbelanja RM800,000!

Dalam PM Dollah Badawi sedang tekun mahu memperkasakan BPR ini, diharapkan usaha-usaha itu termasuklah menyaisat jerung-jerung yang meluluskan RM11juta wang rakyat kepada kenalan Azalina ini. Siasat kerana rakyat mahu tahu, jangan kerana ia melibatkan menteri maka rakyat tak perlu tahu.
Isteri Khir Toyo cuba larikan RM9.9 juta

Baru-baru ini saya berkesempatan berbincang dengan seorang pegawai kanan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Beliau merayu agar kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor segera masuk dan memulihkan PKNS yang kaya tetapi penuh dengan masalah. Salah satu yang didedahkan kepada saya adalah betapa penyalahgunaan harta PKNS bukan hanya melibatkan pihak-pihak tertentu yang berkuasa malah isteri MB (kini Ketua Pembangkang) pun boleh arah PKNS menyalurkan bantuan kepada badan-bdana di bawah pimpinan beliau.

Dan ahri ini akhbar THE SUN mendedahkan di muka hadapannya:

RM10m gone in three days

Nampaknya Ketua Pembangkang DUN Selangor yang baru, bukan hanya akan sibuk dalam dewan nanti mempertahankan rekod kerajaan negerinya yang lalu malah hal ehwal dan nasib isterinya pun nanti terpaksa beliau pikul bersama.


Tanam jangan tak tanam Datin!!
Laporan akhbar tersebut berkenaan BALKIS atau Badan Kebajikan Isteri-isteri wakil-wakil rakyat Selangor. Khabarnya tiga hari selepas kerajaan BN Selangor jatuh kecundang iaitu pada 11 Mac, badan ini yang dipengerusikan isteri MB (bekas MB pada 11 Mac itu) Datin Seri Zaharah Kechik telah memanggil satu mesyuarat agung luarbiasa (EGM). Mesyuarat tersebut meluluskan untuk membubarkan BALKIS dan menutup akaun banknya. Berikutan itu keesokkan harinya melalui keputusan EGM tersebut akaun bank BALKIS telah ditutup dengan baki dalam akaunnya iaitu RM9.9 juta dipindahkan ke akaun badan lain iaitu BAKTI badan yang sama tetapi untuk isteri-isteri Menteri, iaitu badan bersekutu bagi BALKIS.

Kemudian pada 13 Mac, bekas ahli-ahli EXCO BALKIS telah mengemukakan notis kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk membubarkan BALKIS dan juga suatu resolusi untuk menubuhkan pula sebuah badan baru yang dikenali sebaga BALKIS-BN. Ini khabarnya bagi mengelakkan premis milik BALKIS iaitu Komplek Wawasan BALKIS (KWB) dari diambil alih oleh isteri-isteri wakil rakyat Pakatan Rakyat. Sepatutunya menurut perlembagaan badan tersebut, ianya mestilah tidak melibatkan diri dalam politik, lalu bagaimana boleh Exco-exconya mengemukakan nama baru yang ada kaitan dengan BN?

Mujurlah dalam proses “penculikkan” BALKIS itu pihak ROS mendapati ada beberapa perkara yang tidak dipenuhi lalu memberikan masa 30 hari bagi BALKIS untuk mengemukakan maklumat tambahan.

Dalam pada ini perkara ini telah sampai kepengetahuan MB baru, Tan Sri Khalid Ibrahim yang telah memaklumkan pihak ROS bahawa kesahihan keputusan EGM 11 Mac itu dipertikaikan. MB baru juga dilaporkan telah mengarahkan siasatan dan odit dilakukan ke atas BALKIS yang ditubuhkans ejak 1985 itu.

Apa dah jadi ni? Yang kita tahu kes penculikkan kanak-kanak sahaja sedang menular dalam negeri kita, rupa-rupanya badan kebajikan pun turut mahu diculik juga?!
Siapakah yang telah menasihatkan Zaharah untuk memanggil EGM pada 11 Mac itu dalam ekadaan beliau dan semua yang terlibat tahu bahawa perlembagaan BALKIS menetapkan yang Presiden BALKIS mestilah isteri MB Selangor, pada 11 Mac itu isteri MB Selangor adalah Puan Sri Salbiah Tunut, Zaharah adalah isteri Ketua Pembangkang!

Kes ini serius, iaitu cubaan untuk melarikan wang yang bukan lagi milik mereka. Saya rasa bukan hanya laporan kepada ROS dan odit yang perlu dilakukan malah satu laporan polis perlu segera dibuat kerana ianya melibatkan pecah amanah dan penipuan.

Menurut laporan akhbar itu juga BALKIS menerima sumbangan dari kerajaan Selangor melalui anak-anak syarikatnya antaranya KDEB memberi RM268,862 tahun lepas, PKNS RM590,379 antara 2006-2007.

Dalam hal ini saya menasihatkan Khir Toyo agar segera membersihkan nama beliau dan isterinya. Nampaknya rekod beliau yang beliau dakwa kononnya bersih itu dari hari ke hari menjadi semakin keruh dan kotor apabila satu demi satu terbongkar. Ini baru BALKIS, bayangkan yang lain-lain. Segera seret mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan, tak kiralah Dato Seri atau Datin Seri!

Thursday, April 24, 2008

Pelik yang dicabul pula yang meminta maaf

Akhirnya semua selesai. Sipelapor telah menarik balik laporan polisnya, manakala tertuduh barangkali tersenyum lega.

Asalnya kita difahamkan seorang ahli Parlimen yang digugurkan sebagai Menteri kabinet baru-
baru ini dalam keadaan mabuk telah mencabul kehormatan seorang pelayan di sebuah "lounge" hotel lima bintang berhampiran Jalan Tun Sambanthan. Beliau dikatakan telah meraba tubuh wanita berkenaan tanpa kerelaan wanita itu.

Walaubagaimanapun semalam wanita berkenaan "tanpa dipaksa atau disogok" telah menarik balik laporan polis itu. Apa alasannya:

"She was sensitive and moody at the time of the incident" menurut The Star. Beliau menambah telah kenal bekas menteri dari Pahang itu lebih 5 tahun dan kononnya bekas menteri itu sering bergurau senda dengannya tanpa apa-apa niat jahat.

Kata beliau lagi:

When he jokes, he sometimes likes to touch my shoulder or arms but it is something that I accepted as normal among friends especially those we have known for a long time.

Apabila beliau berjenaka, beliau sering akan memegang bahu dan lengan saya, tetapi saya rela kerana ia sesuatu yang biasa terutama bagi kawan lama.

Apakah semua menteri dan bekas menteri Umno berperangai sebegini? Tidakkah ini mengambil kesempatan atas mereka yang tidak berupaya, tidakkah ini suatu bentuk "sexual harrasment"? Saya harap NGO Wanita tidak akan membisu dan menyepi diri dalam hal ini!
Wanita itu turut menambah lagi:

She was used to the VIP's jokes and "rough ways" and had never objected to his actions nor felt offended by it previously.

Beliau telah biasa dengan jenaka VIP berkenaan dan "cara-cara kasarnya" namun tidak pernah sebelum ini menolaknya atau berasa tersinggung.

Akhirnya menurut laporan The Star, wanita itu menyatakan kekesalannya kerana membuat laporan polis terhadap bekas menteri berkenaan.

Tidakkah menteri ini tahu akan batas pergaulan antara seorang Muslim dengan Muslim yang lain yang bukan mahram? Atau memang itu sudah menjadi amalan biasanya? Yang saya hairan menteri "kurang ajar" itu tidak pun memohon maaf tetapi wanita yang dipegang, disentuh dan diraba olehnya itu pula yang meminta maaf!

Saya harap kes ini tidak berakhir dengan begitu sahaja. Pihak polis perlu menyiasat adakah wanita ini diugut atau disogok untuk menarik balik laporan ini, jika laporan ini palsu, demi menjernihkan imej dan nama baik bekas menteri itu, wanita inilah yang sepatutnya didakwa!
Kerajaan Malaysia tunduk pada Amerika

Saya perhatikan cuma NST sahaja yang melaporkan insiden besar ini. Suatu perbalahan diplomatik yang telah mencemar majlis Persidangan dan Pameran Pertahanan (11th Defence Services Asia DSA 2208) di PWTC. Malah ia turut mencemarkan nama baik dan hubungan dua hala antara kerajaan Malaysia dan Republik Islam Iran.

Menurut laporan NST syarikat-syarikat dari Republik Islam itu (iaitu sebanyak sembilan kesmeuanya) telah diarahkan oleh pihak penganjur, DSA Exhibiton and Conference Sdn. Bhd. agar menutup pameran masing-masing dan pulang kerana telah menerima bantahan dari Kedutaan Amerika Syarikat.

Kononnya pihak Kedutaan AS telah menghubungi pihak penganjur, Kementeria Pertahanan dan Kementerian Luar Negeri mengancam bahawa Amerika Syarikat akan menarik diri dari Persidangan dan Pameran berkenaan kiranya pihak penganjur tidak "menghalau" keluar wakil-wakil Iran. Alasannya: Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN) telah mengenakan sekatan terhadap Iran Oktober lepas atas kontroversi program nuklearnya.

AS menghantar 26 syarikat iaitu perwakilan terbesar untuk DSA ini.

Akhirnya akur dengan tekanan dan desakkan AS, pihak penganjur terpaksa "menghalau" wakil-wakil Iran, walaupun mereka telah membuat rayuan. D

emikianlah berakhirnya satu episod yang sangat memalu dan mengaibkan semua pihak. Bagaimana ini boleh berlaku? Saya mengharapkan ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat akan membangkitkan isu ini dalam Persidengan Dewan Rakyat bermula 28 April ini nanti.
Bila Teng Chang Khim bersongkok

Dari Ketua Pembangkang DUN Selangor, kini beliau menjadi Speaker Dewan, suatu perubahan status yang tidak terfikir oleh kawan dan lawan sebelum ini. Kalau dahulu beliau dihalau dari Dewan, kini beliaulah memutuskan samada menghalau atau tidak mana-mana ahli Dewan.
Sekali lagi saya mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada rakan saya YB Teng yang cekal dan sangat konsisten dalam perjuangan.

Dalam akhbar The Star hari ini, Teng menerangkan mengapa dahulu semasa duduk dibangku pembangkang beliau enggan hadir ke majlis dimana pemakaian songkok ini diwajibkan.Kata beliau ketika itu para pemimpin diberikan opsyen atau pilihan, samada hadir bersongkok atau tidak. Beliau memilih untuk tidak hadir. Tetapi sekarang memandangkan beliau sebahagian dari kerajaan, maka kod pakaian itu terpaksa dipatuhi dan diraikan.


Malahan di Selangor, Teng bukannya pimpinan negeri bukan Melayu yang pertama menggunakan songkok dalam majlis rasmi, semasa majlis angkat sumpah ahli-ahli EXCO Selangor di Istana Alam Shah baru-baru ini, kesemua EXCO lelaki bukan Melayu termasuklah dari DAP dan PKR telah menggunakan songkok kerana menghormati adat dan budaya pihak Istana.
Tolak-ansur dan toleransi seperti inilah penting bagi menambat hati seluruh rakyat khasnya di Selangor ini. YB Teng dan seorang lagi rakan saya YB Ng (Sekinchan) adalah antara tokoh DAP yang telah sekian lama menjalin hubungan akrab dengan masyarakat Melayu di Selangor. Mereka berdua adalah antara pemimpin DAP Selangor yang paling awal menjalin hubungan dengan PAS, dan tidak keberatan berceramah atas pentas PAS dan menghadiri majlis dan program anjuran PAS.
Inilah bentuk persefahaman yang penting bagi menjana kerjasama yang positif. Kalau pemimpin PAS pun sudah bersikap terbuka, hadir dalam majlis dan keraian masyarakat bukan Melayu, berceramah di tokong, kuil dan gereja, mengapa perkara-perkara kecil seperti pakaian dan budaya Melayu terus menjadi momokkan sesama kita.
Bergeraklah terus ke hadapan, Pakatan Rakyat perlukan pimpinan yang seperti ini demi perpaduan dan kesatuan bersama. Biar ia menjadi contoh kepada semua, kita tidak menyerang dan menghiris hati dan perasaan sesama kita, tetapi kita faham-memahami dan sangat mesra dan toleran serta memelihara sensitiviti sesama kita.

Tahniah sekali lagi YB Teng.

Wednesday, April 23, 2008

Mansuhkan sahaja dasar PAS demi Karpal

Pengerusi DAP Karpal Singh tidak mahu PAS atau mana-mana pemimpinnya termasuk Mursyidul Am dan Presidennya untuk menyatakan hasrat mahu memperjuangan lagi Negara Islam di Malaysia. Karpal mahu PAS menggugurkan agenda tersebut dari pejuangan partinya. Mengapa? Sebab kata beliau, Malaysia adalah sebuah negara sekular, dan ianya harus kekal begitu.

Oleh itu demi melayan kemahuan Karpal ayuhlah kita ubah PAS. Selepas ini jangan lagi PAS menjadi Parti Islam, sebab negara sekular tidak ada ruang untuk itu, dan tuntutan Karpal itu "valid" dan perlu diraikan. Mungkin perkara pertama yang perlu dilakukan adalah meminda Perlembagaan PAS dengan mengubah nama PAS kepada yang lain yang lebih relevan, mungkin Parti Kebajikan atau Parti Kesejahteraan.

Selepas itu PAS juga perlu memansuh beberapa perkara asas dalam Perlembagaannya antaranya Fasal 3 yang menyebut: Dasar PAS ialah Islam. Tukar sahaja kepada "kebajikan" atau "keadilan". Mansuh juga Fasal 4 yang menyebut: Seruan PAS ialah ALLAHU AKBAR. Tukar sahaja kepada "Salam sejahtera" atau apa sahaja yang seumpamanya. Bagaimana pula dengan Fasal 5 yang menggariskan "tujuan" PAS? Ia menyebut bahawa antara "tujuan" PAS adalah memperjuangakn sehingga terlaksana nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukum menuju keredhaan Allah. Ini tidak boleh kalau tuntutan Karpal mahu dilayan. Walaupun semangat peruntukkan itu telah kekal sejak penubuhan PAS pada 24 November 1951, namun demi Karpal eloklah ianya dimansuhkan sama-sekali. Cari sahaja tujuan lain yang tidak membawa konotasi Islam.

Begitu juga Fasal 6 yang memuatkan "usaha-usaha" PAS, mungkin dengan kerjasama Karpal kita boleh tubuhkan satu Jawatankuasa untuk menyemak semula Perlembagaan PAS. Jangan lagi ada walau sedikit unsur ke arah sebuah peradaban Islam. Hati Karpal perlu dijaga.
Saya percaya siapa sahaja ahli dan pendukung PAS yang tulin, yang membaca perenggan-perenggan di atas pasti panas hatinya, malah saya yang menulis pun sebenarnya tidak tergamak tetapi begitulah kalau kita berpendirian perlu untuk melayan tuntutan Karpal itu, pemimpin tertinggi DAP, yang dengannya kita berkongsi kuasa demi kebaikkan semua.

PAS adalah parti Islam, PAS adalah galang-ganti kepada penubuhan Hizbul Muslimin yang ditubuhkan pada 14 Mac 1948 dan kemudiannya diharamkan penjajah British. Perjuangan PAS sejak dahulu, dalam keadaan lemah dan terhina atau dalam keadaan kuat dan mulia, begitulah iaitu berpegang teguh untuk melaksanakan nilai-nilai kehidupan Islam, yang terbukti universal dan boleh diterima semua.

Kerana Islam inilah PAS berjaya membentuk kekuatan ahli dan jentera yang sangat berdisiplin, yang berkorban secara sukarela tanpa mengira upah atau ganjaran. Kekuatan ini bukan hanya diakui oleh lawan malah diiktiraf oleh semua termasuk ahli-ahli dan pimpinan parti Karpal sendiri. Siapakah yang telah berjaya meyakinkan orang-orang Melayu Islam untuk mengundi dan menerima DAP jika tidak jentera ini, siapakah yang telah memenuhi tenaga pilihan raya, polling dan counting agent termasuklah untuk calon-calon DAP jika tidak dari jentera ini. Di kerusi-kerusi "marginal" dimana DAP sangat memerlukan undi orang-orang Melayu untuk menang, siapakah yang telah bekerja mendapatkan kecenderungan ini jika tidak dari jentera ini.

Ramai ahli-ahli dan pemimpin PAS percaya yang ruang perlu diberikan untuk terus menerang dan memahamkan akan dasar dan perjuangan PAS khasnya kepada rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat. Usaha ini malah sedang diteruskan dengan gigih bukan hanya kepada PR tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia. Cumanya sebagai kawan tindakkan Karpal akan menghiris perasaan kawan, dari situ akan timbul kebencian dans eterusnya ketegangan.

Suatu sikap dan pendirian segera perlu diambil. PAS bukan parti yang terdiri dari 10-20 orang, bilangan ahli-ahlinya berpuluhan ganda lebih besar dari DAP. Jangan sampai ahli-ahli PAS hilang kesabaran dan menuntut sesuatu yang akhirnya merugikan semua.
Samada kita akur dan melayan karenah Karpal atau kita bersama mempertahankan parti ini, bagaimana?
Dua bekas MB Selangor bersilat sesama sendiri

Pasca 8 Mac 2008 melihat banyak perkara yang tidak pernah kita lihat atau bayangkan akan terjadi sebelum ini tersingkap di hadapan mata kepala kita. Yang terbesar sudah pastilah robohnya tembok penguasaan BN di empat buah negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor, serta kejayaan PAS mempertahankan Kelantan lima penggal berturut-turut.
BN dan Umno kini sedang sibuk dalam "mode" merawat kemusnahan "damage control", sedang Pakatan Rakyat sibuk dengan tanggungjawab baru, mememnuhi janji-janji pilihan raya yang dikemukakan kepada rakyat semasa berkempen dahulu.

Yang paling menarik setakat ini bagi saya adalah silat terajang pimpinan Umno bukannya terhadap pembangkang, itu suatu yang biasa, tetapi pasca 8 Mac ini mereka turut pukul-memukul sesama sendiri, itu yang meariknya. Masing-masing kini minta dengan alam maya, masing-masing mendiri dan membina blog atau laman web masing-masing. Yang paling panas adalah di Selangor apabila dua bekas MB, masing-masing bercakaran sesama sendiri.

NST hari ini melaporkan Dr Khir Toyo dan Mat Taib, menggunakan blog masing-masing menyerang antara satu sama lain. Pasca 8 Mac lalu, hanya Khir seorang yang dipaksa mengosongkan kerusi Pengerusi Perhubungan Umno Negeri, sedangkan di empat buah negeri lain (termasuk Kelantan) tidak pula pengerusinya disuruh mengosongkan jawatan tertinggi Umno peringkat negeri itu.

Di Selangor, kerusi Khir kini dimiliki Mat Taib, yang walaupun tidak bertanding dalam PRU lalu, namun dihadiahkan dengan jawatan Menteri penuh oleh Dollah. Kerana itu tidak hairanlah Khir berani menuntut PM Dollah Badawi agar memberi laluan bagi Najib untuk mengambil-alih kepimpinan negara, kerana barangkali kecewa dipinggirkan oleh Dollah. Dan kerana itu juga Mat Taib bermati-matian mempertahankan Dollah dan menolak tuntutan Khir itu kerana maklumlah baru sahaja duduk dan merasa keempukkan kerusi menteri yang dihadiahkan oleh Dollah itu.

Mat Taib menuduh Khir bertanggungjawab atas kekalahan BN di Selangor, lantas Khir menepis dengan mengatakan yang bukan Selangor sahaja kalah, BN juga kalah di Kedah, Perak dan Pulau Pinang. Kata Khir beliau juga boleh menyalahkan Ketua-ketua Umno bahagian di Selangor yang menyumbang kepada kekalahan BN, bagi saya itu satu pukulan yang tepat atas batang hidung Mat Taib. Mengapa? Mat Taib adalah Ketua Umno bahagian Kelana Jaya. BN tewas di Parlimen Kelana Jaya dan kedua-dua DUN di bawahnya iaitu Seri Setia dan Subang Jaya.

Maksud Khirnya barangkali jika beliau disishkan maka apa kurangnya Mat Taib, setidak-tidaknya Khir menang di kerusinya di Sg Panjang.

Begitulah pertarungan sengit dua bekas MB Umno Selangor yang masing-masing cuba menonjolkan diri masing-masing dan pasa waktu yang sama mebelasah rakannya. Malangnya mereka enggan melihat dari perspektif yang lain, rakyat sebenarnya muak dan bosan dengan kedua mereka, kepimpinan Khir dan Mat Taib sudah tidak relevan lagi di Selangor. Kedua-duanya libaliti besar bagi negeri ini, kalau Dollah perlu berundur di pusat, di negeri pun bukan hanya Khir malah Mat Taib pun perlu berundur.

Memang gelaplah nampaknya masa depan Umno di Selangor, mudah-mudahan dalam kesempatan ini pimpinan Pakatan Rakyat Selangor akan mengambil iktibar dari kesilapan dan kelemahan kerajaan BN dahulu, dan membina Selangor yang lebih sejahtera, yang menjana kemajuan dan membela nasib dan kepentingan rakyat. Jika berjaya dalam tempoh 4-5 tahun ini, ucapkanlah selamat jalan pada Umno di Selangor!

Tuesday, April 22, 2008

Siapakah selebih licik, licin dan handal selain Mat Taib

Beliau seorang tokoh yang sangat kontroversial.

Pernah menjadi MB Selangor. Ketika selesa di kerusi MB beliau telah memperdaya Tuanku Sultan ketika itu dengan menikahi Puteri Tuanku di negara seberang tanpa pengetahuan Tuanku. Akibatnya Tuanku murka, dan sejarah tercipta apabila jawatan Timbalan Menteri Besar terpaksa diwujudkan kerana Tuanku enggan menerima sembah dari MB nya yang durhaka itu.

Ditakdirkan Tuhan, jodoh beliau dengan Tengku Puteri tidak lama, mereka akhirnya berpisah. Sekali lagi sejarah tercipta apabila mahkamah memerintahkan beliau membayar mutaah kepada bekas isterinya itu sebanyak RM16juta! Dimanakah seorang MB boleh memperoleh wang sebanyak itu?

Tetapi beliau ini licik orangnya, berkahwin dengan anak Raja tanpa perkenan pun beliau boleh lepas, kemudian terpaksa membayar RM16 juta pun tiada siapa pertikai, ternyata beliau licin dan handal.

Walaubagaimanapun setinggi-tinngi tupai melompat akhirnya jatuh tersembam ke tanah juga, demikianlah kedudukannya. Akhirnya hasil dari “tip off” musuh-musuh politik dalamnnya beliau diberkas di Australia kerana cuba membawa keluar wang tunai berjumlah RM2.4juta ketika itu. Sejuruh kes penangkapan beliau dengan wang tunai berkilo-kilo beratnya itu, kedudukan politiknya mula goyah. Di tanahair pihak BPR mula menyiasat beliau dan para pegawainya. Akhirnya beliau dipaksa berihat dan melepaskan jawatan MB nya.

Di mahkamah Australia, beliau akhirnya dilepaskan. Beliau memberi alasan tidak dapat membaca notis amaran di balai berlepas lapangan terbang negara itu kerana tidak tahu berbahasa Inggeris. Memang beliau licik, licin dan handal!

Ramai menyangkakan setelah jatuh tergolek, beliau tidak akan mampu bangkit kembali. Biasanya begitulah sejarah MB-MB di negeri tersebut. Namun beliau berjaya membuktikan beliau benar-benar licik, licin dan handal dan akhirnya beliau entah macam-mana dilantik oleh Presiden Umno sebagai Ketua Penerangan Umno, laluannya untuk naik ke atas semakin cerah. Beliau kemudian dilantik pula sebagai Senator.

Dalam PRU ke 12 lalu beliau melobi sedaya mungkin untuk kembali bertanding sekurang-kurangnya ke kerusi Parlimen. Beliau adalah Ketua Umno bahagian Kelana Jaya, kalau tidak pun dapat di parlimen Kelana Jaya (yang ketika itu milik MCA) beliau berusaha untuk menaikkan dirinya di parlimen Shah Alam. Ternyata arus diperingkat akar umbi Umno tidak menyebelahi beliau, akhirnya beliau tidak berjaya bertanding, dan kekal sebagai pemerhati semasa PRU ke 12.

Rupa-rupanya nasibnya memang bukan disana,s elepas PRU ke 12, Selangor jatuh dari tangan BN. Presiden Umno yang resah dan gelisah telah melantik beliau sebagai seorang Menteri penuh, tak cukup dengan itu beliau turut dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan Umno negeri, jawatan lamanya. Begitulah kurang lebih naik turun dan tunggang terbalik nasibnya

Siapakah beliau jika bukan Mat Tyson, Muhammad bin Mohd Taib.

Pada bulan Julai tahun lalu Mat Taib pernah membuat laporan polis terhadap pemilik laman web Malaysia Today, Raja Petra, yang dituduhnya telah menghina Yang Dipertuan Agong dan agama Islam melalui posting di laman web nya. Yang lucunya ketika tiba dib alai untuk membuat laporan, pihak polis telah meminta Mat Taib memuat turun artikel yang dimaksudkan dari laman Malaysia Today. Telah dilaporkan ketika itu Mat Taib menghadapi kesukaran melayari internet dibalai berkenaan, bukan kerana taliannya sesak, tetapi kerana difahamkan tidak biasa melayari internet! Menurut laporan seorang pemberita yang turut berada dibalai itu untuk membuat liputan terpaksa membantu dan mengajar Mat Taib bagaimana untuk mendapoatkan laman Malaysia Today.

Itulah Mat Taib, jika tidak licik, licin dan handal apa lagi.

Tiba-tiba hari ini Mat Taib sudah ada laman webnya sendiri. Apabila ditanya oleh para pemberita mengapa beliau dulu berkrisis dengan para blogger kini juga berblog, jawab Mat Taib:

If you cant fight them join them.

Licik, licin dan handal sungguh Mat Taib!
Tiada wang untuk projek angkasawan ke 2

Semasa angkasawan (atau bagi sesetenga pihak pelancong angkasa) pertama Malaysia dilontarkan ke angkasa lepas, ramai yang berbangga dan tidak kurang yang mengeluh mengatakan tidak seharusnya kerajaan membuang masa, tenaga dan wang ringgit untuk ekspedisi ini sedangkan rakyat terbeban dengan kenaikkan kos hidup yang menggila.

Itu pada bulan Oktober tahun lepas dan sejurus selepas Sheikh Mudzafar mendarat kembali ke bumi PM Dollah Badawi mengisytiharkan yang Malaysia akan menghantar angkasawannya (atau pelancong angkasa) yang kedua pula dalam sedikit masa lagi.

Kini bagaimana?

Baru sahaja kerajaan menolak rayuan CUEPACS untuk membayar honararium RM2,000 kepada semua kakitangan kerajaan bagi tahun 2007, atas alasan kearajaan tidak berupaya dan bimbang pembayarannya nanti mungkin mengakibatkan kenaikkan kos barang-barang lagi. Ini menunjukkan yang kewangan kita tidak sihat dan kita tidak berupaya untuk berbelanja mewah seperti dahulu.

Lalu apabila Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi mengumumkan yang kerajaan kini sudah tidak berwang untuk menampung program angkasawan kedua, saya percaya ramai yang akan mengalu-alukannya. Menurut menteri berkenaan, Dr Maximus Ongkili:

I can say that there is zero money. If we want to proceed with the second phase we have to look for money.

Saya boleh mengatakan yang kita tiada wang. Jika kita mahu meneruskan program fasa kedua ini kita terpaksa mencari wang sendiri.

Eloklah begitu. Berjimat dan berhemahlah dalam berbelanja wang rakyat. Jika pun ada lebih, maka banyak keutamaan lain yang perlu diberikan dari menerbangkan seorang angkasawan ke langit. Jika kakitangan kerajaan yang lebih 1 juta orang itu dinafikan honorarium kerana kerajaan tidak mampu maka projek angkasawan ke 2 ini lebih baik dimasukkan ke dalam peti ais sementara menunggu kita pulih sepulih-pulihnya.

Monday, April 21, 2008

Khir penyumbang kekalahan BN

Presiden MIC yang kecundang di kerusi tradisinya di parlimen Sg Siput khabarnya telah menuding jari ke arah bekas MB Selangor, Khir Toyo sebagai salah satu punca kekalahan besar BN dalam PRU lalu. Beliau marah mengapa Khir kini beria-ia mahukan PM Dollah Badawi meletakkan jawatan dan memikul tanggungjawab sedangkan menurut beliau Khir sendiri lebih merupakan liabiliti yang mengakibatkan kekalahan BN itu.

Kata Samy tindakan Khir mengizinkan pihak penguatkuasa PBT merobohkan kuil di Padang Jawa, beberapa hari sebelum Deepavali tahun lepas, merupakan penyumbang utama kebencian masyarakat India terhadap BN. Kata Samy beliau telah merayu kepada Khir di hadapan Dollah pada hari berkenaan namun Khir enggan melayan dan akibatnya masyarakat India beragama Hindu menaruh benci pada BN.

Khir sebenarnya mengakibatkan rakyat marah kepada BN bukan hanya kerana peristiwa perobohan kuil ini, banyak faktor lain hasil dari karenah Khir yang menyumbang kepada kemerosotan sokongan rakyat terhadap BN. Peristiwa menghadiahkan YDP Majlis Daerah Hulu Selangor dengan penyapu merupakan kemuncak peghinaan seorang MB terhadap kakitangannya sendiri.

Begitu juga tindakan anak-anak buahnya yang longgar moral dan rasuah serta salah guna kuasa, semuanya menyumbang kepada keruntuhan keyakinan rakyat kepada BN.

Memang Khir adalah "malapetaka" besar kepada BN, tetapi apa kurangnya Samy sendiri, apa kurangnya Dollah sendiri, semua masing-masing menanggung saham, cuma sekarang BN sedang melalui episod tuding-menuding jari, siapa yang tahan bagaikan sabut akan timbul siapa yang tidak akan tenggelam bagaikan batu, entah sampai bila agaknya ia akan reda.

Sunday, April 20, 2008

Rekod di Selangor dan Parlimen

Hari ini ada dua berita yang menarik perhatian saya dan mahu saya kongsikan di blog ini adalah:

Pertama mengenai perlantikkan ADUN Sg Pinang, kenalan saya, YB Sdr Teng Chang Khim sebagai Spekaer Dewan Undangan Negeri Selangor. Teng seorang peguam adalah ADUN veteran di DUN Selangor. Beliau memiliki rekod yang cemerlang sebagai ADUN dan pernah sebagai Ketua Pembangkang DUN Selangor sebelum ini.

Teng juga memegang rekod kerana pernah digantung selama 30 bulan dari Dewan (oleh Spekaer BN) dengan 18 bulan tanpa elaun, hukuman yang paling keras dalam sejarah oleh sebuah badan legislatif di komanwel! (Saya masih ingat bersama Teng (dan Dr Halimah) berceramah dalam program solidariti PAS Selangor bersama Teng ketika itu)

Fasih berbahasa Melayu, Teng juga melalui pengalaman dan pergaulan beliau faham akan adat-resam dan budaya orang Melayu, kerana itu beliau mempunyai ramai kenalan dan taulan dikalangan orang-orang Melayu. Teng mencipta rekod kerana mendedahkan kecurangan bekas ADUN Pelabuhan Kelang, Allahyarham Abang Zek. Beliau sangat tidak disenangi Allahyarham dan pernah menjadi mangsa, dipukul oleh Abang Zek di lobi DUN Selangor satu ketika dahulu.
Teng menjadi anak Cina pertama dilantik sebagai Spekaer DUN Selangor, dan beliau sememangnya layak dan cocok untuk jawatan tersebut, syabas.

Kedua adalah berkenaan perlantikkan ahli Parlimen Parti Progresif Demokratik Sarawak dari Bintulu, Tiong King Sing sebagai Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) di Parlimen. Ahli Parlimen tiga penggal dari Sarawak itu turut memecah rekod menjadi anak Cina pertama dilantik sebagai Pengerusi BBC. Sebelum ini kerusi Pengerusi BBC sering disandang oleh
wakil dari Umno.

Saya kira tidak ada siapa pun yang akan bising dengan perlantikkan Tiong ini oleh BN. Cumanya saya tergelak seorang diri kerana jika hal yang sama berlaku kepada Pakatan Rakyat sudah pasti isu ketuanan Melayu akan dibangkitkan. Tidakkah ini menandakan yang kuasa politik orang-orang Melayu nanti akan terhakis! Tidak. Ia cuma akan terhakis jika berlaku ke atas pakatan DAP, PAS dan PKR, tetapi kalau BN yang lakukan, OK lah tu.

Syabas, dan selamat menjalankan tugas kepada Teng dan Tiong.
Bila ahli parlimen tak buat kerja

Saya bersetuju sangat dengan titah Sultan Perak sempena Hari Ulangtahun Keputeraaan Tuanku semalam, bahawa waktu untuk berkempen sudah selesai, kini masanya untuk bekerja, kini masanya untuk memenuhi janji-janji yang diberikan kepada rakyat.

Kerana itu saya percaya bukan hanya saya malah ramai rakyat Malaysia terperanjat apabila mendapat tahu bahawa terdapat 29 ahli parlimen (yang baru kita sama-sama pilih dalam PRU ke 12 lalu) dari 222, telah gagal mengemukakan sebarang pertanyaan samada lisan atau bertulis kepada kerajaan sempena Persidangan Dewan Penggal Pertama Parlimen ke 12 bermula 28 April ini.

Menurut laporan masing-masing ahli Dewan Rakyat samada dari kerajaan mahupun pembangkang telah pun diberikan notis untuk mengemukakan soalan-soalan mereka selewat-lewatnya sebelum 8 April lalu.

Yang kita tahu, wakil-wakil kita ini kita berikan amanah untuk mewakili suara dan aspirasi kita untuk dibawakan ke dewan iaitu badan perundangan tertinggi dalam negara. Di sanalah mereka sewajarnya membawakan pandangan, keluhan dan cadangan kita untuk dibahas dan diputuskan bagi pihak kita semua. Lalu kiranya mereka melangkah masuk pada 28 April ini, tanpa mengemukakan sebarang soalan bagi pihak kita, apakah gunanya mereka? Tidakkah rakyat tertipu kerana memberikan amanah kepada mereka?

Menurut akhbar The Sunday Star hari ini, pelbagai alasan diberikan oleh ahli-ahli parlimen berkenaan yang bagi saya tiada "excuse" melainkan ia membuktikan mereka cuai dan telah memberikan gambaran yang buruk kepada rakyat terhadap rekod mereka terutama bagi mereka yang baru buat pertama kali masuk ke dewan.

Tak kiralah samada mereka yang "gagal" ini dari kalangan BN atau Pakatan Rakyat, mereka perlu meminta maaf kepada rakyat yang mereka wakili dan pastikan yang perkara ini tidak berulang lagi di masa hadapan.

Geng 29 yang masuk ke dalam senarai "Hall of Shame" itu adalah:

1. Abd. Rahman bin Bakri - Sabak Bernam - BN
2. Datuk Haji Wahab bin Haji Dolah - Igan - BN
3. Dato’ Dr Abdullah bin Md Zin - Besut - BN
4. Ahmad Lai bin Bujang - Sibuti - BN
5. Datuk Anifah bin Aman @ Haniff Amman - Kimanis - BN
6. Abit Joo Hulu - Rajang - BN
7. Ding Kuong Hiing - Sarikei - BN
8. Datuk Seri Dr Jamaluddin bin Mohd Jarjis - Rompin - BN
9. Dato’ Dr James Dawos Mamit - Mambong - BN
10. Dato’ Seri Mohd Radzi bin Sheikh Ahmad - Kangar - BN
11. Dato’ Sri Muhammad Leo Michael Toyad Abdullah - Mukah - BN
12. Dato’ Seri Rafidah binti Aziz - Kuala Kangsar - BN
13. Datuk Dr Tekhee @ Tiki Anak Lafe Mas - Gading - BN
14. William @ Nyallau Anak Badak Lubok - Antu - BN
15. Datuk Haji Yusoff Bin Mahal - Labuan - BN
16. Charles Anthony a/l R Santiago - Klang - DAP
17. Er Teck Hwa - Bakri - DAP
18. Hiew King Cheu - Kota Kinabalu - DAP
19. John a/l Fernandez - Seremban - DAP
20. Prof Dr P Ramasamy a/l Palanisamy - Batu Kawan - DAP
21. Abdullah Sani bin Abdul Hamid - Kuala Langat - PKR
22. Haji Ahmad Kassim - Kuala Kedah - PKR
23. Chua Tian Chang - Batu - PKR
24. Gobalakrishnan a/l Nagapan - Padang Serai - PKR
25. Dato’ Kamarul Baharin Abbas - Telok Kemang - PKR
26. Manikavasagam A/L Sundaram - Kapar - PKR
27. Dato’ Rashid Bin Din - Merbok - PKR
28. William Leong Jee Keen - Selayang - PKR
29. Datuk Dr Zainal Abidin Bin Ahmad - Hulu Selangor - PKR

Sementara itu tahniah kepada kesemua 23 ahli Parlimen PAS kerana berjaya menepati "dateline" berkenaan.
Antara "ex gratia" dan permohonan maaf

Ianya dianggap sebagai suatu malam yang bersejarah, sekurang-kurangnya bagi mereka yang masih ingat atau terlibat secara langsung ataupun tidak dalam peristiwa hitam tersebut kira-kira 20 tahun lalu. Malam tersebut sempena Majlis Makan Malam BAR Council, Perdana Menteri, dihadapan Tun Salleh, Tan Sri Azmi, keluarga 4 orang lagi hakim yang samada terlalu uzur untuk hadir ataupun telah meninggal dunia, telah menyatakan:

The government would like to recognise the contributions of these six judgesto the nation, their commitment towards upholding justice and to acknowledge the pain and loss they have endured.

Kerajaan mahu mengiktiraf sumbangan keenam-enam hakim ini kepada negara, komitmen mereka terhadap mendaulatkan kedailan dan mengakui penderitaan dan kesengdsaraan yang telah mereka tanggungi.

Pada tahun 1988 lalu Tun Salleh dan kemudian rakan-rakannya telah "terkorban" kerana mempertahankan keadilan. Mereka dengan berani dan lantang bangkit mempertahankan Institusi Keahkiman dan keadilan. Gigihnya merreka sehingga akhirnya mereka pula diheret kekandang orang salah dan akhirnya dipecat dari jawatan tertinggi kehakiman ketika itu.
Dosa kerajaan BN itu berlanjutan dari tahun ke tahun dan kini rupa-rupanya telah 2 dekad berlalu. Lalu malam berkenaan (kebetulan BN baru sahaja disengat dengan "tsunami politik" pada PRU ke 12 lalu) dihadapan para hakim dan peguam serta mereka-mereka yang dizalimi itu, Dollah Badawi menjanjikan akan membayar "ex gratia" kepada hakim-hakim yang terlibat bagi menebus dosa itu.

Isunya, adakah tindakan Dollah itu suatu permohonan maaf dari kerajaan BN atau apa? Ramai yang menganggapnya sebagai suatu permohonan maaf, ada juga yang tidak. Ada yang berpuas hati, ada yang tidak. Tetapi bagi TPM Najib Tun Razak, ia bukannya suatu permohonan maaf. Bagi Najib apa yang Dollah lalkukan sekadar bersetuju meringankan beban hakim-hakim berkenaan iaitu dengan pembayaran "ex gratia" sebagai suatu bentuk pampasan dan bukannya permohonan maaf terhadap apa yang berlaku.

Dalam ertikata lain bagi kerajaan BN, apa yang telah berlaku pada tahun 1988 itu suatu yang tidak dapat dielakkan, kerana itu mereka tidak dapat memohon maaf, tetapi oleh kerana rakyat marah, dan ternyata hakim -hakim berkenaan menanggung derita dan sengsara maka demi kerana itu kerajaan BN bersetuju membayar "ex gratia", boleh masuk akal?

Bagi saya apabila Dollah sebut, "the government would like to recognise" bermakna kerajaan mengiktiraf, "pengiktirafan" disini bermakna pengakuan kesalahan, dan bayaran "ex gratia" itu jelas adalah bagi menebus kesalahan itu (walaupun mungkin tidak padan dengan penghinaan dan penderitaan yang ditanggung oleh hakim-hakim berkenaan sepanjang 20 tahun berkenaan).
Apa maknanya pengkitirafan jika tidak disertai dengan permohonan maaf, begitu juga mengapa membayar "ex gratia" jika benar hakim-hakim ini tidak dizalimi?!

Mungkin bagi Najib memohon maaf itu menambah burukkan lagi imej BN yang telah tercedera hodoh selepas PRU lalu.

Apa pun, melalui tindakan ini rakyat akan membongkar kembali Peristiwa Hitam 1988 itu. Jika kita semua teliti dan halusi, sesungguhnya inilah kemuncak kezaliman terbesar kerajaan BN yang bagi saya kalau tidak pun seimbang mungkin lebih besar dari Black 14 yang melibatkan DSAI. Benarlah apabila rakyat menyamakan BN dengan kezaliman, kerana terbukti berdasarkan apa yang terbongkar dan terselongkar hari ini hakikatnya memang mereka begitu.

Friday, April 18, 2008

Antara yang naik dan yang jatuh

Tadi saya sempat mengunjungi laman yang dikendalikan oleh sahabat saya Sdr Anuar di
http://www.umno-reform.com/ . Saya terus terpaku pada suatu surat yang dimuatkan oleh Anuar dalam lamannya yang ditulis oleh seorang Ketua Umno Cawangan. Bahagian akhir suratnya berbunyi:

Darah yang mengalir ditubuh ini dan selagi nyawa dikandung badan akan terus memperjuangkan UMNO parti keramat ini walaupun ada segelintir ahli yang mula berpaling tadah dengan melihat sikap pemimpin di atas yang tiada kesudahan untuk menyelesaikan kemelut politik UMNO waktu kini.

Diharap lupakan sengketa sesama sendiri, fikirkan kami di bawah ini yang terpaksa berdepan dengan ahli-ahli yang mula goyah pendiriannya. Jemputlah kami ketua-ketua di cawangan untuk memberi penjelasan yang jelas atau rendahkan diri untuk turun ke cawangan-cawangan.

Jangan pula ahli-ahli kita mengiakan apa yang dikata pihak pembangkang bahawa pemimpin UMNO penuh dengan keangkuhan. Saya percaya rakyat masih sayangkan UMNO Parti Melayu yang membela bangsa Melayu, ini dapat didengar perbualan dikedai-kedai kopi. Saya percaya mereka akan kembali kepada UMNO jika kita terus menunjukkan kematangan politik seperti mana kehendak masa kini.

JANGAN DIRINTIH KEKECEWAAN, ATUR LANGKAH UNTUK MARA, BULAN PASTI GERHANA. KERIS KERAMAT UMNO TERUS DIPERASAP AGAR SEMANGAT KEKAL MEMBARA. SANG SAKA BANGSA MEGAH DIANGKASA. SAYA PASTI BERSAMA.Hidup UMNO Hidup MELAYU dinusantara. Wassalam


Demikianlah bersemangatnya saudara kita seorang Ketua Umno Cawangan (yang tidak disebutkan dimana cawangannya itu). Saya percaya cawanganbeliau terletak dalam salah sebuah negeri yang Umno hilang kuasa, mungkin di Kedah, Perak atau Selangor. Tak mengapalah. Memang semangat seumpama ini diperlukan untuk menghidupkan sebuah oraganisasi yang telah ditolak rakyat. Tetapi cukupkah dengan hanya semangat?

Realiti politik hari ini menunjukkan rakyat, tidak kira Melayu, Cina atau India, sudah jauh lebih matang dan rasional. Mereka sudah berani mencuba, dan PRU ke 12 lalu adalah usaha pertama rakyat Malaysia dalam membuat percubaan, iaitu menolak parti yang secara tradisi mereka terima dan sokong dan memberi kepercayaan kepada parti dan kumpulan lain.

Mengapa mereka mencuba? Ini kerana mereka sudah tidak yakin, malah mual dan bosan dengan kepimpinan BN dan Umno yang ada. Ia bukan isu mengiakan apa kata pembangkang, tetapi ianya sesuatu yang mereka rasai dan tempuhi sendiri.

Kini keputusan telah mereka buat, Umno dan BN sedang masing-masing merawat luka masing-masing. Mampukah luka tadi sembuh atau mungkinkah ia semakin parah dan membawa maut? Yang pastinya lebih tercabar kini adalah Pakatan Rakyat: PAS, PKR dan DAP. Rakyat menaikkan mereka kerana bosan dan benci pada Umno dan BN khasnya di lima buah negeri. Kalau Pakatan Rakyat ini mampu memimpin rakyat dengan adil, telus dan bersih, jauh lebih baik dari Umno dan BN, saya yakin yang Umno dan BN tidak akan mampu bangkit-bangkit kembali malah akan turut kecundang di negeri-negeri lain pula selepas ini.

Perasaplah keris keramat tadi dengan apa jenis kemenyan sekalipun, dan julanglah sampai kelangit sekalipun Sang Saka Bangsa, tetapi jika Pakatan Rakyat mampu mengisi kekosongan Umno dan BN dengan kepimpinan yang luarbiasa, keris dan sang saka tadi akan sekadar bertenggek di muzium untuk ditontoni rakyat bila perlu.

Namun jika Pakatan Rakyat ini sekadar retorik. Perangai dan aksi pemimpinnya saling tak tumpah macam yang ditolak rakyat, ego, angkuh, sombong, mendabik dada dan lebih parah algi rasuah dan salah guna kuasa juga, ketika itu rakyat akan kembali mencari keris karat tadi serta sang saka yang luntur, Pakatan Rakyat jangan harap untuk naik-naik lagi.

Oleh itu hargailah amanah yang diberi ini, ini bukan masa untuk mencari pengaruh dan kedudukkan, apalagi untuk menolak dan mencantas sesama kawan, rakyat naikkan kita untuk melihat kita lebih baik dari musuh kita. Kalau kita berjaya insyallah kekallah kita sebagaimana sahabat-sahabat di Kelantan, jika tidak.........
Perjuangan Tun Salleh dan rakan-rakan
Perdana Menteri Dollah Badawi malam semalam dalam majlis makan malam anjuran Majlis Peguam Malaysia (BAR Council) telah berkata:

Secara peribadi, saya melihat krisis 1988 tidak pernah sembuh sepenuhnya. Sekali lagi, marilah kita meneruskan hidup. Tidak bijak untuk mengungkit perkara lama. Rakyat mahukan perubahan dan kemajuan

Kerajaan mahu mengiktiraf sumbangan enam hakim ini (Tun Salleh Abas, Tan Sri Azmi Kamaruddin, Tan Sri George Edward Seah, Allahyarham Tan Sri Wan Sulaiman Pawanteh, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdolcader dan Tan Sri Wan Hamzah Mohd Salleh) kepada negara, komitmen mereka menegakkan keadilan dan mengakui penderitaan serta kesengsaraan yang mereka lalui.

Walaupun pengiktirafan ini terlewat 20 tahun, ia dibuat dengan penuh harapan bahawa kesengsaraan dan kehilangan itu masih boleh sembuh


Walaupun mungkin kenyataan Dollah ini didorong oleh konflik semasa antara beliau dan Tun Dr Mahathir, saya secara peribadi mengalu-alukannya dan menganggap ini kenyataan pertama dari seorang PM Barisan Nasional yang mengiktiraf (walaupun tidak meminta maaf) kesalahan PM Barisan Nasional sebelum beliau yang telah bertindak zalim memecat hakim-hakim berkenaan sehingga meruntuhkan kewibawaan Institusi Kehakiman dimata rakyat sejak 20 tahun lalu.

Kenam-enam wira negara ini tekah sanggup menghadapi pemecatan demi mempertahankan maruah dan harga diri insititusi yang mereka wakili, ada diantara mereka telah pun meninggal dunia, dan kepada yang masih hidup terutama Tun Salleh, sudah pastilah ini merupakan saat paling manis buat beliau dan rakan-rakan.

Saya telah mengikuti kes ini dengan penuh minat ketika itu (20 tahun lalu), dan saya telah membaca buku Tun Salleh: May Day for Justice (1989) berkali-kali (dan masih terus mahu membaca). Saya telah melihat Tun Salleh mengheret kedukaan dan kelukaan beliau, terus berjuang, walaupun dipecat secara zalim ketika memegang jawatan badan kehakiman tertinggi dalam negara tanpa sedikit pun mahu mengalah.

Saya melihat Tun kemudiannya terjun ke dunia politik untuk memanjangkan perjuangan beliau walaupun beliau bukan seorang ahli politik. Bertanding di parlimen Lembah Pantai pada Pilihanraya Umum 1990 dan ditewaskan. Kemudian pulang ke kampong di Besut, Terengganu, menyertai PAS dan bertanding pula pada tahun 1999 di kerusi DUN di sana dan ditakdirkan menang (dan PAS pun menang di Terengganu ketika itu) lalu dilantik oleh Tuan Guru MB Terengganu sebagai ahli EXCO.

Tun dan rakan-rakannya adalah contoh negarawan yang unggul dan cekal.

Pemecatan dan tindakan ke atas mereka berenam, 20 tahun lalu membuktikan betapa kuasa boleh dengan mudah disalah-gunakan untuk kepentingan politik, oleh mereka yang rakus dan tamak kuasa. Orang yang terpelajar dan pihak istana boleh dicandu dan digunakan untuk terlibat dalam kerja-kerja jahat, menzalimi orang lain semata-mata atas kepentingan politik peribadi. Kerajaan BN menanggung dosa yang besar terhadap kezaliman mereka itu, tindakan Dollah semalam mungkin boleh mengubat luka mereka, tetapi seklai-kali tidak boleh menghapuskan dosa yang terlekat dan kini menunggu pengadilan Yang Maha Esa.

Dollah tidak memohon maaf (walaupun boleh sahaja jika beliau mahu), Tun Dr Mahathir yang paling perlu dan ramai lagi yang turut terbabit dalam peristiwa hitam ini termasuklah pihak istana, bekas-bekas hakim, bekas KSN, bekas Peguam Negara dan ramai lagi, ada yang masih hidup dan ada yang telah pergi.

Tun Salleh telah menulis beberapa ungkapan yang sangat berharga dan bermakna dalam buku beliau yang sangat saya minati itu, antaranya:

Justice like truth may be distorted and demeaned for a time but ultimately it cannot be destroyed

Keadilan sebagaimana kebenaran boleh diputar-belit dan dipermain-mainkan untuk sesuatu masa tetapi akhirnya ia sekali-kali tidak boleh dimusnahkan

Dan apa yang berlaku hari ini menunjukkan bahawa benarlah doa mereka yang dizalimi pasti diperkenankan Allah swt sebagaimana juga pernah ditulis oleh Tun dalam buku yang sama:

As a human being I have only been tried and tested not destroyed. It will take more than any action of an immoral or authoritarian Government of the moment to destroy a man who will tell the truth and stand witness to God.

Sebagai seorang manusia saya mungkin telah diuji dan dicuba, tetapi tidak sekali-kali dimusnahkan. Ia memerlukan sesuatu yang besar melebihi tindakan sebuah kerajaan yang tidak bermoral dan rakus untuk memusnahkan seorang insan yang akan terus menyatakan kebenaran dan berdiri tegak sebagai saksi di hadapan Tuhannya.

Semoga Allah swt memberkati dan merahmati Tun Salleh dan rakan-rakannya. Alfatihah untuk yang telah pergi medahalui kita. Hancurkan kezaliman tegakkan keadilan!
Lanjutan siasatan terhadap WSFFM

Akhbar The Star hari ini melaporkan yang pihak BPR telah membawa keluar fail-fail tertentu dari pejabat Yayasan Sukan dan Kecerdasan Wanita Malaysia yang sebelum ini dilaporkan menerima peruntukkan sebanyak lebih RM11 juta dari Kementerian Belia dan Sukan (semasa Azalina menterinya).

Berdasarkan laporan akhbar tersebut seramai 4 orang pegawai dari Badan Pencegah Rasuah Putrajaya telah mengunjungi pejabat NGO berkenaan dan membawa keluar beberapa kotak fail-fail dan baucar terutama yang berkaitan pentadbiran dan belanja keraiannya.

Namun menurut laporan itu juga pihak BPR menyatakan yang mereka sekadar mencari maklumat dan memeriksa, kiranya terdapat bukti barulah suatu penyiasatan akan dijalankan.

Begiutlah kita harapkan. Moga-moga proses pencarian maklumat dan pemeriksaan oleh BPR itu berjalan lancar dan telus tanpa gangguan atau pengaruh mana-mana pihak. Kerana kita menyatakan apa yang dapat kita lihat dari Laporan Tahunan WSFFM itu yang menimbulkan seribu satu tanda-tanya dan kecurigaan.

Kerana itu saya menyarankan agar pihak BPR turut mengambil bagi tujuan mencari maklumat dan pemeriksaan fail-fail dari Kementerian Belia dan Sukan, terutama berhubung kelulusan memberikan RM1.5 juta dari kementerian berkenaan kepada WSFFM dan atas alasan apakah Majlis Sukan Negara (MSN) memberikan RM9.72 juta kepada badan ini?

BPR turut perlu menyiasat apakah ada hubungan peribadi antara Menteri dan pihak-pihak dalam WSFFM itu sehingga boleh mempengaruhi Menteri memberikan kelulusan yang begitu luar biasa besarnya kepada badan ini.

Jangan biarkan rakyat tertanya-tanya, tambah-tambah lagi kiranya Azalina berhajat bertanding jawatan Ketua Pergerakan Wanita atau MT Umno, sudah pastilah beliau mahu bertanding dalam keadaan rekod yang putih bersih.

Thursday, April 17, 2008

Bongkar jangan tak bongkar

Apakah hubungan antara mereka berdua..................


sehingga RM11 juta boleh diperuntukkan untuk NGO dimana Shariffa adalah Bendaharinya?

Oleh kerana menurut NST hari ini pihak BPR sedang menyiasat hubungan antara Menteri ini dengan WSFFM (Womens Sports and Fitness Foundation) maka eloklah disiasat sekali hubungan antara Menteri berkenaan dengan Bendehari WSFFM ini.
NGO berbelanja sakan setelah terima RM11juta!


BPR sedang menyiasat hubungan seorang Menteri dengan sebuah NGO yang dikatakan telah berbelanja lebih RM1.4 juta demikian tajuk akhbar NST muka 8 hari ini. Siapakah Menteri berkenaan?


Siasatan BPR ini ekoran pendedahan R. Nadeswaran di dalam akhbar The Sun semalam dalam ruangan Citizen Nades. Dalam artikelnya itu Nades melaporkan darihal akaun sebuah NGO dikenali sebagai Womens Sports and Fitness Foundation Malaysia (Yayasan Sukan dan Kecerdasan Wanita Malaysia). NGO ini menurut laporan tahunannya menerima jutaan ringgit peruntukkan dan bantuan dari kerajaan dan berbagai badan dan penaja. Ini termasuklah RM9.72 juta dari Majlis Sukan Negara (NSC), RM1.5 juta dari Kementerian Belia dan Sukan, RM200,000 dari Konsert Olivia Newton John dan RM110,000 dari Dato Dina Rizal Sports Unite Sdn. Bhd.


Banyak sungguh wang yang diterima yayasan yang tidak berapa dikenali ini.


Siapakah terajunya?


Menurut laman web NGO ini, ianya dinaungi oleh bekas Menteri Belia dan Sukan (kini Menteri Pelancongan) Azalina Othman. Pengarah Eksekutifnya Dr Shamala Subramaniam manakala Bendaharinya adalah Puan Sri Sharifah Sabrina dan Setiausahanya Wan Marina Am.
Jelaslah menteri yang disiasat itu tidak lain dan tidak bukan rakan sekursus saya ketika di UITM dulu, Dato Seri Azalina.


Apakah istimewanya NGO ini sehingga menerima Lebih RM11 juta peruntukkan dari kerajaan? Apakah hubungan antara Menteri dengan wanita-wanita yang mengetuai NGO ini? Itu kena tanya Menteri berkenaan, barangkali itulah jalan siasatan yang diterokai BPR.


Menurut Nades lagi berdasarkan laporan tahunan NGO ini perbelanjaannya bagi tahun 2007 lalu adalah seperti berikut:


RM 2,100,000 untuk makan dan penginapan
RM 952,000 untuk media dan iklan
RM 710,000 untuk produksi
RM 710,000 untuk percetakan dan alatulis
RM 865, 400 untuk sewa peralatan
RM 242,000 elaun sukarelawan
RM 117,700 gaji
RM 1,400,000 keraian
RM 858,000 untuk perjalanan dan pengangkutan


Bayangkan badan ini menerima lebih RM11 juta wang rakyat dan lihatlah perbelanjaannya!


Dalam NST hari ini NGO berkenaan menjelaskan bahawa ia telah terlibat dalam penganjuran Sukan Wanita 2007 denga penyertaan lebih 3,400 atlet dan 780 pegawai. Ia juga menganjurkan beberapa persidangan dan kursus-kursus berkaitans epanjang tahun itu. (Bukankah Sukawan Wanita 2007 itu dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan?)
Walaubagaimanapun NGO itu tidak menjelaskan siapa dan kemana dibelanjakan gaji dan elaun sebanyak lebih RM RM350,000 itu. NGO itu menjelaskan bahawa ia boleh menjelaskan kemana setiap sen dari wang badan itu dibelanjakan, dan saya kira dengan pendedahan ini ia WAJIB menjelaskan secara terperinci kepada rakyat!
Saya melihat banyak yang tidak padan dan kena dengan pendedahan ini, hubungan Azalina dengan NGO berkenaan serta individu pemimpinnya perlu dijelaskan dan disiasat BPR. Atas alasan apakah pihak kerajaan meluluskan begitu banyak wang kepada badan ini, apakah keistimewaannya berbanding badan dan NGO lain.
Diharapkan penyiasatan BPR ini nanti akan diedahkan kepada pengetahuan rakyat, jika tidak ahli-ahli Dewan Rakyat perlu membawa dan menuntut penjelasannya bagi pihak rakyat di Parlimen nanti.
Perencat pemuafakatan umat

Sebelum ini saya pernah menulis betapa saya senang melihat usaha untuk meneroka idea baru pemuafakatan umat Melayu Islam oleh parti-parti politik termasuklah tokoh-tokoh Melayu Islam yang ternama. Banyak ruang yang perlu ditangani bagi membela nasib umat ini, tanpa pula meminggirkan nasib dan kebajikan kaum-kaum lain. Siapakah lagi yang paling wajar membela dan memeprjuangkan nasib dan masa depan ummah jika tidak kita sendiri.

Isu kemiskinan, pendidikan, agama dan kebudayaan kita perlu diperjuangkan oleh semua pihak tanpa mengira fahaman atau kecenderungan politik.

Walaubagaimanapun saya mual, bosan dan muak kepada suara-suara sumbang “ultra” dan ektrimis Melayu/Islam yang cuba mengenengahkan diri sebagai jaguh, tetapi dalam waktu yang sama mengambil kesempatan politik murahan. Orang seperti ini sarat dengan kepentingan, dan tidak seharusnya terlibat dalam muafakat yang lebih terbuka dan “non political”.

Bagi saya Ketua Satu GAPENA Tan Sri Prof Emeritus Dr Ismail Hussien jatuh dalam kategori ini. Profesor ini masih berada dalam takuk politik lama, tidak berpijak dalam kerangka politik baru yang telah dibina oleh rakyat pasca PRU ke 12. Beliau menolak keputusan rakyat dan sebaliknya masih dalam dunia mimpi pra PRU ke 12. Beliau melihat kononnya terdapat unsur perkauman yang tebal dalam PRU ke 12. Beliau menambah (dalam Utusan hari ini):

Ketika ini beberapa parti politik Melayu pula nampak ghairah dengan kemenangan yang diperoleh tetapi kelihatan mereka tidak memegang kuasa secara mutlak mereka seolah-olah ditungggangi kepentingan yang lain bukannya kepentingan Melayu.

Kalau beginilah bacaan GAPENA dan Profesor yang cerdik ini terhadap realiti politik semasa maka bagaimana mungkin GAPENA mahu menerajui kongres pemuafakatan Melayu? Kenyataan di atas sahaja jelas meletakkan Profesor ini cenderung dan condong pada satu parti. Perbincangan untuk permuafakatan tidak boleh dikepalai oleh seorang atau satu kumpulan yang kepalanya sudah sarat dan padat dengan kecintaan kepada satu-satu golongan atau puak semata-mata. Ketaksuban seperti ini lebih mengundang parah dari merawat luka yang ada.

Kalau beginilah GAPENA maka bersenang-lenang dan berenang-renanglah ia dalam kolam Umno, kerana pasti pihak lain tidak akan tergiur untuk berenang bersama mereka.
Agenda pemufakatan umat ini penting, jangan sampai ia dicemari dan dikotori oleh puak yang tidak ikhlas.

Wednesday, April 16, 2008

MCA tak serang Islam cuma Negara Islam

MCA hari in mengeluarkan kenyataan akhbar menafikan dakwaan pemilik laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin, bahawa parti Cina itu menghina agama Islam atau umat Islam di Malaysia. Ini berikutan kenyataan Presidennya Ong Ka Ting baru-baru ini bahawa parti beliau menolak perjuangan Negara Islam yang dibawa oleh PAS dan hukum Hudud yang mahu dilaksanakan.

Menurut kenyataan itu lagi MCA sekali-kali tidak akan berkompromi terhadap semangat Negara Sekular yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, oleh itu ia penentangannya terhadap Negara Islam bukan bermakna ia menentang Islam.

Pada dasarnya memang nampak logik dan boleh diterima, cuma yang hairanya apabila Perdana Menteri Malaysia (ketika itu) Tun Dr Mahathir mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam (pada bulan Jun 2002) di Dewan Rakyat, dan kemudiannya apabila pada bulan Julai 2007 , Timbalan PM Najib Tun Razak juga menyuarakan perkara yang sama, bahawa Malaysia adalah sebuah Negara Islam, tidak pula MCA meronta-ronta dan menyalak. Malah selepas pengisytiharan Tun itu MCA juga kelihatan menerima dan mengalu-alukannya.

Tiba-tiba yang salah dan bertentangan dengan Perlembagaan adalah apa sahaja berbunyi Islam yang dibawa PAS.

Dipenghujung kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Publisiti Ibupejabat MCA itu turut disebut bahawa MCA berikrar akan memastikan yang undang-undang sivil terus unggul dan hak serta kepentingan masyarakat bukan Islam sentiasa dilindungi dan dipertahankan.

Saya percaya MCA merujuk kepada pertikaian antara undang-undang sivil dan syariah berhubung kes melibatkan orang bukan Melayu yang telah memeluk Islam. Pastilah ia memaksudkan kes Moorthy, Nyonya Tahir, Lina Joy dan lain-lain.

Lalu Negara Islamkah atau apa kita ini? Eloklah jawapannya diberi bukan oleh PAS tetapi samada oleh Tun Dr M, Dollah atau Najib!?
Sebuah lagi akhbar dikuburkan kerajaan BN

Menurut laporan berita terkini The Star Online, Kementerian Dalam Negeri telah memutuskan untuk tidak memperaharui permit cetak akhbar Tamil Makkal Osai. Dengan keputusan itu bermakna Makkal Osai tidak lagi akan ebrada dipasaran. Akhbar ini dimiliki bekas Timbalan Presiden MIC, S. Subramaniam, dan difahamkan banyak melaporkan berita-berita pembangkang semasa kempen PRU ke 12 lalu.




Nampaknya kerajaan BN langsung tidak ambli pusing kesan dari kemerahan rakyat pada PRU ke 12. “Tsunami politik” PRU ke12 tercetus hasil dari beberapa langkah dan tindakan kerajaan BN yang tidak demokratik dan dibenci rakyat. Rupa-rupanya mereka tidak serik, baru sebulan lebih selesai PRU, kini mereka kembali dengan amalan buruk mereka.

Keenganan pihak kerajaan memperbaharui permit Makkal Osai ini adalah suatu yang malang, malah peraturan yang menghendaki akhbar dan media cetak tempatan memperbaharui permit mereka setiap tahun itupun dikira suatu amalan tidak demokratik. Ianya terbuka kepada salah-guna kuasa bilamana kerajaan yang berkuasa boleh sahaja enggan memperbaharui permit tersebut jika semata-mata akhbar berkenaan tidak memberikan keuntungan politik kepada mereka.

Inilah bahaya yang sedang menghantui pemilik-pemilik akhbar termasuklah Harakah dan Siasah serta lain-lain yang lebih terbuka dan berani, umpama Makkal Osai.

Sementara itu media elektronik pula terus-menerus dikongkong oleh kerajaan. Kes Selangor FM sudah diketahui umum, dan rayuan MB Perak agar mendapat liputan RTM dan lain media elektronik juga kini diketahui umum. Selama 18 tahun, itulah masalah yang dihadapi Tuan Guru MB Kelantan.

Media elektronik dibolot mereka dan kini akbar pula menjadi mangsa. Memang tiada cara lain untuk memperbaiki demokrasi dna kebebasan dalam negara melainkan dikikis terus kuasa BN diperingkat pusat. Cepat-cepatlah ia berlaku.

Tuesday, April 15, 2008

Benarkah Rashid seekor kera jantan tua?

Siapa boleh lupa insan bernama Tan Sri Abdul Rashid Abd Rahman. Pengerusi SPR yang telah melakukan berbagai perkara dan memperkenalkan berbagai peraturan yang terus-menerus meletakkan proses pilihan raya dalam negara pada keadaan yang sangat membimbangkan, tempang dan pincang.

Bagaikan orang dari persembahan sarkas, beliau boleh memperkenalkan dakwat kekal yang katanya akan digunakan dalam PRU ke 12 Mac lalu, sebagai kononnya melayan karenah parti-parti pembangkang, tetapi diambang PRU ke 12 beliaulah juga yang membatalkan penggunaanya kononnya atas sebab keselamatan negara.

Beliau juga telah membenarkan undi pos, yang sangat dipertikaikan itu terus mempengaruhi keputusan pilihan raya. Isu di DUN Belantek di Kedah, contohnya, sehingga kesaat akhir tidak mampu beliau selesaikan, apabila PAS mengadu 1,031 pengundi tentera di daftarkan sebagai pengundi pos di DUN yang tidak punya kem tentera, beliau menyepi membodohkan diri, akhirnya PAS gagal mempertahankan kerusi tersebut.

Beliaulah juga memperkenalkan peraturan mematikan setem ke atas borang-borang pencalonan sehingga mencetuskan kekalutan dikalangan calon-calon pembangkang, hanya untuk menarik balik arahan itu di hari penamaan calon apabila mendapati calon-calon BN tidak mematuhi peraturan itu.

Siapa yang boleh lupa si Rashid ini?

Tiba-tiba dalam akhbar The Star hari ini, tanpa segan dan malu, beliau mendakwa bahwa pihak yang selama ini menganggu beliau, hari ini sudah senyap, kerana "monyet-monyet" itu dakwanya telah "kenyang". Kata beliau:

I have said many times before that the elections are always free and fair. But they never believed me. Now the MONKEYS are quiet because they are full.

Saya telah menyatakan banyak kali bahawa pilihan raya kita sentiasa bebas dan adil. Tetapi mereka tidak pernah mempercayai saya. Sekarang MONYET-MONYET itu semuanya sudah mendiamkan diri kerana masing-masing sudah kenyang.

Kalau insan bernama Rashid ini menggelar orang lain sebagai MONYET, memang tak hairan sebab dari rekod perkhidmatan dan kerja beliau, beliau sendiri saling tak tumpah bagaikan seekor KERA JANTAN. Tidak pernah mahu meletakkan dirinya sebagai pengadil yang bebas, sentiasa sahaja condong ke arah parti pemerintah, maklumlah KERA JANTAN yang tua sudah tidak boleh mencari makan sendiri, terpaksalah bergantung upah dari tuannya.

Kenyataan beliau menyamakan parti-parti lawan bagaikan monyet sesungguhnya mencemar dan mengaibkan Yang Dipertuan Agong, yang telah melantik beliau kejawatannya. Mungkin sudah sampai masanya KERA JANTAN ini dihumbankan ke zoo, atau disuntik dengan racun bagi mematikannya sahaja, jangan lagi menganggu umat manusia!
Selamat pulang Ayah Chik

Pagi tadi ketika sedang bersarapan kia-kira jam 7.45pagi saya menerima panggilan dari Tuan Guru Presiden PAS yang masih berada di hospital di Kuala Terengganu ketika itu. Sejak berada di hospital beliau menerima akhbar hariannya lebih awal, lalu menarik perhatian saya kepada sebuah laporan akhbar tempatan pagi itu.

Saya ketika itu sedang membelek akhbar harian percuma "The Sun", maaf saya beritahu Tuan Guru belum sempat saya baca akhbar yang lain, lalu meminta beliau sendiri memaklumkan kepada saya.

Beliau ternyata ceria dan gembira (sebagaimana selalu), meminta saya menyampaikan salam kepada YB Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat kerana laporan berkenaannya di muka hadapan sebuah akhbar pagi ini. Kata Tuan Guru, tekanan darahnya turun (stabil) ketika membaca berita yang melegakannya itu.

Saya bertanya khabar beliau, kata beliau semakin sihat insyallah.

Dan petang tadi kira-kira jam 5.30 petang saya difahamkan, pemimpin gerakan Islam rantau ini yang paling dihormati dan disegani itu telah dibenarkan keluar dari hospital untuk pulang berihat di rumahnya di Rusila.

Semoga beliau dapat berihat secukupnya, kerana ternyata tenaga dan fikirannya terus diperlukan pasca "Tsunami Politik" PRU ke 12 lalu untuk terus mengepalai PAS dan membina kekuatan Pakatan Rakyat.

Saya teringat ketika sebelum pembubaran Parlimen, apabila wartawan dari sebuah akhbar berbahsa Cina tempatan menemuramah beliau secara eksklusif, wartawan tersebut telah bertanya (lebih kurang): Kalau dizaman kepimpinan Almarhum Ustaz Dato Fadzil Nor dahulu PAS cemerlang dalam PRU ke 10 tahun 1999 dengan berjaya menawan Terengganu, mengekalkan Kelantan dan mencatat rekod 27 kerusi di parlimen, apa komen Dato Seri apabila Dato Seri menjadi Presiden PAS kalah teruk dalam PRU ke 11 tahun 2004?

Saya secara peribadi tidak selesa dengan soalan itu, tetapi saya melihat wajah Tuan Guru tenang dan menjawabnya dengan jelas dan yakin. Kata Tuan Guru, Almarhum adalah pemimpin yang hebat dan beliau memang sukar mahu menandingi kehebatan Almarhum itu, tetapi masa berputar, ada ketikanya PAS naik dan ada ketika ia turun, insyallah kata Tuan Guru PRU ke 12 nanti tidak mustahil PAS akan naik kembali.

Terbukti, untuk rekod ketika Tuan Guru menjadi Presiden PAS lah, maka PAS mencatat rekod paling cemerlang, dengan mengekalkan Kelantan (5 penggal berturut-turut), menawan Kedah (pertama kali dalam sejarah) dan bersama membentuk kerajaan negeri di Perak, Selangor dan Pulau Pinang. Dizaman Tuan Guru kini PAS punya 3 Menteri Besar (paling banyak dulu cuma 2) 23 ahli Dewan Rakyat dan 83 ADUN di 10 buah negeri (satu ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan).

PAS buat pertama kali menang kerusi yang dipertandingkan di Johor dan Negeri Sembilan.

Semoga Allah swt memberikan kekuatan dan kesihatan kepada Tuan Guru untuk terus memimpin PAS dan kekuatan jua kepada kita semua untuk terus duduk dan menyokong gerakan Islam bernama PAS ini.
Meneroka idea baru pemuafakatan umat Melayu Islam

Satu tajuk berita mukadepan akhbar Utusan Malaysia hari ini menarik perhatian saya, ia berbunyi:

Kepentingan Melayu: PAS, PKR sedia muafakat dengan Umno

Ianya lanjutan dari kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno Norza Zakaria yang menggesa pemimpin-pemimpin UMNO, PAS dan PKR mengadakan permuafakatan bagi membincangkan hala tuju orang Melayu di negara ini tanpa menyeret perbezaan politik diantara mereka.

Dalam laporannya itu Utusan memetik kenyataan Ketua Dewan Pemuda PAS, Salahuddin Ayub (ahli Parlimen Kubang Kerian) dan Naib Presiden PKR Azmin Ali (ahli Parlimen Gombak/ ADUN Bukit Antarabangsa) yanhg masing-masing bersetuju dan cenderung dengan idea tersebut.

Kata Salahuddin, PAS pasti bersetuju dengan idea itu asal sahaja ia membawa kebaikan untuk orang Melayu dan Islam di negara ini malah PAS sudah lama mempelawa Umno berbuat demikian tetapi tidak pernah dilayan.

Manakala menurut Azmin pula idea permuafakatan itu baik tetapi ia perlu berlandaskan prinsip-prinsip keadilan sesama Melayu dan bukan Melayu. Jangan lagi ada jurang antara Melayu dengan Melayu atau Melayu dengan bukan Melayu.

Kalau benar orang Melayu Islam boleh duduk semejua berbincang berkenaan nasib dan masadepan bangsa dan agamanya, alangkah baiknya. Kita mungkin berbeza dari sudut pandangan dan pendekatan politik, tetapi janganlah kerana perbezaan itu sehingga kita meroboh dan meranapkan peradaban bangsa dan agama kita sendiri.

Dalam isu pengajian sains dan matematik dalam bahasa Melayu di sekolah-sekolah, contohnya, jika ia perlu diubah kembali demi memartabatkan bahasa Melayu dan kebaikan umat, menagapa tidak boleh kita bersatu?

Dalam isu bantuan per kapita kepada Sekolah-sekolah Agama Rakyat, jika kita sama-sama merasakan ia perlu dikembalikan ditambah dengan bantuan lain bagi meningkatkan infrastruktur sekolah-sekolah berkenaan, mengapa kita tidak boleh bersatu?

Dalam menangani isu murtad, isu memeluk Islam, jika kita dapat fikirkan suatu penyelesaian yang baik demi ummah dan martabat agama ini, mengapa tidak kita bersatu?

Sama-sama kita fikirkan baik-buruk umat ini. Berpolitik-politik juga, tetapi kuasa ekonomi dan kebajikan umat jangan digadaikan. Kekuatan aqidah dan hargadiri agama jangan diperjudikan. Biarlah Umno, PAS dan PKR berbeza, tetapi atas dasar umat Melayu Islam ini, kita bersatu dan sama-sama membela.

Ini zaman politik baru untuk Malaysia, inilah ketikanya untuk kita meneroka idea baru demi kebaikan kita bersama, insyallah.

Monday, April 14, 2008

Lagi pekung kerajaan BN bawah Khir

Blog bekas MB Selangor di "update' pada 12 April lalu dari Tanah Suci Makkah. Mungkin kerana tidak lagi duduk di kerusi MB, Khir kini banyak masa lapang, dan alangkah baik masa itu digunakan untuk beribadat di Tanah Suci.

Dalam posting nya itu Khir bercerita darihal peralihan kepimpinan dalam Umno.Beliau menuntut perubahan dalam partinya bagi memenuhi kehendak yang disuarakan rakyat dalam PRU ke 12 lalu. Saya tertarik apabila Khir menulis:

Hari ini saya di sini lagi (Makkah) dengan keyakinan yang sama memohon doa, bermunajat kepada Allah, moga Allah selamatkan negara kita dari pemimpin yang tidak bertanggungjawab.

Bagaimanakah kita mengenali "pemimpin yang tidak bertanggungjwab" yang beliau maksudkan itu? Mungkin dalam kes beliau, Khir merujuk kepada Dollah, siapa dalam Umno yang tidak menyalahkan Dollah hari ini kecuali mereka yang baru dapat tempat dalam kabinet atas ikhsan Dollah seperti mat Taib, Shahrir Samad dan Zaid Ibrahim.

Tetapi mungkinkah di Selangor juga hadir "pemimpin yang tidak bertanggungjawab" itu?

Kepimpinan Dollah memang diakui kini bermasalah, bagaimana pula dengan Khir?
Siang tadi Edward Rajendra melaporkan dalam mstar.com, kenyataan EXCO Kerajaan Tempatan, Kajioan dan Penyelidikan Selangor, Ronnie Liu berkenaan peruntukkan tahunan wakil-wakil rakyat kerajaan lalu bagi tahun 2008. Menurut Ronnie kerajaan Selangor (bawah Khir) yang lepas telah meluluskan RM500,000 peruntukkan pembangunan kecil setiap seorang ADUN BN untuk digunakan di kawasan masing-masing bagi tujuan kerja-kerja peneylenggaraan dan projek-projek kecil sepanjang tahun 2008.

Ketika itu BN mempunyai 54 orang ADUN, bermakan kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM27 juta bagi tujuan ini.

Apa yang memeranjatkan adalah apabila kerajaan negeri Pakatan Rakyat mendapati bahawa dalam tempoh 50 hari, kesemua RM500,000 bagi tiap-tiap ADUN ataupun keseluruhan RM27 juta itu telah habis digunakan oleh ADUN-ADUN BN (termasuklah ADUN Sg. Panjang - Khir Toyo)!

Kini kerajaan negeri terpaksa memohon kelulusan baru bagi ADUN-ADUN Paatan Rakyat yang menang dalam PRU 8 Mac lalu. Menurut Ronnie, MB Selangor telah mengarahkan agar surat-surat dihantar kepada semua ADUN-ADUN BN berkenaan (ketika itu) untuk menjelaskan kemana dibelanjakan duit peruntukkan itu kerana rupa-rupanya ia dibelanjakan tanpa rekod yang tersusun.

Mungkin inilah juga "pemimpin yang tidak bertanggungjwab" yang dimaksudkan Khir agar Allah lindungi kta semua dari mereka. Nampaknya dari hari ke hari segala-galanya lucut dan terbongkar sehingga dapat dilihat oleh mata kepala rakyat sendiri. Makin penatlah Khir dan rakan-rakan terpaksa bersilat dalam sidang DUN Selangor tidak lama lagi, dan makin ketaralah kepada rakyat siapa pemimpin yang bertanggungjawab dan siapa yang tidak.
Polis jangan ganggu "Black 14"

Pada hari ini tanggal 14 April, 2008, bekas Timbalan Perdana Menteri dan kini Penasihat PKR, Dato Seri Anwar Ibrahim secara rasminya dibenarkan memegang jawatan politik dan bertanding dalam pilihan raya. Setelah 10 tahun beliau tersingkir dari arus perdana politik negara atas konspirasi jahat musuh-musuh politiknya, hari ini Anwar kembali bebas sebagai seorang rakyat Malaysia biasa.

Bezanya ketika beliau diperlakukan dahulu, cuma rakan-rakan dari PAS dan DAP bersama-sama beliau, tetapi hari ini, parti yang diasakan atas perjuangan beliau, iaitu PKR bersama Pakatan Rakyat (PAS dan DAP) menguasai 5 buah negeri dan 81 buah kerusi di Dewan Rakyat dan isterinya Datin Ser Dr Wan Azizah adalah Ketua Pembangkang.

Hari ini adalah hari perayaan besar, bukan hanya buat Anwar sekeluarga tetapi buat semua yang berjuang menuntut kebenaran dan keadilan. Lantas majlis rasmi menyambut peristiwa keramat bersejarah ini akan diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kg Bharu, Kuala Lumpur.
Kelab Melayu tertua di KL ini (yang mengambil sempena nama Sultan Selangor ketika itu) menyimpan sejarah dan nostalgia kerana di premis inilah satu ketika dahulu badan-badan NGO Melayu berhimpun untuk menubuhkan Umno. Yang hadir termasuklah semua tokoh Melayu kiri dan kanan se Tanah Melayu. Walaupun KL kini bukan lagi berada di bawah jajahan Selangor namun Kelab ini terus milik kerajaan Selangor, MB Selangor otomatik adalah Pengerusinya. Bersejarah sungguh, hari Anwar bebas, dan Pengerusi Kelab Sultan Sulaiman adalah Tan Sri Khalid Ibrahim, MB Pakatan Rakyat Selangor!

Lalu saya hairan mengapa tiba-tiba pihak polis begitu terganggu atau "agitated" dengan program ini? Biarlah ia berlangsung dengan baik dan aman, bukankah ytang hadir itu juga nanti orang yang baik-baik dan dianungi pula oleh MB Selangor. Memanglah ramai yang akan hadir kerana rakyat jelata semua mahu merayakan hari bersejarah ini.

Saya syorkan pihak polis hadir sekadar untuk menjaga lalu-lintas, tetapi janganlah bertindak keterlaluan sehingga menganggu majlis rakyat ini.

Pihak polis perlu ingat, disamping kelemahan Dollah Badawi, kos hidup yang meningkat, rasuah dan kadar jenayah yang tinggi, keganasan dan kekasaran pihak polis terhadap rakyat juga merupakan faktor besar kekalahan BN dan Umno dalam PRU yang lalu.

Janganlah terus bersikap kasar terhadap rakyat sendiri, ini bukan himpunan haram ini majlis merayakan kebebsana pemimpin rakyat. Saya merayu pihak polis agar bertindak adil dan menggunakan budi bicara, tahniah Dato Seri, rakyat menunggu-nunggu anda sebagai PM Malaysia yang ke 6.