Seorang pengunjung blog ini yang saya yain seorang bukan Islam telah menurunkan komennya dalam isu Hudud yang mendominasi beberapa posting terakhir saya. Ternyata beliau tidak senang dengan isu ini dan meluahkan isi hatinya. Saya meraikan pandagannya iaitu:
Klu hudud sahaja cara nak meraih undi dari org melayu..xpayah la.
Jgn terikut negara lain yg laksanakn hudud.kat m'sia berbilang bangsa,berbilang kaum.
Jgn juga disebabkn nama negara m'sia ni negara islam..nak suka hati wat undang2 sendiri.hormati kaum lain.kaum lain juga byk menyumbang tenaga kemodenan.kami bukan islam kami sgt hormati hak org islam,agama islam.jgn ingat kami terlalu menghormati,nak wat hukum sesuka hati.wa faham,hudud untuk org islam..jgn disebabkn ketidakpuasan hati pada undang2 skarang nak di laksanakn hudud.jgn disebabkn jerung tlepas bilis di tangkap nak laksanakn hudud.lebih baik kita perbaiki undang2 yg sedia ada.sama2 kita hampuskn RASUAH.tanpa rasuah,Yakin M'sia akan aman.(peserta bersih 3.0)
Yang jelas PAS adalah sebuah parti politik dan ia berjuang melalui sistem demokrasi untuk memperoleh kuasa bagi melaksana dasar dan matlamat perjuangannya. Mendapat mandat politik melalui pilihanraya adalah satu proses dalam sistem demokrasi yang diiktiraf dunia.
Bermakna PAS tiada kuasa melaksana Islam jika ia tiada kuasa.
Contohnya apabila mendapat kuasa di Kelantan sejak 1990an dan sepenggal di Terengganu 1999-2004 , PAS melalui kuasa yang diperolehinya di negeri-negeri berkenaan telah meluluskan Enakmen yang memuatkan hukum hudud dalam perundangan negerinya. Walaupun sehingga kini kedua-dua undang-undang tersebut tidak dapat dikuatkuasa oleh kerana kekangan diperingkat Persekutuan tetapi dari segi rekodnya kedua-duanya adalah undang-undang yang sah setelah diperkenan oleh Sultan kedua-dua buah negeri.
Ini bermakna ianya bukan dilakukan sesuka hati tetapi setelah memperoleh mandat dalam erti kata lain sokongan rakyat.
PAS sejak penubuhannya memang akur bahawa Malaysia adalah sebuah Negara yang berbilang kaum kerana itulah dalam kedua-dua enakmen negeri yang diluluskannya itu, ia terpakai hanya untuk orang-orang Islam. Sesungguhnya dua sistem undang-undang iaitu sivil dan syariah telah wujud dalam Negara kita sejak zaman Inggeris lagi, dan ia sesuatu yang telah diterima rakyat zaman berzaman.
Berbalik kepada polemik Karpal dan Nasarudin berkenaan PAS, Hukum Hudud dan Negara Islam saya tertarik dengan komen yang diberikan oleh EXCO Agama Kelantan Ustaz Dato Mohd Amar Nik Abdullah kepada pihak media semalam. Beliau berkata:
Perlaksanaan Hukum Hudud tidak akan dibuat sebaik sahaja pembangkang menang sebaliknya dilaksanakan selepasa mendapat sokongan majority rakyat. Untuk PRU ke 13 ini tumpuan utama kita adalah menjatuhkan BN . Hudud taka da dalam Buku Jingga dan memang tak bincang, TETAPI TAK BERMAKNA PAS MENINGGALKAN CITA-CITANYA.
Kita hormati pandangan beliau (Karpal) tetapi pendirian kita, kita akan tetap teruskan cita-cita melaksanakan hudud mengikut lunas undang-undang dan perlembagaan.
Memang orang bukan Islam sebahagian besar akan menolak hukum ini, tetapi tidakkah ianya sebagaimana yang telah lulus di Kelantan dan Terengganu hanya terpakai kepada orang Islam sahaja? Ia tidak “dipaksa” ke atas yang bukan Islam, lalu bagaimana pula berbangkit isu tidak menghormati orang bukan Islam ?
Dan yang paling penting di sini ia diluluskan melalui proses undang-undang iaitu digubal dan diluluskan oleh dewan perundangan dan diperkenankan oleh Raja-raja sebagai suatu undang-undang. Tidak berlaku paksaan atau penguatkuasaan secara otokratik.
Sehubungan dengan ini saya ingin memetik pidato terakhir Almarhum Prof Zulkiflee Muhammad (ketika itu Timbalan Presiden Pas dan ahli parlimen Bachok) sebelum beliau meninggal dunia, dihari PAS meraikan kemenangannnya bagi penggal kedua memerintah Kelantan selepas PRU 1964, beliau berkata:
Kita minta rakyat mengundi kita, kita minta mereka mempercayai kita bukan dengan janji-janji khidmat tetapi dengan janji-janji akan menjalankan hukum Tuhan. Tuhan yang kita sembah. Tuhan yang merenung apa yang kita buat tiap-tiap hari. Tuahn yang memerhatikan kesungguhan hati kita sebelum daripada kesungguhan perbuatan kita. Inilah saudara-saudara kedudukan kita pada hari ini. Satu kedudukan yang sungguh dan benar.
Dan dalam memoirnya berjudul “Memoir Khatijah Sidek: Puteri Kesatria Bangsa” Allahyarham Khatijah Sidek bekas Ketua Wanita Umno Malaya yang kemudiannya menyertai PAS dan menang sebagai ahli parlimen Dungun 1959 memetik surat yang dikirim oleh Presiden PAS ketika itu Almarhum Dr Burhabuddin al Helmy dalam mengalu-alukan penyertaan beliau ke dalam PAS pada tahun 1958:
Memang baik sekali berjuang atas nama Allah dan Islam kerana kita bukan sahaja berjuang untuk kehdiupan di dunia tetapi juga kehidupan di akhirat selama-lamanya. Dan inilah caranya kita menunaikan kehendak Allah.”
Apa pun saya mengharapkan PAS dan Pakatan Rakyat akan berjaya dalam PRU ke 13 nanti dan PAS insyallah terus konsisten dengan agenda dan cita-cita perjuangannya sehingga terlaksana.