Friday, August 03, 2018

Umno perlu segera mendakap mesej PAS

Keputusan PRU ke 14 suka tidak suka telah melakar lanskap baru politik Malaysia. Barisan Nasional 
yang berkuasa sekian lama diperingkat Persekutuan telah digantikan dengan kerajaan baru gabungan 
DAP, PKR, Bersatu dan Pan dalam satu pakatan yang dikenali PH. Pakatan ini turut berkuasa di tujuh 
buah negeri lagi di Semenanjung.
PAS walaupun tewas di beberapa kerusi yang ia kuasai di Pantai Barat namun berjaya menang di 18 
kerusi Parlimen dan bertahan di Kelantan serta menjatuhkan BN di Terengganu. Uniknya pakatan PH 
yang kuat berkuasa diperingkat Persekutuan dan tujuh buah negeri tadi langsung tidak memenangi 
walau satu kerusi Parlimen atau DUN pun di Kelantan dan Terengganu, negeri-negeri yang dikuasai 
PAS.

Lanskap baru yang dimaksudkan melihat PH berkuasa di Parlimen dengan 122 kerusi termasuk 8 dari 
Warisan. Selebihnya terdiri dari Gabungan Parti Sarawak atau GPS yang pro PH, 19 kerusi. UPKO, 
PBS, PBRS dan STAR dari Sabah masing-masing 1 kerusi serta 5 lagi dari Bebas.

Blok pembangkang di Parlimen pula kini dikuasai BN. BN mempunyai 54 kerusi iaitu 51 mewakili Umno, 
2 MIC dan 1 MCA. PAS sebagaimana yang dinyatakan punya 18.

Bagaimanakah PAS menghadapi lanskap politik yang berbeza ini?

Semasa PRU ke 14 lalu PAS melalui Gagasan Sejahtera menghadapi PH dan BN tiga penjuru 
dikebanyakkan kerusi yang dipertandingkan. BN ketika itu kerajaan Persekutuan manakala DAP dan 
PKR baru sahaja menendang PAS keluar dari Pakatan Rakyat dan menubuhkan PH bersama PBBM dan 
Pan untuk menghadapi BN dan PAS.

PAS hampir keseorangan menghadapi dua musuh bertaraf gergasi namun demi mempertahankan dasar 
dan prinsip perjuangan Islam, PAS lalui juga PRU 14 dengan penuh berani. Kini ribut pertembungan 
PRU 14 telah berlalu, realitinya hari ini PH yang PAS musuhi kerana menolak dan mencabar dasar 
perjuangan PAS hari ini menjadi semakin gagah malah menggantikan kedudukan BN.

BN pula khususnya Umno, masih menjilat luka diseluruh badan yang ia perolehi hasil dari pertembungan 
PRU 14 yang sengit itu. Kekuatan yang ia miliki melalui kuasa hari ini sudah tiada, dan Umno semakin lumpuh, 
cuma mampu menggagahkan diri kerana masih bertahan pada 54 kerusi Parlimen yang di dalam tangan, itupun 
belum tahu angka berkenaan dapat terus bertahan atau bakal susut satu demi satu apabila ada yang melompat 
parti.

Yang masih bertenaga diperingkat blok pembangkang ternyata adalah PAS. Diperinglkat negeri Kelantan dan 
Terengganu, kedua-dua negeri ini menyaksikan penubuhan kerajaan negeri antara yang terawal berbanding 
negeri-negeri lain termasuk diperingkat Persekutuan. Ini membuktikan betapa stabil dan lancarnya kemenangan 
PAS di kedua-dua buah negeri berkenaan.

Kerajaan Persekutuan pada hari ini buat pertama kali dalam sejarah Malaysia Merdeka bukan lagi kerajaan 
dominan Melayu. Dari 122 kerusi PH termasuk Warisan, ahli parlimen bukan Islam adalah seramai 63 orang, ini 
bermakna kuasa politik bukan Islam begitu dominan di peringkat Persekutuan selain di kebanyakkan negeri-negeri 
yang mereka kuasai.

Perubahan lanskap ini membuka cabaran yang besar buat kesinambungan survival politik Melayu Islam dalam 
negara. Ia boleh terus tidak menganggu  jika kelompok dominan ini tidak meletakkan kepentingan dalam isu 
Melayu Islam, akan tetapi DAP contohnya sudah pasti mahu menegakkan dasar dan prinsip perjuangannya dalam 
pentadbiran sekali gus akan memberi tekanan besar pada kerajaan agar mengikut telunjuk mereka.

Belum pun genap 100 hari pentabdiran mereka diperingkat Persekutuan kita telah menyaksikan beberapa 
perkembangan yang mula meresahkan orang Melayu Islam yang merupakan majoriti penduduk dalam negara hasil 
dari kesungguhan DAP mahu menegakkan agenda mereka.

Isu perlantikkan Ketua Hakim Negara, Peguam Negara selain kuota tambahan matrikulasi untuk keturunan Cina, 
pengiktirafan sijil UEC dan peruntukkan kerajaan ke sekolah-sekolah Cina adalah sebahagian contoh-contoh yang
 terang. Selain itu agenda Malaysia Sekular yang didokong DAP juga banyak diyakini mempengaruhi beberapa isu 
berkaitan agama dan kepentingan  Islam selama ini.

DAP comtohnya mahu Dr Zakir Naik dihantar kembali ke India kononnya dikaitkan dengan kumpulan pengganas, 
mereka juga mahu menyemak semula kepentingan JAKIM dan beberapa institusi agama yang dikatakan 
membebankan kerajaan dari sudut perbelanjaan.

Institusi Raja-raja Melayu juga sudah mula dipertikaikan dengan kritikan lantang dari pelbagai pihak selain mengiktiraf 
golongan liberal dan LGBT yang songsang dan menyesatkan itu.

Atas perubahan lanskap inilah maka PAS bangkit untuk mengambil kedudukan baru. Dalam PRK Sg Kandis yang 
sedang berlaku contohnya PAS bersedia mengarahkan penyokongnya mengundi calon BN, suatu tindakan yang besar 
dan tidak pernah dilalukan sebelum ini semata-mata kerana menyedari arus politik telah banyak berubah pasca PRU 14.

Ancaman  terhadap kepentingan umat Islam dan bangsa Melayu perlu dipertahankan dan ini hanya mampu dilakukan 
kiranya blok pembangkang bersatu membawa agenda yang sama. Umno yang hilang taring itu perlu segera mendakap 
mesej PAS ini dan bersedia untuk membuat perubahan. Jika Umno bersedia terutama dengan agenda mendokong dan 
memartabatkan Islam, PAS pasti terbuka dan lebih-lebih lagi bersedia.

PAS telah mulakan dengan langkah keterbukaan awal di PRK Sg Kandis. Umno sepatutnya menyambut inisiatif ini 
dengan beberapa langkah berani ke arah agenda yang sama. Usul yang dibawa ahli-ahli Dewan Undangan Negeri 
PAS Pahang umpamanya untuk mengisytiharkan cuti mingguan di negeri berkenaan pada hari Jumaat sebagaimana 
negeri-negeri majoriti Melayu yang lain perlu disokong sebagai tanda awal kesediaan Umno.

Biar mesej ini sampai kesemua pihak dan umat Melayu Islam di Malaysia akan mula terubat hatinya apabila melihat 
di sana ada kuasa politik yang sanggup berjuang dan membela nasib mereka. roslansms@gmail.com