Saturday, April 05, 2008

Benarkah Pakatan Rakyat mula retak?

Dalam pada kita membicarakan darihal huru-hara dan "darurat" (meminjam kata-kata Ku Li) dalam Umno, tiba-tiba terbit pula berita yang Pakatan Rakyat sendiri iaitu persepakatan politik antara PAS, PKR dan DAP yang baru sahaja dilahirkan beberapa hari kononnya telah mula retak.

Benarkah begitu?

Ini ekoran kenyataan Timbalan MB Kelantan Ustaz Ahmad Yaakub bahawa PAS seharusnya menjadi "tunjang" Pakatan Rakyat bagi menjayakan perlaksanaan cita-cita negara Islam. Kenyataan TMB itu dilapoorkan disokong pula oleh Pemuda PAS Negeri. Ia turut disokong oleh kenyataan Ketua Pemuda PAS Kedah Musaddak Ahmad dan Naib Ketua Pemuda PAS Pusat Azman Shapawi.

Pakatan Rakyat yang dilahirkan atas persepakatan ketiga-tiga pimpinan tertinggi parti PAS, PKR dan DAP, baru-baru ini bersetuju agar pakatan ini diterajui bersama oleh ketiga-tiga parti dengan Dato Seri Anwar mempengerusikannya. Kesemua lima buah negeri yang dikuasai oleh parti-parti ini akan dikenali sebagai kerajaan Pakatan Rakyat.

Lalu bersuaralah orang-orang PAS memberikan pandangan dan reaksi terhadap pakatan baru ini. Untuk berlaku adil saya kira semua mereka yang bersuara itu tidak sekali-kali menentang pakatan ini. Ianya diterima dan dihormati kerana resam orang PAS taat pada pimpinan, cumanya mereka memberikan pandangan dan pendapat bukan pun mendesak. PAS tidak pernah menghalang ahli-ahlinya dari memberikan pandangan dan pendapat. Oleh itu apabila orang-orang PAS bersuara, orang lain tak perlulah melatah dan kalut.

Kita kan memperjuangkan keadilan yang tersenarai di bawahnya hak bersuara dan memberikan pendapat. PAS tidak pernah jatuh kerana ahli-ahlinya memberikan pendapat dan pandangan, dan malah PAS sentiasa meraikan pandangan dan pendapat sehinggakan Mursyidul Am pun boleh dikritik dalam Muktamar PAS. Cumanya mekanisma dalam PAS, keputsan syura peringkat tertinggi adalah yang diguna pakai, dan apaila sesuatu itu telah disyurakan diperingkat berkenaan maka kita semua dari Presiden sehinggalah ahli biasa akan taat dan patuh padanya.

Berbalik kepada isu tadi, mereka yang menyuarakan pandangan dan pendapat itu ternyata tidak membantah atau menolak Pakatan Rakyat, kerana itu semua pihak perlu matang dan tidak melatah. Janganlah kerana pandangan itu maka PAS dan dasarnya diserang dan diperlekehkan. Malah ada pula yang mempertikaikan kekuatan PAS dalam bentuk bilangan perwakilan di Parlimen. Bukankah itu semua cuma mengeruhkan pakatan sedangkan isu dalam tangan adalah orang-orang PAS yang mengeluarkan pandangan dan pendapat yang hakikatnya tidak mengancam dan menggugat pakatan pun. Insyallah boleh selesai dengan kebijaksanaan pimpinan PAS.

Saya percaya seluruh ahli PAS sangat yakin kepada pakatan ini, dan mereka juga mahukan yang terbaik buat agama, bangsa dan negara. Ahli-ahli PAS telah berkorban darah, airmata, keringat dan harta selama lebih 50 tahun untuk menewaskan Umno dan BN. Hakikatnya tanpa PAS (yang walaupun hanya 23 kerusi di Parlimen) tiadalah pakatan ini dan tiadalah kerajaan di Selangor, Kedah dan Perak. Oleh itu marilah sama-sama kita menghormati antara satu sama lain, yang penting masing-masing meyakinkan ahli dalam parti masing-masing darihal keperluan dan kepentingan pakatan ini.

Biarkanlah yang sasau, melatah dan kalut itu hanya Umno dan BN dan bukan kita.

No comments: