Thursday, April 03, 2008

Akhbar-akhbar tempatan menyumbang kepada prestasi teruk BN

Hari Selasa lepas akhbar The Sun melaporkan kajian yang dibuat oleh beberapa NGO antaranya Centre for Independant Journalism, Writers for Media Independence dan Aliran. Badan-badan ini telah memantau liputan akhbar-akhbar media perdana dalam kempen PRU ke 12 baru-baru ini.

Kesimpulannya, sesuatu yang kita semua tahu, bahawa media perdana di negara kita rata-rata berat sebelah dalam laporannya malah menjadi seolah lidah rasmi BN. Kajian tersebut meliputi 6 buah akhbar harian utama iaitu NST, The Star, The Sun, Utusan, Malaysia Nanban dan Makkal Osai. Ia telah mengukur 3,808 laporan dan artikel dalam akhbar-akhbar berkenaan.

Menurut kajiannya akhbar The Star adalah yang paling pro BN dari 3 buah akhbar berbahasa Inggeris yang lain. Akhbar berkenaan memberikan 63.12% ruangnya kepada BN. Berita pro pembangkang cuma mendapat 5.5% liputan, manakala yang bebas 31.31%.

NST pula memberi 60.29% kepada BN dan 5.9% pembangkang.

The Sun memberikan 40.87% ruangnya kepada berita bebas (neutral) dan lebih 16% kepada pembangkang.

Dan seperti yang dijangkakan Utusan Malaysia memberi 82.29% liputan kepada BN dan cuma 1.89% kepada pembangkang.

Lalu menurut badan-badan berkenaan, penolakkan rakyat terhadap BN pada PRU lalu sekaligus membuktikan yang rakyat sebenarnya menolak segala bentuk laporan dalam akhbar saluran perdana. Nampaknya rakyat Malaysia sudah matang dan masak dalam kerja-kerja jahat dan tidak bertanggungjawab akhbar-akhabr media perdana kita. Rakyat tidak lagi mudah dipesong atau diperbodoh-bodohkan oleh laporan separuh masak dan tidak masuk akal.

Mudah-mudahan para pengampu yang duduk dimeja pengarang akhbar-akhbar berkenaan akan insaf dan segera mengingatkan para pemilik mereka. Jika berterusan begini, tidak mustahil Umno satu hari nanti akan duduk di bilik pameran muzium sekadar menjadi bahan sejarah buat tontonan ramai.

No comments: