Tuesday, November 07, 2006

Apa nasib bahasa Melayu kita?

Sudah lama kita tidak mendengar pemimpin kita bercakap berkenaan nasib dan masa depan bahasa kita. Agenda perjuangan bagi memartabatkan bahasa Melayu, bahasa ibunda kita seolah tidak lagi diberi perhatian dan keutamaan pada hari ini.

Dalam akhbar THE STAR hari ini menjawab desakan Konvensyen Umno Johor, Timbalan Presiden Umno yang juga TPM Najib Tun Razak berkata matapelajaran sains dan matematik di sekolah-sekolah akan terus diajar dalam bahasa Inggeris. Jika tidak kata Najib kita akan jadi jaguh kampungan dalam gelanggang antarabangsa.

Demikianlah sikap pemimpin Melayu terhadap bahasanya sendiri.



Sedangkan pada waktu yang sama bertempat di Dewan Bahasa dan Pustaka DBP, Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke VII sedang berjalan dan isu pengajaran matapelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris ini terus dibangkitkan.

Saya tertarik mendengar ucapan perasmian oleh bekas Naib Presiden Umno, bekas Menteri Kewangan dan kini ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang kebetulan merupakan Pengerusi Kongres Kepentingan Bangsa.

Tidak seperti Najib Ku Li mempertikaikan apakah penguasaan ilmu hanya boleh diperolehi melalui bahasa Inggeris semata-mata? Kata Ku Li bangsa-bangsa lain berbangga dengan bahasa mereka masing-masing dan keunggulan bahasa mereka terus dipertahankan tetapi di negara kita bahasa Inggeris telah dinobatkan konon-kononnya hanya bahasa itu sahaja yang menjamin kemajuan. Kata beliau tidakkah bangsa Korea dan Jepun yang berjaya dan maju itu mampu menceduk ilmu Jerman, Perancis dan Eropah dengan cara mengekalkan keunggulan bahasa mereka.

Ku Li menambah kita sepatutnya mencontohi pejuang-pejuang bahasa Cina dalam negara yang terus berjaya mempertahankan keunggulan bahasa ibunda mereka.

Dan Ku Li yang memang dikenali sebagai tokoh yang berani dan kontroversial itu telah menyebut (dengan diulanginya dua kali dan disambut dengan tepukan gemuruh mereka yang hadir):

Dalam sistem kita berpolitik, kerajaan sepatutunya takut dan akur kepada rakyatnya. Kebiasaannya rakyat digerakkan oleh cerdik pandai, ilmuan dan para cendikiawannya. Lesunya golongan ini lemahlah rakyatnya. Rakyat yang lemah akan melahirkan pemimpin yang leka. Pemimpin yang leka akan menjadikan bahasa dan negara ini tidak berdaya.

Sudah tentu ungkapannya yang tajam itu penuh bermakna dan ditujukan tepat kepada pimpinan negara yang jelas mengabaikan kepentingan bahasa lantas menjadikan negara tidak lagi kelihatan berdaya.

Saya kira sudah tiba masanya untuk kita bergerak mempertahankan keunggulan bahasa kita dalam system pendidikan negara yang penuh bercelaru ini. Mudaj-mudahan kongres ini dapat membuahkan sesuatu yang bermanfaat.

Turut kelihatan hadir dalam kongres ini adalah tokoh-tokoh bahasa, sasterawan, politik dan seni Melayu negara, antaranya Datuk Johan Jaafar, Dr Firdaus, Dr Ismail Hussien, SN Samad Said, Dr Hassan Ahmad, A Rahman Hassan, YB Salahuddin Ayub dan Hj Mahfuz Omar.

(Sementara itu akhbar UTUSAN hari ini sekadar melonggokkan berita berkenaan kongres ini dimuka 7 akhbarnya hari ini, Sukma bebas dari hukum liwat terpapar di muka depan?!)

No comments: