Monday, November 21, 2005

Hishamuddin ancam guru yang sokong PAS

Saya pada mulanya tidak percaya akan tetapi setelah ditunjukkan oleh rakan saya akhbar BERITA HARIAN hari ini, saya tergamam, keciwa dan terus hilang hormat kepada Menteri Pendidikan Malaysia Hishamuddin Tun Hussien.



Salah satu tajuk akhbar tersebut dimuka 3 berbunyi:

Guru tak sokong BN disyor cari kerja lain

Astaghafirullah, beginikah mentaliti seorang menteri pusat, anak seorang bekas PM dan cucu kepada seorang pejuang kemerdekaan?

Kata beliau:

Kalau masih wujud guru yang tak bersama, saya rasa begitu kecewa kerana selama ini saya tak nampak Kerajaan PAS dan pembangkang mempertahankan profesion perguruan dan membela nasib guru saya.

Bagi yang masih tak mahu berama kita, terserahlah kepada mereka. Pilihlah kerjaya lain kerana tugas mereka memastikan anak kita terbela adalah suatu tanggungjawab berat yang terpaksa kita pikul demi masa depan.

Sejak bilakah kakitangan kerajaan diwajibkan menyokong satu-satu parti politik? Sejak bilakah hak menyokong, memilih dan menganggotai mana-mana parti politik telah dirampas dan digugurkan dari kalangan kakitangan kerajaan khasnya para guru?

Mengapa begitu bengis dan kuku besi sekali sikap Menteri berkenaan? Tidakkah ini kelak akan mencerminkan betapa sempit dan ekstrimnya fikiran seorang menteri kabinet di Malaysia yang telah menggunakan kuasanya untuk menafikan hak asasi anak-anak buah di bawah kawalannya?

Hak seseorang warganegara untuk memilih dan menyokong mana-mana parti politik yang sah dan berdaftar dalam negara adalah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Tidak ada mana-mana pihak apalagi seorang yang bertaraf menteri berkuasa untuk mencabut dan menafikan hak tersebut

Mengaibkan sungguh perangai dan sikap si Hishamuddin ini.

Ancaman dan ugutan beliau ini sekadar membuktikan betapa sesunguhnya tertekannya Umno dalam menghadapi pilihanraya kecil di Pengkalan Pasir.

Saya pasti bukan hanya saya malah seluruh anggota profesion perguruan akan memandang rendah kepada Hishamuddin lantaran kenyataan cetek dan tidak professional beliau ini. Dulu kita dengar undi para pengundi pos dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu, kini giliran para guru pula.

Insyallah undi anda adalah rahsia, keluarlah mengundi ramai-ramai para guru yang terlibat, tak kira Umno ataupun PAS, dan buktikan bahawa anda berhak memilih siapa sahaja yang anda berkenan dan tidak ada siapa yang boleh menghalang citarasa politik anda itu!

No comments: