Friday, September 25, 2026

SOLO BERMAKNA MENGKHIANATI KEPERCAYAAN UMAT MELAYU

Salam Jumaat, salam sementara pimpinan berunding menghadapi PRN Melaka ke 16.

Apakah mesej terbesar yang dibawa oleh pengundi khasnya pengundi Melayu di PRN Johor dan terbaru Negeri Sembilan?

Benar di PRN Johor BN menang besar, memenangi 48 dari 56 kerusi yang dipertandingkan manakala di NS BN menang 18 kerusi sementara PN 7 dari 36 kerusi membentuk kerajaan baru BNPN NS dengan majoriti 2/3 di Dewan Undangan Negeri. Kerajaan kebangaan umat Melayu.

Faktor terbesar yang menyumbang pada kemenangan di Johor dan terbaru di Negeri Sembilan tidak ada lain melainkan kesan kebangkitan pengundi Melayu, yang keluar “enbloc” buat pertama kali dalam sejarah politik tanahair, mengundi untuk penyatuan umat Melayu, mengundi menolak PH yang didominasi parti rasis dan ekstrim iaitu DAP.

Buat pertama kali pengundi Melayu, tua dan muda dari berlbagai latarbelakang ekonomi, profesion dan pendidikan, bersatu hati memberikan undi pada peneraju politik penyatuan ummah dan menolak yang lain.

Jika dikaji secara teliti keputusan PRN NS ke 16, kita dapat melihat betapa undi cantum atau gabungan undi antara UMNO dan PAS berdasarkan PRN 15 lah yang menyumbang pada kemenangan besar di NS sehinggakan Setiausaha Agung DAP serta mantan MB PH pun boleh kecundang ditolak rakyat!

UMNO dan PAS berjaya meyakinkan para pengundi Melayu khasnya iaitu pengundi teras kedua-dua parti ini, bahawa umat Melayu perlu membina kekuatan kuasa politik yang kukuh demi membela nasib dan masadepan mereka. Segala ancaman terhadap agama, bangsa dan negara akan dipertahankan.

Atas keyakinan inilah para pengundi Melayu terdorong untuk keluar mengundi, mengundi calon-calon BNPN.

Fakta inilah sepatutunya menginsafkan serta mendorong pimpinan kedua parti Melayu terbesar dalam negara hari ini iaitu UMNO dan PAS bahawa mereka memikul tanggungjawab besar meneruskan kerjasama ini sebaik mungkin, kegagalan akan mengakibatkan umat Melayu putus harap dan kecewa, akibatnya tidak mustahil mereka akan menghukum pula kedua parti.

Sekali dihukum selama-lamanya kita akan sukar bangkit kembali.

Menang khasnya di NS jangan sesekali dianggap kemenangan peribadi, ianya hasil kerjasama yang kesannya telah mencetuskan keyakinan pada para pengundi. Orang Melayu mengundi BNPN kerana berkenan dan sangat yakin dengan gabungan ini.

Justeru berunding dan bermuafakatlah untuk cabaran-cabaran seterusnya yang lebih besar. Sabar, berjiwa besar dan bertolak ansur adalah kualiti yang perlu ada pada pimpinan ummah. Membina sesuatu yang besar sesungguhnya bukan mudah tetapi sekali terbina, yakinlah, ianya akan dihujani dengan barakah dan kejayaan.

Jangan langsung menganggap masing-masing telah kuat, dan gelombang kebangkitan Melayu ini akan terus bergelora walaupun masing-masing pergi solo sekalipun. Solo dalam senario lonjakan sokongan besar umat Melayu ini adalah tindakan paling buntu dan dangkal, pasti akan dicemuh dan dihukum, orang Melayu akan rasa tertipu, maka menanglah PH dengan percuma.

Terimalah kejayaan yang dianugerah Allah sebelum ini dengan serba keinsafan dan kesyukuran.

Susun langkah berikutnya dengan bijak berpandukan syariat dan strategi yang ampuh.

Muafakat pasti membawa berkat. Jangan kecewakan kami.

  

No comments: