Saturday, September 27, 2008

Jadikan Ramadhan ini jambatan untuk menyertai PAS

Mesyuarat MT Umno Jumaat lepas telah pun berlalu. Kedudukan Dollah selaku Presiden dan PM semakin goyah. Pelan peralihan kuasa dari Dollah ke Najib yang dipersetujui MT sebelum ini bakal berlaku pada pertengahan 2010 kini ditong sampahkan.

MT semalam telah membawa pelan baru. Kini Dollah difahamkan terpaksa berundur lebih awal. Perhimpunan Agung Umno yang dijadualkan Disember ini ditangguhkan ke bulan Mac 2009. Mesyuarat Bahagian-bahagian Umno yang diajdualkan bermula Oktober 9 ini walaubagaimanapun akan diteruskan.

Adalah difahamkan yang Dollah akan mengumumkan sebelum 9 Oktober hasratnya untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden, ini bermakna tempoh beliau sebagai PM akan berakhir sejurus Presiden Umno yang baru diangkat iaitu pada Mac 2009 nanti. Sejurus itu Bahagian-bahagian Umno dijangka mencalonkan Najib dan Muhyuddin sebagai Presiden dan Timbalan Presiden.

Maka berakhirlah hayat Dollah sebagai PM dan Presiden Umno yang paling pendek perkhidmatannya dalam sejarah.

Sejauh manakah akar umbi Umno menerima pelan baru ini tidak dapat dibaca, yang pastinya beberapa kerat pimpinan MT telah menunjukkan taring masing-masing sehingga berupaya menyegerakan pengunduran Dollah. Antara yang dimaksudkan adalah Muhyuddin, Rafidah, Shafie Apdal dan lain-lain. Saya pasti dalam keadaan Umno yang luka parah selepas PRU ke 12 lalu, pasti akan ada pihak yang tidak berpuas-hati.

Yang pasti mereka yang bernaung di bawah Dollah tentu kecewa, antara yang dipercayai bernaung di bawah dagu Dollah adalah Mat Taib, Annuar Musa, Khairy Jamaluddin dan lain-lain. Bagaimana pula penerimaan kumpulan Tengku Razaleigh? Dalam kenyataannya Ku Li menganggap pelan baru ini bagaikan "permainan kanak-kanak", dan beliau berjanji akan terus mencabar jawatan tertinggi parti itu. Bagaimana pula dengan kumpulan Tun Dr Mahathir?

Umno yang luka parah itu seakan teruji lagi, konflik tercetus antara yang boleh terima dan yang tidak, yang berpuas-hati dan yang kecewa. Lantaran itu sekali lagi saya menyarankan agar rakan-rakan dalam Umno, di apa peringkat sekalipun agar memikir-mikir dan menimbangkan sarana Tuan Guru Presiden PAS agar:

……berhijrah kepada PAS dan seterusnya menjadikan PAS sebagai parti tempat bernaung.

Saki baki pimpinan Umno yang ikhlas yang mementingkan Islam mengatasi segala-galanya seharusnya berani beralih bahtera dan memanjangkan cita-cita perjuangan mereka melalui wadah PAS ini. Perjuangan untuk memartabatkan agama, bangsa dan Negara tidak semestinya berakhir di dalam Umno, PAS yang lahir sejak sebelum merdeka juga yang telah bersaing dengan Umno dalam hampir kesemua pilihanraya-pilihanraya umum ternyata memiliki daya ketahanan yang lebih baik.

Ini kerana Islam konsisten dan tidak pernah berubah. Islam tidak terbawa-bawa dan berubah mengikut perubahan zaman tetapi perubahan zaman itu diadunkan mengikut kehendak dan peraturan Islam.

Dalam sejarah PAS telah menerima ramai pimpinan Umno dan mereka berjuang dan terus mendapat tempat dan diterima masyarakat, kerana peralihan dari perjuangan Umno kepada PAS itu tampak lebih berkesan dan sempurna. Allahyarham Khatijah Sidek yang pernah merupakan Ketua Kaum Ibu Umno (sebelum Merdeka), telah menyertai PAS dan menjadi Muslimat PAS pertama yang menjejakkan kaki ke Parlimen 1959, begitu juga ramai lagi dan malah hari ini pun ada dikalangan pimpinan PAS pernah satu ketika duduk dalam Umno.

Pimpinan dan wakil-wakil rakyat PAS telah membuktikan keupayaan mereka memimpin dengan bersih dan telus malah jauh lebih baik dari Umno hasil dari perjuangan Islam yang mereka dokongi itu. Berteraskan Kepimpinan Ulamak, PAS telah melahirkan jenerasi pimpinan dan ahli-ahli yang berani kerana benar dan hanya takut kepada murka dan azab Allah swt.

Kerana itu PAS lah pilihan terbaik bagi kawan-kawan dari Umno disaat dan ketika ini. Ayuhlah bersempena bulan Ramadhan yang penuh barakah ini kita mengambil kesempatan dan kemabli bernaung di bawah panji-panji kalimah tauhid La illa ha Illallah. Sebagaimana disarankan oleh Tuan Guru Presiden PAS:

PAS percaya bahawa orang-orang Islam di Malaysia secara umumnya dan ahli-ahli Umno beserta pimpinannya secara khusus memerlukan satu wadah baru yang lebih konsisten dan mampu menjadi penyelamat yang akan memartabatkan maruah ummah.

Ayuh bersama-sama kita berjuang memartabatkan agama, bangsa dan Negara melalui PAS.

1 comment:

Anonymous said...

Sebenar banarnya bagi urang Islam tiada lain pilihan, hanya Islam! Lain semuanya lagho......