Sunday, November 18, 2007

Rashid SPR bagaikan kera sumbang

Apabila Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman baru-baru ini mengeluarkan kenyataan mendakwa bahawa beliau kononnya telah tahu bila tarikh pilihanraya umum ke 12 akan diadakan, saya tergelak seorang diri. Inilah karekter dan gelagat Rashid yang ramai telah masak melihatnya. Ada kawan-kawan yang minta reaksi saya, saya katakan malas nak mengulas kerana Rashidnya memang pelik dan kadangkala buruk perangainya.

Sebenarnya hanya PM sahaja yang tahu bila beliau mahu membubarkan parlimen dan memanggil pilihanraya. Kalau pun telah ada tarikhnya, logikkah dengan Rashid orang yang sepatutnya beliau berkongsi maklumat itu? Siapakah Rashid jika tidak sekadar pihak yang diberikan tanggungjawab menegandalikan pilihanraya. Rashid bukan TPM atau Timbalan Presiden Umno untuk diberikan keutamaan bagi dikongsikan tarikh pilihanraya walaupun bidangtugas beliau berkaitan pilihanraya.

Terbukti sehari kemudian TPM dan Timbalan Presiden Umno Najib Tun Razak mengeluarkan kenyataan hairan bagaimana Rashid boleh tahu akan tarikh tersebut. Malah Naib Presiden MCA, Chua Soi Lek juga mengeluarkan kenyataan menyebut:

Itu bukan tanggungjawab dia. Tanggungjawab dia adalah untuk memastikan jentera pilihan raya dan pentadbiran yang diuruskan oleh Suruhanjaya Pilihanraya itu berjalan lancar dan tidak dipertikai oleh sesiapa. Hanya Perdana Menteri mempunyai hak dan tanggungjawab untuk mengumumkan tarikh pilihan raya.

Tidakkah reaksi ini memberikan aib kepada beliau dan SPR. Tetapi adakah Rashid jenis orang yang mudah merasa dirinya aib dan diaibkan?

Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Disaat rakyat jelata mempertikaikan ketelusan dan kemampuan SPR mengendalikan pilihanraya yang bersih dan adil, tiba-tiba Rashid sibuk mahu jadi PM dengan mempolitikkan tarikh pilihanraya. Akhirnya hari ini beliau menjadi bahan gelak ketawa, dan pasti terjejas dan tercemar maruahnya. Saya dapat tahu tempoh ataupun penggal perkhidmatan Rashid dijangka tamat hujung tahun ini, kalau begitu cepat-cepatlah menyediakan diri untuk melalui zaman persaraan, tak perlulah nak meraih publisit murah dengan nak menjual tarikh pilihanraya pula. Selamat jalan Rashid, anda akan dikenang sebagai Pengerusi SPR yang paling buruk rekod perkhidmatannya.

No comments: