Sunday, November 11, 2007

Kedaulatan Raja-raja Melayu memayungi kepentingan rakyat


Saya adalah antara puluhan ribu rakyat Malaysia yang boleh berbangga bahawa saya turut terlibat dalam Perhimpunan Aman bersejarah anjuaran BERSIH semalam 10 November 2007 yang telah berjaya meyerahkan memorandum rakyat kepada Yang Dipertuan Agong, satu persitiwa yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia Merdeka sebelum ini. Tidak pernah dalam sejarah Malaysia, pintu pagar Istana Negara, dibuka atas perintah Raja kita yang dikasihi, untuk menerima memorandum berupa suara hati rakyat terhadap kepincangan dan ketempangan sistem demokrasi dalam negara ini.

Kita rakyat Malaysia boleh berdiri bangga kerana dalam negara kita yang Medeka ini, Raja kita yang dikasihi benar-benar bertindak bagaikan payung kepada rakyat jelata, bersedia mendengar keluhan dan rintihan rakyat, tanpa mengira fahaman atau ideologi politik mereka. Daulat Tuanku, Tuanku insyallah akan dikenang sebagai Raja yang berjiwa rakyat. Kami berbangga mempunyai seorang Raja yang rasional, berfikiran terbuka dan meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi yang lain-lain.

Bagi saya secara peribadi kejayaan Perhimpunan Aman ini semalam berkaita rapat dengan perkenan Duli Tuanku untuk menerima memorandum BERSIH itu.

Kalau dahulu rakyat mempunyai persepsi bahawa Yang Dipertuan Agong dan Raja-raja Melayu sekadar ketua negara dan negeri yang dibayangi oleh kuasa eksekutif semata-mata, rupa-rupanya kini setelah 50 tahun Merdeka, barulah sama-sama kita sedari bahawa Raja-raja Melayu sesungguhnya memiliki kuasa yang jika mereka mahu gunakan boleh meneguhkan lagi kewibawaan dan kebesaran mereka serta membela dan mempertahankan rakyat jelata yang bernaung dengan penuh taat setia di bawah mereka.

Jika eksekutif khilaf, gagal atau lemah. Jika eksekutif zalim, rasuah atau ,menyeleweng. Rakyat seharusnya tidak buntu dan berputusa asa, kerana rupa-rupanya mereka masih ada jalan keluar. Jalan keluar itu adalah mengadu kepada takhta Raja-raja Melayu, kini 50 tahun dan selepas perisitiwa bersejarah Himpunan Aman BERSIH ini rakyat yakin dan percaya bahawa di sana adalagi institusi yang akan mendengar keluhan dan rintihan mereka dan jika perlu akan membela dan mempertahankan mereka.

Daulat Tuanku, Daulat Tuanku, Daulat Tuanku.

No comments: