Friday, November 09, 2007

Dollah anggap rakyat mencabar beliau

Baru sahaja selesai ucapan penggulungan Presiden Umno sempena Perhimpunan Agung Umno di Dewan Merdeka PWTC sebentar tadi. Saya mungkin kelihatan berat sebelah dalam membuat ulasan, apa pun ikhlas saya sebut tidak banyak yang dapat saya kutip darinya, kecuali dua perkara.

Pertama Dollah selaku Presiden Umno tidak membayangkan yang Pilihan Raya Umum ke 12 akan dipanggil pada tahun ini. Walaupun para perwakilan termasuklah dari Puteri Umno kuat mendesak agar Presiden mereka membubarkan parlimen ke 11 ini, nampaknya Dollah perlu tidur lebih banyak lagi untuk mendapatkan ilham. Kita tunggu sahaja bulan Mac 2008 agaknya.




Kedua (dan lebih serius lagi), Dollah kelihatan begitu marah terhadap PERHIMPUNAN AMAN BERSIH yang dijadualkan esok jam 3 petang di Dataran Merdeka, KL. Beliau menganggap yang setelah polis membatalkan permit, tindakan BERSIH untuk meneruskan juga perhimpunan esok sebagai suatu cabaran terbuka terhadap undang-undang dan peraturan negara. Beliau dengan tegas menyebut:

Apakah mereka mahu mencabar kerajaan dan pimpinan. Mereka sebenarnya mencabar undang-undang.

Saya pantang dicabar!

Saya rasa Dollah lebih terikut-ikut dengan gendang yang dimainkan Zainuddin Maidin dan nasihat dari pihak Cawangan Khas. Ini adalah PERHIMPUNAN AMAN. Dan yang terbaru pihak penganjur sendiri telah menawarkan kepada polis untuk menangkap siapa sahaja yang mahu mencetuskan pergaduhan aatu ketegangan. Ini bukan demonstrasi, ini bukan rusuhan. Dollah lupa menantu beliau, Khairy Jamaluddin sendiri pernah berkali-kali mengamalkan demonstrasi jalanan, di KLCC ketika lawatan Condoleeza Rice, di depan Kedutaan AS, Britain dan terbaru di Kedutaan Myanmar. Beliau dan Pemudanya sehingga membakar bendera AS. Jangan kerana menantu semua boleh, tetapi rakyat jelata tidak boleh, itu nepotisma namanya!

Yang akan BERSIH anjurkan adalah HIMPUNAN AMAN, mengumpulkan rakyat yang samada merupakan ahli atau penyokong 60 buah NGO dan parti-parti politik yang sah dan berdaftar yang bernaung di bawahnya. Dari HIMPUNAN AMAN itu, wakil BERSIH akan memasuki ISTANA NEGARA atas PERKENAN YANG DIPERTUAN AGONG untuk menyerahkan memorandum rakyat mengenai Pilihan Raya yang bersih dan adil kepada Tuanku.
Itu pun takkanlah Umno yang ahlinya berjuta-juta rasa tercabar dan terancam?

Mereka semua ini kecil sahaja, parti-parti dan NGO nyamuk. Tetapi jangan lupa mereka adalah warganegara Malaysia yang dijamin haknya di bawah Perlembagaan Negera. Undang-undang tertinggi kita adalah Perlembagaan Persekutuan bukannya Perlembagaan Umno.

Bagi saya jika Dollah berkeras dan mengarahkan pihak polis bertindak ke atas rakyat yang tidak berdosa esok, Dollah sebenarnya telah menggali kuburnya sendiri.

Dollah dengan sombong berkata tunggulah pilihan raya, kita hadapi sama-sama, apa nak ditakutkan!

PAS, PKR, DAP dan lain-lain parti pembangkang tidak pernah takut berhadapan dengan BN dalam pilihan raya, buktinya kesemua 11 pilihan raya umum telah menyaksikan mereka mengambil bahagian. Tetapi yang sebenarnya takut adalah BN dan Umno. Kerana itu pilihan raya kita menjadi pilihan raya yang tempang dan berat sebelah. Umno dan BN menyalah-gunakan kuasa, menabur janji dan wang, semata-mata kerana takut kalah dalam pilihan raya. Tidak cukup dengan itu, mereka bersubahat pula dalam kerja-kerja menipu semasa pilihan raya.

Kalau betul berani, ayuh kita bebaskan sistem pilihan raya yang ada. Benarkan Agong menerima memorandum BERSIH dan bertindak di atasnya.

Apa pun kita jumpa esok di Dataran Merdeka, jika polis bertindak kasar terhadap rakyat anak-anak bangsa sendiri, kita ucapkan terima kasih kerana mereka dengan sendiri sebenarnya membunuh masa depan BN dan Umno.

No comments: