Sunday, May 25, 2008

Mengharung hidup mendambakan redha Allah swt

Saya minat menulis dan mengulas isu-isu yang saya lihat tersingkap di hadapan hidup saya sejak di bangku sekolah lagi. Kepuasan bagi saya adalah apabila saya mampu menghasilkan sesuatu yang berguna dan menjadi panduan atau bahan kritik masyarakat dan rakan-rakan. Ianya hasil cetusan hati dan rasa peribadi saya dan tidak semestinya selaras atau bertepatan dengan selera sesiapapun. Mungkin kerana saya menganuti fahaman tertentu maka gaya dan isi penulisan saya lebih cenderung kepada fahaman itu tetapi ini tidak bermakna saya terikat kaki dan tangan dari turut melemparkan teguran dan kritikan walau terhadap penggerak fahaman itu sendiri.

Apa pun saya tidak pernah diupah, disogok atau ditunjuk-tunjuk untuk menulis. Apa yang mahu saya ulas dan tulis terbit dari naluri dalaman dan ia tidak boleh ditunjal-tunjal atau dijolok-jolok oleh sesiapa. Kalau kebetulan saya mengalungkan yang indah-indah pada seseorang tokoh atau individu ianya dicetuskan oleh keikhlasan, bukannya untuk membodek apalagi untuk mendapat habuan. Walau saya tahu ada rakan-rakan yang memang senang dan boleh hidup melalui cara itu.

Jelasnya sebagai seorang rakyat Malaysia yang berbangsa Melayu dan beragama Islam sudah pastilah saya mengambil kira hakikat lahiriyah itu dalam menghasilkan karya saya. Saya tidak pandai berlakon-lakon, atau mengganggap diri saya "less Malay" atau "less Muslim" atau "less Malaysian". Tetapi tidaklah sampai ke peringkat meletakkan diri saya sebagai peneraju perkauman Melayu sempit sehingga menidakkan hak kehadiran orang lain. Saya seorang Melayu Islam dan tidak ada kuasa atau anasir mana sekalipun yang boleh memaksa saya mengikis keluar hakikat itu dari diri saya. Dan sebagai seorang Muslim sudah pastilah saya mahu mengamalkan keseluruhan anutan dan kepercayaan saya itu dan akan sentiasa berdiri memperjuang dan mempertahankannya walau dalam keadaan popular atau tidak.

Naluri manusia ini memang suka disanjung, siapa yang suka dimaki dan dihina? Tetapi saya belajar dari hidup ini bahawa "nobody is perfect" tambah-tambah diri kita sendiri. Melalui universiti hidup ini saya belajar untuk tidak memusuhi seseorang sehingga menolak terus sumbangan, idea dan kerja-kerja baiknya. Kita mungkin ada perbezaan dan bertelagah dalam hal-hal tertentu tetapi kita tidak berdosa untuk meraikan persamaan kita dalam hal-hal yang lain.

Kerana saya seorang Muslim saya menolak fahaman komunisma yang sesat itu tetapi saya memiliki koleksi buku-buku bekas -bekas pimpinan PKM, Chin Peng dan lain-lain, kerana susur-galur sejarah perjuangan dan pemikiran mereka begitu menarik minat saya. malah saya berkesempatan berjumpa Shamsiah Fakeh dan pernah menghasilkan klip dokumentari berkenaan beliau melalui WTV8, kerana ada diantara mereka ini dihukum sebelum dibenar membela diri oleh pihak penjajah yang lebih tidak berhati perut itu.

Tun Dr Mahathir seorang tokoh yang tidak pernah dianggap "PAS friendly" samada ketika usia mudanya atau ketika meneraju negara termasuklah setelah bersara ini. Apa yang tidak pernah dilakukan oleh beliau termasuklah kes "janggut Nabi", Memali dan lain-lain. Tetapi manusia yang berjiwa besar seperti Tok Guru Nik Abd Aziz (yang anaknya pernah ditahan ISA di bawah Tun) hadir meraikan majlis buat Tun, begitu juga Tuan Guru Hj Abd Hadi, menziarahi Tun ketika sakit dan menghadiahkan buku-buku karyanya kepada Tun walaupun hakikatnya bermusuh dari segi politik.

Saya belajar untuk tidak cepat menghukum seseorang, bukankah kita ini pendakwah dan bukan penghukum. Saya cuba untuk memisahkan diri dari memiliki kecenderungan mengkritik semata-mata kerana mahu mengkritik, membangkang semata-mata kerana kita pembangkang. Hasil karya, pandangan, tindakan, gelagat dan laku seseorang itu jangan ditolak semata-mata kerana ia musuh. Tambah-tambah dalam politik, musuh hari ini boleh menjadi kawan esok, kawan hari ini boleh sahaja menjadi musuh esok.

Allah swt berfirman (al Maaidah:8):

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Menjadi penulis yang bertaqwa, bukan senang, tetapi sekurang-kurangnya kita wajib berusaha ke arah itu. Begitu juga menjadi pemimpin yang bertaqwa atau insan yang bertaqwa.

Saya mahu meneruskan minat saya ini, dan akan terus menulis dan menghasilkan karya insyallah atas hambatan mahu "takut" pada Allah dan bukan pada manusia. Kalau kerana itu nanti saya akan menjadi "less popular" tidak berjawatan atau kedudukan, terlepas peluang atau apa sahaja, usia yang semakin matang ini mengajar saya lebih baik begitu dari berpura-pura dan mengundang murka Allah swt.

3 comments:

lan said...

salam bro roslan
tulisan saudara sering memberi saya input yang baik, matang dan adil. saya harap saudara terus menulis untuk tujuan perjuangan dan kebaikan. semoga Allah memberi kekuatan dan kebaikan untuk saudara melakukan kerja penulisan ini

Ehsan Zakaria said...

Salam...
Saya amat bersetuju dgn pendapat & kecenderungan saudara Roslan. Memang itulah saranan agama Islam yg kita junjung, menyatakan yg benar biarpun pahit.

Tapi bab minat menulis tu, saya pun minat, cuma tidak ada kekuatan utk menulis dgn konsisten. Maklumlah, terikat dgn kerja & komitmen lain.

Apa-apa pun, keep up the good work!

"Bumiku, tanahairku.."
ehsan zakaria

Anonymous said...

Takbir !!!!

Kami akan tetap dibelakangmu....