Dewan Rakyat bersidang dengan penuh tertib
Persidangan Parlimen penggal pertama Parlimen ke duabelas disambung pagi tadi setelah bercuti sejak Khamis lepas. Sebagaimana yang dijanjikan persidangan kali ini terus disiarkan secara langsung (sesi soal jawab) (selama setengah jam sahaja) atas ikhsan RTM walaupun pada awalnya PM dan Menteri Penerangan merasakan ia sepatutunya dihentikan. Maka dapatlah rakyat Malaysia mengintai-intai sedikit apa yang berlaku di dewan yang menempatkan wakil-wakil mereka itu.
Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia memulakan persidangan dengan membuat keputusan bahawa beliau tidak akan membenarkan ahli-ahli dewan bangkit atas “point of order” untuk menganggu sesi soal jawab kecuali jika ianya terlalu perlu dan penting. Ini menurut beliau bagi menjamin kelancaran sesi berkenaan dan demi mengelakkan kekecohan minggu lalu berulang kembali.
Semuanya hampir berjalan lancar sehinggalah wakil Bukit Gelugor, Karpal Singh mempertikaikan keputusan Speker, hampir sahaja insiden minggu lalu berulang (yang juga dicetuskan oleh Karpal) namun dapat dielakkan apabila wakil Machang, Saifuddin Nasution bangkit mengemukakan soalan yang pertama untuk pagi itu.
Terus sahaja tumpuan dewan terfokus pada soalan dan jawaban yang diberikan menteri berkaitan, lantas kekecohan Karpal tenggelam begitu sahaja.
Baik dan lancar malah sangat berdisiplin dan bermakna sidang sebelah pagi itu (walaupun rakyat jelata cuma dapat menonton setengah jam sahaja) sehingga wakil-wakil kerajaan dan pembangkang dapat bertanya dan mendapatkan penjelasan yang memuaskan dari pihak kerajaan, cukup dengan nasihat dan input yang baik dari tokoh-tokoh seperti Dr Tan Seng Giaw (DAP) dan Salahuddin Ayub (PAS). Antara tokoh yang turut terlibat disebelah pagi adalah Ustaz Nasharudin Mat Isa (PAS) dan Azmin Ali (PKR) disamping beberapa wakil BN termasuk Khairy Jamaluddin.
Mudah-mudahan ahli-ahli dewan dapat memainkan peranan masing-masing dengan baik, perbahasan yang tertib dan bermanfaat dapat berlangsung dan lebih penting lagi rakyat dapat menilai keberkesanan wakil-wakil mereka yang telah mereka sepakat hantar pada 8 Mac dahulu. Mana yang baik boleh terus dipilih manakala yang tidak lebih-lebih lagi yang langsung tidak bercakap atau menyuarakan kehendak rakyat, perlulah ditukar kepada yang lebih baik selepas ini nanti.
1 comment:
Jadilah ahli parlimen yang berkhidmat dan bukan yang berdengkur atau pun yang bebal . Rakyat memilih mereka kerana mengharapkan suara kerdil dan harapan mereka dibawa ke Parlimen dan bukannya sekadar menjadikan Dewan yang mulia tersebut sebagai batu loncatan YB-YB ke jawatan-jawatan menteri , CEO badan-badan kerajaan . Apapun amanah dan tanggung jawab mesti di laksanakan sepertimana yang dijanjikan semasa kempen Pilihan raya 2008.
Post a Comment