Thursday, May 22, 2008

Agong mahu Institusi Mufti diperkasakan

Seingat saya PAS sejak awal-awal penubuhannya berterusan menuntut agar Institusi Mufti di negeri-negeri ini diperkasakan demi memastikan Mufti-mufti dapat berperanan dengan cara yang lebih berkesan dalam kerajaan. Pernah ada cadangan agar Mufti negeri-negeri turut duduk dalam EXCO kerajaan negeri agar isu-isu agama khasnya mendapat nasihat dan bimbingan mereka.

Menurut BERNAMA semalam SPB Yang Dipertuan Agong memperkenankan agar mufti dan timbalan mufti menyertai setiap persidangan Majlis Raja-raja serta semua mesyuarat kerajaan negeri dan pusat. Perkenan Tuanku itu telah diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan. Menurut Dr Shukor:

Mufti adalah institusi yang sangat penting dalam masyarakat sebab itu Tuanku menitahkan supaya institusi mufti ini dipertingkatkan dengan diberi input yang mencukupi bagi menyelesaikan isu. Perkenan ini juga membuktikan institusi mufti masih mendapat perhatian dan kepercayaan bukan sahaja daripada rakyat tetapi juga pihak pentadbiran tertinggi Negara.

Tuanku telah pun bertitah, lalu apakah reaksi kerajaan-kerajaan negeri dan kerajaan Pusat sendiri? Bagaimanakah berpengaruhnya titah Tuanku ini atau ia sekadar pilihan, boleh diterima dan ditolak?

Saya mengharapkan agar semua pihak terutama pimpinan Islam, samada politik atau NGO, lebih-lebih lagi yang mengetuai kerajaan-kerjaaan negeri dan Pusat agar segera menyahut titah Tuanku itu dan mengisytiharkan pendirian masing-masing. Islam pada hari ini perlu sangat diperkasakan memandangkan pelbagai isu yang timbul kebelakangan ini kelihatan mengancam kedudukannya.

Kita sewajarnya menjunjung kasih ke bawah SPB Yang Dipertuan Agung atas keprihatinan dan proaktifnya Tuanku dalam isu ini.

No comments: