Tuesday, May 06, 2008

Benarkah Melayu tergugat?
(Artikel ini terbit dalam Harakahdaily: Menongkah Arus)

Akibat dihantui perasaan bahawa orang Melayu telah hilang "ketuanannya", hilang kuasa dan taringnya akibat "tsunami politik" Pilihan Raya Umum ke 12, maka ramailah tokoh-tokoh Melayu termasuklah ahli-ahli akademik, usahawan dan pejuang bangsa tiba-tiba rasa terpanggil untuk bangkit mempertahankan bangsanya yang tercinta itu.

Ada di antara mereka yang sebelum ini nyenyak dengan kemewahan dan kedudukan, tiba-tiba turut terlibat, sehingga mencetuskan pelbagai tandatanya, adakah benar-benar mereka bangkit kerana terhakisnya ketuanan bangsa atau sebenarnya yang terhakis dan tercabar itu adalah kedudukan dan keselesaan mereka sendiri? Tetapi adakah orang-orang Melayu rata-rata benar-benar tergugat kedudukan poltik mereka, atau sebenarnya mereka kini lebih "excited" mahu bersama-sama bangsa lain melihat gerakan politik baru pasca pilihan raya ke 12 ini yang sama-sama mereka turut terlibat membina dan menaikkan?

Kalau dahulu tokoh-tokoh politik Melayu yang dilonjakkan ke atas hanyalah dari kalangan satu parti tertentu sahaja, hari ini seluruh rakyat Malaysia sedang menyaksikan munculnya tokoh-tokoh politik Melayu yang tidak kurang kelayakkan dan karisma mereka bukan hanya dari satu parti Umno, tetapi juga dari PAS dan KeADILan.

Hakikatnya pilihan raya ke-12 tidak menghilangkan kuasa politik orang-orang Melayu. Dari 222 kerusi Dewan Rakyat, Umno menang 78, PAS 23 dan KeADILan (calon-calon Melayu) 20, iaitu 121, bermakna dari tiga parti ini sahaja terdapat 121 wakil Melayu di Dewan Rakyat iaitu lebih dari separuh. Itu belum lagi mengambil kira wakil dari parti-parti komponan BN di Sarawak yang terdiri dari orang-orang Melayu khasnya dari PBB. Apa yang berlaku sebenarnya adalah Umno lah yang banyak hilang kerusi, iaitu 32 buah kerusi Parlimen kesemuanya.

Umno juga hilang kerusi Menteri Besar di Kedah, Perak dan Selangor tetapi yang naik menggantikan mereka di ketiga-tiga buah negeri ini bukannya orang bukan Melayu tetapi Melayu juga iaitu dari PAS dan KeADILan.

Berdosakah orang Melayu menolak Umno?

Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff (UKM) ketika membentangkan kertasnya "Kedaulatan Politik Melayu" di Kongres Pemuafakatan Melayu baru-baru ini menyebut bahawa orang Melayu menolak Umno dalam pilihan raya ke-12 lalu kerana Umno dilihat telah gagal menjalankan fungsi serta peranannya, akibatnya bangsa Melayu terpaksa mencari alternatif untuk memastikan ia tidak merempat di negara sendiri dan menjadi alat permainan bangsa-bangsa lain lalu Umno ditolak dan mereka mengundi parti-parti alternatif.

Takkanlah kalau Umno sudah ternyata rosak, gagal dan penuh noda maka orang Melayu perlu demi kononnya survival bangsa mengundi juga parti seumpama itu? Tidakkah itu akan meletakkan orang Melayu sebagai bangsa yang tidak bermaruah, tidak tahu membuat pertimbangan antara yang hak dan batil antara kaca dan permata, lalu bangsa apakah nanti jadinya kita ini?

Memang "setup" politik pasca pilihan raya ke 12 ini berbeza dengan pra-pilihan raya ke 12 lalu. Di Selangor, Perak dan Pulau Pinang khasnya perwakilan Melayu dalam kerajaan agak kecil jika berbanding dahulu. Ianya terjadi kerana hari ini orang-orang Melayu yang diwakili Umno lebih ramai dibangku pembangkang dan bukannya di bangku kerajaan. Di Selangor contohnya terdapat 18 wakil Umno di kerusi pembangkang.

Ini semua kita bayar lantaran kegagalan Umno dahulu yang memaksa sebahagian besar kita terpaksa menolak mereka angkara kegagalan mereka itu. Tetapi jika kekuatan dan penyatuan politik Melayu itu benar-benar penting, sepatutnya intelektual Melayu yang terbabit dalam pelbagai forum dan kongres ini memikirkan bagaimana caranya untuk mencari jalan penyatuan, bukan dengan membelakangkan keputusan rakyat, tetapi dengan pemuafakatan dan tolak-ansur dipihak yang ditolak rakyat.

Umno telah ditolak rakyat, demi perpaduan ummah, kalau benar kita jujur, tidakkah lebih praktikal saki-baki wakil-wakil Umno ini mendakapi realiti dan bermuafakat untuk bernaung di bawah parti-parti politik yang lebih dominan. Apakah salahnya 18 wakil Umno di Selangor contohnya, menghulurkan tangan persahabatan kepada PAS atau KeADILan, kita lupakan yang lepas-lepas dan kita bersama pupuk politik baru yang dicetuskan oleh rakyat ini. Apakah ia mungkin, atau sesuatu yang mustahil berlaku? Kalau mungkin, maka tidakkah ini kelak akan memenuhi apa sahaja tuntutan resolusi dan kemahuan mana-mana seminar atau kongres Melayu.

Tetapi jika mustahil, maka janganlah membuang masa menganjurkan lagi seminar dan kongres yang hanya retorik dan membuang masa, terimalah sahaja kemahuan rakyat, kalau ada peluang Umno boleh naik semula pada pilihan raya ke 13 nanti, jika tidak selamat jalan Umno!

4 comments:

Anonymous said...

Yg tergugat adalah pemimpin melayu yg tlh lama bergelumang dgn rasuah & salahguna kuasa. Mrk takutkan keadilan & kebenaran. Itu sbblah TDM adalah org yg paling resah selepas kekalahan besar BN pada PRU yg lepas krn beliau adalah pengasas kpd rosaknya sistem negara pd hari ini.

Anonymous said...

sdr

satu ulasan dan pandangan yang bernas ,benar dan relevan. amat malang perkara ini gagal difahami oleh para cendikiawan melayu yang sibuk dengan kongres.
akhir sekali , golongan ini hanya syok sendiri,bongkak dengan menafikan hasrat rakyat sedangkan hati kecil mereka mengakuinya

inikah fiil cendikiawan melayu

sekian.

ANAK BAPAK said...

yang tergugak bukan ketuanan melayu, tapi ketuanan UMNO, yang tergugat bukan kuasa politik melayu hakikatnya kuasa politik UMNO, yang berpecah belah bukan melayu tapi UMNO yang berpecah..kununnya kalau pembangkang memerintah negara akan bankrap...bukan negara yang bankrap...tapi pemimpin2 UMNO yang akan bankrap...saya sokong pendapar saudara roslan..

Anonymous said...

Salam,

Menunggu...tatkala diri ini hilang sabar sekadar hanya melihat menanti,saat tibanya jatuhnya sang penguasa yg menjadi duri beracun pencengkam minda Malaysia untuk terus jumud menjilat kasut munafik...

Alahai betapa bodoh dan lemahnya aku ini..

Allah SWT sudah berikan aku agama dan panduan, ilmu yg berguna, akal yg waras, rezeki yg sentiasa ada walaupun tidak melimpah, keamanan untuk aku solat dan tidur, namun kesyukuran aku hanya mampu membaca blog, himpun kt jalan, dikejar SB dan FRU, disembur pemedih mata dan air berasid, mengutip gas2 canister pemedih supaya tak memedihkan org2 lain dan kanak2, dan dgn menaip komen ke dalam blog Abg Lan.

dan berharap mereka akan jatuh tersembam..

ada ketika aku bertanya mampukah aku masuk ke syurgaMU tanpa perjuangan sehebat para anbia, sahabat, tabi'in dan ulama assyahid silam...

Semoga Allah SWT melihat perjuangan yg sekecil ini, memberkati usaha Abg Lan dan pejuang2 semua...
Wallahua'lam