Wednesday, May 28, 2008

Biarlah biasiswa diberi kepada yang memerlukan

Sebentar tadi saya sempat menonton perbahasan di Parlimen selama setengah jam yang disiarkan oleh RTM1. Saya tertarik apabila perbahasan di dewan tertumpu berkenaan isu pemberian biasiswa oleh kerajaan Persekutuan, dan Menteri yang bertanggungjawab menyatakan pendirian kerajaan ketika itu adalah Nazri Aziz.

Menteri berkenaan bersetuju bahawa biasiswa ini perlu diberi kepada semua pelajar cemerlang tanpa mengira pendapatan ibu-bapa atau penjaga. Kiranya pelajar tadi cemerlang, maka beliau nanti akan dikira layak walaupun ibu-bapanya dari kategori kaya dan berada. Cadangan ini turut disokong oleh beberapa kalangan wakil pembangkang.

Kata Menteri pelajar yang cemerlang tadi tidak seharusnya dihukum (dinafikan biasiswa) semata-mata kerana ibu-bapanya kaya dan berada.

Memang dari satu sudut tampak logik dan masuk akal pandangan ini, tetapi jika jumlah yang menerima biasiswa sekadar 2,000 orang (menurut Menteri) saya merasakan keutamaan harus diberikan kepada pelajar yang ibu-bapanya berpendapatan sederhana ataupun rendah. Saya masih ingat semasa saya dibangku sekolah dan kemudiannya melangkah kaki di IPT, walaupun keluarga kami bukanlah kaya-raya (bapa saya ketika itu seorang pegawai kanan kerajaan) tetapi saya seolah dididik untuk tidak menerima sebarang bantuan atau biasiswa kerajaan. Bukan kerana kami kaya, tetapi merasakan lebih ramai lagi yang memerlukan dan lebih layak menerima.

Semasa saya di IPTA dahulu saya mengenali kawan-kawan dari keluarga yang berada yang turut menerima biasiswa, sedangkan ramai lagi kawan-kawan lain dari keluarga yang miskin terpaksa mengikat perut kerana tiada bantuan. Anak-anak keluarga berada ini boleh membelanjakan wang mereka sekelip mata kerana mereka tahu mereka ada "talian hayat" yang besar di belakang mereka, tetapi yang miskin?

Saya tidak tahu bagaimana pandangan yang lain, tetapi bagi saya kerajaan perlu menyenaraikan para pelajar yang cemerlang ini menurut pendapatan ibu-bapa dan penjaga, berilah keutamaan kepada yang miskin tetapi cemerlang, kerana yang kaya dan cemerlang walaupun mungkin jika dinafikan, masih boleh bergantung kepada sumber lain. Tetapi jika si miskin yang cemerlang dinafikan, kerana bilangan yang terhad, kemanakah mahu mereka tuju setelah ditolak?
Lainlah kalau peluang yang diberi itu kepada puluhan ribu pelajar, tetapi angka 2,000 itu sangat kecil, oleh itu biarlah terhad kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

8 comments:

Anonymous said...

Saya menyokong 100% kata-kata uncle roslan. Bagi saya sekarang ini, ramai yang pandai masuk ke Universiti tetapi mereka terpaksa meminjam ke PTPTN. Terpaksa menanggung hutang yang berganda apabila bekerja kelak. Terdengar khabar angin mengatakan bahawa anak-anak org kaya atau ada kabel kuat dengan pemerintah mendapat biasiswa, anak-anak yang miskin ini terpaksa membuat pinjaman. Kita menuju ke arah negara maju, jadi sistem pendidikan pun mesti mengikut negara maju.

Rakan2
Jangan Lupa layari blog saya di http://khairilazuar.wordpress.com
bagi komen setiap artikel yang saya tulis. …ada artikel baru

Anonymous said...

saya rasa kalau semua biasiswa digunakan untuk menampung pelajaran dalam negeri, kita bole hapuskan PTPTN dan menaikkan taraf universiti tempatan

Anonymous said...

Soking pandangan Saudara Roslan, Biasiswa perlu setelah mengambil kira semua perkara bukan satu perkara.
Pelajar daripada golongan berkemampuan sudah tentu mempunyai keupayaan dan menghasilan keputusan lebih baik berbanding miskin kerana wujudnya keupayaan mendapat buku, peralatan, kumunikasi, pengangkutan yang lebih baik berbanding yang miskin.
Saya rasa Nazri telah tersilap langkah lagi.

Anonymous said...

biasiswa luar negeri berikan cuma kepada pelajar cemerlang yg miskin.Anak2 JUSA/PTD/Dato',YB2/Doktor/Engineer/Lecturer/Lawyer dsb yg pendapatan keluarganya dikategori sbg berada...sila hantar anak masing2 dgn duit sdri....Dalam negeri kalo boleh PTPTN ditukar kepada biasiswa utk yg cemerlang iaitu mendapat 3.5 pointer ke atas.3 ke atas separuh shja byr..Kan ok kalo bat camtu......

Anonymous said...

saya pun sokong biasiswa di beri keutamaan kepada orang miskin, namun adalah lebih baik kiranya pendidikan adalah percuma untuk semua,namun pembaziran yang keterlaluan serta pinjaman kerajaan yang terlalu tinggi impian ini tidak mampu terealisasi.
just pandangan.

Anonymous said...

Alhamdulillah..Malangnye x semua org berada berfikiran seperti bro...sesetengah orang berada tanpa segan silu mengambil biasiswa..Tergamak mereka "mencuri" harta org2 miskin...Mereka yang berada tidak menggunakan biasiswa untuk belajar,sebaliknye berjoli..Bukalah mata wahai orang2 yang berkemampuan..

Anonymous said...

A billion percent I agree.

Memang betul, ramai anak org kaya dapat biasiswa/pinjaman.

Please minta statistik, barapa ramai anak org kaya atau pegawai tinggi/kanan yg dpt biasiswa...

Anonymous said...

Untuk memberi keadilan kepada mereka yang berada dan tak berada, saya cadangkan ada 2 jenis biasiswa dibuat.
1. biasiswa berasaskan kecemerlangan. (katakan separuh dari jumlah biasiswa sekarang)
2. biasiswa berasaskan kedudukan kewangan ibu bapa.(katakan separuh dari jumlah biasiswa sekarang)

Justeru, cthnya, ada 2000 pelajar pandai. semuanya akan dapat biasiswa no 1. kemudian, ada 2000 pelajar miskin, yang sebahagiannya adalah pelajar pandai, akan dapat biasiswa no 2.

Jadi, kalau pelajar miskin dan pandai, dia akan dapat 2 jenis biasiswa. iaitu bersamaan biasiswa penuh yang diperolehi sekarang.
Pelajar yang kaya dan pandai, akan dapat biasiswa juga sebagai galakan untuk mereka belajar.

Manakala pelajar miskin yang kurang mampu untuk mencapi tahap pandai sangat tetap mendapat biasiswa untuk meneruskan pengajian, sekurang2nya dapat mengurangkan bebanan pinjaman.

Wallahu a'lam.