Saturday, May 31, 2008

Salam perpisahan buat Ezam

Ramai yang minta komen saya tentang perkembangan politik yang melibatkan Sdr Mohamad Ezam Mohd Noor, tambahan Sdr Ezam sendiri ada menurunkan ucapan tahniah kepada blog ini sempena ulangtahun ke empat baru-baru ini. Saya siarkan semula ucapan beliau:

Tahniah dan syabas diatas ulangtahun blog saudara.Seingatan saya,saudara antara peneraju awal membawa mesej perjuangan melalui ruangan blog dan sewajarnya penghormatan diberikan kepada saudara diatas ketangkasan mencari ruang berjuang dan kegigihan menyampaikan hujah perjuangan.Syabas!dan semoga Allah sentiasa memberi kekuatan kepada saudara untuk berjuang.Wassalam.


Kalau baca dari komen di atas sahaja bagi mereka yang tajam analisanya sudah dapat menggambarkan ada sesuatu yang sedang bergelora dalam jiwa sahabat saya itu. Saya mengenali Ezam melalui penglibatan politik dan pernah mewawancara beliau di WTV8. Secara jujur beliau adalah seorang yang baik budi pekerti dan akhlaknya, tajam fikiran dan mudah dibawa berbincang.

Tetapi beliau masuk Umno!

Saya sendiri sukar membaca apakah rasional disebalik tindakannya itu walaupun ada menerima beberapa maklumat tetapi tidak datang secara langsung dari diri beliau sendiri. Ringkasnya itu hak beliau, dan sebagai seorang kawan saya sekadar dapat mengucapkan salam perpisahan, kerana kita kini berlainan haluan. Bagi saya tindakan beliau itu tidak bijak dan bakal merumitkan lagi kedudukannya, apa pun, lawan tetap lawan.
Khalid Ibrahim: Permata dalam genggaman Selangor

Saya semalam berkesempatan berjumpa MB Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim di pejabatnya atas urusan khas. Temujanji saya dan seorang pemimpin kanan pada awalnya ditetapkan jam 6 petang, tetapi kemudiannya dimaklumkan oleh SETPOL beliau 630 petang.

Sebelumnya disebelah pagi saya difahamkan Tan Sri menyambung mempengerusikan Mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri, tengahari beliau solat Jumaat di Masjid Tabung Haji dan kemudiannya ke Pejabat Daerah Petaling, program turun padanag ke daerah-daerah. Beberapa minit sebelum jam 6 petang saya lihat kenderaan rasmi beliau masuk ke bangunan SUK dan beliau terus bergegas ke pejabat beliau.






Sebelum saya masuk berjumpa beliau, beliau sedang bersama SETPOL dan SU Akhbarnya yang baru.

Saya membayangkan sendiri betapa sibuknya MB Selangor ini, pada perkiraan saya secara ikhlas beliau seorang insan luarbiasa, kurnia besar buat rakyat Selangor. Seorang tokoh korporat yang berjaya namun sanggup memikul amanah dan beban bertarung untuk membela nasib dan kebajikan rakyat serta memajukan negeri, kalau tidak hebat, apa lagi?

Tan Sri yang saya kenal ini seorang yang sangat peramah, sangat menghormati orang lain tetapi yang paling ketara seorang yang melimpah-ruah dan membuak-buak dengan idea dan pendapat. Untung Selangor melahirkan anak seumpama beliau. Kepada rakyat negeri, peliharalah permata dalam genggaman ini baik-baik.

(Apabila kami berpisah, Tan Sri sibuk untuk menyediakan soalan-soalan untuk sesi Parlimen hujung bulan depan, bilalah beliau berihat agaknya)

Friday, May 30, 2008

Kesal dengan kenyataan Ketua Wanita JIM

Gerakan Islam mestilah sentiasa memiliki kesatuan fikiran (wehdatul fikr) yang melahirkan kesatuan tindakan dan pendekatan terutama dalam menangani suasana penuh pancaroba yang boleh sahaja meletakkan Islam dalam keadaan berbahaya dewasa ini. Harus diakui dalam negara kita sahaja terlalu banyak badan yang masing-masing mahu menjuarai perjuangan ini, apabila banyak bagaikan lidi, diikat menjadi satu, maka kukuhlah ia. Walaubagaimanapun bila banyak, tetapi gagal bersatu malah masing-masing mahu berebut kejuaraan, menafikan sumbangan pihak lain, akhirnya yang menjadi mangsa adalah Islam itu sendiri.

Isu pakian seragam murid perempuan yang dibangkitkan oleh adik-adik kita di Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) tempuh hari adalah sesuatu yang "valid" yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak yang "concern" tentang keselamatan, kebajikan dan moral anak-anak kita. Saya perhatikan banyak pihak yang memberikan reaksi ke atas cadangan PKPIM itu, tidak menghalusi cadangan itu tetapi sekadar memberikan komen bersahaja, lalu tampaklah usaha PKPIM itu seolah "flimsy", longgar dan remeh. Kalau yang begitu sekadar pemimpin parti atau NGO yang kabur atau tidak jelas Islamnya, tidak mengapa, tetapi apabila yang berjuang Islam juga begitu, kita kesal kerana kita sebenarnya membantu meremehkan isu ini.

Apakah pokok kepada tuntutan PKPIM itu? Adakah meminta ditukar baju putih itu semata-mata tuntutan mereka sebagaimana yang diulas oleh Ketua Wanita JIM yang tidak bersetuju baju putih pakaian seragam sekolah ditukar? Cuba perhatikan semula apa yang mereka tuntut:

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mencadangkan kepada Kementerian Pelajaran agar merombak semula sistem pemakaian pelajar perempuan di sekolah rendah dan menengah. PKPIM mencadangkan agar Kementerian Pelajaran menukar baju putih sekolah kepada baju berwarna kerana ia tampak sesuai dan tidak jarang untuk dipakai oleh pelajar perempuan. Jika Kementerian Pelajaran ingin mengekalkan warna putih tersebut, PKPIM mencadangkan agar pelajar perempuan diwajibkan untuk memakai singlet dalam ataupun tudung labuh kerana ia tampak lebih kemas, selesa dan selamat

Perhatikan ada opsyen disitu, pertama agar kementerian tukar warna putih dengan warna lain atau keduanya kalau perlu kekal juga maka diwajibkan agar memakai singlet dalam atau tudung labuh.

Apa masalahnya untuk kita semua bersetuju dengan tuntutan mereka itu? Kenapa kita perlu terbit dengan idea yang jauh lari dari intipati tuntutan asal ini, adakah kerana mereka pelajar dan kita terpelajar maka cadangan mereka tidak masak, cadangan kita sahaja yang baik? Sepatutnya sesiapa atau badan mana yang mahu melontarkan pandangan, meneguhkan tuntutan ini dan terbit dengan hujah-hujah yang membantu.

Antara yang kuat menyerang PKPIM adalah Sister in Islam, yang tidak menerima cara berpakian sebagai punca kepada masalah seksual. Adakah kita juga meraikan dan berfikiran seperti mereka? Saya secara peribadi kesal dengan kenyataan Dr Harlina dari JIM yang dipampangkan hari ini dengan tajuk antara lain: Baju bukan punca gangguan seks (Malaysiakini) Seragam sekolah tidak perlu ditukar (MStar online). Apa maksudnya saya tidak tahu tetapi yang saya yakin ramai yang prejudis terhadap gerakan Islam akan melompat riang membacanya.

Bukan kita tidak boleh berbeza pendapat, tetapi "in times of critical crisis" sebegini, alangkah baiknya jika kita keluar dengan satu mesej yang jelas.

Thursday, May 29, 2008

Kelantan sokong tuntutan PKPIM

Memang isu sebenarnya bukanlah baju kurung itu sendiri, iaitu baju putih berkain biru. Isunya adalah kain putih yang digunakan terlalu jarang sehingga menampakkan baju dalam yang digunakan para pelajar. Ini yang dibimbangkan bakal mengundang padah kepada pelajar yang berkenaan serta nilai sosial masyarakat.

Dalam akhbar THE STAR hari ini dua orang EXCO Kelantan memberikan pandangan berkenaan isu ini. EXCO Belia, Fatah Mahmud mengatakan bahawa yang pentingnya anak-anak kita mesti dididik agar menutup aurat. Sekiranya wujud kesedaran ini maka tidak berbangkit soal jenis pakaian yang mahu dikenakan. Para pelajar perempuan menurut Fatah mesti memahami bahawa mereka mematuhi perintah Allah apabila mereka mengenakan pakaian menutup aurat.
Manakala EXCO Hal Ehwal Wanita, Wan Ubaidah Wan Omar pula menyatakan baju kurung yang digunakan oleh pelajar perempuan hari ini tidak bermasalah, cumanya ia mestilah digunakan dengan menepati tuntutan syarak. Pakaian menutup aurat termasuklah baju kurung pelajar permpuan tadi mestilah diwajibkan.

Inilah sebenarnya apa yang telah disuarakan oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) baru-baru ini. Saya mengucap tahniah kepada kedua-dua EXCO Kelantan ini kerana berani berkata yang benar dari perspektif Islam, semoga ianya dihormati oleh semua pihak dan lebih penting lagi dipatuhi oleh pihak-pihak yang berkenaan.

Apa masalahnya masjid untuk masyarakat Cina Malaysia?



Masjid Besar Xian, Shaanxi, Negeri Cina

Di Dewan Negara semalam wakil PAS (Kelantan) Senator Mumtaz Nawi, yang juga seorang peguam, telah bertanya samada kerajaan bercadang membina Masjid Cina khas untuk masyarakat Malaysia berketurunan Cina yang Muslim. Timbalan Menteri di JPM, Dr Mashitah Ibrahim menjawab bahawa negara ini tidak memerlukan masjid khusus untuk bangsa tertentu.
Dan malah kerajaan juga tidak berhasrat memperkenalkan khutbah Jumaat dalam bahasa Cina kerana menganggap masyarakat Muslim Cina di Malaysia memahami bahasa Melayu.
Walaubagaimanapun Timbalan Menteri itu akui terdapatnya masjid-masjid India (dan Pakistan) tetapi ianya wujud atas sebab sejarah.

Saya tidak nampak rasional di dalam jawapan Timbalan Menteri ini. Bukankah kita sering akui yang masyarakat Malaysia adalah sebuah masyarakat majmuk. Masyarakat Cina adalah kaum kedua terbesar dalam negara. Memang semua masyarakat Malaysia memahami bahasa Melayu, tetapi masing-masing juga mempunyai bahasa ibunda mereka yang diakui oleh negara.
Tidakkah Timbalan Menteri berkenaan boleh nampak betapa besar kesannya jika sebuah Masjid Cina di kawasan majoriti masyarakat Cina mengumandangkan khutbah di dalam bahasa Cina. Mesej dakwah akan lebih berkesan dan sudah pasti membawa impak yang positif buat Islam.

Masyarakat Cina yang belum Islam akan berasa lebih selesa untuk menghampiri masjid seumpama ini untuk mendapat maklumat dan mengenali Islam. Mengapa perlu kita sekatnya? Kerajaan boleh membina komplek Cina Muslim berhampiran masjid tadi, dengan gedung, restoran dan perpustakaan Islam yang sudah pasti akan menjadi tumuan semua.
Sepatutnya seorang doktor Phd seperti Timbalan Menteri itu dapat mengeluarkan jawapan yang lebih meyakinkan, patutlah digugurkan dari bertanding di Baling baru-baru ini.

Wednesday, May 28, 2008

Khir Toyo marah haramkan Islam Hadhari

Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga EXCO Agama Kerajaan Negeri Selangor baru-baru ini memaklumkan Dewan Undangan Negeri Selangor bahawa kerajaan negeri akan mengharamkan sebarang program yang dikaitkan dengan Islam Hadhari. Menaolak Islam Hadhari bukan bermakna Selangor menolak Islam, tetapi menolak suatu gagasan yang dicipta oleh PM Dollah
Badawi yang ternyata gagal dan ditolak oleh masyarakat pada PRU ke 12 lalu.

Menurut Ketua Pembangkang Khir Toyo, Dr Hasan Ali, yang partinya memperjuangkan Islam, tidak sepatutunya mengeluarkan kenyataan seperti itu kerana Islam Hadhari merupakan satu konsep yang digunakan oleh kerajaan pusat untuk meningkatkan kualiti umat Islam di Selangor.
Meningkat kualiti umat Islam? Berapa tinggikah kualiti umat Islam di bawah Khir semasa Islam Hadhari digunakan?

Khir juga mempertikaikan jika benar PAS di bawah Dr Hasan di Selangor mahu memperjuangkan Islam, kenapa beliau tidak menutup terus kilang arak dan ladang babi di Selangor? Inilah bagi saya bahana menerima Islam Hadhari sehingga tidak sedar apabila ludah yang disembur ke langit akhirnya bertepek ke muka sendiri.

Umno telah memerintah Selangor zaman berzaman sejak Merdeka, sehinggalah tanggal 8 Mac 2008. Dari bilangan pengundi bukan Islam di negeri ini saya kira sekitar 80% sehinggalah sekarang menghampiri 50%, kalau mahu kepada Islam, Umno tidak tunggu PAS, tidak tunggu Islam Hadhari, sejak awal-awal lagi arak khasnya jangankan dikilangkan, dijual pun boleh diharamkan, tetapi tidak. Dari tangan ke tangan MB ke MB bertukar, Umno tidak pernah sesaat pun memikirkan hal ini, tiba-tiba bila sentuh Islam Hadhari, melompat Khir, membela dan mepertahankannya.

Khir jangan lupa semasa beliau MB dahulu beliau memperkenalkan konsep Selangor Maju Menuju Wawasan Syumul 2005. Di bawah konsep itu Khir membayangkan bahawa Selangor akan menekankan keseimbangan pembangunan antara rohani dan jasmani sehingga melahirkan masyarakat madani yang penuh dengan insan-insan Rabbani.

Dari 2005 sehingga 8 Mac 2008 berapa ramaikah bilangan insan Rabbani yang Khir mahukan itu lahir di Selangor? Dalam tempuh itu kilang arak terus mencatat keuntungan, malah kerajaan Khir yang meluluskan projek penternakan babi, yang kini mahu dilonggokkan atas kepala kerajaan negeri yang baru.

Biarlah Dr Hasan Ali mengharamkan Islam Hadhari kerana ia bukan dibawa oleh Rasulullah saw pun, sebaliknya dicipta oleh bos Khir sendiri. Tak berdosa pun beliau melakukannya. Mari kita sama-sama beri kesempatan kepada beliau untuk memajukan Islam kerana kuasa kini ditangan beliau dan bukan lagi Khir. Mari kita lihat apa yang PAS mampu lakukan sebagai rakan dalam Pakatan Rakyat dalam aspek pembagunan Islam dan ummahnya.

Tetapi yang paling cetek dan dangkal akalnya dalam isu ini saya kira adalah ADUN pembangkang dari Sementa, Rahman Palil, yang meminta supaya kerajaan Persekutuan menyemak semula peruntukkan sebanyta RM99 juta kepada Selangor, bagi urusan Islam, kiranya Selangor bertegas menolak Islam Hadhari.

Inilah politik marahkan nyamuk yang merupakan amalan turun-temurun Umno, walaupun yang hangus terbakar nanti adalah kelambu termasuklah mereka sendiri, namun demi memuaskan nafsu, mereka akan sanggup dan rela. Inilah juga tanpa mereka sendiri adalah amalan yang mengakibatkan rakyat menolak mereka 8 Mac lalu.

Biarlah pembangkang di Selangor yang terus menganut Islam Hadhari, dan biarlah kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat melaksanakan apa yang mereka yakin lebih baik dan efektif buat rakyat.
Biarlah biasiswa diberi kepada yang memerlukan

Sebentar tadi saya sempat menonton perbahasan di Parlimen selama setengah jam yang disiarkan oleh RTM1. Saya tertarik apabila perbahasan di dewan tertumpu berkenaan isu pemberian biasiswa oleh kerajaan Persekutuan, dan Menteri yang bertanggungjawab menyatakan pendirian kerajaan ketika itu adalah Nazri Aziz.

Menteri berkenaan bersetuju bahawa biasiswa ini perlu diberi kepada semua pelajar cemerlang tanpa mengira pendapatan ibu-bapa atau penjaga. Kiranya pelajar tadi cemerlang, maka beliau nanti akan dikira layak walaupun ibu-bapanya dari kategori kaya dan berada. Cadangan ini turut disokong oleh beberapa kalangan wakil pembangkang.

Kata Menteri pelajar yang cemerlang tadi tidak seharusnya dihukum (dinafikan biasiswa) semata-mata kerana ibu-bapanya kaya dan berada.

Memang dari satu sudut tampak logik dan masuk akal pandangan ini, tetapi jika jumlah yang menerima biasiswa sekadar 2,000 orang (menurut Menteri) saya merasakan keutamaan harus diberikan kepada pelajar yang ibu-bapanya berpendapatan sederhana ataupun rendah. Saya masih ingat semasa saya dibangku sekolah dan kemudiannya melangkah kaki di IPT, walaupun keluarga kami bukanlah kaya-raya (bapa saya ketika itu seorang pegawai kanan kerajaan) tetapi saya seolah dididik untuk tidak menerima sebarang bantuan atau biasiswa kerajaan. Bukan kerana kami kaya, tetapi merasakan lebih ramai lagi yang memerlukan dan lebih layak menerima.

Semasa saya di IPTA dahulu saya mengenali kawan-kawan dari keluarga yang berada yang turut menerima biasiswa, sedangkan ramai lagi kawan-kawan lain dari keluarga yang miskin terpaksa mengikat perut kerana tiada bantuan. Anak-anak keluarga berada ini boleh membelanjakan wang mereka sekelip mata kerana mereka tahu mereka ada "talian hayat" yang besar di belakang mereka, tetapi yang miskin?

Saya tidak tahu bagaimana pandangan yang lain, tetapi bagi saya kerajaan perlu menyenaraikan para pelajar yang cemerlang ini menurut pendapatan ibu-bapa dan penjaga, berilah keutamaan kepada yang miskin tetapi cemerlang, kerana yang kaya dan cemerlang walaupun mungkin jika dinafikan, masih boleh bergantung kepada sumber lain. Tetapi jika si miskin yang cemerlang dinafikan, kerana bilangan yang terhad, kemanakah mahu mereka tuju setelah ditolak?
Lainlah kalau peluang yang diberi itu kepada puluhan ribu pelajar, tetapi angka 2,000 itu sangat kecil, oleh itu biarlah terhad kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Tuesday, May 27, 2008

Kerajaan Selangor jangan hanya tumpu pada rasuah dan
salah-guna kuasa

Semalam saya sempat menyaksikan persidangan DUN Selangor yang disiarkan secara langsung oleh portal Kerajaan Negeri Selangor. Saya tertarik dengan ucapan penggulungan MB Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim yang kadangkala seakan seorang pensyarah ekonomi mengajar dan mendidik anak-anak muridnya, terutama dari bangku pembangkang, yang ternyata banyak perlu diajar.

Tan Sri Khalid telah menggariskan kesilapan dan kelemahan pendekatan kerajaan yang lalu dan betapa kerajaan baru pimpinan Pakatan Rakyat di Selangor berhasrat untuk tidak mengulanginya demi kesejahteraan rakyat dan negeri. Mudah-mudahan Selangor di bawah Tan Sri akan benar-benar berjaya kali ini.

Dalam pada itu dalam laporan akhbar The Sun hari ini saya perhatikan terdapat juga amalan yang dilakukan oleh kerajaan lalu terus mahu juga diamalkan oleh kerajaan PR. Kalau ianya baik dan memberi manfaat kepada rakyat, silakan, tetapi jika tidak, saya tidak nampak apa manfaatnya ia diteruskan atau tidak diperbaiki.

EXCO PBT dilaporkan memberikan angka-angka berkenaan serbuan yang dilakukan oleh PBT di Selangor terhadap rumah-rumah urut, pub dan disko di negeri ini setakat bulan lalu. Dari 413 premis yang dilaporkan diserbu, 230 disiasat, 34 disita, 43 dikompaun , 122 didakwa di mahkamah dan 2 diarah tutup. Memandangkan Selangor adalah sebuah negeri majmuk, tidak seperti Kelantan dan Terengganu, saya boleh faham bahawa amalan kaum-kaum lain perlu diraikan dan dibenarkan oleh kerajaan.

Tetapi saya ingin bertanya berkenaan kehadiran rumah-rumah urut di Selangor ini. Tanyalah siapa sahaja yang celik dalam isu ini, apakah modus operandi sebenar pusat-pusat ini, pasti semua tahu. Amalan kaum manakah yang membenarkan kaum lelaki (terutama suami-suami orang) duduk berbaring di atas katil sambil diurut oleh kaum wanita yang genit-genit, lazimnya dalam bilik yang tertutup?

Kerajaan Pakatan Rakyat perlu berterus-terang dan telus dalam hal ini. Bukan amalan rasuah dan salah-gunakuasa sahaja yang perlu kita tangani dan beri keutamaan, tetapi gejala-gejala sosial yang meruntuhkan akhlak dan institusi keluarga juga penting.

Saya ingin tanya EXCO PBT apakah kesalahan utama rumah-rumah urut di Selangor ini? Rakyat sudah biasa membaca serbuan-serbuan yang dilakukan semasa BN dahulu (gambar gadis-gadis seksi yang diangkut pihak berkluasa sering muncul di TV), serbu hari ini, buka kembali esok. Kalau syarikat atau nama pengusaha disenarai-hitam pengusaha nanti menggunakan nama lain pula. Ini menunjukkan industri maksiat ini mempunyai permintaan dan sangat lumayan bagi pengusahanya. Sampai bilakah kita mahu biarkan perkara ini berterusan?

Kalau sekadar urut oleh orang buta, urut untuk wanita yang baru bersalin, urut bagi mereka yang terfseliuh dan salah urat, semua pihak boleh terima, tetapi urut yang diamalkan di rumah-rumah urut khasnya di Selangor adalah urut yang menjurus kepada pelacuran dan seks, apakah amalan ini mahu kita izinkan?

Saya syorkan kita haramkan sahaja rumah-rumah urut seperti ini. PBT sepatutnya hanya memberi lesen kepada jenis-jenis urut yang saya kategorikan di atas, dibuat di kawasan yang dizonkan, dan terbuka kepada orang awam. Pengurut-pengurutnya perlulah dipastikan bertauliah dan diperiksa dan dipantau oleh pihak PBT yang memberikan lesen.
Rasuah dan salah-gunakuasa adalah amalan jijik yang boleh meruntuhkan peradaban dan maruah manusia, tetapi begitu juga maksiat seumpama ini. Ini bukan isu agama tetapi isu sejagat yang disepakati saya percaya oleh semua.

Selain itu akhbar yang sama turut melaporkan yang pub dan disko di Selangor, dizon-zon yang dikhaskan oleh PBT akan dibenarkan beroperasi sampai jam 3 pagi. Adakah ini juga amalan mana-mana kaum di Malaysia khasnya di Selangor?

Untuk orang Islam sudah pastilah ianya haram, tetapi bagaimana dengan kaum lain? Pengunjung pub dan disko ini lazimnya bukan pasangan suami isteri, tetapi pasangan remaja yang tiada ikatan perkahwinan termasuklah suami-suami atau mungkin siteri-isteri yang curang terhadap apsangan mereka. Isteri kaum manakah yang sanggup mengizinkan suamininya ke pub dan disko sehingga selewat jam 3 pagi?!

Binatang yang hidup melata dibumi pun tidak aktif di jam itu (kecuali binatang yang keluar malam, itupun kerana siang ia tidur), bayangkanlah. Saya tidak menetang hak kaum bukan Islam untuk berhibir dan kinum arak di pusat-pusat ini, tetapi perlukah ia beroperasi sampai jam 3 pagi! Seingat saya semasa Khir Toyo menjadi MB Selangor dahulu beliau pernah cuba menghadkan operasi pub dan disko inis ehingga jam 12 malam, tetapi beliau menerima tentangan terutama dari pengusaha-pengusaha industri ini, sekarang bagaimana?

Memandang kerajaan baru ini menitik-beratkan profesionalisma belaka, maka saya merasakan hal ini juga perlu ditangani secara profesional. Pub lazimnya dikunjungi oleh meraka yang mahu minum-minum (biasanya arak) sambil menengakan fikiran (menurut mereka), manakala disko pula tempat tari-menari dan minum-minum juga. Apakah kerajaan Pakatan Rakyat mahu membenarkan rakyatnya minum-minum sehingga lewat jam 3 pagi? Saya yakin EXCO PBT tahu limit seseorang individu yang minum-minum, kalau ia terus minum-minum sampai jam 3 pagi, pastinya EXCO berkenaan tahu implikasinya.

Kalau minum-minum dan mabuk kemudian tidur terus di pub dan disko tidak mengapa, tetapi sudah pasti simabuk tadi mahu pulang ke rumahnya, bagaimana jika ia memandu? Bagaimana jika dalam ekadaan mabuk ia dirompak? Bagaimana jika ia wanita, dalam keadaan mabuk ia diapa-apakan oleh mereka yang tidak mabuk? Bagaimana keadaan si mabuk tadi bila sampai rumah, jika sudah berumah tangga sudah tentu akan berlaku perceraian dan sengketa.

Apakah kita tidak belajar dari jenayah dan musibah yang berlaku disekeliling kita terutama di sekitar Lembah Kelang selama ini? Saya yakin kerajaan Pakatan Rakyat akan mengambils erisu isu ini, bukannya untuk men "Taliban" kan negeri Selangor (itulah tajuk akhbar Malay Mail dahulu ketika Khir Toyo cuba mengawal waktu operasi pub dan disko dulu) tetapi untuk melahirkan rakyat Negeri Selangor yang selamat, ceria, bahagia dan menyelamatkan institisu keluarga dari roboh dan runtuh.

Monday, May 26, 2008

Kedah mengambil kira kebajikan rakyat

Akhbar NST hari ini melaporkan yang Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abd Razak
bercadang mewujudkan zon berbeza bagi pengunjung-pengunjung lelaki dan wanita di pusat-pusat rekreasi dan pelancongan di negeri Kedah. Menurut Ustaz Azizan ia akan bermula di Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong di Baling.

Tujuannya supaya para pengunjung ke pusat berkenaan dapat memandi-manda dengan selesa dan selamat. Ini menurut Ustaz Azizan bukanlah sesuatu yang asing atau pelik kerana ia turut diamalkan di negara-negara Barat .

Saya yakin keputusan MB Kedah ini dibuat setelah mengambil kira semua faktor dan sudah pastinya selaras dengan tuntutan syarak. Masalahnya saya yakin pihak-pihak yang tidak pernah memandang atau merasakan penting mempertahankan hukum dan tuntutan syarak akan bangkit menentangnya. Jadilah Kedah dan MB nya nanti “Little Taliban”, “Moral Police” dan pelbagai lagi bunyi yang buruk-buruk walaupun pada hakikatnya apa yang mahu dilakukan ini adalah demi kebaikan dan maslahah penduduk negeri.

Mereka yang prihatin dan menjunjung titah perintah Allah swt perlulah menyokong dan mempertahankan langkah kerajaan negeri ini.
Hinanya bangsa Melayu di negara Pulau Batu Putih

Sementara bercerita berkenaan Singapura, baru-baru ini seorang blogger di negara pulau itu telah ditahan oleh pihak polis kerana mengirim posting berbau perkauman di blognya. Ternyata posting berbau perkauman itu menulis berkenaan kaum minoriti di Singapura iaitu orang Melayu (yang merupakan 14.9 peratus dari penduduknya).

Apa yang ditulisnya? Berikut saya petik tulisannya yang dipost di sebuah blog lain iaitu http://singabloodypore.rsfblog.org/

Terjemahkanlahnya sendiri kerana saya tidak berselera melakukannya

Gambar si Melayu Singapura ini disertakan sekali

See, to me…no matter how highly Singapore sits on the map there is still the part we cant erase… and thats the heartlanders and those gross out people in society… why cant we be like Milan where everyone is so well dressed and well-mannered??We shall not even touch on politics on Mas Salamat, which of course… if you have realised, i didnt bother talking about it, coz there are many other bloggers conversing on that.

So so so… what is this pathetic malay man (again, it have to be a MALAY!!!!) doing in the train?well, he was already in the train when i boarded and there he sat, unaffected by his surroundings, smelling like he didnt showered in years and wore some really scary dirty clothes and had a dirty muddy bag with him too, in it were empty bottles which looks used… to many, he may seem a poor man or a beggar.. but… to me.. he’s wasted !!

I mean… wassup with all the pretentious looks and actions for man….go get a job or better yet, make himself useful and learn how to start a fire using charcoal.. as it all lies in their blood…. SATAY SATAY!!!!Aiya….stupid MALAYS!!Even if you are a Malay and am reading this… good for you..coz this is my personal blog and i can say what i deem fit…. if u wana defend yourself…. i suggest you arm youself with education and a motor mouth to compete against me.. else dont bother… coz i will bet my life on the line that, should you challenge me in a conversation… you will lose like what a true malay would…. LIKE Fxxx !!!GET LOST!!

Inilah gelagat dan mentaliti pemilik baru Pulau Batu Putih!
Tebus kembali maruah yang tergadai
Tebus kembali maruah kita, itulah sahaja yang boleh dikatakan dalam isu Pulau Batu Putih, bumi milik kira turun-temurun tetapi diputuskan kini menjadi hak negara asing. Sungguh aib dan memalukan tetapi apakan dia ianya sudah diputuskan begitu.

Demi mengembalikan maruah kita yang tergadai itu kerajaan Malaysia sepatutnya segera membangunkan Batuan Tengah (Middle Rocks) yang telah diputuskan sebagai milik kita. Kalau perlu kita bina rumah api, kita bina, kalau perlu ada markas ketenteraan, kita bina, kalau perlu ada pusat perlindungan untuk nelayan, kita bina.


Gambar dari sebuah blog Singapura -
perhatikan caption nya
Jangan dibiarkan begitu sahaja tanah kedaulatan kita itu. Tanah yang sudah tergadai tidak mungkin kita miliki lagi, maka apa yang tinggal itu kita pertahankan sebenar-benarnya.

Saya yakin rakyat Malaysia keseluruhannya akan memberikan persetujuan jika kerajaan berbelanja kea rah membangunkan Batuan Tengah itu. Ini hak kedaulatan kita, maka atas kitalah apa sahaja yang mahu kita lakukan, bukannya mahu mengancam keselamatan negara jiran, tetapi memastikan kedaulatan kita terkawal dan dipertahankan.

Sementara itu lihatlah beberapa posting dari bloggers Singapura terhadap isu ini:

Jemauvais

Agreed! Although legally speaking, the ICJ ruled appropriately w.r.t. Middle Rocks and South Ledge, I still feel it's a cop-out, especially since they are all extensions of the sea-bed shelf of Pedra Branca.If people already say that Pedra Branca so small still want to fight over it, then the Middle Rocks like mosquito bite also must give them meh? Before Malaysia stirred shit in 1979, ALL of those islands were ours!If only we knew, KNN back in the 1970s SG should just have put 1 Singapore flag on Middle Rocks with one speaker that every day plays Majulah Singapura, then we won't have this damn problem now!

Inotstupid.wordpress.com

In time of peace, that means the Malaysian fishermen can go there fishing while at the same time also to fish for information. In time of war, Malaysia, having the Middle Rocks and South Ledge, can easily use their Navy to surround Horseburgh Lighthouse, which is within range of a single rocket fired from any naval gunship.

So basically, what the ICJ has done was to give the lighthouse to Singapore for peaceful purposes only. In a conflict with Malaysia, that lighthouse will be as good as useless to serve as the eye-and-ear for the Singapore Navy.

Therefore, Singapore should not be too jubilant about this. It is time for the SAF to look for an alternative eye-and-ear, other than the E2Cs, to serve as a backup role for Horseburgh Lighthouse. Answer - Submarines.

In addition, I don’t think the issue is fully settled yet. Though this matter alone may look like a closure on the surface temporarily, it however gives rise to more difficulties in negotiating other serious matters such as water-supply, sands, fishing, land reclamation, railway and control of airspace.

White-analyst.blogspot.com

Malaysia is not behaving like a big country, they are trying to destroy Singapore. Because to them we are a reminder of their national humiliation. Imagine someone you kick out doing better than you, it is a joke! Malaysia please stop dreaming! We will never crawl back to you and beg you to take us back in again. Malaysia a developed country by 2020? I think there must be a typo, it should be 2200. If Malaysia can become a developed country by 2020, Singapore can reach the 2010 World Cup final :P

Sunday, May 25, 2008

Mufti Perlis cubit PAS cubit Umno, tetapi tercubitkah?

Ramai yang mengatakan PRU ke 12 merupakan suatu "Tsunami Politik", Presiden PAS TG Hj Abd Hadi mengatakan ia bagaikan "gunung berapi politik" suatu pengajaran dan iktibar buat Umno dan BN, apa pun rupanya bukan hanya orang politik dan orang awam sahaja terkena arus tsunami atau ledakkan lahar gunung berapi itu, rupa-rupanya Tok Mufti pun tak terkecuali.
Kerana itu saya lebih bersetuju dengan TG kerana kalau ia tsunami semuanya musnah dan mati belaka, tetapi jika ia gunung berapi, ia memuntahkan lahar yang boleh menyuburkan kembali bumi, memberi kesedaran dan nafas baru kepada ramai termasuklah barangkali tok-tok Mufti.

Hari ini Mufti Perlis memuatkan teguran, kritkkan yang penuh sinis dan kadangkala bagaikan senafas macam orang politik dalam ruangan mingguannya di Mingguan Malaysia. Saya agak beliau memang sesuai jika mahu terjun ke gelanggang politik, pilihlah antara banyak bahtera yang tersadai atau meluncur dipersada politik negara hari ini.

Saya tertarik apabila beliau menghurai dan membicarakan bahawa Islam itu adalah matlamat dan bukannya alat. Apa yang saya boleh faham berdasarkan penanya itu, jika kita berjuang untuk memartabatkan Islam maka jangan sekali-kali Islam itu diperalatkan. Jika begitu nanti agama hanya kelihatan sebagai bahan main-mainan untuk mendapatkan untung dan tenpat.

Bermaksud jangan matlamat menghalalkan cara. jangan berpilih-pilih membawa Islam versi satu kepada penonton satu dan versi dua kepada penonton dua. Lalu apabila takut penonton dua meninggalkan kita, maka kita masukkan pula versi tiga, kerana yang penting kuasa terus kekal ditangan kita. Itu anologi saya terhadap artikel beliau yang panjang lebar itu, memang tajam dan kekadang sinis tetapi jika ada asas kebenarannya maka perlu ditelan walaupun pahit.

Saya yakin beliau turut mencubit Umno apabila beliau menyebut kadangkala agama diguna sekadar untuk penghias majlis, bukannya memegang prinsipnya. Majlis rasmi dimulakan dengan doa tetapi perjalanan majlisnya tidak berteraskan prinsip Islam, dalam erti kata lain menjadi majlis maksiat.

Beliau juga menyebut ada pemimpin negara bagaikan "sumpah-sumpah" yang berubah warna mengikut majlis. Kata beliau ada yang mengajak rakyat jangan membazir tapi dalam majlis yang lain pemimpin tadi mengepalai pembaziran. Ada yang bercakap tentang rasuah dan amanah tetapi dalam majlis lain merekalah yang menganugerahkan projek-projek kepada "anak pinak" dan "rakan taulan" dengan cara yang dipertikaikan.

Bagus, dalam dan bermakna sekali teguran-teguran beliau termasuklah berkenaan Hang Berani yang katanya sekadar berani menghunuskan keris tetapi kemudiannya menjadi Hang Takut.

Tetapi dalam waktu yang sama semua mufti-mufti juga diharapkan jangan pula diperalatkan oleh jawatan mereka. Mufti-mufti mesti "above politics" jangan terlibat sekali-kali dalam politik, apalagi berkempen untuk parti itu dan ini atau calon itu dan ini atau melobi. Kalau berjaya begitu barulah mufti-mufti dapat membuktikan kepada semua bahawa Islam itu matlamat mereka dan bukannya alat. Barulah yang menegur tidak melakukan kesalahan yang sama yang dilakukan oleh puak yang ditegur.

Berlapang dadalah semua untuk menerima yang baik dan membuang yang keruh.
Apabila kaduk naik junjung

Saya sudah mengulas berkenaan beliau dalam posting saya terdahulu, jika mahu kenal inilah dia Pengarang akhbar The Star yang kebelakangan ini semakin tajam dan vokal kritikkannya terhadap Islam. Mungkin "tsunami Politik PRU ke 12" telah turut mematikan semua yang prihatin tentang Islam dan menjelmakan puaka-puaka yang berani dan bermaharajalela.

Wong Chun Wai begitu ghairah apabila dapat menghitam legamkan wajah Islam tambah dalam keadaan pemuka-pemuka Islam kebelakangan ini yang sudah semakin khayal dan selesa. Cuba perhatikan posting di dalam blognya bertarikh 22 Mei lalu, apabila beliau melanyak PKPIM kerana cadangan adik-adik kita itu untuk mengubah gaya pakian baju kurung murid sekolah menengah:

It's stupid really. But thanks to the National Islamic Students Association of Malaysia, an unheard of group, we have made it to the international media for the wrong reason.....

Perhatikan beliau gunakan perkataan "an unheard of group" atau sebuah badan yang tidak dikenali untuk mengaitkan PKPIM. Tetapi hari ini dalam ruangannya dalam THE SUNDAY STAR beliau menyebut:

The student body is hardly known today but in the 1990's it was a prominent movement with protest against so-called western hedonism and nihilism

Badan ini tidak berapa dikenali hari ini tetapi pada tahuan 1990an ia terkenal kerana menggerakkan protes terhadap apa yang dipanggil pengaruh hedonisma barat dan nihilisma (kepercayaan menafikan sebarang asas kebenaran yang objektif)

Dengan kepakaran putar-belitnya Wong telah menolak-tarik PKPIM dari sebuah badan yang "an unheard of group" kepada sebuah badan yang pernah terkenal satu ketika dahulu!
Apa pun dalam tulisannya hari ini Wong mengambil kesempatan mempersetankan terus cadangan PKPIM itu dan menganggapnya sebagai satu trend ke arah menceduk budaya Arab atas nama agama. Sejak bila pula PKPIM mencadangkan agar pakaian baju kurung yang ada ditukarkan kepada pakaian wanita Arab? Cuba baca kenyataan mereka di bawah ini:

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mencadangkan kepada Kementerian Pelajaran agar merombak semula sistem pemakaian pelajar perempuan di sekolah rendah dan menengah. PKPIM mencadangkan agar Kementerian Pelajaran menukar baju putih sekolah kepada baju berwarna kerana ia tampak sesuai dan tidak jarang untuk dipakai oleh pelajar perempuan. Jika Kementerian Pelajaran ingin mengekalkan warna putih tersebut, PKPIM mencadangkan agar pelajar perempuan diwajibkan untuk memakai singlet dalam ataupun tudung labuh kerana ia tampak lebih kemas, selesa dan selamat.

Wong samada tidak mampu menguasai Bahasa Melayu dengan baik sehingga tersasar dari memahami pendirian dan kenyataan PKPIM itu ataupun memang beliau jenis anasir yang tidak senang dengan badan-badan dan aktivis Islam sehingga memandang hodoh apa sahaja cadangan yang datang dari mereka. Saya optimis Wong yang saya ikuti penulisan beliau sejak lebih 10 tahun lalu, ini memang jenis yang "phobic" dan membenci Islam melainkan Islam yang telah ditiup dan ditempel-tempelkan dengan nafas dan wajah liberal. Lihatlah apa yang disebut beliau dalam penutup artikelnya itu:

Common sense must prevail, just like the views of the majority. Don let anyone tell us how and what to dress.
Mengharung hidup mendambakan redha Allah swt

Saya minat menulis dan mengulas isu-isu yang saya lihat tersingkap di hadapan hidup saya sejak di bangku sekolah lagi. Kepuasan bagi saya adalah apabila saya mampu menghasilkan sesuatu yang berguna dan menjadi panduan atau bahan kritik masyarakat dan rakan-rakan. Ianya hasil cetusan hati dan rasa peribadi saya dan tidak semestinya selaras atau bertepatan dengan selera sesiapapun. Mungkin kerana saya menganuti fahaman tertentu maka gaya dan isi penulisan saya lebih cenderung kepada fahaman itu tetapi ini tidak bermakna saya terikat kaki dan tangan dari turut melemparkan teguran dan kritikan walau terhadap penggerak fahaman itu sendiri.

Apa pun saya tidak pernah diupah, disogok atau ditunjuk-tunjuk untuk menulis. Apa yang mahu saya ulas dan tulis terbit dari naluri dalaman dan ia tidak boleh ditunjal-tunjal atau dijolok-jolok oleh sesiapa. Kalau kebetulan saya mengalungkan yang indah-indah pada seseorang tokoh atau individu ianya dicetuskan oleh keikhlasan, bukannya untuk membodek apalagi untuk mendapat habuan. Walau saya tahu ada rakan-rakan yang memang senang dan boleh hidup melalui cara itu.

Jelasnya sebagai seorang rakyat Malaysia yang berbangsa Melayu dan beragama Islam sudah pastilah saya mengambil kira hakikat lahiriyah itu dalam menghasilkan karya saya. Saya tidak pandai berlakon-lakon, atau mengganggap diri saya "less Malay" atau "less Muslim" atau "less Malaysian". Tetapi tidaklah sampai ke peringkat meletakkan diri saya sebagai peneraju perkauman Melayu sempit sehingga menidakkan hak kehadiran orang lain. Saya seorang Melayu Islam dan tidak ada kuasa atau anasir mana sekalipun yang boleh memaksa saya mengikis keluar hakikat itu dari diri saya. Dan sebagai seorang Muslim sudah pastilah saya mahu mengamalkan keseluruhan anutan dan kepercayaan saya itu dan akan sentiasa berdiri memperjuang dan mempertahankannya walau dalam keadaan popular atau tidak.

Naluri manusia ini memang suka disanjung, siapa yang suka dimaki dan dihina? Tetapi saya belajar dari hidup ini bahawa "nobody is perfect" tambah-tambah diri kita sendiri. Melalui universiti hidup ini saya belajar untuk tidak memusuhi seseorang sehingga menolak terus sumbangan, idea dan kerja-kerja baiknya. Kita mungkin ada perbezaan dan bertelagah dalam hal-hal tertentu tetapi kita tidak berdosa untuk meraikan persamaan kita dalam hal-hal yang lain.

Kerana saya seorang Muslim saya menolak fahaman komunisma yang sesat itu tetapi saya memiliki koleksi buku-buku bekas -bekas pimpinan PKM, Chin Peng dan lain-lain, kerana susur-galur sejarah perjuangan dan pemikiran mereka begitu menarik minat saya. malah saya berkesempatan berjumpa Shamsiah Fakeh dan pernah menghasilkan klip dokumentari berkenaan beliau melalui WTV8, kerana ada diantara mereka ini dihukum sebelum dibenar membela diri oleh pihak penjajah yang lebih tidak berhati perut itu.

Tun Dr Mahathir seorang tokoh yang tidak pernah dianggap "PAS friendly" samada ketika usia mudanya atau ketika meneraju negara termasuklah setelah bersara ini. Apa yang tidak pernah dilakukan oleh beliau termasuklah kes "janggut Nabi", Memali dan lain-lain. Tetapi manusia yang berjiwa besar seperti Tok Guru Nik Abd Aziz (yang anaknya pernah ditahan ISA di bawah Tun) hadir meraikan majlis buat Tun, begitu juga Tuan Guru Hj Abd Hadi, menziarahi Tun ketika sakit dan menghadiahkan buku-buku karyanya kepada Tun walaupun hakikatnya bermusuh dari segi politik.

Saya belajar untuk tidak cepat menghukum seseorang, bukankah kita ini pendakwah dan bukan penghukum. Saya cuba untuk memisahkan diri dari memiliki kecenderungan mengkritik semata-mata kerana mahu mengkritik, membangkang semata-mata kerana kita pembangkang. Hasil karya, pandangan, tindakan, gelagat dan laku seseorang itu jangan ditolak semata-mata kerana ia musuh. Tambah-tambah dalam politik, musuh hari ini boleh menjadi kawan esok, kawan hari ini boleh sahaja menjadi musuh esok.

Allah swt berfirman (al Maaidah:8):

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Menjadi penulis yang bertaqwa, bukan senang, tetapi sekurang-kurangnya kita wajib berusaha ke arah itu. Begitu juga menjadi pemimpin yang bertaqwa atau insan yang bertaqwa.

Saya mahu meneruskan minat saya ini, dan akan terus menulis dan menghasilkan karya insyallah atas hambatan mahu "takut" pada Allah dan bukan pada manusia. Kalau kerana itu nanti saya akan menjadi "less popular" tidak berjawatan atau kedudukan, terlepas peluang atau apa sahaja, usia yang semakin matang ini mengajar saya lebih baik begitu dari berpura-pura dan mengundang murka Allah swt.
PAS perlu belajar dari kesilapan Umno

Dalam suasana bergolak dan berkecamuk Umno terus meredah lautan luas, adakalanya menjunam ke dasar laut, adakalanya timbul dilambung ombak. Kalau bahteranya demikian, bayangkan anak-anak kapal yang duduk di dalamnya, pastinya lintang-pukang, berselerak, mabuk dan pening.

Bekas Presidennya bertindak keluar parti, untuk kekal bebas tidak berparti sehinggalah Presiden parti meletakkan jawatan. Tindakan ini dituruti kaum keluarganya (kecuali ahli Parlimen Jerlun) dan beberapa pengikut setia khasnya di Kedah. Sebelum itu bekas Naib Presiden, yang juga ahli Parlimen Gua Musang telah mengisytiharkan diri mahu merebut jawatan Presiden pada pemilihan parti hujung tahun ini. Beliau menyarankan agar bahagian-bahagian Umno mengadakan Mesyuarat Agung Luarbiasa untuk membincangkan prestasi Umno dalam PRU ke 12 lalu.

Dalam pada itu masing-masing sedang sibuk melobi untuk jawatan-jawatan tertentu dalam parti, paling popular adalah jawatan Naib Presiden dan Ketua Pergerakan Pemuda. Ketua Pergerakan Wanitanya (yang digugurkan dari kabinet baru Dollah) merungut bahawa tindakan Puteri Umno menawar diri dalam pertandingan Pergerakan Wanita menganggu kestabilan sayap kanan Umno itu.

Demikianlah Umno, laksana retak menunggu belah, mungkinkah mampu ia bertahan?
Sementara itu EXCO Pemudanya Mukhiz Mahathir, menuntut agar Presiden parti meletakkan jawatan. Tindakan beliau diselar oleh kalangan pimpinan Pemuda, namun ada juga yang tampil menyokong dan mempertahankan beliau.

Dalam suasana senak dan tenat itu, tiba-tiba muncul Nabib Presiden parti, Muhyuddi Yassin menyatakan bahawa:

Bukan budaya Umno untuk mengekang atau menghalang anggotanya daripada menyuarakan pendapat mereka atau mendesak pemimpin.UMNO ialah sebuah parti demokratik dan oleh itu semua anggotanya bebas menyatakan pendapat masing-masing.

Memang demokrasi dalam Umno kini dipertikaikan, antara yang awal menyatakan ianya sudah hampir mati adalah Tengku Razaleigh Hamzah sejak sebelum PRU ke 12 lalu. Dengan sistem kuota, dan kini usaha mengekang suara-suara yang menentang kepimpinan Dollah, ada yang boleh percaya bahawa Umno sememangnya bukan lagi sebuah parti yang mengamalkan demokrasi.

Untuk itu saya menyudahi posting ini bukannya dengan mengajak ahli dan pemimpin Umno yang sudah muak, bosan dan tidak percayakan parti itu agar bertindak keluar dan menyertai PAS ("that goes without saying") tetapi lebih penting lagi saya ingin mengajak semua yang khasnya berada di dalam PAS agar mengambil iktibar akan apa yang sedang dilalui seteru politik kita itu. Jangan kita pula nanti ulangi kesilapan dan kelemahan mereka.

PAS jangan mengekang ahlinya bersuara (mengikut saluran yang dibenarkan perlembagaan parti), PAS juga jangan halang sesiapa untuk mencabar mana-mana jawatan. atau mengkritik mana-mana pimpinan, dan lebih penting lagi kerana PAS berjuang untuk dan demi Islam, maka PAS perlu dengar suara dan rintihan ahli dan penyokong yang mahu mempertahankan dasar itu, jangan sesiapa cuba menghalang-halangnya, kelak kita nanti turut jatuh terperosok menimpa nasib yang sama sebagaimana Umno.

Saturday, May 24, 2008

Tangani segera isu pakaian sekolah ini

Saya menerima banyak email, sms dan komen dari kawan-kawan dan para pembaca blog ini berhubung isu baju kurung yang digunakan disekolah-sekolah kerajaan, ramai yang menyokong walaupun ada yang menentang dan mirip pada pandangan Sisters in islam. Sesungguhnya kita semua bertanggungjawab memperjuangkan isu ini demi maruah dan masa depan anak-anak kita semua.

Awal pagi tadi saya terpaku melihat siaran Berita Bernama, apabila seorang guru besar sekolah jenis kebangsaan Tamil dengan berani mengakui bahawa isu ini adalah kritkal dan perlu diberi perhatian. Kata beliau memanglah pakaian baju kurung ini lengkap menutup aurat (menurut beliau), tetapi kadangkala ada pelajar terutama yang bukan Islam yang menggunakan pakaian yang tipis sehingga menampakkan pakaian dalamnya bagi tujuan menarik perhatian orang.

Saya terpaku kerana seorang guru besar yang bukan Islam boleh mengakui perkara ini dan ancaman yang berbangkit darinya tetapi ramai kita yang Islam pandangan sepi dan kecil malah menyerang pula saranan PKPIM itu.

Dalam The Star hari ini, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sekolah-sekolah) Datuk Noor Rezan menjelaskan bahawa pihak sekolah boleh mewajibkan pelajar-pelajar yang berpakian baju kurung terlalu tipis agar mengenakan "camisole" atau pakaian dalam berupa singlet di bawah baju kurung berkenaan. Menurut beliau terpulanglah kepada guru besar masing-masing untuk menimbang dan melaksanakannya jika perlu.

Ini bermakna isu yang diketengahkan oleh PKPIM itu adalah "real" dan mengancam kestabilan masyarakat kita lantas perlu ditangani segera.

Saya sangat-sangat berharap kita pandang serius isu ini, dan menunggu-nunggu ahli Parlimen dari manakah yang akan membawa isu yang ditonjolkan oleh PKPIM ini ke Parlimen nanti.

Friday, May 23, 2008

Respon segera dari YB Salahudin

Kira-kira jam 6.50 petang tadi saya menerima panggilan dari YB Salahudin, ternyata walaupun berada di Kubang Kerian, beliau telah di “alert” kan oleh tulisan dalam Blog ini.

Ternyata pihak NST yang memanggil beliau tidak menujukan terus kepada isu PKPIM tetapi sebaliknya menurut Salahudin bertanya pandangan beliau berkenaan baju kurung. Baju kurung memanglah pakaian kebangsaan kita, dan jangankan murid sekolah pemimpin Muslimat dan isteri-isteri pimpinan dan ahli PAS juga berbaju kurung. Lantaran itu beliau memberikan pandangan bahawa beliau tidak nampak masalah dengan berbaju kurung termasuk untuk ke sekolah.

Isunya adalah berkenaan trend menggunakan kain tipis untuk baju kurung sekolah dan cadangan PKPIM samada ianya ditukar atau diwajibkan murid-murdi ini mengenakan singlet dalam atau bertudung labuh. Sebagimana posting terdahulu saya dalam isu ini:

Menurut Munirah lagi baju berwarna putih (baju kurung sekolah) yang digunakan di sekolah-sekolah sangat jarang dan menyebabkan ada daya tarikan disitu. Lalu beliau mencadangkan jika tidak ditukar sekalipun, pelajar-pelajar berkenaan diwajibkan memakai singlet dalam atau tudung labuh yang tampak lebih kemas, selesa dan selamat.

Salahudin tidak sedikit pun kedengaran keberatan tentang teguran saya diblog ini malah beliau mengalu-alukan. Kata beliau memang beliau belum maklum tentang isu PKPIM itu dan wartawan yang bertanya pun tidak maklumkan kepada beliau. Menurut beliau pendirian beliau sendiri sangat jelas berhubung isu menutup aurat dan ancaman jenayah seksual.

Saya berterima kasih kepada beliau kerana sangat prihatin akan teguran saya dan bersikap terbuka dan berlapang dada, ini satu kualiti yang sangat kurang dikalangan pimpinan kita pada hari ini. Biasanya yang ada, susah mahu menerima pandangan orang lain, cepat melenting dan lain-lain. Saya yakin jika Salahudin konsisten dengan sikap sebegini, beliau memiliki masadepan yang cerah dalam memimpin jemaah.

Di sini saya ingin menyarankan agar pihak Dewan Pemuda PAS segera mengaturkan perjumpaan dengan pimpinan PKPIM dan meminta mereka memberikan taklimat tentang isu ini. Dalam suasana Parlimen masih bersidang, mungkin Salahudin atau Dr Lo’lo atau Ustazah Zailah boleh memanjangkan perkara ini ke Dewan Rakyat.

Isunya di sini bukan mahu menyalahkan sesiapa, tetapi kata pepatah Inggeris “precaution is better than cure”, kita memperkenalkan sesuatu atau mengambil langkah demi mengelakkan mudarat yang besar. Jangan pendamkan masalah ini, ayuh kita panjangkan demi kebaikan semua.
Baca sebelum memberi reaksi

Saya membaca komen berikut dalam berita terkini NST Online:

The baju kurung worn by schoolgirls to government school is not that sexy, PAS said today. PAS Youth Chief Salahudin Ayub said there was no problem with the school uniforms from an Islamic perspective. “As long as the baju kurung is tailored according to the traditional Malay interpretations of the gramnet and not too tightly I don’t see any problem”.

Saya yakin Salahuddin tidak berkesempatan membaca kenyataan PKPIM yang dibuat melalui Naib Presidennya dan Ketua Hal Ehwal Wanitanya, adik Munirah Bahari. Sukar juga apabila dihimpit memberikan reaksi sedangkan kita sendiri tidak maklum tentang isu sebenar yang dibahaskan. Tambah pula kenyataan kita dipetik sebagai mewakili Parti Islam Se Malaysia.

Saya nasihatkan Dewan Pemuda PAS agar menyelami terlebih dahulu isu yang mahu diketengahkan oleh adik-adik kita di PKPIM itu. Kalau PAS pun memandang ia sebagai “non issue” maka siapakah lagi nanti yang akan bangkit untuk membela Islam?

Kenyataan penuh PKPIM boleh didapati di
http://www.pkpim.net/
Jangan tahan Tun bawah ISA

Perang saudara yang melibatkan tokoh-tokoh Umno terus mendapat liputan media massa dan mencuri minta rakyat. Tindakan bekas PM dan Presiden Umno keluar parti diikuti dengan isterinya, anaknya dan kemudian beberapa ahli Umno khasnya di Utara terus menarik perhatian semua.

Ramai yang memberi komen, ada yang kesal dengan sikap Tun ada yang melonjak gembira dan ada yang terus tertanya-tanya kemanakah arah tuju sengketa ini. Mungkinkah tindakan Tun ini akan mempercepatkan lagi proses pengunduran Presiden Umno kini atau bagaimana?

Apa pun, itu masalah rumahtangga Umno. Umno lah kena jaga dan pelihara, jangan selak-menyelak sehingga timbul aib dan terdedah malu kepada umum.

Tetapi saya terperanjat apabila membaca laporan dalam Malaysiakini hari ini yang menerbitkan kenyataan bekas pegawai kanan PBB (UN) Param Cumaraswamy yang mencadangkan agar Akta Keselamatan Negeri (ISA) digunakan terhadap Tun atas alasan salah satu kenyataan Tun semasa siri “roadshow” nya berbau hasutan dan mengancam keselamatan negara.

Param mengatakan walaupun beliau menentang ISA tetapi dalam kes Tun ini memang sewajarnya akta tersebut dikenakan terhadap beliau.

Param ini dahulunya terlibat di PBB dalam isu kebebasan para hakim dan peguam, bagaimana seorang yang dalam kedudukan seperti beliau boleh pula mengesyorkan akata jahanam ISA digunakan terhadap Tun! Kalau benar Tun menyalahi undang-undang, kita seret beliau ke mahkamah untuk diadili dan membela diri bukannya ditahan tanpa bicara.

Nampaknya bukan hanya Dollah, kaum keluarga dan yang menyokongnya menjadi cemas dan tak senang duduk dengan kenyataan-kenyataan Tun, rupa-rupanya yang diluar dan tidak terlibat secara langsung pun macam Dollah juga.

Mansuhkan ISA!!!
PKPIM diserang, mana pemimpin-pemimpin Islam?

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia atau PKPIM adalah sebuah NGO yang telah ditubuhkan lebih 40 tahun dahulu. Matlamat persatuan ini antara lain adalah untuk mengembalikan pelajar-pelajar Islam Malaysia kepada idealisma Islam yang sebenar yang komprehensif sejajar dengan tuntutan al Quran dan Sunnah.

Badan ini walaupun aktif khasnya dikalangan para siswa Islam namun kadangkala oleh pelbagai sebab aktiviti, program dan kenyataan-kenyataannya tidaklah tertonjol sangat.

Baru -baru ini Pengerusi Halehwal Wanitanya (HEWI) adik Munirah Bahari telah mengeluarkan kenyataan mencadangkan agar pihak Kementerian Pelajaran menukarkar pakaian seragama pelajar perempuan di sekolah-sekolah. Kata beliau ini bagi menangani jenayah seksual yang melibatkan remaja dan hubungan seks sebelum perkahwinan dikalangan pelajar. Menurut Munirah lagi baju berwarna putih (baju kurung sekolah) yang digunakan di sekolah-sekolah sangat jarang dan menyebabkan ada daya tarikan disitu.


Lalu beliau mencadangkan jika tidak ditukar sekalipun, pelajar-pelajar berkenaan diwajibkan memakai singlet dalam atau tudung labuh yang tampak lebih kemas, selesa dan selamat.
Saya tidak nampak sebarang kecacatan atau keterlaluan dalam kenyataan adik Munirah ini mewakili PKPIM. Tambah-tambah mereka adalah NGO pelajar Islam Malaysia, oleh itu layak dan paling sesuailah mereka terbit dengan cadangan ini, soal samada cadangan ini akan dituruti atau tidak, itu soal kedua, yang penting Munirah dan PKPIM sesungguhnya berhak menyuarakan pandangan mereka.
Masalahnya, semalam saya terbaca seorang Ketua Editor akhbar berbahasa Inggeris (yang bukan Islam) dalam blognya mengkritik saranan PKPIM ini. Pertama beliau menganggap PKPIM sebagai sebuah NGO yang langsung tidak dikenali, keduanya tindakan NGO tersebut "stupid" atau bodoh dan ketiganya menganggap PKPIM sebagai jelmaan "Little Taliban" kerana mengusulkan sesuatu yang ekstrim dan melampau.

Dalam akhbar The Star hari ini, PKPIM terus menjadi gelanggang serangan pihak-pihak yang sememangnya samada tidak menghormati Islam ataupun penafsiran Islamnya menggunakan acuan ultra liberal barat yang bersandarkan logik akal semata-mata.
Sisters in Islam melalui Pengurus Programnya Norhayati Kaprawi menolak anggapan PKPIM bahawa pakaian sekolah yang ada ini menggalakkan rogol (adik Munirah sebut jenayah seksual) dan seks sebelum nikah. Kata beliau tidak cukupkah dengan pakaian baju kurung yang ada sekarang. Lalu sebagaimana yang biasa SIS lakukan (iaitu memakai aplikasi logik mengatasi syariah) Norhayati berkata, wanita Melayu yang berkabung pun menggunakan baju kurung putih, apa masalahnya (tidak pula saya tahu wanita Melayu ada kod baju untuk berkabung?). Malah tambah Norhayati, Wanita Umno pun menggunakan baju kurung putih, apa isunya (kenapa Wanita Umno pula menjadi sumber hukum?).
Manakala Pengarah Eksekutif Womens Aid Organisation (WAO) Ivy Josiah yang turut tidak bersetuju dengan saranan PKPIM itu mengatakan apa yang perlu bukannya menyemak semula polisi pakaina seragama berkenaan tetapi adalah menyemak semula tanggapan-tanggapan salah berkenaan pakaian wanita. Kata beliau kes rogol berlaku bukan kerana pakaian, ianya akibat kuasa yang si rogol rasakan ia miliki terhadap mangsanya.
Bagi saya selaku badan yang bertanggungjawab PKPIM berhak mengemaukan cadangan ini, tambah-tambah ianya tidak langsung bertentangan dengan matlamat dan perjuangan mereka. Jika ada pihak yang tidak bersetuju atas apa alasan sekalipun, janganlah mengkritik dengan menyerang dan mempersendakan Islam pula. Mengapa usaha untuk mendekati Islam dipanggil sebagai "Talibanisation"?
Saya menyeru badan-badan Islam, para alim ulamak dan ahli-ahli politik Islam dan yang semua yang berkenaan agar menyatakan sikap dan pendirian terhadap cadangan PKPIM ini. Jangan biarkan mereka bersendirian menerima serangan dari pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini. Atau apakah kita semua juga sudah lunak dan termakan dengan dakyah kumpulan berfahaman ulta liberal barat ini?

Thursday, May 22, 2008

Kelantan adalah model terbaik

Dalam beratnya mulut para pejuang Islam kebelakangan ini untuk bercakap dan menonjolkan isu-isu Islam, Allah swt membuka lorong-lorong untuk mereka yang lain pula untuk bercakap.

Akhbar THE STAR hari ini melaporkan darihal kunjungan hormat Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang I, Fairus Khairuddin, terhadap Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz, di Kota Bharu semalam.

Fairus dilaporkan sebagai berkata:

Penang can learn from Kelantan about spiritual empowerment where emphasis is given to moral values and governing with consideration for everyones interest including that of non Muslims

Pulau Pinang boleh belajar dari Kelantan tentang bagaimana memperkasakan rohani dengan cara memberikan penekanan kepada nilai-nilai moral dalam mentadbir selain mengambil kira kepentingan semua pihak termasuk masyarakat bukan Islam.


Dan beliau menambah:

Kelantan has led by example in its ability to showcase the importance of religion and finding a balance between the pursuit of materialism and religion.

Kelantan telah berjaya memimpin melalui tauladan dengan keupayaannya menekankan kepada aspek agama disamping memberikan kesimbangan diantara mengejar kebendaan dan agama.

Memang model Kelantan ini seharusnya menjadi kebangaan semua terutama dari kalangan orang-orang PAS sendiri bagi menyatakan kepada pihak lain bahawa inilah model yang terbaik dan paling praktikal dalam Negara. Soalnya orang lain kelihatan begitu kagum dan berbangga dengan pencapaian kita, tetapi kita sendiri kadang-kadang macam tidak berapa yakin atas pelabagi alasan dan hujah yang sebelum ini tidak pernah oun berbangkit.
Agong mahu Institusi Mufti diperkasakan

Seingat saya PAS sejak awal-awal penubuhannya berterusan menuntut agar Institusi Mufti di negeri-negeri ini diperkasakan demi memastikan Mufti-mufti dapat berperanan dengan cara yang lebih berkesan dalam kerajaan. Pernah ada cadangan agar Mufti negeri-negeri turut duduk dalam EXCO kerajaan negeri agar isu-isu agama khasnya mendapat nasihat dan bimbingan mereka.

Menurut BERNAMA semalam SPB Yang Dipertuan Agong memperkenankan agar mufti dan timbalan mufti menyertai setiap persidangan Majlis Raja-raja serta semua mesyuarat kerajaan negeri dan pusat. Perkenan Tuanku itu telah diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan. Menurut Dr Shukor:

Mufti adalah institusi yang sangat penting dalam masyarakat sebab itu Tuanku menitahkan supaya institusi mufti ini dipertingkatkan dengan diberi input yang mencukupi bagi menyelesaikan isu. Perkenan ini juga membuktikan institusi mufti masih mendapat perhatian dan kepercayaan bukan sahaja daripada rakyat tetapi juga pihak pentadbiran tertinggi Negara.

Tuanku telah pun bertitah, lalu apakah reaksi kerajaan-kerajaan negeri dan kerajaan Pusat sendiri? Bagaimanakah berpengaruhnya titah Tuanku ini atau ia sekadar pilihan, boleh diterima dan ditolak?

Saya mengharapkan agar semua pihak terutama pimpinan Islam, samada politik atau NGO, lebih-lebih lagi yang mengetuai kerajaan-kerjaaan negeri dan Pusat agar segera menyahut titah Tuanku itu dan mengisytiharkan pendirian masing-masing. Islam pada hari ini perlu sangat diperkasakan memandangkan pelbagai isu yang timbul kebelakangan ini kelihatan mengancam kedudukannya.

Kita sewajarnya menjunjung kasih ke bawah SPB Yang Dipertuan Agung atas keprihatinan dan proaktifnya Tuanku dalam isu ini.

Wednesday, May 21, 2008

"Jom Heboh" di Buletin Utama TV3

Macam "Jom Heboh" Buletin Utama TV3 malam tadi dalam melaporkan isu Tun Dr Mahathir yang bertindak keluar Umno. Apa yang cuba mereka usahakan malam tadi saya percaya adalah untuk meyakinkan penonton mereka bahawa tindakan Tun itu tidak popular dan lebih merugikan Umno. Disamping mahu menobatkan Dollah Badawi sebagai pemimpin terunggul dan paling penting dalam parti itu.

Semua yang ditemuramah tidak bersetuju dengan tindakan Tun kecuali barangkali Tengku Razaleigh Hamzah yang kelihatan "dumbfounded" kagum, terperanjat tetapi terlalu berhati-hati dalam mahu memberikan reaksi.

Tetapi yang paling klasik adalah apabila TV3 berjaya memesongkan mesej yang cuba dibawa oleh ahli Parlimen Jerlun iaitu Mukhriz Tun Mahathir. TV3 yang sememangnya pakar dalam bab "cut and paste" serta puta-belit ini, telah sekadar membuat liputan kenyataan awal Mukhriz dan tidak dibahagian yang lebih sensasi. Mukhriz sekadar dilaporkan tidak akan mengikuti jejak langkah bapanya , Tun Dr Mahathir, iaitu keluar Umno, sebaliknya akan tetap setia bersama Umno.

Ini memberi persepsi seolah Mukhriz tidak bersetuju dengan bapanya. Benarkah begitu?

Sedangkan apa yang Mukriz nyatakan adalah:

Saya akan menjadi suara lantang untuk menegur segala kepincangan kepimpinan tertinggi parti. Kali ini saya akan lebih berani bersuara untuk menyuarakan isi hati saya serta rakan-rakan yang lain kerana ini mencerminkan isi hati rakyat yang mahukan perubahan besar dalam kepimpinan Umno.

Dan yang paling sensasi yang digugur atau dicampak keluar oleh TV3 malam tadi adalah apabila Mukhriz berkata:

Saya mendesak agar Abdullah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional dengan segera.

Terbukti walaupun Tun bertindak keluar Umno bagi mendesak Dollah berundur, Mukhriz pula mengambil keputusan untuk mensasarkan serangan terhadap Dollah dari dalam. Serangan luar dan dalam ini kalau berjaya akan mengakibatkan Dollah berundur awal, jika tidak akan terus memporak-perandakan Umno, dan sudah pasti TV3 sangat diperlukan oleh Dollah untuk terus "cut and paste" dan putar-belit untuk membantunya terus menongkat langit.
PAS perlu ambil kesempatan perkukuh parti dan raih sokongan
(Artikel saya di bawah tajuk diatas telah terbit dalam Harakahdaily)

Pilihan Raya Umum yang ke 12 lalu adalah satu tamparan terhebat kepada BN sepanjang sejarah politiknya bermula dahulu dengan Perikatan dan kini BN. Umno bukan hanya gagal merampas kembali Kelantan dan kembali menjadi MB di sana malah turut hilang kuasa di Perak, Selangor dan Kedah. Rakan kongsinya Gerakan pula kecundang di Pulau Pinang.

Sudah pastilah faktor utama kemerosotan sokongan terhadap BN itu berpunca dari rekod buruk Umno dan rakan-rakannya. Rakyat memendam benci sekina lama, ia meluap-luap dan akhirnya meletus begitu sahaja tanpa dapat dibendung lagi. Akronim "ABU" dicat oleh orang-orang tertentu di sekitar bandaraya Kuala Lumpur beberapa hari sebelum mengundi 8 Mac lalu, maksudnya "Asal bukan Umno".

Oleh itu banyak sebablah mengapa berlaku gelombang penolakkan rakyat terhadap BN itu, kecuali di Sabah dan Sarawak, dan salah satu faktor popular adalah kerana mereka mahu mengajar BN. Sebagaimana slogan "Tahun Merawat Kelantan" yang diguna oleh BN Kelantan untuk menumbangkan kerajaan PAS di sana, rakyat Malaysia mahu merawat BN yang sudah kronik penyakitnya itu, mudah-mudahan sembuh. Kerana itu mereka beralih mengundi pembangkang, namun jika rawatan telah berjaya tidak mustahil mereka beralih kembali kepada BN.

Trend seperti ini satu ketika dahulu dikaitkan dengan pengundi Cina, mereka bersedia mengundi pembangkang pada satu pilihan raya dan pada pilihan raya berikutnya beralih kembali ke BN.

Kerana itu ada pihak yang tidak berapa setuju dengan isitlah "Tsunami Politik" bagi menggambarkan suasana selepas 8 Mac lalu. Menurut mereka tsunami membawa kemusnahan "total" dan atas kemusnahan itu dibangkitkan satu kehidupan yang baru. Tetapi BN dan Umno tidak terus "mati" , pitam mungkin, tetapi mereka tidak ranap dan musnah sebagaimana akibat yang biasa dibawa oleh tsunami.

Lantaran itu kesempatan mabuk-mabuk lalat BN dan Umno khususnya itu perlu diambil oleh PAS untuk mengukuhkan kedudukan kita. Perpaduan dalaman perlu dan usaha intensif mempertingkatkan kekuatan dalaman ahli, menambahkan cawangan dan bilangan ahli perlu menjadi keutamaan. Mereka yang telah diberi amanah memimpin dan mewakili rakyat perlulah mempamirkan corak kepimpinan yang menguntungkan Islam dan tidak sebaliknya.
Singa yang luka ini pasti melompat kembali ke dalam gelanggang dan mungkin kali ini lebih ganas lagi. Saya teringat dalam filem "Tora Tora Tora" yang mengisahkan misi pengeboman tentera Jepun ke atas Pearl Harbour pada tahun 1941. Dipenghujung filem itu Laksamana Jepun yang berjaya melumnuhkan kekuatan armada Amerika Syarikat di Pasifik itu telah berkata kepada pembantunya: "Kita baru sahaja mengejutkan seekor gergasi yang sedang tidur".

Kerana itu baru-baru ini Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dalam ucapannya semasa meraikan suatu majlis bersama media dan "bloggers" anjuran Lanjnah Penerangan PAS Pusat telah berkata:

"Kita mengharapkan (akan) sedikit pengajaran yang diberi kepada Barisan Nasional dalam perubahan baru-baru ini. Ada orang mengatakan "Tsunami Politik", saya mengatakan "Gunung Berapi Politik", kerana gunung berapi mengeluarkan lahar yang ada baja yang boleh menumbuhkan tanam-tanaman. Kita mengharapkan pemimpin-pemimpin kerajaan subur fikirannya dengan perubahan yang berlaku, bukan hanya sahaja untuk kebaikan kita, termasuklah untuk kebaikan parti kerajaan sendiri, untuk memulihkan keadaan dan mengubati penyakit (mereka)."

Begitulah tafsiran dan pandangan pemimpin nombor satu PAS. Tidak terlalu bergembira dan ghairah di atas kemenangan kecil yang diberikan Allah, tetapi sentiasa berwaspada dan dalam waktu yang sama mengambil peluang menasihati pula musuh dengan tertib dan penuh berakhlak.

Kesimpulannya PAS perlu meluncur jauh ke hadapan, kemenangan ini tidak bersandarkan pada kekuatan fizikal kita semata-mata tetapi lebih atas faktor luaran, yang boleh sahaja padam dan reda esok atau lusa. Jana dan pertingkatkan jentera kita, bina dan kukuhkan kekuatan kita.

Dalam pada itu kita terus berharap agar musuh yang kita tempuh ini akan diberikan keinsafan oleh Allah swt, mahu kembali ke jalan yang benar.

Tuesday, May 20, 2008

Kedudukan Umno semakin cemas

Perkembangan dalam Umno sejak Tun mengumumkan perletakkan jawatannya semalam adalah masalah rumah tangga Umno. Tetapi oleh kerana Umno adalah tulang belakang BN dan BN merupakan kerajaan diperingkat Persekutuan, maka suka tidak suka perkembangan di dalam parti tersebut pasti mencuri perhatian semua pihak.

Dua pemimpin tertinggi PAS iaitu Tuan Guru Presiden dan Tuan Guru Mursyidul Am masing-masing memberikan respon mereka terhadap tindakan Tun itu. Kata Presiden PAS tindakan Tun itu membuktikan Umno memang berada dalam keadaan yang sangat parah. Malah tambah beliau tindakan Tun ini turut membuktikan yang Umno sudah tidak layak lagi diberikan kepercayaan untuk menjadi penyelamat negara, bangsa Melayu dan agama Islam. Dalam erti kata lain jika Umno sudah bermasalah PAS senitiasa membuka dirinya untuk menerima sesiapa sahaja yang mahu bersama mendukung perjuangan Islam ini demi bangsa, agama dan negara.

Mursyidul Am PAS pula dilaporkan bergembira dengan tindakan Tun itu. Kat Tok Guru Tun adalah seorang pemimpin yang hebat, cekal dan tajam, sangat sesuai untuk berada dalam perjuangan Islam ini.

Cuma yang kelihatan berang dan tidak senang hati adalah Pengerusi DAP, Karpal Singh. Kata Karpal Tun seorang pemimpin yang lemah dan bermasalah malah tidak layak dikategorikan sebagai seorang negarawan. Kata Karpal keputusan Tun itu adalah suatu pengakuan salah terhadap semua kesalahan yang telah beliau lakukan.

Tak mengapalah, itu hak beliau.

Sementara itu Presiden Umno Dollah Badawi dilaporkan telah menaggil satu mesyuarat tergempar besama ahli-ahli parlimen Umno di Bangunan Parlimen siang tadi. Walaupun difahamkan sekadar bercakap tidak sampai 10 minit namun dilaporkan kesemua ahli-ahli Parlimen Umno yang hadir telah memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Dollah, yang tidak hadir hanyalah Najib dan Muhyuddin yang dikatakan berada di luar negara, dan Mukhriz, ahli Parlimen Jerlun.

Sebentar tadi Mukhriz pula telah membuat kenyataan bahawa beliau kekal dalam Umno sebagai ahli parlimen dan tidak akan mengikut jejak ayahandanya, sebaliknya mendesak Dollah melepaskan jawatannya sebagai PM, Presiden Umno dan Pengerusi BN.

Apa pula akan berlaku selepas ini, yang pastinya Umno sedang dilanda krisis yang besar, apakah impaknya terhadap politik Melayu/Islam dan lanskap politik Malaysia? Apa pun yang nampak tenang dan bersedia menerima sebarang kemungkinan adalah PAS, sama-samalah kita berdoa semoga ketegangan ini akhirnya akan berkesudahan dengan memberi ,manfaat kepada agama, bangsa dan negara dan tidak sebaliknya.
Ulangtahun ke 4 Roslan SMS Corner

Alhamdulillah hari ini adalah hari ulangtahun ke 4 blog ini, Roslan SMS Corner, yang telah saya mulakan sejak 20 Mei 2004 (iaitu selang beberapa minggu selepas PAS dan parti-parti pembangkang menghadapi kekalahan terbesar dalam sejarahnya pada Pilihan Raya Umum 2004). Sedikit pun tidak saya menjangka yang blog saya ini akan mampu meraih kunjungan dari orang ramai apa lagi menjadi bacaan tetap dan rujukan harian.

Saya sememangnya telah mula menulis dan berkarya sejak sebelum itu lagi, namun melalui blog ini saya menyalurkan secara tetap dan konsisten pandangan dan bacaan saya terhadap satu-satu isu yang terlintas difikiran. Ada kalanya ia dikongsi bersama dan ada kalanya ia tidak, terpulanglah kepada mereka yang mengunjungi blog ini.

Apa pun saya menghargai kunjungan saudara/i sekalian, malah ia sesungguhnya mendorong saya untuk berterusan berkarya selagi mana ada kemampuan dan idea insyallah.
Saya berterima kasih kepada semua pihak yang telah menjaya dan mempopularkan blog saya yang tidak seberapa ini. Terima kasih kepada kawan-kawan yang memberikan semangat dan dorongan, kawan-kawan yang membantu mempopularkan dengan meng "forward" kan artikel dan karya saya ke kawan-kawan lain dan "e-groups", laman-laman web yang membantu, mereka yang tidak penat-penat menurunkan komen, teguran dan cadangan, termasuklah yang sudi "link" kan pula blog ini di laman web dan blog masing-masing.

Terima kasih khas sudah pastilah kepada Mamat http://kaset79.blogspot.com yang telah menghasilkan blog ini sejak awal-awal dahulu, Cpol yang menambah-baikkan dan lain-lain yang terlibat. Kejayaan blog ini adalah kejayaan anda semua jua.

Berikut adalah statistik pencapaian blog ini sebagaimana yang diukur oleh webstats.motigo.com dan onestat.com, ianya terlalu kecil berbanding dengan laman web dan blog lain yang lebih popular dalam negara, tetapi saya bersyukur dan berterima kasih:

Webstat

Mengukur sejak 12 Julai 2006
Jumlah "page views" setakat semalam: 1,664,747
Hari paling sibuk: 14 Disember, 2007 (10,212 "pageviews")

Onestat

Mengukur sejak 17 Oktober 2006
Jumlah "page views" setakat semalam: 1,506,700
Hari paling sibuk: 9 April 2008 (9,413 "pageviews")

Terima kasih semua, mudah-mudahan usaha kita bersama diberkati Allah swt.

Monday, May 19, 2008

Benarkah Mahathir sahaja duri dalam daging Umno?

Saya pasti cerita keluarnya Tun Dr M dari Umno siang tadi akan terus dicanang dan menjadi perbualan ramai mulai pagi esok apabila kisahnya terbit di dada-dada akhbar dan terus dibincang dan dibahaskan entah sampai bila. Kalau Allahyarham Dato Onn dahulu keluar dari Umno dan kemudiannya menubuhkan parti baru, Tun pula tidak begitu. Menurut beliau tindakannya itu diambil sehinggalah Dollah melepaskan jawatannya sebagai Presiden Umno.

Bermakna beliau keluar secara protes.

Dalam erti kata lain beliau cuba mengambil jalan pintu belakang iaitu dengan memaksa Dollah melepaskan jawatannya apabila ramai dari kalangan Umno nanti menuruti jejaknya dengan keluar meninggalkan Umno "en bloc" tetapi bersyarat. Bayangkan jika para veteran Umno, ahli-ahli Umno, pimpinan cawangan-cawangan, pimpinan bahagian, ADUN, ahli parlimen Umno juga turut mengambil langkah yang sama, tidak perlulah menunggu Perhimpunan Agung Umno, belum pun masanya, Dollah nanti akan terpaksa turun lantaran tekanan tersebut.
Walaubagaimanapun jika langkah Tun itu tidak mendapat sambutan, hanya segelintir yang sudah tidak lagi berpengaruh dalam Umno sahaja yang menyahut seruannya, maka sebagaimana Dato Onn, Tun dan yang bersamanya juga akan menimpa nasib yang sama, terpinggir, layu dan mati begitu sahaja.

Apakah tindakan Tun itu ada sambutan atau tidak, dalam keadaan Umno yang tenat pasca PRU ke 12, sukar untuk kita baca, apa sahaja mungkin berlaku.

Dalam pada itu antara salah seorang pimpinan veteran yang terawal memberikan rekasi terhadap tindakan Tun itu adalah bekas Timbalan Presiden Umno dan bekas TPM, Tun Musa Hitam. Musa yang meninggalkan kabinet Tun pada tahun 1986 atas alasan tidak lagi sebulu dengan Tun menganggap bahawa tindakan Tun itu menguntungkan Umno. Ia bagaikan terkeluarnya duri dari daging Umno, kata tokoh Umno itu.

Bermakna sebelum ini Tun adalah duri yang menyiksa Umno, tindak-tanduknya merugikan Umno, membunuh Umno dari dalam, maka apabila beliau keluar, maka tercabutlah duri puaka dari tubuh Umno itu, dan mungkin Umno boleh pulih dan kembali gagah kesannya.
Soalnya adakah Tun seorang sahaja yang merupakan duri dalam daging Umno? Bagaimana dengan yang lain? Bagaimana dengan Dollah, konco dan kroni-kroninya?

Umno sesungguhnya telah parah berdarah sejak sebelum PRU ke 12 lagi bukan angkara sebatang duri yang bernama Tun semata-mata. Tubuh Umno sesungguhnya sudah rosak, ditusuk oleh pelbagai duri akibat tindak-tanduk dan keletah pimpinan dan ahli-ahlinya yang korap dan penuh dengan kepincangan. Amalan rasuah dan salah-guna kuasa sudah bagaikan duri-duri halus yang menikam tubuh Umno dari dalam sejka zaman Tun dan berterusan sehinggalah dizaman Dollah ini.

Politik wang dan membeli kuasa adalah duri-duri yang dibenamkan ke dalam daging Umno oleh ahli-ahlinya sendiri. Penyalahgunaan kuasa, moral yang longgar, kronisma, nepootisma semuanya duri-duri belaka yang bukan hanya ditanam oleh Tun tetapi ramai yang lain turut terlibat cuma mungkin skalanya belum sebesar Tun.

Dollah sendiri menghasilkan duri-durinya sendiri. Kaum keluarga dan anak-beranaknya tidak kurang turut menyumbang duri-duri berbisa ke dalam tubuh dan daging Umno. Apabila anak-menantu dan ipar Presiden Umno semuanya kaya-raya pada tahap yang laur biasa, maka mereka itu sendiri adalah duri buat Umno. Dan senerainya mungkin berjela-jela lagi menjalar dari Presiden sehinggalah ke anak-anak buahnya sampailah ke peringklat serendah cawangan semuanya duri-duri belaka.

Kerana itu kalau Musa Hitam mengatakan yang keluarnya Tun dari Umno bermakna tercabutlah juga duri dari daging Umno, beliau mungkin betul, tetapi tidak sepenuhnya. Banyak lagi duri-duri yang masih ada dan bersarang dalam tubuh Umno, silap-silap Musa juga duri. Selagi semuanya kekal di situ, maka selagi itulah Umno akan terus parah dan berdarah, mampukah ia diubati lagi?
Tun Dr M: Selamat tinggal Umno

Masing-masing terpinga-pinga, ada yang tergamam, ada yang terdiam, ada yang melonjak gembira apabila mendengar berita, bekas PM dan Presiden UMno mengisytiharkan keluar dari Umno siang tadi. Sekali lagi kita menjadi saksi ke atas perkara dan persitiwa yang berlaku dalam negara dan terhadap BN dan Umno yang tidak pernah kita saksikan sebelum ini.

Mengapa Tun bertindak demikian?

Menurut laporan beliau melakukan demikian kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan Dollah Badawi sebagai Presiden parti. Tun tidak sekadar mengisytiharkan dirinya keluar meninggalkan Umno malah mengajak ahli-ahli lain turut sama berbuat demikian.Tujuan utama Tun, agar dengan tindakan sedemikian, nanti Dollah akan tertekan dan akhirnya melepaskan jawatannya, dan apabila ini berlaku barulah beliau dan yang lain akan kembali menyertai Umno.
Ini bermakna dalam Umno sudah tidak ada lagi demokrasi, benar akan ada pemilihan parti tersebut hujung tahun ini, tetapi dengan pelbagai syarat dan peraturan yang tidak demokratik termasuklah memenuhi kuota pencalonan, mustahil pucuk pimpinan Umno dapat diubah melalui proses pemilihan itu.

Mungkinkah ramai akan menyertai jejak Tun dan seterusnya melumpuhkan Umno?

Kalau orang Umno masih ada yang berani, masih ada jiwa Umno yang sepatutnya memperjuangkan agama, bangsa dan negara, mungkin Umno akan lumpuh sebelum akhir tahun ini, mendorong Dollah untuk melepaskan jawatannya sebagai Presiden parti dan PM.
Tetapi mungkin juga hanya Tun dan dua tiga kerat sahaja yang akan berbuat demikian, (terbaru Tan Sri Sanusi Junid) yang lain mungkin tidak berani, lantas terus mengekalkan Umno sebagai sebuah parti elit milih Dollah dan kaum keluarganya, tidak lagi berani membawa perubahan apalagi mahu memperjuangkan secara ikhlas nasib agama, bangsa dan negara.

Ini satu lagi perkembangan terbaru dan sangat menarik, marilah sama-sama kita ikuti dengan penuh minat.

Saturday, May 17, 2008

Sudahkah anda mendengar ulasan Tok Guru ini?

Baru-baru ini selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri Kelantan, MB Kelantan Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz Nik Mat yang juga Mursyidul Am PAS dilaporkan oleh akhbat The Star sebagai berkata:

PAS will also only support PKR’s move to entice Barisan Nasional MPs to hop across to the Opposition if the defectors accept its Islamist struggle and the “Pakatan” alliance’s principles

(PAS akan hanya menyokong usaha PKR untuk mempelawa ahli-ahli Parlimen BN melompat ke pihak pembangkang kiranya mereka yang melompat itu bersetuju dengan dasar pejuangan Islam dan prinsip-prinsip yang disepakati “Pakatan”.)

Otherwise, it would be difficult to accept Barisan defectors as it becomes apparent that they are only joining for positions of power or monetary gain.

(Jika tidak sukar untuk menerima mereka yang berpaling tadah dari Barisan kerana ternyata mereka melompat semata-mata kerana mahukan kuasa dan kepentingan kewangan).

“Ideally, we want Malay party hoppers from Umno to join PAS, or the majority of Umno members to join us, as we are the only one championing Islam,”

(Dari segi idealnya kita mahukan orang-orang Melayu yang melompat parti dari Umno itu untuk menyertai PAS, atau majoriti ahli-ahli Umno untuk menyertai kita, kerana hanya kita yang menjuarai perjuangan Islam.)

Saya hanya memuatkan berita ini hari ini oleh kerana saya menunggu-nunggu juga pihak lain untuk mengulas atau mengenengahkan berita penting yang datangnya dari orang yang terpenting dalam PAS ini. Rupanya sehingga kini (maaf kalau ada) saya tidak terbaca pula apa-apa ulasan atau paparan mengenai berita ini.

Lalu saya merasakan terpanggil untuk membawanya ke hadapan mudah-mudahan difikir dan diteliti secara mendalam oleh semua. Sesungguhnya tokoh yang paling besar yang menyumbang kepada kejayaan PAS khasnya di Kelantan disamping negeri-negeri lain, tidak boleh dinafikan adalah Tok Guru Mursyidul Am. Satu kajian yang dibuat oleh Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UITM mendapati bahawa video klip munajat Tok Guru yang menerima jutaan hits itu adalah antara penyumbang terbesar kemenangan PAS.





Lalu bila kita sudah menang, takkanlah kita tidak mengambil kira pandangan beliau ini?
Isu PBT, kerajaan Selangor perlu praktikal

Dalam satu majlis yang dihadiri MB Perak baru-baru ini, Datuk Seri Ir Nizar telah menyarankan kepada para juru blog (bloggers) agar terus mengkritik termasuklah terhadap kerajaan Pakatan Rakyat yang baru dengan harapan kepentingan, nasib dan kebajikan rakyat dan negeri akan terus dibela.

Atas dasar ini saya menyahut cabaran beliau dan merasakan terpanggil untuk mengkritik apa yang saya baca dalam Metro (sisipan akhbar The Star) hari ini. Pakatan Rakyat baru memerintah Selangor dan tiga negeri lain selama 2 bulan. Dan kita faham banyak perubahan yang mahu diperkenalkan untuk memperbaiki kelemahan dan kepincangan BN selama berpulu-puluh tahun lalu. Di Selangor umpamanya kelihatan kerajaan baru sungguh berhati-hati dalam memastikan yang segala amalan buruk dan tidak bermoral kerajaan yang lalu tidak diteruskan, semestinya ini sesuatu yang baik dan perlu dipuji.

Cumanya janganlah kerana niat yang baik ia menjadi terlalu “overzealous”, keterlaluan sehingga nanti membawa kesan yang buruk pula ke atas kita.

Diperingkat PBT, kerajaan Pakatan Rakyat Selangor telah pun memperkenalkan pembaharuan, mahu memasukkan sejumlah wakil dari badan professional dan wakil-wakil NGO untuk duduk sebagai ahli-ahli majlis mewakili profesion dan kepentingan NGO masing-masing. Bermakna ahli-ahli majlis PBT nanti bukan hanya terdiri dari wakil parti-parti politik tetapi juga yang bukan politik. Juga diumumkan baru-baru ini ADUN Selangor tidak akan duduk sebagai ahli majlis.

Dan hari ini EXCO berkenaan, Sdr Ronnie Liu mengumumkan suatu lagi pembaharuan. Kata beliau ADUN dan ahli-ahli majlis yang terdiri dari wakil-wakil politik tidak akan dibenarkan duduk dalam “tender board” atau lembaga tender PBT. Kononnya usaha ini bagi memastikan tiada lagi unsur rasuah berlaku dalam lembaga tender. Sebaliknya lembaga tender nanti akan diwakili oleh ahli-ahli majlis bukan politik dengan Datuk Bandar atau Yang Dipertua Majlis mempengerusikannya.

Beginikah cara penyelesaian yang terbaik?

Apakah Datuk Bandar dan Yang Dipertua Majlis serta ahli-ahli majlis yang bukan politik itu nanti dapat dipastikan kebersihannya? Apakah kerajaan negeri menganggap wakil-wakil politik Pakatan Rakyat dari PKR, DAP dan PAS sama nilai moralnya dengan wakil-wakil BN?

Kalau rasuah menjadi kebimbangan kerajaan negeri, EXCO berkenaan sepatutunya menyemak semula amalan atau prosedur lembaga tender yang lepas dan memperkenalkan satu “Standard Operating Porcedure” baru yang telus, tuntas serta meyakinkan. Bukannya menghalang orang-orang politik dari terlibat dalam lembaga tender sebegini. Bagi saya ini suatu keputusan yang sangat lemah kerana menyamakan ahli-ahli politik PR dengan BN. EXCO berkenaan perlu ingat Datuk Bandar dan Yang Dipertua Majlis yang dikekalkan itu telah lama berkhidmat di bawah BN (saya yakin kasih sayang mereka kepada pimpinan BN masih kekal bertapak sehingga kini lantaran kemesaraan itu), mereka itu yang patut lebih diragui dan dipantau bukannya ahli-ahli politik PR yang masing-masing bersemangat mahu bersama memperjuangkan kerajaan yang bersih dan adil.

Kalau beginilah sikap kerajaan negeri, mungkin selepas ini semua tender dan kontrak kerajaan negeri jangan juga libatkan EXCO dan MB. Biar sahaja pegawai-pegawai kanan kerajaan yang duduk membuat keputusan, begitukah yang kita mahu? Memang “prevention is better than cure” tetapi bagi saya keputusan ini seolah mencampakkan jaringan syak wasangka dan keraguan keterlaluan terhadap orang-orang kita sendiri.

Berilah peluang kepada pimpinan parti diperingkat kerajaan tempatan untuk menunjukkan kemampuan dan iltizam mereka untuk turut menyumbang ke arah cita-cita murni kerajaan yang baru ini. BN memang telah gagal lantaran amalan-amalan buruk pimpinan mereka dari peringkat tertinggi sehinggalah yang di akar umbi, tetapi itu BN, bukan kita.

Jika garispanduan yang baik dan berkesan diperkenalkan sehingga menutup segala lubang dan ruang untuk rasuah dalam lembaga tender, letaklah siapa pun saya tidak nampak yang gejala ini akan merebak. Tetapi kalau sekadar cabut dan tampal atau cabut dan buang sebagaimana amalan MB yang lalu (yang kebetulan seorang doktor gigi) saya bimbang ianya akan mengundang lebih banyak masalah terhadap kerajaan baru ini.

Diharapkan MB Selangor akan mengakaji dan menyemak semula keputsan ini agar nampak lebih kemas dan praktikal.

Friday, May 16, 2008

Mampukah anda berlaku adil?

Berkahwin lebih dari satu sering menjadi tajuk perbualan rancak, tak kiralah sesama remaja, lebih-lebih lagi kalangan yang dewasa dan yang tua-tua. Ia bukan hanya menjadi bualan di kedai-kedai kopi, pusat-pusat hiburan malah di serambi masjid dan surau juga kadangkala. Lantaran Islam membenarkan poligami, namun tidak ramai pula menimbangkan secara serius syarat-syarat yang dikenakan ke atas mereka yang berniat untuk berbuat demikian, sekadar bersuka-suka membayangkan yang enak dan indah-indah belaka.


Walaupun ianya dibenarkan Islam dengan pelbagai syarat dan sememangnya merangsang naluri lelaki, namun tidak ramai yang tergamak mengamalkannya.

Saya secara peribadi merasakan diri saya tidak layak, apalagi menghayati ayat-ayat Allah yang terselit dengan syarat-syarat yang sangat berat itu. Allah swt berfirman:

.....maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja..... (an Nisa:3)

Memang nafsu sentiasa menghambat kehidupan seseorang lelaki normal, dengan lampu hijau yang diberikan, apakah nafsu semata-mata menjadi kriterianya? Bagaimana pula dengan keadilan yang merupakan prasyaratnya? Mungkin ada yang mampu berlaku adil, tetapi saya rasa saya tidak. Adil bukan sekadar berbahagi-bahagi hari sesama isteri, adil juga dari sudut nafkah belanja, bagaimana pula saikolgi anak-anak?

Saya tidak bermaksud mahu menyinggung mereka yang sedang mengamalkannya, teruskanlah selagi mana anda memenuhi syarat-syaratnya. Saya yang tidak mampu lalu kerana itu saya menyuarakannya di sini. Melihat wajah gembira Mohamed Nor Awang di dada-dada akhbar berserta tiga isterinya, saya hairan bagaimana beliau mampu? Mungkin dari sudut batinnya beliau serba mampu, tetapi dari aspek yang lain?

Terus terang saya nyatakan kadangkala saya merasakan saya tidak dapat berlaku adil terhadap anak-anak saya sendiri, ada yang lebih saya manjakan, ada yang kurang. Malah terhadap isteri saya yang seorang pun kadangkala saya merasakan saya berlaku tidak adil kepada beliau, terlalu membebankannya, membiarkannya menguruskan hal anak-anak dan rumah sedang saya sibuk dengan tugas-tugas saya. Oleh itu bagaimana mereka yang berpoligami, anak-anak dari isteri-isteri yang lain, bagaimana dengan percutian, bagaimana dengan pakaian, bagaimana dengan belanja, memang saya tidak boleh bayangkan.

Nabi Muhammad saw sebagai penghulu dan pemimpin kita memang tidak siapa pertikaikan, jangankan terhadap isteri-isteri Baginda malah kepada umatnya, di bawah bimbingan Allah swt beliau memang adil. Tetapi siapalah kita berbanding Baginda?


Kalau dengan pendapatan RM1,500 sebulan Mohamed Nor dapat hidup dengan adil dan sakasama menanggung 3 isteri dan 18 orang anaknya serta mahu menambah pula seorang lagi isteri, bagi saya memang beliau insan luar biasa yang perlu dicontohi mereka yang lain. Tetapi jika tidak, saya merasakan beliau hanya menyalah-gunakan kelonggaran yang diberi oleh Islam, sekaligus memberi kesan yang buruk kepada agama.

Thursday, May 15, 2008

Sogok ahli Parlimen: Laporkan pada BPR

Pada bulan November tahun lalu Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah mengambil keterangan MB Kelantan Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz Nik Mat berikutan dakwaannya pernah disogok rasuah semasa mula-mula menjadi MB dahulu. Ini berikutan kenyataan Tok Guru mendedahkan perkara itu yang telah mendorong Ketua Pengarah BPR mengeluarkan kenyataan meminta Tok Guru membuat satu laporan BPR ataupun boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 17 Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Dalam akhbar THE STAR hari ini ahli Parlimen Kota Belud (Umno-BN) Rahman Dahlan mendedahkan bahawa ada pihak-pihak yang telah menawarkan beliau "big sum" atau sejumlah besar wang untuk melompat ke Parti Keadilan Rakyat, PKR.

Kata beliau pihak tersebut telah dua kali menghampirinya iaitu sekali minggu lepas dan sekali lagi pada minggu ini. Beliau tidak menyebut jumlah wang yang kononnya ditawarkan kepada beliau itu tetapi ianya jika diterima, konon-kononnya boleh menyenangkan dua ke tiga jenerasi kaum keluarganya.

Boleh atau tidak BPR bertindak ke atas ahli Parlimen ini?

Beliau mendakwa dirinya telah disogok, tetapi tidak pula membuat laporan BPR atau polis, mengapa BPR tidak sibuk-sibuk meminta beliau membuat laporan atau mengenakan tindakan kepada beliau di bawah Seksyen 17 akta yang dimaksudkan?

Seluruh rakyat menunggu-nunggu kemungkinan wakil-wakil BN melompat ke sebelah Pakatan Rakyat bagi memungkinkan ia memperolehi cukup kerusi untuk membentuk kerajaan Persekutuan yang baru. Tetapi kita tidak sekali-kali akan merestui sebarang usaha jual-beli untuk merealisasikannya. Lalu kalau benar Rahman Dahlan mahu, segeralah buat laporan agar mereka yang tidak bertanggungjawab disiasat dan didakwa ataupun jika fitnah, biar beliau yang menanggung padahnya.