Zaid meniti di atas bara
Sehingga kini siapa yang tidak kenal akan Zaid Ibrahim.
Ahli Parlimen Umno dari Kota Bharu ini memang sering melibatkan diri dalam tindak-tanduk dan aktiviti yang lazimnya dijauhi oleh umat Islam. Beliau gemar membabitkan dirinya dengan isu-isu kontroversial barangkali untuk menonjolkan dirinya sebagai juara yang berfikiran moderat dan liberal kononnya.
Sejahat-jahat atau senakal-nakal seorang Muslim pun ada perkara-perkara tertentu khasnya berkaitan dengan hukum dan aqidah yang tidak akan disentuh atau cuba-cuba diperlekeh dan dipermainkan.
Kerja-kerja melampau dan tidak sensitif seumpama ini biasanya hanya dilakukan oleh mereka yang benar-benar bermasalah dan mahu mencabar peraturan agama seumpama Salman Rashdie, Taslima Nasreen, Mustapha Kamal Atartuk dan Maharaja Akhbar.
Zaid yang merupakan kudis politik dalam Umno itu hari ini meneruskan agendanya setelah terlibat secara terbuka dalam Persidangan Meja Bulat anjuran DAP yang membincangkan isu Allahyarham Moorthy dan Perkara 121(1)(A) satu ketika dahulu dan baru-baru ini turut terlibat dengan kumpulan Artikel 11.
Hari ini dalam akhbar The Star dalam ruangan pembaca, Zaid menzahirkan pandangannya berkenaan kod pakaian seragam bagi pelajar perempuan di sekolah-sekolah kerajaan.
Mengulas kontroversi kes Pengetua Sekolah di SMK Abdullah Munshi baru-baru ini, Zaid berkata Menteri Pelajaran perlu:
Make clear what the permitted dress codes are and what issues concerning morality that teachers can impose on students.
Menjelaskan apakah kod pakaian sekolah yang dibenarkan dan apakah jenis-jenis peraturan akhlak yang boleh guru kenakan terhadap para pelajar.
Bagi Zaid sekolah adalah tempat dimana anak-anak kita menimba ilmu semata-mata sebagaimana yang ditetapkan oleh sukatan matapelajaran dan tidak lebih dari itu. Ianya tempat membuka minda pelajar dan bukannya menyemptikan kata beliau.
Saya percaya bagi Zaid menerapkan nilai-nilai keagamaan, khasnya dalam hal ini nilai-nilai Islam kepada para pelajar di sekolah, akan hanya menyempitkan minda anak-anak kita!
Bagi Zaid pematuhan terhadap agama dan moral adalah penting namun ianya adalah tanggungjawab ibu-bapa dan bukannya sekolah. Bagi beliau :
Certain things in life should be left to the individual students and their parents. One of them is, of course whether or not female students should wear the tudung.
Ada beberapa perkara dalam kehidupan ini yang perlu diselesaikan antara individu pelajar dengan ibu-bapa masing-masing, salah satu antaranya sudah pastilah samada seorang pelajar itu perlu menggunakan tudung kepala ataupun tidak.
Jangan kita terkejut dengan kenyataan Zaid ini kerana ini bukannya kali pertama beliau bersikap demikian yang sebenarnya hanya mencerminkan longgar dan dangkalnya pengetahuan dan ilmu agama beliau. Sebelum ini pernah dalam persidangan Parlimen yang lepas Zaid mencadangkan agar satu jenis judi baru dilesenkan untuk menampung kos perbelanjaan aktiviti sukan dalam Negara!
Kalau yang membuat kenyataan seumpama ini seorang pemimpin atau tokoh bukan Islam, mungkin beliau boleh dimaafkan kerana tidak memahami asas-asas hukum-hakam Islam. Akan tetapi apabila yang mengeluarkan kenyataan ini seroang ahli parlimen Melayu Islam, seorang bekas Ketua Umno Bahagian pula maka saya rasa ianya tidak boleh dibiarkan begitu. Pihak-pihak berwajib khasnya yang mengawal agama perlu bertindak.
Kalau atas Ashaari Muhammad dahulu kita berani bertindak kerana kononnya membawa ajaran Islam yang sesat lagi menyesatkan, bagaimana pula dengan Zaid ini?
Dalam hal ini kepentingan politik perlu kita ketepikan, sepatutnya semua pihak khasnya sahabat-sahabat dalam Umno perlu mendesak agar tidakan diambil terhadap Zaid ini, kerana kelonggaran dan kedangkalan ilmu Islamnya itu kelak akan merugikan semua pihak dan mencemarkan ajaran Islam yang sama-sama kita pegangi.
Bangkitlah wahai orang Kota Bharu!
No comments:
Post a Comment