Tahniah Datuk Paduka Hj Husam Musa
Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah kepada Hj Husam Musa, ahli EXCO kanan Kerajaan Negeri Kelantan yang juga ADUN Kijang di atas penganugerahan darjah Ahli Yang Kedua (Datuk Paduka) bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) yang membawa gelaran Datuk Paduka oleh Ke Bawah DYMM Al Sultan Kelantan sempena Hari Keputeraan Tuanku yang ke 56 semalam.
Naib Presiden PAS, yang juga lulusan Ekonomi dari Universiti Malaya itu sebelum ini pernah dilantik sebagai Setiausaha Akhbar kepada YAB MB Kelantan, dan kemudiannya Setiausaha Politik. Beliau pernah berkhidmat sebagai ahli Parlimen Kubang Kerian dengan rekod yang cemerlang sehinggalah memegang jawatan yang ada hari ini.
Sebagai seorang anak Kelantan yang sedang meningkat namanya dengan rekod bersih dan disegani ramai, saya kira pilihan Tuanku itu memang kena pada tempatnya.
Cuma adalah sahabat yang menegur mengapa seorang ahli EXCO Kanan negeri disenaraikan sebaris dengan Ketua Pemuda Umno Wilayah. Sepatutnya meritokrasi merupakan aspek penting yang diambil kira dalam hal penganugerahan bintang yang seumpama ini jika ianya benar-benar bermaksud mengiktiraf jasa dan sumbangan seseorang kepada Raja dan negeri.
Pernahkah kita mendengar Ketua Pemuda PAS atau DAP atau Keadilan negeri menerima anugerah Datuk dari mana-mana Raja-raja Melayu atau Yang Dipertua Negeri di negeri-negeri yang tidak dikuasai PAS?
Apa pun memang hak menganugerahkan bintang dan darjah kebesaran itu adalah hak istana, Daulat Tuanku!
No comments:
Post a Comment