Pemuda Umno: Masuk angin keluar asap
Menurut akhbar UTUSAN hari ini:
Biro Ekonomi dengan kerjasama Biro Penerangan, Pergerakan Pemuda UMNO menganjurkan Majlis Penerangan Isu-Isu Semasa di peringkat bahagian di seluruh negara bermula 18 Mac lalu sehingga 1 April ini.
Pengerusinya, Reezal Merican Naina Merican berkata dalam satu kenyataan di sini hari ini, majlis tersebut bertujuan memberi penjelasan dan pendedahan tentang beberapa isu terutamanya pengurangan subsidi minyak.
Apalah agaknya nak dijelaskan oleh kalangan Pemuda Umno itu?
Harga minyak naik 30 sen seliter, harga barangan dan perkhidmatan sedang dan akan naik (kecuali ayam itupun kerana bahana selsema burung), kos hidup semakin tinggi, gaji dan upah tak naik-naik.
Mungkin Pemuda Umno nak minta rakyat bersabar, terima hakikat, bersama berkorban demi kesejahteraan negara, mengubah cara hidup berdasarkan suasana yang ada.
Apakah rakyat mentah-mentah boleh terima penjelasan sedemikian?
Sedangkan pemimpin dan kerajaan berbelanja besar tanpa segan silu, tanpa pun menunjukkan sedikit pun perubahan.
Kempen-kempen kerajaan dilancarkan dengan bajet dan belanja besar-besar, kempen budi bahasa, kempen RTM Piala Dunia. Itu tak termasuk kempen dan promosi untuk Perlumbaan F1 baru-baru ini yang turut melibatkan makan malam mega dan persembahan Lionel Ritchie serta lain-lain kempen dan promosi yang bakal dilancarkan.
Dan rakyat di kampung dan bandar disuruh berjimat, gunakan perkhidmatan pengangkutan awam, sedang Menteri terbang ke sana ke mari menaiki helikopter yang kos minyaknya sahaja boleh mengangkut ratusan rakyat awam ke tempat kerja masing-masing.
Dan bagaimana pula rasuah dan pembaziran yang berlaku yang melibatkan kepentingan dan wang rakyat. Pihak Berkuasa Tempatan ataupun PBT berbelanja sesuka hati mereka tanpa kekangan dan kawalan.
Tong sampah MPPJ bernilai
RM1,000
PBT di Selangor umpamanya lebih berkuasa dari MB nya sendiri.
Rakyat diajak berkorban, berjimat dan bersederhana, tetapi PBT-PBT umpamanya membakar duit rakyat sesuka hati mereka. Di Majlis Perbandaran Petaling Jaya MPPJ baru-baru ini, didedahkan oleh akhbar THE STAR bagaimana tong-tong sampah versi terbaru di kawasan majlis perbandaran berkenaan dibikin dengan kos RM1,000 sebuah!
Itu belum lagi kita perkatakan darihal bagaimana ADUN DAP dari Sekinchan, Selangor yang membangkitkan dalam DUN Selangor betapa seorang ADUN Umno di Kelang telah membina sebuah mahligai peribadi dengan kos mencecah RM5 juta!
Rumah ADUN Umno Selangor
bernilai RM5juta
Lalu apa lagi yang nak didendangkan ke telinga rakyat?
Umno sebenarnya berhadapan dengan Krisis Keyakinan yang terbesar dalam sejarahnya bilamana rakyat sudah mula tidak yakin dengan kejujuran dan perjuangan mereka.Rakyat nak dikerah mengikat perut sedangkan perut mereka sendat dan tyidak ada tali yang mampu mengikatnya.
Pendedahan Tun Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh berkenaan alternatif lain yang sepatutnya digunakan oleh kerajaan bagi mengelakkan kenaikkan harga minyak yang membebankan rakyat jelata kini sudah sampai ke pengetahuan rakyat.
Mungkin menyedari hakikat ini maka Pemuda Umno dikerahkan turun ke bawah bagi membuat penjelasan kepada rakyat, solanya apa yang mahu dijelaskan?
Dan akhirnya dalam pada disuruh adjust lifestyle dan berjimat, kerajaan yang berwawasan ini mengumumkan pula penurunan harga kereta, boleh telan ke? Namun itulah dia kerajaan kita, yang pada saya akan terus dihantui dengan krisis keyakinan ini yang kelihatan tidak mudah akan reda dalam waktu yang terdekat ini.
Kalau datang Pemuda Umno apa harus kita lakukan? Katakanlah kepada mereka sebagaimana senikata lagu P.Ramlee dalam filem Bujang Lapok, lebih baik:
Masuk angin keluar asap (sajalah)
No comments:
Post a Comment