Friday, March 03, 2006

Apa ke jadahnya mahu berdemo

Suka tak suka perkara ini kini sudah menjadi kenyataan. Rakyat Malaysia dibebankan dengan satu hadiah baru iaitu peningkatan hampir 20 peratus harga minyak berkuat-kuasa minggu ini.

Belum pun terubat luka kenaikkan pada bulan Julai lalu kini rakyat terpaksa merawat luka yang baru. Pastinya luka-luka ini akan menjejaskan kehidupan mereka dan kaum keluarga.

Apa boleh buat, bukankah perkara ini berlaku kerana harga minyak mentah dunia yang naik? Kerajaan tidak ada pilihan dan rakyat perlu menerima hakikat ini.

Walaupun kita net exporter minyak mentah?

Memang kita net exporter tetapi kegunaan kita juga tinggi, kata mereka. Simpanan kita juga makin berkurangan, kata mereka. Jadi bila harga minyak mentah dunia naik maka kerajaan terpaksalah menaikkan harga minyak tempatan bimbang-bimbang nanti menjelang 2010 (sebagaimana dijelaskan oleh TPM Najib Tun Razak) kita bertukar menjadi net importer pula.

Kita tak boleh salahkan rakyat jika kebanyakkan mereka mempertikaikan kenyataan bahawa sepatutnya sebagai net exporter, naik harga minyak mentah dunia maka kita juga akan meraih keuntungan besar, tetapi sebaliknya apa yang dirasakan setiap kali harga minyak dunia naik, rakyat dicengkam dengan kenaikkan harga minyak dipasaran tempatan, aneh.

Saya menerima maklumat keadaan ini terjadi oleh kerana kerajaan telah menjual secara kehadapan (forward selling) sebahagian besar dari keluaran minyak tempatan dan dikontrakkan pada harga pasaran ketika itu yang jauh lebih rendah dari pasaran semasa. Pendek kata kerajaan terikat dengan harga lama dan kini bila harga dunia mencacak naik, walaupun kita net exporter namun kerana dah jual awal-awal maka kita turut terbeban dan beban inilah dipindahkan ke rakyat jelata!

Lalu apa kita boleh buat?

Memang sebagai rakyat jelata kita tidak ada pilihan kecuali menerima hakikat ini.

Tetapi sebagai sebuah negara demokrasi yang mengamalkan kebebasan bersuara dan berhimpun, kita boleh secara kolektif menyuarakan bantahan kita, sekurang-kurangnya menyampaikan mesej kepada kerajaan bahawa rakyat tidak larat dan tidak mampu lagi menerima kenaikkan kali ini serta impak dari kenaikkan itu kelak.

Kita boleh berhimpun secara aman beramai-ramai, biar kerajaan melihat, biar dunia melihat bahawa rakyat Malaysia tidak dapat menerima tindakan kerajaan mereka, bahaw rakyat Malaysia bermaruah dan berani bersuara mempertahankan hak mereka.

Biarkan himpunan ini menjadi isyarat kepada kerajaan untuk melakukan sesuatu jika tidak rakyat boleh bertindak secara lebih agresif lagi, iaitu dengan menghumban mereka keluar pada Pilihanraya Umum ke 12 kelak!

Kesimpulannya kita perlu akur bahawa bantahan secara sendiri-sendiri, setakat melepaskan geram pada kawan-kawan di gerai-gerai kopi atau di kantin, dimajlis kenduri, di padang golf tidak akan mendatangkan sebarang kesan. Yang pentingnya kini kita perlu berhimpun beramai-ramai bagi menyatakan bantahan kita, biar rintihan terbuka rakyat dilihat oleh pihak kerajaan.

Kita perlu berhimpun tanpa mengira fahaman politik, perbezaan agama atau kaum kerana ini isu bersama, ini masalah bersama. Kalau boleh Pergerakan Pemuda Parti Gerakan, satu-satunya parti komponan BN yang berani menyatakan secara terbuka bantahan mereka di media juga turun berhimpun bersama. Termasuklah kawan-kawan ahli-ahli biasa Umno, MCA dan MIC yang juga tidak terkecuali dari kesan kenaikkan harga minyak ini.



Bila dan di mana?

Ayuh kita berhimpun hari ini di hadapan Menara Berkembar KLCC (Mercu PETRONAS) jam 2 petang HARI INI Jumaat 3 Mac untuk sama-sama kita menaruh saham secara terbuka dalam membantah kenaikkan yang menghimpit kehidupan kita bersama.

Jumpa anda di sana!

No comments: