Mengapa ghairah mahu mempertahankan Makyung
Kerajaan PAS yang diberi mandat oleh rakyat memerintah Kelantan sejak tahun 1990 tidak pernah mendapat simpati atau sokongan Umno atau Barisan Nasional dalam apa hal sekalipun walaupun apa yang ia lakukan itu mungkin berasas dan untuk kebaikan rakyat.
Umno memandang PAS bagaikan pariah yang tidak wajar diberikan pengiktirafan apa lagi disokong. Kerana itulah dalam hal-hal tertentu kerajaan negeri Kelantan memang tak dapat banyak berharap atau bergantung kepada kerajaan Persekutuan yang diterajui Umno walaupun pada asasnya kedua-kedua kerajaan didominasi oleh orang-orang Melayu Islam.
Isu Makyung contohnya adalah satu bukti terbaik. Isu ini terpacul sekali lagi apabila baru-baru ini Kumpulan Warisan Seni Temenggung II pimpinan Saari Abdullah terpaksa mengadakan persembahan Makyung secara tersembunyi selepas persembahan itu dihalang oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI). (Ahad lalu sekumpulan pelajar Sekolah Media dan Persembahan, Kolej Universiti Sunway yang berhasrat menonton makyung bagi menyiapkan kerja kursus mereka kecewa apabila persembahan itu diarah oleh pihak berkuasa agar ia dibatalkan)
Mengapa MPKB-BRI engan memberi permit? Khabarnya penganjur walaupun dikatakan akan mengadakan persembahan tertutup tetapi telah menampal iklan sekeliling kampung menyatakan akan penganjuran majlisnya. Sejak PAS memerintah Kelantan, seni tarian warisan kerajaan Siam ini telah diharamkan untuk tontonan umum.
Mengapa ianya diharamkan?
Inilah bab yang perlu kita kaji terlebih dahulu sebelum kita membuta berjuang bermatian untuk mempertahan dan mengizinkannya. Kerajaan PAS Kelantan mengharamkan seni tari ini oleh kerana wujudnya unsur-unsur yang bertentangan dengan akidah yang diamalkan oleh seni ini. Adanya unsur pemujaan contohnya Lagu Mengadap Rebab, lagu yang mengiringi tarian pembukaan dalam sebarang pertunjukan Mak Yong yang dikatakan mempunyai unsur pemujaan terhadap alam dan gejala alam.
Pengharamannya dibuat atas alasan mahu memelihara akidah umat Islam. Ianya bukan kerana politik atau mempunyai niat jahat.
Malah kalau kita tinjau website Akademi Seni Kebangsaan jelas unsur-unsur mistik hadir dalam persembahan seni ini iaitu:
The word makyung is believed to be derived from mak hiang (spirit of the paddy) and the makyung performance is said to be connected to rituals concerning the spirit of the paddy.
Istilah makyung dipercayai berasal dari perkataan mak hiang ataupun semangat padi, dan persembahan makyung dikatakan berkait dengan upacara menyembah semangat padi itu tadi.
Dan kalau kita ke laman:
http://www.quangduc.com/English/WorldBuddhism/14malai.html
Di dalam artikelnya Buddhism in Malaysia, Yeap Tor Hor dan Kerry Trembath menulis:
The shadow play or wayang kulit and dance forms such as menora and makyung are all testimonies that Buddhism was once a powerful religious and cultural influence in Malaysia.
Permainan wayang kulit dan persembahan tarian seperti menorah dan makyung adalah bukti betapa kuatnya Buddha sebagai sebuah agama dan pengaruh budaya di Malaysia satu ketika dahulu.
Dalam akhbar UTUSAN hari ini Pengarah Tourism Malaysia Negeri Sembilan, Hishamuddin Mustaffa berkata:
Makyong merupakan satu persembahan yang cukup menarik, indah dan penuh kesopanan dan tindakan mengharamkan persembahannya di negeri ini (Kelantan) oleh kerajaan negeri masih boleh dipersoalkan.
Menurut laporan pihak Kementerian Pelancongan akan berusaha untuk mengekalkan dan mengembangkan makyung sebagai kesenian warisan bangsa dengan membawanya keluar dari Kelantan yang telah mengharamkan persembahannya.
Kalau upacara khurafat dan tahyul seumpama Mandi Safar dan lain-lain tarian yang memuja unsur mistik telah kita kikis dari budaya kita mengapa dalam soal makyung ini yang jelas bertentangan dengan Islam mahu kita pertahankan. Adakah kerana kita benci pada kerajaan PAS Kelantan atau memang kita redha dengan unsur-unsur yang menyesatkan itu?
Sesungguhnya bangsa Melayu kaya dengan banyak lagi unsur budaya yang tidak bertentangan dengan Islam, mengapa kita mau memilih yang sebaliknya. Pihak kerajaan Pusat atau Umno dalam hal ini boleh sahaja meminta pandangan dan fatwa dari Majlis Fatwa Kebangsaan untuk meredakkan pertikaian. Saya yakin dengan kehadiran perkara-perkara yang disebutkan di atas, kecualilah makyung itu di overhaul dan diberi nafas baru, semua ulamak yang berwibawa akan menolaknya tanpa syak wasangka lagi.
Dikir barat dan wayang kulit yang telah diberi nafas baru telah pun dibenarkan kembali persembahannya di Kelantan, oleh itu bagi makyung, para pengamal dan penajanya perlulah akur akan hukum dan peraturan Islam serta melakukan perubahan-perubahan yang munsabah demi memelihara survival mereka. Yang jelas unsur dari amalan yang ada bertentangan dengan Islam bukan kerana PAS kata tetapi kerana demikianlah hakikatnya menurut Islam.
No comments:
Post a Comment