Friday, March 10, 2006

Protes aman rakyat dikasari pihak polis



Sebagaimana minggu lalu sekali lagi rakyat jelata berhimpun di hadapan Menara Berkembar KLCC kerana membantah isu kenaikkan harga minyak yang telah diumumkan oleh kerajaan PM Dollah Badawi.

Protes yang bermula dengan perarakan umat Islam yang baru selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid as Syakirin KLCC itu menjadi himpunan besar rakyat berbagai kaum apabila bertemu antara yang tiba dan yang menunggu di hadapan KLCC tepat jam 2.30 petang.



Kali ini perhimpunannya lebih bercorak Malaysian apabila kelihatan sekumpulan besar rakyat dari bangsa Cina dan India dari kalangan lelaki dan wanita turut berhimpun bersama-sama saudara mereka yang berbangsa Melayu.

Motto protes kali ini sebagaimana diterangkan oleh Timbalan Presiden PAS Ustaz Nasharuddin Mat Isa adalah: PROTES SAMPAI TURUN.



Seperti biasa para pemimpin dari pelbagai parti dan NGO telah mengambil kesempatan berucapa dihadapan mereka yang berhimpun yang berjumlah lebih 2,000 orang itu. Antara yang berucap selain Ustaz Nasha adalah Dr Mohd Nasir dari PSM, Tian Chua dari Parti Keadilan Rakyat, Dr Siti Mariah Mahmud, Hj Muhammad Sabu, Ronnie Liu dari DAP, YB Salahuddin Ayob ahli Parlimen Kubang Kerian dan Datuk Paduka Ibrahim Ali.

Pihak polis seperti biasa dengan pasukan FRUnya telah bersiap sedia diperkarangan KLCC.

Selesai bacaan doa oleh Ustaz Nasha, mereka yang berhimpun diajak berarak dan bersurai secara aman di hadapan Hotel Concorde di Jalan Sultan Ismail seperti pada minggu lalu.


gambar Agendadaily

Walaubagaimanapun kali ini pihak polis mula bertindak kasar. Tanda-tanda awalnya apabila ada pihak yang cuba menahan perarakan dari menyusuri Jalan Ampang ke Jalan Sultan Ismail. Dari situ kelihatan trak water canon FRU bergegas melawan arus menuju kea rah kumpulan yang berarak itu.

Setibanya dihadapan persimpanagan Jalan Ampang dan Jalan Sultan Ismail trak FRU yang membawa water canon telah melepaskan pancutan air bergasnya kea rah mereka yang berhimpun. Tanpa mengindahkan wanita, orang tua dan kanak-kanak yang turut berada dalam perhimpunan itu, pihak polis telah bertindak kasar dan tanpa perikemanusiaan sedangkan perhimpunan aman itu telah terbukti bejaya bersurai tanpa sebarang kekecohon minggu lepas.

Apa yang mendorong pihak polis bertindak sedemikian rupa ke atas rakyat yang tidak berdoasa masih menjadi tanda-tanya. Apakah kerajaan Dollah Badawi bimbang pada suara dan tuntutan rakyat? Minggu lepas kecuali sebuah akhbar Cina, tidak ada sebuah pun akhbar Melayu atau yang berbahasa Inggeris yang menyiarkan berita perhimpunan rakyat ini. Dan sudah barang pasti kali ini juga kita jangka kekangan yang sama akan dikenakan terhadap akhbar-akhbar tempatan.

Pada hari Ahad 26 Mac kelak, difahamkan suatu perhimpuna yang lebih besar akan dianjurkan sekali lagi di hadapan KLCC. Kali ini perhimpunan adalah anjuran MTUC ataupun Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia yang akan turut disertai oleh parti-parti politik dan NGO yang prihatin.

Ayuh kita keluar beramai-ramai bersama anak-isteri pada hari tersebut. Kita lihat apakah pihak polis akan diarahkan lagi menalakan senjata anti rusuhannya ke arah rakyat Malaysia yang berhimpun semata-mata kerana mahu mendesak kerajaannya menurunkan harga minyak yang membebankan penghidupan mereka termasuklah anggota FRU yang bertugas.

Ayuh kita PROTES SAMPAI TURUN!

No comments: