Monday, March 27, 2006

Wira-wira Protes Sampai Turun

Untuk kesekian kalinya rakyat jelata mengadakan perhimpunan membantah kenaikkan harga minyak yang bagi mereka teruk mendera dan menjejaskan kehidupan mereka masing-masing.


Wira-wira PROTES SAMPAI TURUN
diseret polis (gambar HARAKAH)

Kenaikkan 30 sen seliter itu terlalu berat untuk ditanggung dan dipikul oleh rakyat lantaran itulah rakyat keluar ke jalanraya bagi menyatakan bantahan dan sikap mereka setelah pihak kerajaan sengaja memekakkan telinga.

Semalam bantahan di hadapan Menara Berkembar KLCC telah dianjurkan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia MTUC dan turut disertai oleh parti-parti politik dan NGO. Maka turunlah rakyat jelata dengan anak-isteri dan kaum keluarga masing-masing.


Dr Hatta, Amirah dan Atiqah
(gambar PERAKAN)

Rupa-rupanya di hari cuti hujung minggu itu, dalam keadaan lalu-lintas yang tidak sesesak hari bekerja biasa, pihak Polis entah kenapa tiba-tiba merasakan perhimpunan aman rakyat itu suatu ancaman kepada keselamatan awam dan mereka telah bertindak terhadap yang hadir seolah-olah mereka yang hadir itu umpama perusuh yang ganas dan liar.

Pihak polis telah menggunakan water canon dan merempuh mereka yang hadir dengan belasahan dari belantan dan asakkan dari anjing-anjing dan kuda-kuda mereka.


Aiman Athirah diberkas Polis
(gambar PERAKAN)

Seramai 22 orang aktivis telah ditangkap. Antaranya Dr Hatta Ramli, Bendahari PAS Pusat berserta dua orang anak perempuannya Amirah 9 tahun dan Atiqah 17 tahun. Turut ditangkap adalah AJK Dewan Muslimat PAS Pusat Aiman Athirah.

Bagi saya apakah rasional pihak Polis bertindak sedemikian rupa terhadap warganegara Malaysia yang berprotes secara aman, tanpa sedikit pun mencetuskan ketegangan, rusuhan ataupun kerosakkan kepada hartabenda awam? Dalam sekelip mata sahaja rekod pihak Polis yang cuba dipulihkan setelah beberapa kejadian yang menjadi cemuhan awam menjadi kembali buruk dan hitam sehitam-hitamnya.

Semasa pertama kali bantahan serupa ini dilakukan di hadapan KLCC dahulu serta bantahan di hadapan Wisma Denmark terdahulu dari itu, ramai kagum dengan kematangan dan sikap professional pihak Polis dalam mengawal keadaan. Kita boleh bandingkan dengan negara-negara jiran dimana protes yang melibatkan ratusan ribu rakyat jelata dibiarkan berjalan di bawah pengawasan pihak keselamatan mereka tanpa sedikit pun perlu bertindak biadap dan kasar terhadap rakyatnya sendiri.

Saya malu dengan tindakan pihak Polis semalam, dan saya pasti rakyat jelata juga rata-rata turut malu. Sudah pasti berita buruk dan memalukan ini telah pun sampai ke telinga dunia dan akan hanya memburukkan rekod hak asasi Malaysia di mata dunia yang tak seberapa baik itu.

Tahniah kepada mereka yang berani menyuarakan hak rakyat. Tahniah kepada adik Amirah selaku tahanan termuda PROTES SAMPAI TURUN.

Ayuh seluruh rakyat jelata yang prihatin dan insaf, kita teruskan protes ini ayuh kita terus PROTES SAMPAI TURUN!

No comments: