Selamat Hari Wanita Sedunia
Selamat Hari Wanita sedunia kepada semua kaum Hawa.
Allah swt menjadikan kaum Hawa begitu istimewa dan begitu besar peranannya dalam salasilah kemanusiaan. Bagi saya antara wanita yang begitu besar peranannya yang telah Allah kirimkan ke umat manusia disamping Hawa adalah Hajar ibu kepada Ismail a.s, Maryam ibu Isa a.s, Khadijah r.a isteri Rasulullah saw dan Fatimah Zahrah binti Rasulullah saw.
Peranan mereka ini jauh tersasar dari pandangan kalangan chauvinist lelaki (tak kiralah dari apa kaum atau kepercayaan) yang menganggap wanita cuma sesuai untuk digunakan sebagai pelepas nafsu dan penyedia serta penghidang makanan dan peghias rumah.
Hajar umpamanya kalau kita kaji peranannya merupakan wanita yang bertanggungjawab membuka dan memajukan Kota Mekah. Apalah Mekah tanpa wanita ini, yang telah menemui telaga Zam-zam bersama Puteranya Ismail. Wanita cekal yang berdikari dan akhirnya melahirkan satu tamaddun.
Khadijah umpamanya berperanan menghiburkan hati, memupuk semangat dan melindungi sumainya yang akhirnya dinobatkan sebagai Nabi akhir zaman. Tatkala Muhammad saw dalam ketakutan dan kebingungan, Khadijah dengan izin Allah lah yang telah menenangkannya dan manusia yang pertama memperakui ke nabiannya.
Fatimah pada usia yang muda berhadapan dengan musuh-musuh Allah, Abu Jahal dan Abu Lahab yang telah bertanggungjawab sehingga tercurahnya najis di atas tubuh Baginda ketika bersolat di hadapan Kaabah. Fatimah menggantikan ibunya membakar semangat dan menghiburkan hati Baginda. Bersusah dan berkorban lantaran taat dan patuhnya pada Allah dan Rasul.
Kita semua memandang tinggi dan mengkagumi wanita-wanita besar ini, bukan kerana paras tubuhnya, bukan kerana kecantikannya (walaupun mereka mungkin demikian) tetapi lebih kerana kecekalan, ketabahan, keberanian dan sumbangan besar mereka terhadap Islam.
Saya jemu apabila sahaja isu wanita dibangkitkan maka persepsi biasa kaum lelaki (sebahagiannya) adalah pada keindahan dan tubuh badan mereka semata-mata. Sehingga ada yang lebih gemar membincangkan isu kahwin dua, tiga dan empat, dari menghargai dan menghormati wanita seumpama kita menghormati Hajar, Khadijah dan Fatimah.
Benarlah Islam membenarkan lelaki yang berkemampuan berkhawin sehingga empat, tetapi mengapa bab itu sahaja yang menarik minat kita apabila membincangkan isu wanita? Mengapa tidak mebicarakan kemampuan kita menegakkan keadilan dalam hal itu, mengapa tidak membincangkan kesediaan kita, isteri kita dan penerimaan anak-anak apabila kita membuat keputusan untuk beristeri lebih dari satu?
Sesungguhnya wanita lebih besar peranannya dari dijadikan isteri kedua atau ketiga atau keempat semata-mata.
Bagi saya dua wanita yang paling saya hormati secara peribadi dalam hidup saya adalah ibu dan isteri saya. Ibu yang melahir dan bersusah membesarkan saya tidak terbayar oleh saya jasa dan ketabahannya itu. Ibu sudah tentu telah berjaya membesarkan saya sehingga seadanya saya hari ini, tetapi saya sendiri belum tentu mampu memeliharanya sebagaimana yang telah beliau lakukan terhadap saya ketika kecil dahulu.
Demikian juga isteri yang telah bersama bersusah dan bersenang dengan saya. Bersama membesarkan anak, berkorban untuk kesenangan keluarga, menghambakan diri untuk kami sekeluarga tanpa kenal penat dan letih.
Mengenangkan jasa kedua-dua insan yang saya kasihi ini memungkinkan saya tidak tergamak melakukan sesuatu yang bakal menghiris dan melukai hati mereka, walaupun kadangkala saya mungkin terlupa. Kesimpulannya dalam mengenangkan Hari Wanita Sedunia ini, bagi saya tiba masanya untuk kita meletakkan wanita pada kedudukannya yang sebenar. Hormatilah mereka, berikanlah hak mereka dimana yang perlu dan jangan sekali-kali kita atas dorongan nafsu semata-mata meluka dan menghancurkan hati mereka.
Salam penghargaan dan hormat dari saya kepada seluruh kaum Hawa.
No comments:
Post a Comment