Wednesday, March 01, 2006

Harapkan Umno memantau Ali Baba

Apabila kita menggunakan istilah Ali Baba, siapakah sebenarnya Ali Baba yang dimaksudkan itu? Ali Baba dengan 40 Orang Penyamun adalah dongeng dizaman Baghdad silam, tetapi isitlah Ali Baba yang lazim digunakan pada hari ini tidak pula merujuk kepada karekter Ali Baba Baghdad itu walaupun pada dasarnya kedua-duanya adalah penyamun juga.

Dalam UTUSAN hari ini Ketua Penerangan Umno yang baru sahaja dinobatkan oleh Presiden Umno, Dollah Badawi dengan gelaran dan kuasa Senator, iaitu Muhammad Muhd Taib dilaporkan berkata bahawa: UMNO akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi memantau projek dan peluang yang ditawarkan oleh kerajaan kepada Bumiputera di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).



Tujuan pemantauan ini menurut Muhammad adalah bagi memastikan projek-projek kerajaan hanya diberikan kepada syarikat Bumiputera yang tulen, bebas daripada sebarang bentuk ketirisan dan penyelewengan.

Kata beliau lagi, kita tidak mahu lagi melihat kegagalan yang berlaku seperti sebelum ini apabila lesen, permit atau projek ditawarkan kepada syarikat Bumiputera diusahakan oleh syarikat bukan Bumiputera. Katanya ini merupakan elemen negatif, yang sering berlaku sebelum ini termasuk semasa pelaksanaan DEB.

Siapakah sebenarnya Ali Baba ini kalau bukan penyamun Baghdad?

Semasa berucap merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakkan Pemuda Umno tahun lalu, Timbalan Presiden Umno Najib Tun Razak ada menyebut berkenaan Ali Baba ini, katanya:

Kita menghadapi masalah sikap mahu cepat kaya, tetapi tidak mahu berusaha. Peluang yang diberikan kerajaan dijual dengan begitu mudah dan murah, untuk mendapat hasil yang cepat walaupun sedikit.

Istilah biasa sikap ini dipanggil Ali Baba.

Ada yang mengatakan kerana mahu membayangkan hubungan perniagaan yang songsang antara peniaga Melayu yang dikurniakan lesen atau projek dengan peniaga Cina (atau apa sahaja bangsa yang bukan Melayu) yang berbekalkan modal itu maka Ali yang dimaksudkan merujuk kepada si Melayu manakala Baba (sebagaimana Baba Melaka) merujuk kepada si Cina.

Sinergi ini songsang kerana si Melayu atau si Ali tadi biasanya kerana memiliki pengaruh politik telah memperolehi lesen atau projek walaupun tak bermodal dan pengalaman. Si Cina atau si Baba biasanya menjejaki si Ali kerana isyarat yang diberikan oleh pihak tertentu biasanya yang mempunyai kedudukan dan berjawatan tinggi. Maka kerana pengalamannya berniaga si Baba tadi akan sanggup mengeluarkan modal dan membiayai lesen atau projek bagi pihak si Ali.

Tetapi si Baba akan mengenakan syarat, biasanya si Ali sekadar diberi habuan one off (sekali dapat) dan kemudiannya keuntungan besar akan dikaut bulat-bulat oleh si Baba. Kalau kontrak yang dimaksudkan membawa laba jutaan ringgit maka si Baba sehingga sanggup memberi ongkos one off kepada si Ali, disamping hadiah-hadiah mewah lain termasuklah kereta besar, rumah besar dan lain-lain.

Si Ali kadangkala tiada terlibat langsung dengan projek, sekadar memanaskan kerusi dan diheret ke tengah bila perlu. Lain dari itu Si Baba lah yang kaut manakala si Ali duduk selesa goyang kaki sambil berjoli dengan kekayaan segera yang melimpah.

Dan kini Umno sebagaimana kata Mat Taib mahu memantau dan memastikan perkara seumpama ini tidak lagi berlaku dalam Rancangan Malaysia ke 9.

Kalau berdasarkan huraian di atas kelompok lain tidak mampu mencetuskan sinergi songsang Ali Baba ini kecuali mereka yang berkuasa. Dan sebagaimana kita tahu yang berkuasa dalam Negara pada hari ini adalah Umno iaitu tulang belakang kepada komponan BN. Maka sindrom Ali Baba ini adalah penyakit warisan Umno dan lantaran itu memang layaklah Umno sendiri yang memantau dan mengawal (jika mampu) penyakit yang menyerang sesama mereka itu.

Soalnya mampukah Umno merawatnya?

Saya tidak pasti, namun secara jujur saya berharap demi martabat bangsa dan agama, mudah-mudahan penyakit puaka ini akan mampu dibunuh. Mudah-mudahan tiada lagi kontrak anak bangsa diserahkan kepada bukan Melayu, yang menandatangan kontrak si Ali tetapi yang mengeluar modal dan menjalankan kerja dan akhirnya mengaut untung adalah si Baba. Saya berdoa semoga hapuslah segala penipuan ini walaupun saya sendiri sebenarnya tidak berapa yakin dengan barisan tabib-tabibnya.

Ketidakyakinan ini didorong apabila melihat yang membuat pengumuman itu adalah Mat Taib sendiri. Sukar kita mahu melupakan bahawa dalam kes PP vs Tan Sri Muhammad Muhd Taib (Criminal Trial 45-28-98) yang melibatkan Mat Taib, kita pernah mendapat tahu bahawa nilaian harta yang Mat Taib pernah isytiharkan sebagai kepunyaannya adalah sebanyak RM30.831 juta(iaitu tidak termasuk tanah dan pegangan sahamnya)!

Kalau MB Selangor dari Umno yang asalnya seorang Guru boleh mengaut harta sebegitu besar jumlahnya dalam masa yang begitu pendek, apalah nak diharapkan pada pagar, kerana padi yang melata memang merupakan makanannya.

No comments: