Wednesday, March 22, 2006

Mahathir tolak Islam Hadhari

Berita ini bukan diambil dari akhbar Harakah, bukan juga Suara Keadilan tetapi ia diambil dari sebuah akhbar tabloid BEBAS yang memaparkan di mukadepan keluaran bulan Macnya dengan tajuk:

Tun Mahathir tolak Islam Hadhari

Pengarang akhbar tersebut, seorang penulis politik veteran, Yahya Ismail telah sempat menemuramah bekas PM Tun Dr Mahathir Mohammad berkenaan dengan konsep Islam Hadhari yang telah dicipta oleh PM Dollah Badawi sejak menjadi PM mengantikan Tun Dr M.



Menurut akhbar tersebut Tun Dr M berkata:

Tidak ada Islam Hadhari atau Islam Syiah atau Islam Wahabbi yang diturunkan Allah. Allah hanya mewahyukan al Quran kepada Nabi Muhammad saw dan inilah pegangan seluruh umat Islam sejak dulu hinga ke akhir zaman.

Kekuatan ummah terletak pada pegangannya yang kukuh terhadap al Quran dan Hadis dan bukan memuja dan memuji pemimpin-pemimpin yang membawa berbagai aliran agama yang lebih menonjolkan kepentingan politik mereka.

Yahya Ismail menulis:

Walaupun Mahathir tidak menjadi imam atau membaca doa tetapi beliau disanjung tinggi oleh para pemimpin Islam sedunia dan juga pemimpin-pemimpin Barat sebagai pemimpin Islam yang berjaya membawa kemajuan kepada negara dan rakyat.

Saya kira Yahya menanggung risiko yang besar membawa tajuk ini dalam akhbarnya setelah hampir setahun akhbar ini tidak dapat dikeluarkan. Namun demikianlah lakunya seorang yang cinta dan berani kepada kebenaran.

Malah dalam sidang pengarangnya, beliau menulis:

Kalau kerajaan Pak Lah meletakkan kepentingan rakyat di atas kepentingan peribadi, keluarga dan sahabat handai BEBAS akan menjulang tinggi kepimpinannya. Sekiranya Pak Lah menggagalkan hasrat rakyat maka janganlah rampaskan permit BEBAS kalau akhbar ini menegurnya.

Apa yang diperkatakan oleh Tun Dr M dirakamkan sendiri oleh akhbar ini, soal ada pihak setuju atau pun tidak itu soal kedua. Yang pentingnya kenyataan ini merupakan kenyataan seorang bekas PM, bekas boss Dollah Badawi, bekas pemimpin tertinggi Umno.

Demikianlah al kisahnya keberanian dan kejujuran Tun Dr M, Yahya Ismail dan BEBAS. Sebagaimana bunyi baris terakhir ruangan sidang pengarang akhbar BEBAS:

Hanya pemimpin yang takut pada baynag-bayangnya sahaja yang melihat hantu dan jin pada setiap kata dan gerak yang tidak sehaluan dengannya.

No comments: