Tuesday, March 28, 2006

Bila Menteri secara terbuka perlekehkan rakyat

Kenaikkan harga minyak RM0.30 sen tempoh hari yang merupakan kadar kenaikkan tertinggi dalam sejarah Malaysia sudah pasti menghiris dan membelah kalbu rakyat lantaran kos besar yang terpaksa ditanggung oleh mereka.

Kerajaan telah pun membuat keputusan dan pengumuman. Sebagaimana hak yang ada pada kerajaan untuk berbuat demikian, rakyat juga memiliki hak menerima atau membantah kenaikkan tersebut.


Belon-belon hitam yang dilepaskan
ke udara Ahad lepas simbolik kenaikkan
harga minyak dan rintihan rakyat

Mungkin bagi mereka yang menerimanya penjelasan pihak kerajaan cukup memuaskan hati mereka dan mereka dapat hidup tanpa sedikit pun terasa terjejas dengan kenaikkan kos itu. Itu hak mereka. Namun bagi mereka yang tidak berpuas hati, sudah pasti berhak menyuarakan keresahan mereka itu menurut cara yang mereka yakini berkesan perlu juga dihormati.

Dalam hal ini sistem demokrasi dan hak asasi manusia sebagaimana terpahat dalam undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Malaysia Merdeka menyediakan ruang untuk berkumpul dan bersuara bagi mana-mana warganegaranya yang merasakan perlu berbuat demikian.

Kerajaan yang tidak bersedia menerima rintihan rakyat seumpama ini adalah kerajaan yang tidak yakin, tidak percaya dan tidak menghormati sistem demokrasi dan Perlembagaan yang dibentuknya sendiri!

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz semasa mengulas demonstrasi memprotes kenaikkan harga minyak yang dianjurkan oleh MTUC dan parti-parti politik serta NGO sebelum itu dipetik sebagai berkata dalam THE STAR:

You can demonstrate until the cows come home, but the Government will not withdraw the subsidy reduction

Sekiranya lembu pulang ke kandang sekalipun anda boleh terus berdemonstarsi, namun kerajaan ntidak sekali-kali akan menarik-balik pengurangan subsidi (yang diumumkan).

Demikianlah bongkak dan sombangnya kenyataan seorang Menteri yang mewakili kerajaan Malaysia yang dikatakan sedang pesat membangun, Pengerusi NAM dan OIC itu. Kalau perumpamaan seumpama itu dikeluarkan oleh seorang pemimpin dari negara otokratik umpama Korea Utara, Cuba atau negara-negara mundur di Afrika, barangkali ianya tidak diambil kira, tetapi apabila dikeluarkan oleh seorang Menteri negara kita, maka lumpurnya terpalit di wajah semua wargangera Malaysia.

Bagi saya sebenarnya pemimpin yang tidak dapat menerima dissent ataupun bantahan dari rakyatnya sendiri dengan lebih terbuka dan rasional samalah dengan lembu yang Nazri ambil contoh itu (kasar nampaknya). Menyondol dan mengunyah samada dipukul atau dibiarkan asalkan perut kenyang dan hati senang.

No comments: