Rakyat Sarawak telah bersuara
Setakat yang saya sendiri terima diwaktu ini BN Sarawak telah menang di 62 kerusi manakala pembangkang dan Bebas berjaya di baki 9 kerusi (termasuklah PKR yang berjaya mencipta sejarah menang 1 kerusi di N9 Padungan).
Ini menunjukkan yang hasrat Ketua Menteri Sarawak Taib Mahmud untuk meraikan hari ulangtahun kelahirannya esok dengan perayaan besar-besaran tidak dapat dicapai. Betul beliau tetap dapat meraikannya namun tidaklah semeriah mana kerana hajatnya untuk melihat BN Sarawak menyapu bersih kesemua 71 kerusi tidak kesampaian.
Jika pada pilihanraya yang lepas DAP dan Bebas masing-masing menang 1 kerusi kali ini pembangkang dan Bebas berkongsi 9 kerusi.
Dari maklumat yang diterima rata-rata kemenangan pembangkang dan Bebas ini diperolehi dengan sokongan besar pengundi Cina. Isu-isu yang melibatkan ekonomi, kenaikkan harga minyak dan barangan serta kos hidup yang semakin tinggi (dengan kadar inflasi mencecah 4.8 peratus) nampaknya lebih menarik minat para pengundi Cina berbanding dengan pengundi-pengundi lain yang barangkali tidak melihat kesannya terhadap cara hidup masing-masing.
Dari keputusan yang diterima juga kita melihat pembangkang turut tewas tipis dibeberapa kerusi contohnya di N30 Saribas, Parti Keadilan Rakyat tewas dengan cuma 94 undi. Calon PAS tewas 895 undi di Beting Maro (kerusi tuunggal yang ditandingi PAS).
Kesimpulannya dalam kekangan dan kongkongan iaitu antara yang terburuk dalam sejarah pilihanraya di Malaysia ini,rakyat masih dapat mencuri ruang dan peluang untuk bersuara dan menyatakan pendirian mereka. Bayangkan jika BN tidak mengeksploitasi jentera kerajaan dan media perdana, bayangkan jika BN tidak menjajakan janji-janji pembangunan, saya yakin diketika itu Taib mungkin akan melupakan langsung hari ulangtahunnya itu!
Apa pun kita seharusnya menghormati keputusan rakyat. Kerajaan negeri seharusnya menjalankan tugas dan melaksanakan janji-janji mereka tanpa diskriminasi. Kepada yang berjaya sebagai pembangkang maka jalankanlah tugas mereka sebagai pembangkang yang berdedikasi.
No comments:
Post a Comment