Wednesday, May 24, 2006

JAIS bertindak ke atas bekas Imam Masjid Negara

Pihak Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bersama beberapa orang anggota Polis telah menyerbu Surau Taman Meru Indah,Kapar pada hari Sabtu 20 Mei lalu bagi tujuan menangkap bekas Imam Besar Masjid Negara, Ustaz Taib Azamuddin atas tuduhan kononnya memberikan ceramah tanpa tauliah.

Menurut laporan program kuliah Maghrib di surau tersebut telah dianjurkan oleh para penduduk tempatan dan kehadiran pada malam itu dianggarkan sekitar 300 orang.



Adalah difahamkan pihak JAIS telah bertindak ekoran tekanan yang dikenakan oleh pihak pimpinan Umno tempatan.

Menurut mereka yang hadir pihak Penguatkuasa JAIS yang diketuai Ustaz Abd Wahab itu telah bertindak dalam keadaan sungguh tidak bersopan dengan mengeluarkan kata-kata seolah-olah Ustaz Taib bagaikan seorang penjenayah besar. Tindakan kasar dan biadap pihak JAIS itu sungguh dikesali oleh para penduduk tempatan yang rata-rata telah enggan menyerahkan Ustaz Taib untuk dibawa ke Balai Polis berhampiran untuk ditahan.

Menurut mereka lagi Ustaz Taib sebenarnya memiliki tauliah seumur hidup yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). Sepatutnya atas sifat beliau sebagai bekas Imam Masjid Negara serta pemegang tauliah dari JAWI, pihak JAIS menghormati status dan kedudukan itu dan tidak menganggapnya sebagai penjenayah.

Ramai dikalangan yang hadir turut kesal kerana pihak JAIS kelihatan seolah lebih ghairah dan lebih berminat untuk mengambil tindakan ke atas seorang ulamak yang diiktiraf dan dihormati masyarakat dari menjalankan kerja-kerja nahi mungkar yang lebih meruncing dan berkembang biak di negeri Selangor sejak akhir-akhir ini.

Pihak penguatkuasa JAIS dan Polis itu akhirnya telah meninggalkan tempat kejadian apabila gagal mendapatkan kerjasama penduduk tempatan yang enggan menyerahkan Ustaz Taib kepada mereka. Pihak JAIS tersebut walaubagaimanapun telah menyatakan bahawa mereka akan susuli tindakan mereka itu dengan saman yang akan difailkan terhadap Ustaz Taib nanti.

Apa nak jadi Selangor ni agaknya? Masyarakat semakin longgar dan runtuh akhlaknya tetapi JAIS yang ditindik hidungnya itu sibuk nak menahan dan menangkap ulamak yang memberi ilmu dan kesedaran kepada masyarakat!

No comments: