Dollah baru bercadang mahu bantu Palestin
Pilihanraya Umum Palestin telah hampir enam bulan berlalu. Dan sebagaimana kita semua ketahui rakyat Palestin telah memberikan mandat kepada HAMAS untuk memimpin mereka melalui pilihanraya yang dipantau oleh dunia.
Malangnya oleh kerana HAMAS tidak memenuhi citarasa Amerika, Israel dan sekutu-sekutunya maka kemenangan mereka itu tidak menyenangkan hati perut puak-pak berkenaan. Lalu tindakan dikenakan ke atas mereka.
Israel menyekat wang perolehan dari cukai eksais yang sepatutnya menjadi milik kerajaan Palestin sekitar ratusan juta Dolar Amerika.
Amerika Syarikat pula menghentikan segala bentuk bantuan dan mengarahkan sekutu-sekutunya di Barat agar berbuat demikian juga.
Lantaran perjuangan Islam yang dibawanya maka HAMAS dilihat sebagai suatu ancaman besar kepada Barat dan Israel lalu pilihan rakyat Palestin itu tidak mendapat perkenan mereka.
Bumi Palestin sebagaimana kita tahu merupakan bumi para anbiya. Nabi Sulaiman, Nabi Ibrahim, Musa, Isa malah Nabi Muhammad saw masing-masing pernah menjejakkan kaki mereka di sini. Di sinilah terletaknya Masjid al Aqsa, tapak dimana Nabi dimikrajkan ke langit.
Sepatutnya rakyat Palestin tidak perlu menagih simpati dan belas kasihan dari dunia Barat dan Israel yang tidak pernah senang dengan Islam itu. Sepatutnya yang bangun membela rakyat Palestin adalah negara dan kerajaan-kerajaan Islam termasuklah umat Islam sendiri.
Baru-baru ini Ketua Whip Parlimen Palestin dari HAMAS Dr Khalil Ismael al Hayyah telah mengunjungi Malaysia atas jemputan PAS. Beliau telah berceramah bersama pimpinan PAS dan NGO-NGO Islam termasuklah JIM, ABIM, Persatuan Ulamak dan lain-lain. Kutipan RM1 untuk rakyat Palestin telah dilancarkan bermula dari KL ke Kota Bharu sehinggalah Kuala Terengganu. Saya difahamkan sejumlah hampir RM2 juta telah berjaya dikutp termasuklah barang-barang kemas untuk diserahkan kepada saudara-saudara kita di Palestin yang sangat memerlukan itu.
Hari ini dalam UTUSAN PM Dollah Badawi dilaporkan berkata:
Kita perlu membantu rakyat yang menderita ini kerana ia adalah satu kewajipan yang perlu kita penuhi mengikut kemampuan kita. Mereka perlu mendapatkan bantuan dari negara-negara lain. Insya-Allah kita akan usaha untuk memberi apa yang sekadar kita mampu.
Kalau PAS yang dhaif dan hanya memiliki sebuah kerajaan negeri yang disekat serba-serbi oleh BN itupun mampu menggerakkan kutipan sehingga mengumpulkan RM2 juta, takkanlah PM dan juga Presiden Umno serta Pengerusi OIC dan pencetus Doktrin Islam Hadhari yang mahu dicontohi oleh negara-negara Islam dimerata dunia itu baru mahu berusaha memberikan bantuan, itupun sekadar kemampuan! Berapa lama lagi mahu diusahakan, setakat ini kita ketahui lantaran sekatan dan boikot pihak-pihak musuh itu kerajaan Palestin menghadapi masalah ekonomi yang kronik sehingga gaji kakitangan kerajaan sudah tidak berbayar hampir 3 bulan!
Malaysia sepatutnya mampu menghurlurkan ratusan juta ringgit kepada rakyat Palestin sekiranya kempen besar-besaran dilancarkan tanpa mengira fahaman dan parti. Ini isu melibatkan maruah umat Islam, ini isu kezaliman yang tidak didokong oleh mana-mana pihak pun. Kumpulkan pemimpin dan cerdik pandai Islam. Jika dulu di zaman Mahathir, Tun Dr M dan Allahyarham Ustaz Dato Fadzil Nor boleh duduk berceramah sepentas atas isu Palestin ini mengapa Dollah dan Hj Hadi tak boleh lakukan yang sama untuk rakyat Palestin kali ini?
Saya harap kelewatan Malaysia bertindak ini bukanlah kerana ia bimbang akan reaksi Amerika dan dunia Barat. Maklumlah HAMAS dicap kononnya sebagai kumpulan militan Islam, maka takut kalau memandai memberi endorsement nanti Malaysia dicap sebagai menyokong keganasan pula?!
Kalau benar demikian, eloklah diserah sahaja Pengerusi OIC kepada negara Islam lain yang lebih berani dan komited dalam melindungi nasib dan kebajikan serta maruah Islam dipentas dunia!
Dalam pada itu saya tidak faham apabila membaca yang Dollah bersungguh berkata:
Yang perlu dapat bantuan ialah rakyat, rakyat yang menderita dan rakyat tidak boleh dihukum kerana mereka telah pun memilih parti untuk menubuhkan kerajaan
Sedangkan yang kita tahu di Malaysia rakyat Kelantan telah memilih parti yang mereka mahu, tetapi lihat layanan yang mereka terima dari kerajaan Pusat. Cuba tanya Dollah siapa yang duduk di Pusat itu,Ehud Olmert ke?
No comments:
Post a Comment