Wednesday, May 10, 2006

BN pencabul demokrasi di Malaysia

Berbagai ulasan diberikan oleh para pengulas dan pemerhati politik berhubung kemenangan besar parti PAP di Singapura dalam pilihanraya umum Republik itu hujung minggu lepas. PAP pimpinan PM Lee Hsien Loong telah menang besar dengan pembangkang sekadar mampu bertahan di dua kerusi sahaja.

Antara faktor utama kemenangan besar PAP itu dikaitkan dengan kawalan ketat terhadap saluran media perdana di negara pulau itu. PAP memonopoli sepenuhnya saluran media perdana mengakibatkan segala kempen dan rapat umum pembangkang menjadi sia-sia kerana dapat ditangkis dan diserang kembali oleh PAP terus masuk ke rumah para pengundi samada melalui penguasaan TV ataupun radio di Republik itu.



Manipulasi media seumpama ini sesungguhnya merupakan satu penghinaan dan pencabulan terhadap makna kebebasan bersuara dan memilih serta prinsip demokrasi itu sendiri.

Itu Singapura, kini di Malaysia negeri Sarawak sedang menjalankan kempen Pilihanraya bagi Dewan Undangan Negerinya kali yang ke 9. Dan hari ini adalah hari pertama berkempen.

Kalau ada yang sempat menonton liputan khas Berita Utama TV3 sebentar tadi berkenaan pilihanraya ini, sudah cukup dapat melihat betapa kerja kotor di Singapura itu sebenarnya turut dilaksanakan juga di Malaysia ini.

Para pemberita dan pengulas TV3 seolah-olah membaca skrip yang disediakan oleh Bilik Gerakan BN Sarawak. Masih terngiang di telinga saya apabila seorang pengulas menyebut tentang parti-parti pembangkang yang dikatakannya hanya dapat membangkang dan dibangkang sahaja(bermakna rakyat tiada pilihan lain kecuali memilih BN).

Saya percaya kerja-kerja kotor TV3 ini telah mencabuli hak demokrasi dan fair play. Dan memang ini bukan kali pertama TV3 dan RTM bertindak demikian. Serupa sahaja dalam pilihanraya-pilihanraya sebelum ini pun.

Tetapi soalnya sampai bilakah kita rakyat Malaysia mahu berdiam diri dan membenarkan perkosaan terhadap demokrasi ini dilakukan secara terang-terangan di depan mata kepala kita?
Kita tidak boleh berpeluk tubuh, kita perlu bersuara dan menggunakan apa sahaja saluran yang ada untuk mendedahkan kepincangan ini. Kalau perlu bawa ke peringkat antarabangsa, maka lakukanlah demi mempertahankan keadilan dan kesaksamaan di bumi tercinta ini.

Dedahkan kepada pengetahuan dunia bahawa dalam bab pilihanraya sesungguhnya Malaysia tidak ada beza dengan Zimbabwe dan negara-negara mundur yang lain. Nama sahaja jaguh dunia ketiga, jaguh OIC dan NAM tetapi hakikatnya bila berhadapan dengan pilihanraya mereka inilah yang menjadi pencabul dan pemerkosa terbesar terhadap sistem demokrasi itu sendiri.

No comments: