Sunday, May 07, 2006

Demokrasi kuku besi di Singapura

Sekali lagi parti pemerintah PAP ataupun Peoples Action Party pimpinan Lee Hsien Loong diberikan mandat besar dalam Pilihanraya Umum Singapura iaitu bagi kali yang ke 10 sejak Singapura berpisah dari Malaysia.



PAP telah memenangi 82 dari 84 kerusi termasuklah 37 yang dimenanginya tanpa bertanding pada hari penamaan calon.

Parti-parti pembangkang yang terdiri dari Workers Party (WP), Singapore Democratic Party (SDP) dan Singapore Democratic Alliance (SDA) walaupun telah mencuba sedaya upaya namun belum memiliki kekuatan untuk menyaingi pengaruh besar PAP yang telah bertapak sekian lama di Negara pulau tersebut.


Chiam See Tong

Dua calon pembangkang yang menang adalah Chiam See Tong dari SDA yang berjaya mempertahankan kerusi Potong Pasirnya dengan memperolehi 55.8 peratus undi mengalahkan pencabarnya dari PAP. Manakala di kerusi Hougang, etiausaha Agung WP, Low Thia Kang berjaya mempertahankan kerusinya setelah mengalahkan calon PAP dengan memperolehi 62 peratus undi.


Low Thia Kang

Yang jelasnya Singapura merupakan antara negara demokrasi dirantau ini yang paling mengekang dan mengongkong kebebasan bersuara, satu jenis amalan demokrasi yang mirip kuku besi iaitu hampir serupa dalam beberapa kedaan dengan apa yang diamalkan di Malaysia. Ini jauh sekali berbeza dengan amalan demokrasi di Thailand, Filipina dan Indonesia.

Di Singapura tanggungjawab mengundi itu diwajibkan ke atas semua warganegaranya. Media di Singapura saling tak tumpah bagaikan media Malaysia, dimana ianya di bawah kawalan parti pemerintah dan jarang-jarang sekali memberikan liputan kepada suara pembangkang.

Kerana itulah kita saksikan buat pertama kalinnya BLOGGERS di Singapura telah menggunakan BLOG masing-masing bagi menyampaikan mesej parti pembangkang kepada para pengundi. Antara tindakan awal kerajaan menyekat arus dunia tanpa sempadan ini adalah dengan mengharamkan siaran bersuara ataupun PODCAST melalui laman-laman web parti-parti pembangkang (tak tahulah kalau SPR di Malaysia mahu mengikut jejak langkah rakan sekuku besinya itu nanti).

Sekurang-kurangnya di Singapura semasa tempoh berkempen, rapat-rapat umum dibenarkan termasuklah yang diadakan di stadium-stadium dan padang-padang terbuka.

Di Singapura kejamnya parti pemerintah sehinggakan tokoh-tokoh pembangkang yang vokal sering diambil tindakan yang melibatkan saman malu sehingga berjuta-juta ringgit. Antara tokoh yang dibankrapkan akibat tindakan ini dan oleh itu tidak layak bertanding adalah JB Jeyaratnam dan Dr Chee Soon Juan.

Sebagaimana di Malaysia, PAP (yang barangkali belajar dari rakannya di seberang Tambak Johor) juga terlibat dalam menaburkan janji dan imbuhan kewangan kepada rakyatnya semasa berkempen merayu undi. Antaranya adalah janji geran pengubahsuaian perumahan (housing upgrading grants) berjumlah 180 juta Dolar Singapura khasnya kepada kawasan-kawasan pembangkang.

Apa pun undi popular PAP telah berjaya dikurangkan iaitu dari 75 peratus yang diperolehi pada pilihanraya tahun 2001 lalu (semasa diketuai Goh Chok Tong) kepada 67 peratus. Kempen-kempen parti pembangkang mula dibanjiri rakyat jelata walaupun belum mampu diterjemahkan kepada undi yang bermakna.

Yang pentingnya walaupun disekat, ditekan dan dikekang rakyat Singapura tetap menyuarakan hak mereka, di Malaysia bagaimana? Akan adakah harapan itu contohnya di Sarawak nanti?

No comments: