Friday, March 07, 2008

Ya Allah Ya Tuhan ku Selamatkanlah Kelantan. Selamatkanlah PAS

Hari terakhir saya bersama Tuan Guru Presiden PAS sebelum beliau melangkah pulang ke Terengganu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke 12 ini adalah pada hari pelancaran Manifesto PAS.

Selepas selesai urusan dengan pihak media, Tuan Guru memaklumkan saya yang beliau perlu bergegas pulang kerana ada ceramah di Kemaman, ketika itu jika tak silap sudah pukul 3 petang. Saya seperti biasa mengiringi beliau keluar dari biliknya dan dilobi tingkat empat Pejabat Agung PAS sebelum beliau melangkah keluar saya bukan sekadar bersalaman mencium tangan beliau seperti biasa, malah saya memeluk beliau seerat mungkin. Insyallah berjaya Ayah Chik, kata saya, agak sebak dan terharu.

Beliau membalas pelukan saya sambil tersenyum, Ya insyallah, kata beliau. Kita jumpa selepas pilihan raya nanti.

Seluruh masadepan dan survival gerakan Islam yang terbesar dalam negara ini terletak pada kepala bahu Tuan Guru. Namun beliau tenang, ketika beliau solat sebelum itu dalam biliknya saya saksikan beliau menadah tangan penuh sayu dengan kedua belah tangan rapat ke mulutnya. Lama beliau mengangkat tangan dan berdoa pada hari itu.

Pasti jika pemimpin atau ahli PAS lain berasa cemas dan berat menghadapi pilihan raya ini, Tuan Guru sudah pasti yang berat dan cemas. Jika pilihan raya ini adalah peperangan maka beliaulah jeneralnya, kalah menang kempen peperangan adalah atas beliau. Tetapi melihat pada perwatakannya saya percaya beliau punya keyakinan.

Semasa berbincang darihal isu-isu semasa Tuan Guru menyatakan pada saya suasana dan senario kali ini jauh berbeza dari yang lepas-lepas. Pertolongan Allah swt kepada kita kali ini seolah tampak begitu jelas, diluar perhitungan dan sifir politik kita sendiri. Jika beberapa bulan sebelumnya PAS tidak berapa nampak riak-riak gelombang sokongan ini tetapi sejak akhir-akhir ini ia menggunung besar di hadapan mata kepala kita.

Segalanya kini terletak pada kita. Allah swt seolah sedang menyusun cantik buat kita, soalnya adakah kita mampu memungut dan menuainya.

Memang tipu daya dan taktik kotor dan jahat pihak lawan begitu menjadi-jadi terutama dalam kempen pilihan raya ini. Gergasi ganas ini tidak mudah mahu menyerah kalah begitu sahaja, walaupun hodoh dan busuk namun padanya ialah yang paling comel dan rupawan.

Kita sudah bekerja, kita sudah berusaha, kini kita bertawakal kepada Nya. Esok kita perlu terus bekerja bagi memastikan segala agenda dan perancangan jahat mereka akan digagalkan Allah swt. Teruslah kita bermunajat serta berdoa ke hadrat Allah swt tidak putus-putus. Segala jenis penipuan dan kerja jahat ini dengan izin Allah akan digagalkan oleh pertolongan Nya jika kita yakin dan isitqomah.

Kita menghaparkan seluruh pimpinan kita dari Mursyidul Am, Timbalan Mursyidul Am, Presiden dan Timbalan Presiden serta yang lain-lainnya yang bertanding akan berjaya kali ini sekaligus memberikan kejayaan kepada perjuangan suci ini. Biar panji-panji Islam terus berkibar di Kelantan dan nanti berjaya dipacakkan atas bumi Terengganu dan Kedah serta bangkit di negeri-negeri lain.

Ya Allah perkenankanlah doa dan harapan kami semua. Amin.

No comments: