Wednesday, March 05, 2008

Polis merekod kenyataan saya

Kira-kira jam 4.00 petang tadi saya dikunjungi oleh 3 orang pegawai polis berpangkat ASP dari Bukit Aman. Kehadiran mereka adalah untuk merekodkan kenyataan saya yang kononnya menyatakan bahawa “PAS sedia guna kekerasan” sebagaimana yang terbit dalam muka hadapan akhbar Berita Harian semalam.

Saya dan rakan-rakan sudah mula menjangkakan yang pihak Bukit Aman akan hadir kerana pagi tadi kami difahamkan yang pemberita Berita Harian yang berkenaan telah dipanggil ke Bukit Aman untuk direkodkan kenyataan beliau.

Saya difahamkan siasatan terhadap saya dibuat ekoran satu aduan yang dibuat di Terengganu.

Inilah suasana demokrasi di Malaysia hari ini. Bukan hanya pihak pembangkang disekat dari mendapat liputan di media arus perdana, kempen ceramah memerlukan permit jika tidak ia akan dileraikan walaupun dalam musim pilihan raya. Kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapatan sudah dikira mengancam keselamatan negara kiranya terbit dari pihak pembangkang.

Saya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pegawai-pegawai berkenaan yang saya sedar sekadar menjalankan tugas masing-masing. Saya nyatakan apa yang sebenarnya berlaku tanpa sedikit pun berselindung atau cuba menyembunyikan sesuatu. Saya berlapang dada dan menyerahkan segala-galanya kepada Allah swt. Apa pun saya yakin hasil dari pendedahan PAS dari hari ke hari, kini semua pihak semakin berhati-hati dan memberi perhatian ke atas kenyataan PAS itu.

PAS tidak akan memulaukan pilihan raya, PAS akan terus bekerja kuat dan bertanding 8 haribulan ini dengan harapan lonjakkan sokongan pelbagai kaum kali ini, termasuklah undi simpati dari rakyat yang melihat dengan mata kepala mereka sendiri betapa rakus dan zalimnya BN terhadap parti-parti lain yang bertanding, akan menjadi tsunami besar yang akan memukul dan merobohkan tembok angkuh yang dibina oleh BN itu.

No comments: