Saturday, March 15, 2008

Rawatlah diri sendiri sebelum mahu merawat orang lain

Ayuh kita laga-lagakan pimpinan BA. Ayuh kita porak-perandakan kerjaan-kerjaan negeri BA yang ada. 1,000 lebih jaguh-jaguh Umno diketuai ADUN-ADUN Umno berhimpun di Georgetown untuk membantah kerajaan negeri baru yang ada. Begitu juga di SUK Shah Alam, kira-kira 100 berbuat demikian.

Apakah tujuan mereka? Mendesak kerajaan pilihan rakyat agar berundur dan beri laluan kepada mereka? Siapakah mereka?

Diperingkat ini Umno dituntut agar bertindak lebih matang dan rasional. Tindakan melampau seperti ini akan hanya mengundang kemarahan rakyat dan mengakibatkan Umno nanti lebih disishkan rakyat. Terimalah kekalahan dengan hati yang terbuka dan buat persediaan untuk menghadapi PRU ke 13 pula, adat bertanding ada yang menang dan ada yang kalah.
Kalau kita teliti Umno sendiri kini sebenarnya bergelumang dengan masalah dalaman. Krisis perlantikkan MB di Terengganu dan Perlis cuba ditimbus dengan krisis perlantikkan MB Perak yang dah pun reda itu.

Ketidak-tentuan dalam Umno kini sebenarnya menjadi semakin kritikal. Kain-kain rentang menuntut Dollah Badawi letak jawatan boleh dilihat di sekitar KL seawal 9 Mac 2008, sehari selepas keputusan PRU ke 12. Ini diikuti dengan serangan dari bekas PM Tun Dr Mahathir dan terbaru anak Tun iaitu ahli Parlimen Jerlun Mukhriz turut menuntut Dollah berundur.
Melalui suratnya bertarikh 12 Mac dialamatkan kepada Dollah, Mukhriz menulis:

Bertentangan dengan kenyataan Dato Seri yang kononnya UMNO dan parti-parti komponen BN di Semenanjung menyokong kepimpinan Dato Seri sebenarnya kekalahan yang dialami BN membuktikan bahawa ahli-ahli parti telah berpaling tadah hingga mengalahkan calon-calon kita di kubu-kubu kuat BN.

Apabila rakyat berdemonstrasi di jalanan, Dato Seri sendiri sebagai pemimpin tertinggi parti dan negara secara terang dan terbuka mencabar mereka supaya menggunakan peti undi sebagai tempat menunjuk perasaan.

Atas menyahut cabaran Dato Seri itulah rakyat di Semenanjung telah keluar beramai-ramai bagi menunjukkan perasaan dengan menolak BN diperingkat negeri dan Parlimen.

Kemudian Mukhriz menyambung:

Atas sifat sayangkan bangsa dan negara saya merayu kepada Dato Seri supaya bertanggungjawab atas kekalahan ini. Hanya dengan perletakkan jawatan Perdana Menteri dan Presiden Umno oleh Dato Seri sendiri dapat pemulihan UMNO, BN dan negara dilakukan dengan jayanya.

Saya pasti disaat ini pihak-pihak tertentu termasuklah menantu Dollah yang baru menang di Rembau sedang menimbang-nimbang tindakan sekeras-keras dan sewajarnya terhadap Mukhriz. Orang-orang Umno septautnya merawat penyakit mereka dan tidak menggunakan kudrat yang tinggal kecil untuk menyerang orang lain.

Silap-silap yang sesak nafas dan tumbang nanti bukannya sasaran mereka tetapi diri mereka sendiri.

No comments: