Thursday, March 27, 2008

Masadepan politik Dollah dalam Umno semakin kelam

Majlis Tertinggi Umno yang bersidang jam 3.00 tadi membuat dua keputusan penting. Pertama menerima dan mengesahkan perlantikan ADUN Kijal, Ahmad Said sebagai MB Terengganu sebagaimana diputuskan oleh Istana Terengganu. Dan kedua tetap mengadakan pemilihan sempena Perhimpunan Agung Umno tahun ini pada bulan Disember nanti.

Kedua-dua keputusan ini menandakan yang cengkaman Presiden Umno Dollah Badawi terhadap partinya sendiri semakin longgar. Dollah telah pun mengeluarkan surat watikah melantik Idris Jusoh sebagai MB Terengganu (sebagaimana beliau juga memutuskan Shahidan Kassim sebagai MB Perlis tetapi ditolak oleh Raja Perlis), keputusan menerima Ahmad Said ini bermakna inilah kali kedua dalam tempoh tak sampai 30 hari keputusan Dollah ditolak Istana dan tidak diterima ramai.





Keputusan mengadakan pemilihan Umno tahun ini juga menandakan sokongan terhadap Dollah semakin merosot. Cadangan supaya pemilihan tahun ini ditangguhkan sebelum ini telah terpacul dari mulut Ketua Penerangan parti, Mat Taib (yang sudah pasti menerima lampu hijau dari Dollah). Kata Mat Taib ketika itu kononnya terdapat badan-badan perhubungan Umno negeri yang merasakan ianya perlu ditangguhkan demi mengelakkan krisis dalam parti. Soalnya benarkah ada negeri yang berpandangan demikian, jika benar mengapa MT Umno tidak mengambil kira pandangan negeri? Atau adakah semuanya alasan dan rekaan ciptaan Mat Taib untuk menyelamatkan bos nya yang baru sahaja melantiknya sebagai menteri tanpa perlu menang mana-mana kerusi!

Apa pun keputusan MT Umno itu menandakan pengaruh Dollah semakin menjunam, dan masa depan politiknya dalam Umno semakin kelam.

Sementara itu difahamkan beberapa Ketua Umno bahagian telah mengunjungi kediaman Ku Li di Langgak Golf bagi menyatakan sokongan mereka terhadap Ketua Umno bahagian Gua Musang itu. Sebelum ini anak Raja Kelantan itu mencadangkan agar Umno mengadakan Perhimpunan Agung Khas bagi membincangkan kekalahan Umno dalam PRU ke 12 lalu. Ku Li juga mengisytiharkan yang beliau bersedia mencabar Dollah bagi jawatan Presiden Umno. Antara tokoh Umno yang hadir adalah bekas Menteri Penerangan yang juga Ketua UMNO Bahagian Kulim/Bandar Baharu, Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir, Datuk Dr. Ibrahim Saad (Batu Kawan) dan Datuk Malek Hanafiah (Taiping).

No comments: