Wednesday, March 26, 2008

Dollah mula membaca mesej rakyat?

Saya agak terpegun membaca reaksi PM Dolllah Badawi terhadap keputusan rakyat yang diterjemahkan melalui PRU ke 12 baru-baru ini. Kata Dollah:

Keputusan PRU lalu adalah mesej yang kuat daripada rakyat bahawa saya tidak bergerak cukup pantas dalam melaksanakan pembaharuan-pembaharuan yang dijanjikan. Mesej telah dibuat dan saya terima.

Lalu beliau berjanji akan melaksanakan beberapa langkah segera dan berani bagi meringankan beban rakyat antaranya mengurangkan impak kenaikan harga minyak dunia ke atas rakyat kebanyakan, mengkaji semula perlaksanaan pelan ekonomi supaya feadahnya dapat terus dirasai oleh mereka yang memerlukan dan berusaha kearah mengurangkan jurang pendapatan antara rakyat.

Cumanya saya tidak pasti sejauh mana langkah-langkah beliau ini nanti memberikan impak kepada rakyat dan saya juga tidak pasti adakah rakyat menolak BN dalam PRU ke 12 lalu semata-mata kerana Dollah tidak bergerak cukup pantas?

Bagi saya memang terdapat banyak faktor yang mendorong rakyat secara berani bangkit menolak BN pada PRU lalu, antaranya adalah isu kenaikan kos hidup yang membebankan mereka. Inilah antara isu utamanya, adakah BN sudah ada formula bagaimana mahu mengatasinya? Isu lain adalah rasuah, kronisma dan nepotisma yang tidak pula disebut oleh Dollah. Rakyat bosan melihat Dollah, anak-beranak, menantu dan ipar serta mereka yang disekelilingnya turut melibatkan diri secara aktif dalam kontrak dan perniagaan.

Semalam saya mendapat tahu sebuah syarikat telah menerima kontrak membaik-pulih klinik-klinik kesihatan awam, di bawah Kementerian Kesihatan, bagi sebahagian Semenanjung dengan nilai lebih RM100 juta untuk fasa 1. Adik perempuan kepada arwah isteri Dollah difahamkan mempunyai kepentingan besar di dalam syarikat tersebut. Begitulah, sedangkan kita baru sahaja tak sampai 20 hari selesai berpilihan raya.

Kebetulan dimeja saya terdapat sebuah naskah NST bertarikh 1 Febuari 2008 iaitu jauh sebelum Parlimen dibubarkan. Tajuk utama berita hari itu adalah penafian Dollah bahawa terdapat "gentleman's agreement" antara beliau dengan Tun Dr Mahathir, bahawa beliau akan hanya memegang jawatan PM selama satu penggal. Mungkin inilah juga mesej yang ingin dibawakan oleh rakyat, yang tidak pula diakui Dollah, bahawa negara memerlukan seorang pemimpin baru yang lebih dinamik dan bertenaga dari beliau untuk dududk di kerusi PM.

Saya bukannya mementingkan siapa yang sepatutnya menggantikan beliau, tetapi siapa sahaja asalkan bukan beliau. Kerana ternyata rakyat merasakan yang beliau tidak lagi layak dan relevan sebagai PM, apalagi isyarat yang mahu Dollah tunggu?

No comments: