Friday, March 21, 2008

Demokrasi telah berkubur dalam Umno

Antara langkah pertama yang dilakukan oleh Ketua Umno bahagian Gua Musang, sejurus selepas keputusan resmi PRU ke 12 diumumkan adalah mengutus surat kepada semua Ketua-ketua Umno bahagian agar diadakan EGM diperingkat masing-masing dan kemudiannya diusulkan ke peringkat kebangsaan agar membincangkan kekalahan besar Umno dan BN dalam PRU ke 12 lalu.

Tengku Razaleigh turut mengumumkan bahawa beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden Umno dalam Perhimpunan parti itu tahun ini bagi memulihkan Umno ekoran "setback" PRU ke 12 baru-baru ini.

Masih adakah demokrasi dalam Umno?

Belum pun sempat bahagian-bahagian mempertimbangkan permohonan EGM Ku Li, kini sudah bangkit suara-suara mengecam dan mengkritik inisiatif anak raja Kelantan itu. Seolah Umno dan BN tidak mengalami apa-apa kecederaan, seolah semuanya biasa sahaja. Kata Ku Li dalam akhbar The Star hari ini:

We have lost five states and the 2/3 majority in Parliament. If this is not serious I do not know what is. We can deny it and leave our future to fate.

Kita telah hilang lima negeri dan 2/3 majoriti di Parlimen. Jika ini tidak serius saya tidak tahu apa lagi. Kita boleh menidakkannya dan serah segala-galanya kepada takdir.

Begitulah budaya dalam Umno. Walaupun teruk luka dan tercedera namun mereka anggap yang mereka masih gagah perkasa lagi. Sesiapa sahaja yang cerdik cuba menegur dan berkata benar akan diserang dan dimomokkan. Dan kini turut diserang adalah tawaran Ku Li untuk merebut jawatan Presiden. Kononnya Umno akan retak dan pecah, dalam suasana sebegini sepatutnya ahli-ahli Umno bersatu.

Kata Ku Li, jika demikian sepatutnya dihapuskan sahaja pertandingan dalam parti. Umno sepatutnya melantik sahaja seorang Presiden "Seumur Hidup" dan kemudian berdoa semoga tidak ada apa-apa bakal berlaku kepada Presiden tadi!

Akhbar-akhbar Utusan dan Berita Harian kini punya tugas baru: serang Ku Li. Mudah-mudahan perkembangan ini akan membuka mata ahli-ahli dan penyokong Umno yang lain. Jika sudah begitulah Umno, maka lebih baik masing-masing membawa diri dan berhijrah ke wadah yang lebih praktikal dan efektif. Tinggalkanlah Umno, PAS dan PKR saya pasti menunggu anda semua dengan tangan yang terbuka.

No comments: